UMNO adalah parti yang membela hak orang Melayu. Demikianlah berkali-kali dia menegaskan. Lantaran UMNO membela hak orang Melayu, masyarakat Cina tidak menyukai UMNO. Secara tidak langsung, masyarakat Cina tidak menyukai Barisan Nasional. Dalam pilihanraya yang melibatkan UMNO atau mana-mana parti dalam komponen BN, masyarakat Cina punya kecenderungan untuk mengundi yang bukan BN. Itulah harga yang terpaksa dibayar oleh UMNO untuk perjuangan mengankat martabat bangsa Melayu!
Demikian dirumuskan.
Aku sukar menerima dakwaan bahawa UMNO memperjuangkan bangsa Melayu. Bangsa Melayu selama lebih 50 tahun berada dibawah pemerintahan BN yang diketuai UMNO tidaklah terbela. Yang terbela adalah kelompok Melayu elit yang berada dalam UMNO. Merekalah Melayu yang mendapat pembelaan melalui perolehan hak-hak ekonomi dan kedudukan politik dalam masyarakat. Masyarakat Melayu marhaen tetap sama sepertid dahulu juga. Yang miskin melarat, Melayulah paling ramai.
Di negeri Kelantan, rakyat Melayu adalah majoriti. Tetapi, negeri Kelantan dinafikan hak mereka untuk mendapat limpahan ekonomi hasil daripada gas yang dicarigali di persisir pantainya. Hanya semata-mata kerana negeri Kelantan diperintah PAS. Kalau UMNO pembela Melayu, peduli apa dengan siapa memerintah Kelantan. Rakyat Kelantan patut menerima royalti. Setelah kerajaan negeri Kelantan menuntut royalti, barulah kerajaan UMNO-BN bersedia membayar wang ehsan. Bertahun-tahun sebelum itu, mereka tidak terdetik pun untuk membela rakyat Melayu Kelantan.
Kebanyakan kakitangan kerajaan adalah orang Melayu. Bajet 2011 yang diumumkan baru-baru ini tidak memperuntukkan bonus sebulan gaji untuk kakitangan kerajaan dengan alasan kerajaan terpaksa membelanjakan lebih 3 bilion jika pemberian bonus tersebut dilaksanakan. Namun, kerajaan UMNO-BN sanggup pula memperuntukan jumlah besar daripada bajet tersebut untuk projek mega yang tentunya menguntungkan konglomerat bukan Melayu dan segelintir elit Melayu yang sudah kaya raya.
Selama lebih 50 tahun UMNO-BN memerintah, yang bertambah kaya hanyalah elit UMNO dan pemerintah. Rakyat merangkak memanjat kesenangan dengan kepayahan. Jangan didakwa perubahan rakyat Melayu dalam kehidupan itu adalah hasil perjuangan berfokus UMNO-BN untuk membela rakyat Melayu. dalam tempoh 50 tahun lebih, masakan orang Melayu akan kekal sebagaimana sebelum merdeka. Mana-mana bangsa pun berubah. Pantai pun berubah.
Tidak dinafikan bahawa UMNO-BN sebagai sebuah kerajaan telah melakukan sesuatu untuk pembangunan negara. Namun, untuk mengatakan ia pejuang Melayu, ia adalah terlalu skeptis dan rambang. Dalam banyak hal, UMNO-BN telah mengkhianati bangsa Melayu. Apatah lagi maruah Islam di bumi bertuah ini.
No comments:
Post a Comment