CARI BAHAN

Sunday, October 10, 2010

Perjuangan tidak boleh kerana pemimpin.

Bukan aku mula percaya bahawa Anwar Ibrahim itu terlibat dalam skandal seks lewat sebagaimana yang didakwakan. Prinsipku, selagi tidak dapat dibuktikan secara adil bahawa dia bersalah, maka dia kekal tidak bersalah. Sejauh ini, dakwaan yang dilemparkan ke atasnya adalah serabut serabai dan ketandusan bukti. Manakala pihak yang melemparkan tuduhan itu pula adalah manusia yang tidak punya kelayakan dari aspek agama dan moral sekalipun.

Anwar Ibrahim dikelilingi oleh ramai pengkhianat. Paling tidak mengkhianati Anwar Ibrahim secara peribadi. Dahulu menyokongnya kini menentangnya. Dahulu menyanjungnya kini mencelanya. Sehinggakan aku meragui kesetiaan semua orang yang bersama Anwar dewasa ini. 

Anwar Ibrahim itu memang pemimpin hebat. Namun, kehebatan dalam memipin bukan bermakna akan menguasai. Dalam sejarah, ramai pemimpin yang tewas dan tidak menggapai kemuncak kekuasaan. Kalau hendak banding antara Anwar Ibrahim dengan Imam As-Shahid Hasan Al-Banna, aku rasa jauh sekali. Dengan Syed Qutb pun bukan tandingan Anwar. Ramai pemimpin ikhwanul muslimin yang hebat tetapi mereka ada yang dibunuh, dipenjara dan lari bersuaka di negeri.

Sebab itu, siapa yang mengharapkan Anwar Ibrahim akan menajdi perdana menteri satu hari nanti, jangan terlalu mengharap. Bimbang jika tidak tercapai apa yang diharapkan, kecewalah. Bila kecewa, perjuangan pun berantakan. Lebih teruk ialah jika beralih arah perjuangan. 

Sebab itu Islam menetapkan satu prinsip perjuangan. Perjuangan bukan kerana pemimpin. Pemimpin bersilih ganti, tetapi perjuangan diteruskan. Islam menjadi matlamat dan Islam tidak akan pernah mati. Islam adalah ibu yang sentiasa mengandung dan melahirkan pemimpin hebat.
Aku melihat ketidaktentuan dalam PKR. Mengaku atau tidak, asas kepada perjuangan anggota parti tersebut dewasa ini adalah Anwar Ibrahim. Aku kurang yakin jika Azmin Ali atau Mustafa Kamal Ayob dapat memimpin parti tersebut dengan baik jika salah seorang mereka memenangi kerusi timbalan presiden dan presidennya melepaskan jawatan atau mati. Kalau Zaid Ibrahim, lebih-lebih lagilah. Silap haruibulan, berkuburlah PKR selepas Anwar Ibrahim.

Tidak seperti PAS, jika pergi HJ. Hadi Awang atau Nik Azizi Nik Mat, rata-rata melihat bahawa PAS tidak ada masalah untuk diterajui oleh mana-mana pemimpinnya selepas mereka. Kekuatan PAS terletak pada agenda Islamnya.

PAS akan menjadi sebuah parti dominan satu masa nanti di kala UMNO sudah layu dan usang. Mahu terima atau tidak andaian ini, terpulanglah. Aku yakin bahawa masa depan PKR tidak secerah masa depan PAS. Namun, pemimpin PAS wajib bijak berpolitik dan tidak membanggakan diri.

No comments: