Pada pendapatku, kewujudan Walisongo itu benar. Cuma apakah maksud Walisongo itu, tiada kepastian. Ramai mengatakan ia adalah sembilan pendakwah yang digelar sunan menjalankan kegiatan dakwah di tanah Jawa. Namun, ada pandangan-padangan lain mengenai maksud Walisongo itu. Wallhu a'lam. Ini istilah sejarah dan berakar bahasa jawa pula. Satu perkataan yang diungkap di masa lalu kekadang berubah sebutannya bila zaman beredar.
Nama negeri Melaka itu sendiri, ada khilaf mengenai maknanya. Ada yang kata asalnya pokok Melaka. Ada yang kata asalnya kalimah Arab iaitu "malqa" yang bermaksud tempat pertemuan. Bila masa beralih disebut Melaka.
Tentang Walisongo ini, terdapat filem yang telah dibuat mengenai usaha dakwah mereka. Namun, filem-filem yang dibikin itu, mengandungi tempelan mistik yang tebal dikaitkan dengan peribadi mereka. Adalah tidak masuk akal para pendakwah menjadikan ilmu mistik sebagai andal dalam kerja dakwah mereka. Para sunan digambarkan sebagai individu yang mampu melakukan hal-hal luar biasa setanding dengan para pengamal ilmu kanuragan yang begitu meluas di tanah jawa.
Di indonesia, telah popular satu jenama ilmu mistik yang dinamakan ilmu putih yang didakwa lawan kepada ilmu hitam. Ilmu hitam itu penuh dengan kejahatan dan kesyaitanan sedangkan ilmu putih itu membawa kemuliaan dan kebaikan. Mak Lampir digambarkan sebagai pengamal ilmu hitam yang tangguh. Manakala Kiyai Ageng adalah pendaulat ilmu putih.
Jika kita toleh melalui gambaran filem-filem indonesia ini, yang membicarakan soal ilmu kanuragan, di zaman sebelum Islam pun ada sesepuh yang memiliki ilmu para wali pada hal itu zaman hindu. Brama kumbara dilebelkan sebagai raja yang memiliki ilmu kanuragan yang murni dipelajari daripada gurunya sang petapa. Manakala banyak juwara Majapahit diperlihatkan sebagai memiliki ilmu-ilmu hitam. Ada perguruan Telapak Dewa dan Sri Buana yang mengajarkan ilmu kanuragan.
Begitu mewahnya bumi Jawa dengan ilmu-ilmu kebatinan, maka tidak hairan peribadi para pendakwah Islam turut terpalit dengan cerita-cerita ilmu ini. Sedangkan nabi lagi terpalit dengan maudhu', apalagi para ulama yang datang kemudiannya!
No comments:
Post a Comment