Kerana bomoh itu menggunakan medium yang dipandang suci atau sememang suci dalam Islam, sebahagian orang terpedaya. Itu dijadikan dasar mengatakan perubatan dengan cara perbomohan orang tersebut benar tanpa boleh dipersoalkan lagi. Melalui medium yang digunapakai itu, timbul beberapa situasi luar biasa yang menambahkan keyakinan orang yang menyaksikan.
Antara medium yang selalu dikaitkan dengan kesucian Islam tentunya yang paling utama adalah Al-Quran. Selain itu ialah biji tasbih terutama daripada kayu koka, biji kurma ajwa dan tulang unta. Ada juga yang menjadikan cebisan kelamba ka'abah sebagai mediumnya. Para bomoh ini dipandang sebagai soleh dan bertakwa, lebih-lebih lagi bacaan yang diperdengarkannya adalah sebutan ayat suci.
Aku menegaskan pendiriankan bahawa menggunakan ayat Quran untuk berubat sememangnya punya sandaran nas dalam agama. Nabi memberi taqrir dan legitimasi kepada sebahagian sahabat yang membacakan ayat-ayat Quran untuk mengubati penyakit seseorang. Namun, menggunakan naskhah Al-Quran untuk berubat sama ada naskhah lengkap atau ceraian maupun tulisan beberapa potong ayatnya, ia adalah keliru dan mencurigakan. Lebih-lebih lagi kalau bahagian daripada Al-Quran itu dipergunakan sebagai komponen tangkal azimat yang telah dijelaskan haram dan syrik berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW.
Apa yang dinamakan sihir itu bukan sahaja mantera yang menyeru jin dan mambang. Sihir juga boleh terbit daripada bacaan beberapa potong ayat Quran dengan tujuan yang salah. Kumpulan Wali Suci dan Nasrul Haqa yang telah dicatat oleh pihak Jakim sebagai ajaran sesat, mereka bersendikan ayat-ayat Quran untuk menzahirkan "khawariqul 'adah". Apa yang dilakukan oleh mereka itu adalah sihir. Syaitan menyelit dalam amalan mereka untuk menyimpangkan keyakinan mereka kepada Allah SWT sehingga kebergantungan mereka bulat kepada ayat-ayat dan bacaan serta tawassul yang dibuat mereka.
Kita pernah lihat dalam filem Barat, digambarkan hantu dapat ditakutkan dengan lambang salib. Apakah kita mahu menandingi metos kristian itu lalu membuat filem, menyebarkan sangkaan dan memberitahu ummat bahawa hantu dapat ditakutkan dengan Naskhah Al-Quran?
Satu waktu, saya pernah saksikan pertunjukan seorang wanita tua di sebuah pedalaman mengesan sakit seorang remaja perempuan dengan menggunakan tasbih sebagai prantara. Tasbih itu kononnya dibuat daripada bebiji kurma ajwa yang dikenali sebagai kurma nabi. Tasbih itu dipegang tergantung atas segelas air lalu tasbih itu bergerak. Katanya, kalau pergerakan tasbih ke kanan, kiri atau lainnya, punya tafsiran tersendiri. Bagi yang melihat, apabila dilihatnya alat yang digunakan tasbih, akan terpesona dan tertancap keyakinan awal bahawa perubatannya adalah islamik dan tidak perlu dipersoalkan.
Aku tegaskan bahawa situasi luar biasa yang dizahirkan itu adalah sebahagian daripada sihir.
No comments:
Post a Comment