CARI BAHAN

Sunday, October 03, 2010

Apa itu DNA?

Dewasa ini, ramai orang bercakap tentang DNA. Ketika kes dakwaan liwat ke atas DS Anwar Ibrahim rancak dimainkan media, persoalan DNA disebut sebagai penyelesaian. Ketika berlaku satu-satu pembunuhan mangsa yang tidak dapat dikenalpasti, ujian DNA ditampilkan sebagai penyelesaian. Ada cadangan supaya diwujudkan bank DNA sebagai penyelesaian kes buang bayi yang kian menjadi-jadi. Ujian DNA disebut sebagai penyelesaian ajaib bagi semua pertikaian, kebuntuan dan tandatanya.

Hatta, Ibrahim Ali, ketika marah kepada beberapa pemimpin UMNO yang mengkritiknya kelancangan dalam Perkasa, dia mengatakan dia mengetahui DNA mereka!

Apakah itu DNA? 

Untuk memahaminya lebih lanjut, elok kita baca satu artikal yang dimuatkan dalam harianmetro.com.


Mungkin ada pembaca yang masih ingat pertelingkahan antara dua petani di Pasir Puteh, Kelantan pada 2007 antara Zulkifli Setafa dan Isa Mohamad yang berebutkan anak kerbau jantan berusia tiga tahun. Kedua-dua petani sanggup membayar RM1,500 seorang untuk ujian DNA bagi menentukan pemilik sebenar anak kerbau berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1,500!


Ia adalah kes pertama ujian DNA ke atas haiwan ternakan untuk membuktikan pemilik dilaporkan di negara kita kerana tiada orang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk seekor anak kerbau kerana kos bagi ujian berkenaan boleh membeli dua ekor anak kerbau pada usia yang sama.


Istilah ujian DNA meniti di bibir masyarakat kita - hasil sumbangan peningkatan kes jenayah dan lambakan siri drama penyiasatan yang ditayangkan di televisyen. Namun tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan DNA dan ujian DNA itu? DNA ialah singkatan kepada asid deoksiribonukleik, satu molekul penting bagi semua sel hidup.


Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Pasca Siswazah), Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Dr Zafarina Zainuddin, DNA ialah sejenis molekul yang terdapat dalam semua sel, kecuali sel darah merah. Ia adalah molekul yang menyimpan kod genetik yang menentukan semua ciri-ciri manusia seperti warna kulit, mata, jenis rambut dan sebagainya.


DNA dalam semua jenis sel dalam satu individu adalah sama. Ini bermakna, DNA dari air liur, rambut, darah atau air mani adalah sama bagi setiap orang. Bukan manusia saja yang mempunyai DNA malah semua organisma hidup termasuk tumbuhan, haiwan dan bakteria juga mempunyai DNA. Ia adalah molekul asas yang sangat penting dalam semua organisma hidup.


Menariknya, DNA bagi setiap individu di atas muka bumi ini adalah unik iaitu berbeza antara satu sama lain kecuali bagi kembar seiras. Inilah sebabnya ujian DNA digunakan dalam penyelesaian banyak kes jenayah atau bagi penentuan keturunan khususnya untuk kes perebutan anak (yang tidak diketahui bapanya) seperti kerap terjadi di negara Barat.


Teknik ujian DNA mula dilaporkan oleh Sir Dr Alec Jeffreys dari Universiti Leicester, England pada 1984 dan kini menjadi asas kepada data DNA kebangsaan sesebuah negara. Kaedah yang dipelopori Dr Jeffreys ini kemudiannya dikomersilkan (sesiapa boleh mendapatkan ujian ini) pada 1987 apabila syarikat kimia, ICI, membuka pusat ujian darah di England.


Apa yang dimaksudkan dengan profil DNA? “Profil DNA adalah hasil yang diperoleh daripada analisis ke atas DNA seseorang. Ia seperti kod bar (bar code) pada setiap barang di pasar raya di mana setiap kod akan mengenalpasti barang yang berbeza.



“Profil DNA yang terhasil adalah dalam bentuk nombor dan setiap individu akan mempunyai kombinasi nombor yang berbeza. Nombor-nombor ini mewakili alel (gen) tertentu bagi setiap individu,” kata Dr Zafarina.


Jenis ujian DNA


Dr Zafarina berkata sel yang mempunyai nukleus dari semua bahagian daripada badan kita boleh dijadikan sampel dalam ujian DNA. Ujian DNA ada beberapa jenis. Bagi kegunaan forensik, ujian DNA yang dilakukan ialah:


1. Ujian autosomal STR (ulangan tandem atau aturan pendek): Ujian ini sangat khusus bagi pengenalpastian individu. Setiap profil yang diperoleh melalui kaedah ini adalah unik di mana tidak ada dua individu berbeza akan mempunyai profil yang sama, kecuali kembar seiras.


2. Y-STR: Ujian ini bagi mendapatkan profil lelaki terutamanya dalam sampel yang bercampur. Kaedah ini akan dapat mengenalpasti profil lelaki, contohnya dalam kes rogol di mana lelaki berkenaan meninggalkan sisa-sisa air mani di dalam vagina (faraj) mangsa.


Walaupun persekitaran vagina mengandungi lebih banyak sel-sel mangsa (wanita) tetapi kaedah ini masih dapat mengenalpasti profil lelaki atau perogol berkenaan kerana ia khusus kepada kromosom Y; iaitu kromosom yang hanya terdapat pada lelaki. Kromosom ialah satu struktur seakan benang yang mengandungi maklumat genetik.


Kaedah ini juga dapat membantu mengenalpasti individu yang hilang melalui perbandingan dengan profil ayah, saudara lelaki atau sepupu lelaki dari sebelah ayah (anak bapa saudara dari datuk yang sama). Ia juga dikenali sebagai ujian bagi mengenalpasti individu melalui keturunan sebelah bapa.


3. Mitokondria DNA: Kaedah ini biasanya digunakan apabila kaedah autosomal STR gagal memberikan profil. Ia biasanya berlaku apabila sampel biologi yang diuji terlalu sedikit, sudah terlalu lama terdedah ke persekitaran yang ekstrem (keterlaluan); terbakar teruk atau sampel yang sudah lama.


Jumlah DNA mitokondria yang banyak dalam sel dan jenis DNA ini yang lebih tahan lasak berbanding autosomal DNA, membolehkan ia menjadi harapan terakhir dalam mengenalpasti individu melalui ujian DNA.


Berbeza dengan Y-STR, mitokondria DNA adalah ujian pengenalpastian menggunakan keturunan sebelah ibu. Setiap individu dari keturunan ibu yang sama, akan mempunyai profil DNA mitokondria yang sama.


Contohnya saudara (adik beradik) dari ibu yang sama, sepupu (anak ibu saudara) dari nenek yang sama. Ujian ini sesuai digunakan untuk mengenalpasti individu yang hilang, terutamanya apabila kualiti dan kuantiti sampel yang ditemui tidak mengizinkan untuk ujian DNA lain.


Bagaimana pula dengan kes perebutan anak kerbau jantan yang disebut di atas? Adakah ia juga menggunakan kaedah yang sama?


Ujian yang dilakukan sama saja dengan ujian DNA dalam forensik. Kedua-duanya menggunakan kaedah autosomal STR. Cuma kit yang digunakan adalah khusus kepada lembu; sedangkan untuk manusia, kit yang digunakan adalah khusus untuk manusia.


Maknanya, sekiranya sampel darah yang ditemui adalah milik haiwan seperti monyet atau orang utan, profil DNA tidak akan diperoleh apabila menggunakan kit yang khusus untuk manusia dan sebaliknya.



Siapa yang boleh melakukan ujian DNA? Bagaimana ia dilakukan?


Menurut Dr Zafarina yang juga merupakan pakar rujuk DNA forensik bagi Polis Di Raja Malaysia (PDRM), ujian DNA boleh dilakukan di mana-mana makmal yang menawarkan perkhidmatan ini. Ujian ini dimulakan dengan kaedah pengesktrakan DNA daripada sampel menggunakan kaedah Reaksi Rantaian Polimerase (Polymerase Chain Reaction).


Kaedah ini sama seperti mesin fotostat bagi mendapatkan jumlah DNA yang lebih banyak supaya boleh dianalisis). Dari sini, DNA kemudiannya akan melalui kaedah elektroforesis iaitu pemisahan DNA di dalam media polimer dengan menggunakan voltan elektrik yang tinggi dan seterusnya analisis keputusan menggunakan perisian khusus.


“Memang kaedahnya agak rumit dan namun hasil ujian DNA sangat tepat. Profil DNA yang didapati melalui kaedah autosomal STR memberikan keputusan 99.9 peratus tepat dalam pengenalpastian seseorang individu.


“Bagaimanapun kualiti profil juga dipengaruhi oleh kualiti sampel. Justeru itu kualiti sampel sangat penting dalam ujian DNA. Sampel yang bercampur-campur akan memberikan profil yang bercampur juga dan dalam keadaan begini, kita memerlukan bantuan perisian yang lebih canggih untuk menentukan profil setiap individu yang terbabit.


“Sampel yang sudah terlalu lama, rosak, terbakar dan sebagainya memerlukan masa yang lebih panjang untuk memperoleh profil DNA kerana beberapa langkah untuk mendapatkan DNA dalam keadaan yang paling optimum (sesuai atau baik) perlu dibuat.


“Berapa cepat keputusan ujian DNA boleh dikeluarkan juga bergantung kepada kualiti dan kuantiti sampel. Jika sampel segar contohnya darah segar, hasil ujian boleh diperoleh dalam tempoh kurang 48 jam. Seperti yang diterangkan, jika sampel sudah lama, kualiti terjejas, rosak atau terbakar maka lebih lamalah masa yang diperlukan,” katanya.

Di Malaysia, siapa yang boleh menjalankan ujian DNA? Setakat ini hanya ada dua makmal saja yang menawarkan ujian DNA. Ujian DNA untuk kes jenayah hanya boleh dilakukan di makmal di Jabatan Kimia Malaysia.

Unit HID/DNA di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) juga menawarkan ujian DNA tetapi bagi kes yang membabitkan pengenalpastian identiti seperti yang dikehendaki oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran sebelum mendapat kad pengenalan atau taraf kerakyatan, atau kes-kes peribadi yang tidak membabitkan undang-undang.


“Bidang kajian genom termasuklah ujian DNA adalah bidang yang sangat menarik dan mempunyai banyak ruang untuk diterokai. Kita masih kekurangan pakar dalam bidang ini.


“Antara kelayakan yang diperlukan untuk menjadi salah seorang daripada kumpulan penyelidik atau penganalisa ialah Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains hayat sama ada sains forensik, genetik, biokimia dan sebagainya. Selain itu mereka juga perlu mendapat latihan khas dalam bidang DNA forensik sebelum boleh diiktiraf sebagai penganalisa,” katanya.

No comments: