Aku seorang Melayu. Permainan congkak adalah saru permainan warisan bangsa Melayu. Nenek moyang Melayu di zaman dahulu suka bermain congkak. Seharusnya aku merasa bangga untuk mengangkat darjat permainan congkak. Tapi, minta maaf. Aku tidak suka main congkak. Zaman kanak-kanak dulu aku selalu main congkak. Congkak zaman kanak-kanakku menjadikan tanah sebagai tempat mengorek lubang-lubangnya. Lubang dikorek dengan menggubakan kulit gondang. Buahnya pula adalah biji getah.
" Main congkak tidak membangunkan minda, lebih baik main scrabble, sahiba, dam atau chess...", aku mengeluarkan pendapat ekstremku kepada murid-muridku. Pendokong jitu semangat Melayu mungkin marah kepadaku kerana permainan yang aku sebut tadi hampir semuanya tidak berasaskan tradisi Melayu.
"Wanita Melayu zaman silam menjadikan congkak sebagai permainan mereka, mereka bukan jenis perempuan maju dan berpelajaran. Masa mereka dihabiskan dengan permainan warisan yang tidak membangunkan minda...sebab itu, perempuan Melayu zaman dulu tidak sampai ke mana. Mereka dimomokkan pula dengan kata-kata "perempuan kalau belajar tinggi pun ke dapur juga",aku melontarkan pendapatku buat murid-murid.
Biarlah...demi mengangkat darjat akal bangsa kita, jangan ta'asub dengan semua jenis warisan nenek moyang. Pemainan-permainan warisan seperti congkak, gasing, wau, ketinting dan bermacam-macam permainan lihai dan santai lain tidak harus diutamakan. Galakkan murid-murid bermain mainan yang boleh mengangkat tahap berfikir mereka.
No comments:
Post a Comment