CARI BAHAN

Friday, December 31, 2010

Kuasa pengguna atau kuasa kerajaan?

Sekarang kerajaan sedang mengadakan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik kerana beg plastik dikatakan bahan yang tidak mesra alam. Beg plastik merupakan bahan yang sukar dilupus. Jika ia ditanam dalam tanah, ia tidak mudah reput. Jika dibakar, mencemarkan alam dengan asapnya. Jika dibuang bersepah, tentu sekali mencacatkan pemandangan.  Sebab itu, banyak sudah pasaraya yang tidak menyediakan beg plastik jika kita membeli belah pada hari minggu.

Kerajaan menggalakkan pengguna supaya menggunakan kuasanya untuk tidak menggunakan beg plastik. Jika ke Pasaraya, bawalah beg sendiri untuk isi barang.

Rakyat diseru menggunakan kuasa pengguna untuk menolak sesetengah barang. Ketika kempen jangan beli barangan Amerika, rakyat yang disuruh menolak barangan Amerika. Kerajaan meminta rakyat yang beli rokok dan kerajaan belanjakan berjuta ringgit setahun untuk menyedarkan rakyat agar jangan membeli rokok. Kini, kerajaan berbelanja lagi untuk menyedarkan rakyat tentang pentingnya mengurangkan penggunaan plastik.

Gara-gara menyerahkan kepada kuasa pengguna...Persoalannya, di mana pulak kuasa kerajaan untuk memelihara rakyat?

Bukankah mudah kalau kerajaan menutup sahaja kilang beg plastik. Tutup juga kilang rokok, arak dan semua kilangan barangan terlarang. Rakyat, bila barangan itu sudah tiada di depan mata, tidaklah dia tercari-cari. Biarlah rakyat yang ketegar sangat hendakkan barang itu kebulur.

Mana lebih bagus digunakan? Kuasa pengguna atau kuasa kerajaan?

Thursday, December 30, 2010

Tali benang itu tangkal

Anak seorang sahabat terikat seurat benang hitam di tangannya. Aku tanya benang apa itu. Katanya seorang ustaz telah membuat benang itu untuk anaknya selalu di bawa jalan jauh. Benang itu dipintal sambil dibacakan ayat-ayat Al-Quran. Ustaz itu memberitahunya bahawa sahabat itu sendiri boleh lakukan. Siapa sahaja boleh buat sendiri asal tahu kaedah dan bacaannya. 

Aku memberitahu sahabat itu bahawa benang itu adalah tangkal. Apapun cara membuatnya, bila digantung di badan dan mengharapkan manfaat atau mengelak mudarat dengan benang itu, tangkallah namanya. Jika kita mengatakan bahawa benang itu dibacakan ayat Al-Quran padanya, dan ayat Al-Quran itu dari Allah juga, maka akan datang kelak sekelompok yang menjadikan bahan-bahan alam sebagai penangkal dan mengatakan bahawa semuanya itu ciptaan Allah juga. 

Terdapat banyak hadis yang melarang pemaikaian tangkal di badan atau di mana sahaja. Setahuku tiada pula amalan nabi SAW yang boleh disandarkan keabsahan membuat tangkal dengan ayat-ayat Quran. Apa yang pasti, nabi hanya mengesahkan dibacakan ayat Quran kepada air untuk "syifa" sebagaimana yang dilakukan seornag sahabat yang membacakan Fatihah kepada air untuk mengubat seorang ketua kabilah.

Interlok dan Kasta

Kononnya buku rujukan untuk subjek Kesusasteraan Melayu bertajuk "Interlok", karya sasterawan negara Abdullah Huseein mengandungi tanggapan yang salah mengenai sistem kasta dalam masyarakat India. Ia akan memberi gambaran negatif mengenai masyarakat India dan masyarakat India hari ini tidak boleh menerimanya. 

Saya percaya mengenai apa yang digambarkan oleh Abdullah Hussein dalam karyanya itu benar wujud dalam kebudayaan masyarakat India. Seluruh dunia tahu bahawa dalam agama Hindu ada sistem kasta yang membezakan antara darjat manusia. Masyarakat terpelajar India hari ini tentu malu mengakuinya. Sebahagian orang India amat marah kalau dia dipanggil "Parriah" kerana ia adalah nama untuk kasta terendah dalam masyarakat India yang beragama Hindu.

Walau bagaimanapun, kecenderungan kelompok masyarakat India yang membantah buku "interlok " itu adalah satu petanda yang baik. Masyarakat India tidak lagi sudi menganut fahaman kejam ciptaan syaitan tersebut.

Wednesday, December 29, 2010

Elegen 150 cc

Hari ini aku melaksanakan keinginanku untuk membeli sebuah motosikal jenis Elegen 150 cc yang dijual  di syarikat Wee Maju, sandakan pada harga tunai RM7500.00. Antara beberapa pilihan motosikal yang ada aku tertarik kepada Elegen kerana ia jenis Scooter yang bersaiz lebih besar berbanding scooter Passion Modenas yang aku gunakan sekarang. Naik scooter lebih relax berbanding motosikal jenis kapcai. 

Alhamdulillah...Allah memberikan aku razeki. Semoga selamat sejahtera hingga ke akhirnya.

Tuesday, December 28, 2010

Allah yang menggerakan hatinya...

Alhamdulillah, Allah selamatkan rumahku sepanjang tempoh cuti sekolah hujung tahun 2010. Apabila aku kembali semula ke Sandakan, tiada apa-apa yang kurang di rumah sewaku. Cuma pintu pagar rumahku, kelihatan penyelaknya tidak sebagaimana asal. Dengan kata lain, seseorang telah masuk ke dalam kawasan pagar rumahku. Aku mengandaikan kemungkinan besar adalah pemeriksa meter elektrik SESB.

Keselamatan harta benda yang kita tinggalkan adalah terletak di tangan Allah SWT. Jika kita merenung beberapa kejadian kecurian yang berlaku, kita akan benar-benar memahami betapa Allah SWT yang mengatur hati sang mencuri hingga dia punya kecenderungan mencuri sebuah rumah dan tidak pada rumah yang lain. Tentu sekali Allah memiliki hikmah tersendiri untuk membencanakan seseorang atau sesebuah rumah dengan kecurian.

Ingatlah, ketika anda keluar dari masjid sekalipun, anda mungkin akan mendapati kasut anda hilang. Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa buat baik pun Allah tidak pelihara kasut anda. Yakinlah bahawa Allah maha bijaksana dan terimalah takdir itu dengan redha. 

Allahu akbar! alangkah lemahnya kita dan alangkah hebatnya Allah SWT...

Mencari yang halal jangan sampai mengharamkan.

Mereka tidak makan ayam yang dibeli di pasar. Masa kenduri kendara di kampung, jika ada acara siang dan cuci ayam untuk masak buat orang ramai, mereka tidak mahu terlibat kerana menganggap menyentuh ayam tersebut najis. Mereka cuma makan ayam HPA. Demikianlah apa yang aku dengar daripada sumber-sumber yang sampai ke telingaku mengenai tindakan beberapa individu yang tinggal di kampunmg itu. Apa yang dilakukannya itu memang baik. Usaha membersihkan diri daripada yang haram atau syubhat memang digalakkan dalam agama.

Cuma, jangan sampai ke tahap meyusahkan diri. Sesungguhnya perkara yang halal itu lebih banyak daripada perkara yang haram. Apa yang haram itu adalah apa yang diharamkan Allah. Selain itu halal belaka.Jika mampu menjauhkan diri daripada memakan sebilangan makanan halal atas alasan ia dicurigai mengandungi komponen haram, maka silakanlah. Namun, realitinya ramai yang kecundang dalam menegakkan hal yang tersebut.

Ibuku mendengar satu ceramah daripada seorang jurujual. Kata jurujual tersebut serbuk kari Allagapas ada kulit biawak. Ada serbuk kari dimasukkan abu mayat. Jurujual tersebut menawarkan pilihan produknya sebagai serbuk kari yang bersih dan suci. Aku katakan menuduh tanpa bukti adalah satu jenayah yang lebih keji daripada usaha menawarkan produk muslim yang suci. Islam tidak mengajar kita mereka-reka cerita.

Aku terfikir, berapa banyaklah biawak yang perlu diburu untuk diambil kulitnya buat campuran dalam kari? Apakah ada kegiatan memburu biawak atau membelanya untuk tujuan dimasukkan dalam serbuk kari? Apakah orang India sudi memberi abu mayat keluarganya yang telah mati untuk dikilangkan dan dimasukkan ke dalam serbuk kari?

Aku tidak percaya selagi belum dibawa fakta yang punya autoriti. Kajian daripada pihak berkuasa, misalnya.

Monday, December 27, 2010

Naik Turun adalah Sunnatullah

Sunnatullah, setiap benda yang naik akan turun. Seperti roda, satu ketika bahagian roda yang di atas akan turun ke bawah. Demikian sebaliknya. Berapa ramai pula orang yang dulunya hina kini jadi mulia. Dulu miskin kini kaya. Matahari, ia terbi nak naik ke angkasa. Nanti menjelang senja ia akan turun dan tenggelam. Malaikat pun naik turun dari langit. Nabi SAW naik ke langit malam Isra' dan Mikraj, akhirnya turun. Pendek kata naik dan turun adalah sunnatullah.

Bila bercakap pasal harga getah yang sedang naik melambung sekarang ini (RM7.00 sekilo), kita perlu ingat bahawa sampai masa ia akan jatuh.

Enam nasihat buat Ikmal

Aku berpesan memberi nasihat kepada anak saudaraku yang satu itu tentang enam perkara:

1) Jangan memakai gelang tangan, rantai leher dan benggo. Ia bukan corak berpakaian orang Islam. Ia juga bukan style orang Melayu.

2) Jangan merokok. Oleh kerana dia telah cuba-cuba merokok, hendaklah adalah tekad yang kuat untuk meninggalkan amalan yang sedang mengakar dalam dirinya itu.

3) Jangan derhaka kepada ibu. 

4) Jangan naik motosikal laju. Orang kampung tidak suka. Motosikal cepat rosak dna diri juga terdedah kepada resiko kemalangan.

5) Hendaklah berkawan dengan orang yang baik. Kawan yang jahat akan menjerumuskan ke jalan jahat.

5) Hendaklah menghormati emak dan bapa saudara kerana kedudukannya adalah sama seperti ibu bapa sendiri.

Semoga enam pesanan itu tertancap dalam mindanya sehingga dia boleh amalkan.



Apa Pas berikan kepada rakyat?

Perbincangan semalam di masjid Kampung Datuk hangat. Selepas solat Maghrib, aku duduk berbual dengan ahli jemaah masjid termasuk Affan, Mahkama, Jaafar dan En. Yaakob. Bermula dengan pandangan-pandangan mengenai hikmah di sebalik kenaikan harga getah yang melambung, apakah dia anugerah Allah kerana ketakwaan atau istidraj daripada Allah SWT. Kemudian, Sdr. Affan menimbulkan persoalan politik untuk direnungkan. Apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan PAS Kedah setelah berjaya menawan negeri Kedah daripada UMNO. Sdr. Affan merugut kengenai kurangnya program memakmurkan masjid sekalipun negeri Kedah telah diperintah oleh PAS.

Apakah yang PAS telah ebrikan kepada rakyat? Itulah soalan provokasi yang Sdr Affan bentangkan. 

Aku memberi pandangan bahawa PAS memberikan ketelusan dan amanah kepada rakyat. Itulah yang paling utama. Namun, apa yang Sdr. Affan inginkan adalah pembangunan kerohannian yang membezakan pemerintahan PAS daripada UMNO. Abang iparnya, Sdr. Mahkama menekankan bahawa kerajaan PAS tidak berusaha menegakkan kalimah tauhid kerana menjaga hati rakan pakatan.

Aku berpandangan bahawa politik adalah siasah yang memerlukan kebijaksanaan dan tidak boleh ditadbir  dengan kegelojohan. Kataku, aku boleh bersabar dengan kelambatan program PAS dalam menancap Islam di bumi Kedah kerana PAS harus diberi peluang.

Gelagat

Barangkali, pada perasaan pasangan itu, "dunia aku aku yang punya". Di KLIA, terdapat beberapa pasangan yang berpelukan di pintu masuk balai berlepas. Orang lalu lalang melihat gelagat mereka. Kalaupun mereka adalah pasangan yang sudah berkahwin, kelakuan sedemikian adalah menyolok mata dan tidak sayugia dilakukan di khalayak. Kalau mereka pasangan yang belum berkahwin, tentu gelagat itu sangat memalukan dan bertambah dua kali ganda.

Inilah jadinya bila manusia hilang rasa malu dan perasaan kehaiwanan merajalela dalam diri.

Perjalanan pulang ke Sandakan

Hari ini, jam 9.25 pagi aku naik penerbangan Mas dari Alor Setar ke Kuala Lumpur bersama isteri dan anak. Seawal jam 7.30, kami dihantar oleh keluarga. Terasa sayang untuk meninggalkan kampung setelah lebih 2 bulan bercuti. Bayak perkara yang menjadi memori indah yang melekat dalam ingataku selama di kampung. Jalan dari Barokhas ke kampung Datuk yang aku ulang alik sampai 3 kali sehari dengan kereta Kancilku tentu tidak lagi akan mendegar deruman Kancilku itu. Rancnagan hendak ke Hat Yai cuti baru-baru ini tal kesampaian kerana sudah kesuntukan waktu. Paling sendu adalah meninggalkan ibuku dan juga ibu ayah mentuaku.

Namun, panggilan Sabah telah berkumandang. Entah bagaimanalah rumah sewaku di sana dan bagaimanalah keretaku dan hartaku yang kutinggalkan. Bagaimanalah pula teman-teman sejemaah yang kutinggalkan. Mudahan semuanya elok sejahtera. Menjelang senja hari ini, aku akan sampai.Insya Allah....

Saturday, December 25, 2010

Majlis bubur Asyura

Kehadiranku ke majlis makan bubur Asyura di rumah Paklang Sor malam kemarin amat bermakna untuk sepanjang aku berada di kampung. Selepas menjamu selera dengan makan nasi yang disediakan dan kemudiannya disusuli dengan makan bubur Asyura, Paklang Sor meminta aku menyampaikan tazkirah. Aku bertanya apakah sudah menjadi budaya baru kenduri-kenduri di kampung Datuk akan diselitkan dengan tazkirah. Kata Paklang Sor . tidak. Cuma, dia mahu aku menyampaikan tazkirah.

Lalu aku pun menyampaikan tazkirah mengaitkan 10 Muharam dengan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah. Banyak juga ideaku apabila mengulas hal tersebut. Aku menyentuh juga soal cerita-cerita Israeliyyat dan aku menyifatkan perkaitan bubur Asyura dengan nabi Nuh A.S adalah sebuah cerita Israiliyyat. Sambil membawakan beberapa contoh cerita Israeliyyat, aku memperingatkan yang hadir agar berhati-hati ketika menerima cerita-cerita yang disampaikan.

BN Menang Kedah Senang???

Ketika aku melintas di depan pejabat UMNO Kota Setar kawasan parking MBAS, tertera di depannya satu selogan yang aku kira baru dipasang sejak negeri Kedah diperintah oleh kerajaan PR diketua PAS. " BN Menang Kedah Senang". Demikianlah bunyi selogan baru itu. Sekali baca rasa macam nak ketawa. Ditenung-tenung, naik rasa meluat dalam hatiku.

Tak malu sungguh mereka yang menulis selogan itu. Semua orang tahu bahawa negeri Kedah tidak pernah terlepas daripada UMNO sejak merdeka. Hanya pilihanraya 2008 negeri Kedah jatuh ke tangan PAS. Selama UMNO memerintah Kedah, apakah Kedah senang? Lihat sahaja Menteri Besar Mahazir Khalid, baru jadi menteri besar tak sampai sepenggal dah bina rumah besar di Naka. Rumah siap tak sempat nak duduk, takut di siasat, diistiharkan rumah ntersebut sebagai pusat Komuniti. Sampai sekarang tidak kegiatan komuniti setempat di sana.

Peneroka Tanah yang telah mengusahakan tanah di mana-mana tidak mendapat geran hak milik. Tiba-tiba muncul seseorang mengaku dia pemilik sah tanah tersebut dan dia mempunyai geran. Berapa banyak tanah yang berdepan dengan masalah sebegini. Ini gara-gara pemerintahan UMNO yang main kayu tiga dalam soal memberi geran kepada individu terpilih.,

Rakyat susah dengan sebab angkara durjana pemimpin UMNO sebegini! 

BN menang barang naik. Selogan itu rasanya lebih tepat untuk dipampang di depan pejabat UMNO Alor Setar itu.

Friday, December 24, 2010

Itu Perlis punya pasal

Sebagai respons kepada pendedahan yang dibuat oleh mufti negeri Perlis, Dr. Juanda Jaya yang menafikan wujudnya kesepakatan dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung isu orang bukan Islam menjadi peguam Syar'ie, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengatakan "itu Perlis punya pasal". Apabila demikian jawapan Harussani, maka tidak menjadi salah pula kalau ada orang mengatakan "itu harussani punya pasal". Penolakan terhadap hujah seseorang hendaklah dibuat dengan hujah. Ia tidak boleh dibuat secara simplistik dan muktamad. Orang zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu lagi. Orang zaman sekarang menuntut hujah kerana zaman sekarang orang sudah berpendidikan. Agama telah merata di segenap cerok negeri. Alhamdulillah!

Mendapat A dalam peperiksaan mudah.

Keputusan peperiksaan PMR baru-baru ini memperlihatkan ramai murid yang mendapat 8A. Di Sekolah Menengah Datuk Syed Ahmad sahaja, 31 orang calonnya dikatakan berjaya meraih 8A termasuk yang mendapat 9A bagi aliran Agama. Ketika bersembang dengan ustaz Razali, penolong Kanan Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah (sekolahku dahulu), seorang murid mendapat 8A. Kalau di zamanku dulu, masyhurlah kalau dapat keputusan begitu. Namaku pernah masuk surat khabar ketika mengambil peperiksaan SRP dan mendapat keputusan cemerlang 5A. Itu pada tahun 1991 ketika subjek SRP hanya 5 matapelajaran sahaja.

Apakah murid-murid hari ini lebih cerdik atau soalan peperiksaan kian mudah? Inilah persoalan yang timbul untuk direnung sejenak?

Kalau nak kata murid-murid lebih cerdik pun ada benar juga. Kalau dulu, di kampung-kampung, yang ambil peperiksaan rata-rata adalah anak petani, penoreh dan nelayan. Kini, ramai sudah kakitangan awam termasuk para guru yang pulang bermastautin di kampung. Anak-anak mereka yang banyak mempamerkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan . Kemudahan pun banyak sekarang. Perpustakaan ada di mana-mana. Tidak cukup dengan perpustakaan di sekolah, ada pula perpustakaan awam di kampung-kampung. Internet pun mudah didapati untuk menjadi sumber pengetahuan. Tuisyen pula ada di mana-mana. Jauh beza dengan zamanku dulu.

Tapi kalau nak kata soalan makin mudah pun ada benar juga. Mula tahap kemampuan murid sudah meningkat, soalan yang dulunya susah, akan dilihat mudah. 

Walau bagaimanpun, tahniah kepada murid-murid yang berjaya mempamerkan kecemerlangan dalam peperiksaan PMR. Teruskan usaha untuk kecemerlangan dalam peperiksaan SPM. Yang lebih penting daripada semua peperiksaan itu, pastikan mendapat A dalam semua subjek akhirat.

Thursday, December 23, 2010

Hutang-hutang yang tak berbayar.

Apakah hukumnya sekiranya bilal yang mendapat elaun darpada kerajaan untuk bertugas sebagai bilal di masjid tidak datang bertugas melaungkan azan di masjid? Seorang ahli jemaah menimbulkan persoalan tersebut sewaktu kami bermual-bual di luar masjid. Kami sedang berbincang mengenai masalah kurangnya warga desa yang hadir solat berjemaah. Perbincangan itu membawa kepada persoalan tanggungjawab petugas-petugas yang telah dilantik dan diberikan elaun atas tugasan mereka. Realiti yang berlaku di kampungku, bilal hanya datang bertugas seminggu sekali iaitu hari Jumuat.

Justeru, bagaimana kedudukan wang elaunnya? 

Aku memberikan pandanganku. Sebagai seorang guru di sekolah, jika aku tidak hadir ke sekolah atau hadir tetapi tidak mengajar, maka tentunya wang gajiku adalah haram. Situasi yang sama juga harus ditimpakan kepada imam, bilal dan siak masjid yang telah diberikan elaun untuk bertugas memakmurkan masjid Allah. Imam bertanggungjawab untuk datang setiap waktu dalam sehari untuk melayakkan dia menerima elaun yang halal setiap bulan. Bilal pula wajib datang melaungkan azan setiap waktu untuk melayakkannya menerima elaun yang halal setiap bulan. Demikian juga siak, wajib datang memastikan kebersiahan masjid untuk memastikan elaunnya halal setiap bulan. Jika tidak, maka elaun yang diterima adalah wang haram.

Ada yang mendakwa, ia bukan gaji, hanya elaun. Perlu diingat bahawa jika setiap bulan dibayar, maka hukumnya samalah dengan gaji. Elaun atau gaji hanya persoalan nama. 

Aku melanjutkan dengan satu andaian. Sesiapa yang melaungkan azan di masjid sedangkan bilal tidak berperanan, maka bilal itu berhutang dengan orang yang melaungkan azan itu. Demikian, jika seorang menjadi imam solat, sedangkan imam yang dilantik lepas tangan, dia berhutang dengan hamba Allah yang mengimamkan solat tersebut. Jika orang merugut tentang ketidakbersihan masjid dan dia membersihkan masjid yang mana tugas itu sepatutnya dijalankan siak, maka siak berhutang dengan orang itu.

Alangkah banyaknya hutang-hutang yang perlu dibayar oleh imam, bilal dan siak yang gagal menjalankan tugas. Makanlah elaun yang kalian dapat setiap bulan sehingga buncit perut tanpa melakukan tugas yang diamanahkan. Takutilah pengkhianatan terhadap amanah. Jika tidak sangguo memikul amanah, lepaskan amanah itu demi keselamatan di akhirat. Jangan serakah terhadap pamrih dunia yang sedikit nilainya itu.

Kerana mereka terlalu memerhatikan babi.

Kenapa banayak komponen babi diekstrak antara nya untuk tujuan perubatan? Berbanding haiwan lain, babi kelihatan binatang seribu guna. Dari dagingnya, tulangnya, lemaknya, hatta kulit dan bulunya dimanfaatkan. Mengapa tidak berlaku kepada binatang halal seperti lembu, unta dan sebagainya?

Aku tertarik dengan hipotesis seorang anak muda sewaktu aku berbual dalam satu kumpulan orang kampung dengannya di bawah pokok rambutan depan rumah Wa Chad, kampung Barokhas. Katanya, akibat daripada pengharaman Al-Quran terhadap babi, orang-orang kafir, khasnya dari negara Barat, membuat kajian terhadap babi. Tujuan mereka adalah untuk mencari dalil-dali balas bagi menafikan dakwaan Al-Quran. Kerana terlalu banyak mengkaji tentang babi, akhirnya mereka memaksimakan tumpuan terhadap babi hingga mereka boleh melahirkan faedah daripada babi.

Mereka tidak mengkaji dengan bersungguh-sungguh pada unta sebab itu unta kurang di manfaatkan selain tujuan-tujuan klasiknya. Orang Islam tidak punya minda seperti orang putih yang suka mengkaji. Orang putih mengkaji dengan tujuan jahat untuk menentang Al-Quran namun meeka menemui rahmat di sebalik kajian mereka. Mereka dapat membongkar banyak ilmu dari kajian dan renungan mereka.

Wednesday, December 22, 2010

Janji 100 hari diperlekah.

"Kita pelik bagaimana Perdana Menteri dan timbalannya mengatakan bahawa janji Pakatan ini diluar kemampuan kerajaan.

"Untuk memberikan imbuhan RM500 kepada guru-guru tidak ada kemampuan, tetapi membina menara warisan berharga RM5 bilion mereka mampu. Malah memberi RM500 juta seorang kroni sebagai komisyen pembelian kapal selam BN mampu lakukan.

"Begitu juga BN mampu berikan subsidi sehingga RM20 bilion untuk IPP (penjana tenaga bebas), tetapi untuk rakyat dikurangkan," kata Ust Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Sakit betul hatiku bla baca kenyataan ini. Bukan sakit hati kepada Ust  Tuan Ibrahim Tuan Man, tapi sakit hati kepada kerajaan UMNO-BN yang banyak menipu rakyat. Mengkhanati amanah yang rakyat berikan. Ya Allah! percepatkan keruntuhan kerajaan yang khianat itu!

Tuesday, December 21, 2010

Apa nak bangga dengan pemerintahan Malaysia ini?

Aku rakyat Malaysia dan sayangkan negara tumpah darahku ini, Tapi, dalam beberapa hal aku rasa kesal dan malu dengan negaraku Malaysia. Semuanya gara-gara gaya pengurusan negara yang dikendalikan oleh kerajaan UMNO-BN yang korup dan memeras rakyat. 

Aku mahu sebutkan beberapa bukti hasil pemerhatianku semasa mengunjungi Selatan Thailand baru-baru ini.

1) Jalan raya di Malaysia tidak berkualiti dan sering rosak. Sudahlah begitu, sempit pula. Berbeza dengan jalan raya di Selatan Thailand, cantik dan lebar. Cukup selamat untuk memandu. Sebab itu, tak hairan kenapa orang yang mati kemalangan di Malaysia berada pada paras lebih tinggi berbanding negara Thailand.

2) Di Selatan Thailand aku tidak menemui apa yang dikatakan bayaran TOL. Jalan raya dilalui dengan percuma. Sudahlah jalannya cantik, kerajaan tak pungut bayaran untuk menggunakannya. Bayaran untuk insuran kereta aku bayar di sempadan sebanyak RM25.00. Dari bualanku dengan orang di sana, aku mendapat tahu bahawa untuk ke Bangkok dengan perjalanan naik kereta selama 16-18 jam, tidak ada satu pun sekatan TOL didirikan. Alangkah beruntungnya berjalan melancong di Thailand. Alangkah susahnya menggunakan jalanraya bdi Malaysia. Kerajaan kedekut dan haprak. Tak pandai cari duit cara lain. Lebih memalukan, sewaktu kita masuk ke Thailand, tak ada bayaran TOL dikenakan. Tapi, jika anda masuk ke Malaysia melaui Bukit Kayu Hitam, selepas diperiksa "border pass", anda dikenakan untuk bayar TOL. RM3.60 untuk kereta biasa. Untuk Lori dan bas pula ialah RM7.00.

3) Malaysia nak bangga apa dengan tahap internet di negera ini. Saya melanggan internet melalui Telekom Malaysia dengan pakej 1 mbps dan bayaran sebulan adalah RM110. Seorang pelanggan internet di Thailand memberitahuku bahawa kelajuan internetnya adalah 6 mbps dan bayarannya adalah RM60 sebulan. Rasa macam nak menyumpah syarikat pembekal internet di Malaysia ini!

4) Harga getah skrap di Malaysia kini adalah RM6.50. Namun di Thailand pula ialah RM7.00. Cuma, kerajaannya membuat potongan RM10.00 untuk setiap RM100.00. Tetapi, perbezaan harga itu membayangkan bahawa harga pasaran bukanlah dipatuhi sangat oleh pihak kerajaan kalau untuk rakyat. Tapi, kalau untuk penguasa, harga pasaran selalu didendangkan!

Kembara ke Selatan Thailand menyedarkan aku hakikat yang disembunyikan pihak pemerintah!

KH KOPI

Hari ini, ketika aku berjalan-jalan di Pekan Selasa, Kuala Nerang, aku singgah sebentar di sebuah gerai yang menjual minuman herba yang dipanggil KH KOPI. Sebenarnya, aku mula mendengar tentang khasiat minuman tersebut sejak beberapa minggu yang lalu lagi daripada penjual ubat yang membuat roadshow bersama Tabib Norhisham di stesen bas Kuala Nerang yang berlangsung beberapa malam di situ. Namun, aku tidak tertarik dengan celoteh penjual ubat yang petah berbicara itu. Kopi yang sama aku temui dijual oleh penjual yang tidak banyak cakap di Pekan Selasa hari ini.

Untuk satu botol harganya adalah RM20.00. Kata si penjualnya, kesan minum kopi tersebut, kita akan berak tahi hitam berminyak dan berbau busuk yang kuat menunjukkan pembuangan toksid dan kolestrol daripada usus. Lalu aku beli satu. Sekadar mencuba. Tak salah mencuba minuman herba kerana minuman herba terkenal dan diamalkan oleh banyak masyarakat dalam dunia.

KH KOPI.

Safar Usari: Yala (Bhg 1)

Rancangan untuk menyemberang sempadan masuk ke Siam dibuat secara sepontan. Aku tidak merancang untuk ke sana kerana dalam kepalaku ada rancangan perjalanan yang lain. Aku bercadang mahu ke Kelantan melalui jalan Grik untuk melawat di samping menziarah sahabat-sahabat di sana. Namun, disebabkan hujan yang asyik turun tak menentu di samping tidak berapa yakin dengan tahap keselamatan keretaku bagi perjalanan jauh, aku menangguhkan perjalananku ke sana. Sebenarnya, keretaku tidak tidak pernah pun menimbulkan masalah. Cuma, disebabkan ia adalah kereta yang asalnya kubeli “secondhand”, aku kurang selesa berjalan jauh dengannya.

Tiba-tiba timbul cadangan dari isteriku untuk masuk ke Selatan Thailand menziarahi keluarga ayahnya di sana.  Cadangan tersebut akhirnya menjadi rancangan yang dibincangkan dan terus mahu dilaksanakan. Aku, isteri dan anak pergi ke Durian Burung (sempadan Malaysia-Thailand yang baru di buka) untuk menguruskan ‘Border Pass’. Setiap orang perlu menyediakan 2 keping gambar berukuran passport dan satu ‘border pass’ boleh dimasukkan 6 penama. Bayarannya adalah RM10.00.

Di pihak keluarga isteriku (ayah dan emak mentua, kak cik, Naimah, suami serta anak-anaknya) masing-masing telah menguruskan “border pass”. Hari yang dirancangkan untuk menyemberang sempadan adalah tanggal 18 Disember dan aku bermalam di rumah keluarga bapa mentuaku di Yala. Kemudian 19 Disember akan melancong ke Hat Yai dan kemudian akan kembali semula ke Malaysia sebelum malam.


Pada hari yang ditentukan, kira-kira jam 9.30 Pagi kami bertolak ke Durian Burung melalui jalan Pedu-Durian Burung. Ia merupakan jalan yang baru siap dibina. Malangnya, ketika sudah sampai ke gerbang sempadan, aku diberitahu oleh ayah mentuaku bahawa geran kereta perlu ditujukkan di bahagian dalam sempadan kepada pihak imegresen Thailand. Mahu tak mahu aku terpaksa pulang semula ke kampung untuk mendapatkan geran. Jarak antara kampungku ke Durian Burung jauh juga. Aku agak sekitar 40KM.


Dapat geran aku kembali semula ke Durian Burung. Jam 11.15 baru kami bergerak melepasi pintu sempadan. “Border Pass” perlu ditunjukkan di pintu Sempadan yang dikawal oleh imigresen Malaysia. Di bahagian Thailand, jalannya masih sedang dibina. Bangunan-bangunan yang aku kira akan dijadikan kompleks membeli belah sedang dalam pembinaan. Kami mendapatkan cop untuk “border pass’ di tempat yang disediakan.  Di situ juga insurans kereta perlu diperolehi daripada pihak berkuasa Thailand dengan bayaran RM25.00.

Masuk ke Thailand, melalui jalan tanah merah berlumpur (kebetulan hujan turun semalam), kami melalui kawasan berkebun getah di kri dan kana.  Tidak jauh, kami menemui jalan beraspal dan penanda jalan betulis tulisan Siam. Mujur ada juga tulisan Roman di bawahnya. Kami menuju Na Thawi. UNtuk sampai ke sana jaraknya sekitar 30KM. Dari Na Thawi, kami mengambil jalan ke sebelah Kanan menuju ke Ban Lam phlai. Dari sana kami mengambil jalan menuju ke Jaha-Jala.Jalannya jauh dan berliku melalui kampung-kampung yang berbagai-bagai namanya. Kampung-kampung di sana diawali dengan kata “Ban”. Pos kawalan tentera terdapat sepanjang perjalanan. Di pos kawalan tentera, terdapat kubu yang yang bersusun dengan beg hitam berisi pasir. Mungkin sebagai langkah mengawal ancaman gerakan yang menuntut kemerdekaan wilayah selatan Thailand. 


Masuk waktu Zohor, singgah di sebuah masjid pinggir jalan. Nama masjid itu adalah masjid Asin Jaha-Jala. Di situ kami solat dan makan tengahari. Jemaah masjid tersebut peramah dan bertanya maksud perjalanan kami. Mereka juga menujukkan kepada kami 2 kesan tembakan askar Siam ke dinding masjid kira-kira 2 tahun yang lalu. Kejadian itu, menurut seorang ahli jemaah yang bernama Hj. Yahya, berlaku 5 minit sebelum masuk Subuh. Motif tindakan mereka lebih kepada provokasi dan melepaskan geram. Kini kesan peluru itu dibiarkan untuk dilihat oleh sesiapa yang singgah di masjid itu.


Setelah selesai makan tengahari daripada bekalan yang kami bawa, kami meneruskan perjalanan. Perjalanan menuju ke Yala. Aku melihat garmin dalam handphoneku. Nampaknya garmin kurang berfungsi dan banyak jalan-jalan tidak termasuk dalam peta. Hanya Bandar-bandar utama sahaja ada dalam peta. 


Yala merupakan sebuah Bandar yang sederhana. Tiada menara tinggi tapi banyak pusat-pusat perniagaan dan lalu lintas juga sibuk. Kami tidak singgah dan hanya melintas sahaja. Beberapa kali ayah mentuaku bertanya kepada orang di sepanjang perjalanan. Kami hanya mengikut sahaja sebab hanya dia yang tahu destinasi kami. Katanya dia mahu ke Raman tetapi ingat-ingat lupa tentan jalannya. Akhirnya kami jumpa Pekan Raman dan di sana kami mengambil satu jalan kampung yang kiri kanannya banyak sawah padi. 


Akhirnya kami sampai di sebuah kampung dan kami berhenti di sebuah rumah tepi jalan. Ada kedai makan di bahagian depannya. Rupanya itu adalah rumah kerabat ayah mentuaku.  Aku diberitahu itu adalah rumah Makda Rokiah. Kami dibawa bertandang ke bahagian belakang. Ada sungai kecil di belakang di mana dia membina balkoni yang santai dan redup. Minuman dan biskut dihidangkan dan kami menikmati hidangan yang disediakan. 


Setelah puas bercerita tentang perjalanan kami, kami meneruskan perjalanan  dan tidak berapa jauh kami sampai di sebuah rumah lain. Juga di pinggir jalan. Dua buah rumah berdekatan. Salah satunya Nampak agam seperti banglo mewah. Aku mendapat tahu kemudiannya bahawa kampung pertama kami singgah tadi adalah kampung Pulai dan kampung kedua ini pula ialah kampung Membala.


Di situ kami berkenalan dengan Pak Ngah Husin dan Makngah Fatimah. Rumah sebelahnya, yang agama itu milik Makcik Ummi Kalthum. Suaminya tiada di rumah kerana dalam perjalanan membawa rombongan perkawinan ke rumah mempelai lelaki di Johor yang bertemu jodoh dengan mempeleai perempuan di Yala.
Kami bermalam di rumah Pak Ngah Husin dan Mak Ngah Fatimah serta rumah Makcik Ummi Kalthum.

Pejuang POLO

Aku bertanya Pak Ngah Husin tentang pejuang kemerekaan Selatan Thailand yang duklu terkenal dengan POLO, di manakah mereka sekarang. Katanya mereka tinggal dalam kampung-kampung sebagai rakayt biasa. Mereka tidak berada dalam hutan untuk menyusun perang gerila kerana cara itu memudahkan pihak tentera Thailand mematahkan gerakan mereka. Dengan duduk bersama orang awam, tinggal dalam kampung-kampung dan bertindak saat diperlukan, menyukarkan tentera Thailand mematahkan mereka.

Mereka menyembunyikan senjata mereka dalam tanah. Dengan menggalikan lubang dan ditutupkan dengan penutup berlapis rumput, senjata mereka selamat dalam simpanan.

Bercakap tentang kekejaman tentera Thailand terhadap rakyat Melayu Islam hanya selamat dan meyakinkan kalau di siang hari. Kalau malam hari, perlu waspada kerana terdapat talibarut yang berkeliaran.

Wilayah atau Wakalah?

Kalau walayah, hanya kepada orang yang beragama Islam. Hal ini telah ditegaskan dalam banyak ayat Al-Quran yang melarang kita memberikan walayah kepada bukan Islam. Justeru, apakah memilih calon-calon bukan Islam dalam pilihanraya itu merupakan walayah? Kalau walayah, menjadi haramlah.  Berdosalah sesiapa yang memberikan undi kepadanya. Keadaan menjadi jelas sulit bagi kawasan pilihanraya yang dipertandingkan kalangan calon-calon yang bukan beragama Islam. Bagaimana keadaan pengundi Islam di dalamnya?

Justeru, persoalan walayah ataua wakalah perlu dijawab dengan telus. Kalau wakalah, syarat sebagai Islam tidak ada. Dalam banyak keadaan, nabi SAW sendiri mewakilkan sesuatu urusan kepada orang kafir. Demikian juga para sahabat. Para ulama mutaqaddimin telah mebahaskan hal ini dan jumhur mereka merumuskan bahawa wakalah adalah sah di kalangan orang Islam dan kafir.

Persoalan melantik peguam syar'ie dari kalangan bukan Islam, apakah ia persoalan wilayah atau wakalah. Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan sebulat suara memutuskan hanya peguam muslim sahaja yang layak menjadi peguam Syar'ie (walaupun mufti Perlis secara terbuka menafikan wujudnya konsensus) telah meletakkan persoalan melantik peguam di mahkamah Syariah adalah persoalan walayah. Itulah sebabnya peguam bukan Islam diharamkan beramal di Mahkamah Syariah.

Mufti Perlis menyifat sandaran dalil yang digunapakai tidak kukuh untuk mengharamkan peguam Syari'e bukan Islam. Ternayata kalangan mufti pun tidak mahir menggunakan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis untuk mengistinbatkan hukum. Beginilah jadinya kalau Nas Al-Quran dan Hadis dijadikan pak turut kepada maqasid syariah.  

Monday, December 20, 2010

Jalan Raya Selatan Thailand

Apa nak dibanggakan dengan jalan raya yang dibina oleh kerajaan Malaysia untuk kemudahan rakyatnya. Lebih-lebih lagi kalau jalan raya itu adalah lebuh raya. Di sana-sini didirikan Tol untuk memeras poket rakyat. Semua kerajaan dalam dunia ini membangunkan infrastruktur untuk kemudahan rakyat. Kerajaan komunis sekalipun melaksanakan tanggungjawab itu.Malah, apa yang mereka buat untuk rakyat lebih baik daripada apa yang Malaysia buat untuk rakyatnya.

Apa nak bangga dengan jalan raya di Malaysia? Lopak di sana sini kerana jalan pencah. Bila dibaiki., ia hanya tampungan yang mencacatkan di sana sini. Entah mengapa kualiti jalan raya di Malaysia begitu rendah. Kalau jalan di kampung-kampung, sudahlah kecil, mudah pula rosak.

Selatan Thailand lagi baik. Jalannya lebar dan tidak ada lopak berlubang sebagaimana jalan raya di negaraku. Sedangkan, kita maklum semacam apa Selatan Thailand itu di mata kerajaan Siam. Kedudukan di mana bangsa Selatan Thailand itu di mata kerajaan Thailand. Namun, jalan rayanya ku cukup puji.

Sunday, December 19, 2010

Mohammad Hibban

Mohammad Hibban adalah seorang guru sekolah di bawah kerajaan Thailand yang terletak di Yala. Katanya dia sudah lama mengajar dan kini dalam cuti, namun sudah menjadi kebiasaan di Thailand, guru-guru tidak bercuti pada masa murid bercuti. Mereka dikehendaki menghadiri kursus. Mohammad Hibban  bertukar pandangan denganku mengenai perkembangan pendidikan di Malaysia dan Thailand. Beliau menganggap pendidikan di Malaysia lebih maju berbanding di Thailand. Sekolah di Thailand lebih banyak membuang masa dengan membebankan guru-guru dengan kerja-kerja pengkeranian dan masa belajar murid menjadi terencat. Aku menyatakan bahawa realiti di Malaysia juga tidak jauh beza.

Mohammad Hibban, bebaju Kot.

Abisit dan Thaksin

Pemerintahan Abisit lebih disukai oleh masyarakat Islam Selatan Thailand berbanding pemerintahan Thaksin. Daripada cerita-cerita yang aku dengar, pada zaman Thaksin, pemerintah bermain golok mata dua. Di siang hari memujuk rakyat Islam dengan kebaikan tetapi di malam hari mereka menikam rakyat Islam. Thaksin tidak boleh dipercaya. Puak "baju merah' yang hari ini menjanjikan autonomi kepada rakyat Selatan Thailand sebagai manifesto pilhanraya yang dijangkakan sekitar bulan April atau Mei tahun hadapan tidak diyakini oleh sebahagian rakyat Islam berdasarkan rekod buruk Thaksin.

Masjid Zadul Ma'ad

Masjid Zadul Ma'ad terletak di pinggir rumah Pak ngah Husein dan Mak ngah Fatimah. Ia merupakan sebuah masjid yang dibina hasil sumbangan orang ramai dan di atas tanah yang sebahagiannya merupakan waqaf daripada gemulah ayah kepada Mak Ngah Fatimah.Di masjid itulah Pak Ngah Hussein dan Mak Ngah Fatimah menunaikan ibadat solat jemaah lima waktunya dan menimba ilmu dari kelas-kelas pengajian. 

Alhamdulillah, bai'ah yang ada di sini sunguh baik untuk menyemai taqwa.  Semoga kampung ini aman sentosa selamanya. Kampung Mambala Tua.



Masjid Zadul Ma'ad

Rumah Adik Mak Ngah Fatimah, Maksu Ummu Kalthum.

Saturday, December 18, 2010

Masjid Asin Jaha, Jala.

Masjid Asin Jaha, Jala terletak di pinggir jalan. Kami singgah solat Zohor di masjid tersebut di samping menikmati bekalan makanan yang kami bawa bersama. Para jemaah yang solat di masjid tersebut peramah dan banyak bertanya khabar dan berceerita. Tanpa dipinta mereka menceritakan tentang apa yang berlaku terhadap masjid Asin kira-kira 2 tahun yang lali. Dua das peluru ditembakkan ke arah masjid kira-kira 5 minit sebelum Subuh. Satu pelurunya mengenai dinding bahagian atas dan meninggalkan kesan lubang besar. Manakala satu peluru lagi mengenai tiang menara menyebabkan terdapat kesan retakan di sana. Tembakan tersebut dilepaskan oleh tentera Siam di zaman Thaksin. Kejadian tersebut berlaku setelah mereka melepaskan tembakan ke markas Dakwah Tabligh yang terletak tidak jauh dari situ.

Aku sempat merakamkan beberapa keping gambar kenangan di masjid Asin untuk menjadi bukti kebejatan pasukan bersenjata Thai yang dibualkan kalangan penduduk.


Pakcik Abd Rahman dan Hj. Yahya

Lubang kesan tembakan di dinding masjid.
Kesan peluru di tiang menara masjid.






Catatan Di Yala

Aku menulis posting ini ketika berada di Yala, Thailand, di  sebuah rumah kerabat keluarga isteriku.  Setelah melalui perjalanan yang jauh kerana mencari-cari tempat yang di tuju, kami sampai ke sini. Pekan terdekat adalah pekan Raman. Kampung ini dipanggil Ban Pulai. Kerabat keluarga isteriku itu adalah anak-anak kepada seorang lelaki yang berasal dari Kedah bernama Wahab. Zaman dulu, dia telah datang ke Yala dan belajar di pondok sekitar Selatan Patani. Kemudian dia ditakdirkan bertemu jodoh dengan seorang gadis Yala dan bernikah. Oleh itu dia menetap di sini dan dikurniakan Allah razeki yang melimpah ruah. Dia memiliki tanah-tanah yang banyak pula. 

Seterusnya dia beranak 3 orang iaitu Maklung..., Makngah Fatimah dan Maksu.... Kini mereka bertiga telah beranak pinak pula. Hubungan 3 mereka itu dengan ayah mentuaku adalah sepupu.


Baca 7 Kali, sunnahkah ia?

Menjadi kebiasaan bagi kebanyakan masjid di negeri Kedah, selepas selesai solat Jumuat, akan dibacakan surah Fatihah. Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan surah An-Nas masing-masing 7 kali. Ketika aku solat Jumuat di masjid Zahir iaitu masjid Negeri Kedah di Bandaraya Alor Setar hari ini, demikianlah yang kudengar imamnya bacakan. Di masjid kampungku, begitulah diamalkan sejak dahulu hingga kini.

Dahulu, masa zaman Al-Marhum imam masjid kampungku masih ada, dia pernah bercerita daripada apa yang dia dengar dari gurunya. Orang yang pertama keluar daripada masjid pada hari Jumuat sebelum sempat selesai wirid-wiridnya adalah seperti "bapa Syaitan". Entah daripada mana gurunya mengambil petua itu, tiudaklah aku tahu. Namun, aku tidak pernah percaya petua sebegitu dari dulu hingga sekarang.

Berkanaan membaca surah-surah tersebut serba 7 kali dengan fadhilat tertentu itu, apakah ia bersandarkan amalan nabi dari Hadis yang saheh? Kalau tidak, apalah ertinya ia diamalkan. Insya Allah, akan aku perturunkan di sini nanti mengenai kedudukan sunnah membaca surah-surah tersebut sebanyak 7 kali sesudah Jumuat.

Kesalahan metodologi hukum

Tuduhan berfahaman pluralisme terhadap TG Nik Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim dan golongan yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh kaum kafir, membenarkan mereka masuk ke masjid, membaca Quran dan menghadirkan diri ke majlis mereka adalah berpunca daripada kesalahan dalam metodologi hukum. Sepatutnya, sumber hukum yang utama dalam Islam ialah Al-Quran dan Hadis, tetapi, terdapat golongan yaqng menjadikan sumber-sumber lain sebagai rujukan utama sebelum Al-Quran dan Hadis seperti masalih mursalah, adat, istihsan, qias dan sebagainya. Golongan inilah yang cenderung kepada budaya tahrim dan mereka jugalah yang melebelkan pluralis kepada TG Nik Aziz dan Anwar Ibrahim.

Apa hal sekalipun, Al-Quran dan Hadis hendaklah menjadi rujukan untuk menjustifikasi sebarang perlakuan dan tindakan yang memerlukan penghukuman!


Friday, December 17, 2010

Dituduh gila

Dituduh gila padahal otak kita waras mungkin boleh dianggap sebagai satu anugerah. Kalau kerana menyatakan kebenaran, maka orang ramai menuduh kita gila, maka nabi SAW telah pun melalui pelebelan seperti itu. Berlapang dadalah menghadapi tuduhan sebegitu dan bergembiralah kerana mendapat gelaran yang diberikan oleh orang-orang yang kafir kepada para nabi.

Pemuda itu, dia menjadi pencinta amal soleh dan mahu agar keluarga dan jiran tetangganya juga beramal soleh. Saban maghrib dia ke masjid dan pulang sesudah insya. Dia solat berjemaah bersama dengan ahli masjid di sana. Kemudian, dia dikatakan dituduh gila oleh sanak saudara isterinya kerana sering menyampaikan nasihat agar mereka mendirikan solat dan mengajak ke masjid. 

Kataku, ingatlah apa yang nabi katakan kepada Yasir dan keluarganya. Sabarlah wahai Yasir...sesungguhnya janji untuk kamu adalah syurga!

Sabarlah dalam dakwah. Hadapilah segala macam tuduhan dengan sabar demi menegakkan yang haq.

Thursday, December 16, 2010

Praktis bukan teoris

Mereka menuduh TG Nik Aziz sebagai berfahaman pluralisme. Mereka juga melebelkan DS Anwar Ibrahim sebagai berfahaman pluralisme. Menggelarkan diri sebagai cendikiawan dalam bidang agama, mereka cuba mempengaruhi masyarakat untuk mempercayai apa yang mereka lemparkan.

Mereka adalah Dr Yusri Muhammad, seorang pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan juga bekas presiden ABIM. Seorang lagi bernama Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC). Beliau juga seorang tokoh dalam yang berpengaruh dalam ABIM.

Dua orang ini bercakap seolah-olah jasa mereka kepada kebangkitan Islam di bumi Malaysia begitu hebat. Apalah yang mereka sumbangkan buat agama Islam di Malaysia ini? Mereka hanya ahli akademik yang menjadi pendekar dalam dewan-dewan seminar dan kuliah. Otak mereka cuma sarat dengan teori-teori berkenaan Islam. Mereka terbuai dalam falsafah yang tidak dimengerti oleh kebanyakan ummat dan tidak memberi faedah  kepada ummat pun. 

Sedangkan TG Nik Aziz adalah seorang ulama yang berjalan di tengah kemelut rakyat yang penuh mehnah dan tribulasi. Dia seorang praktis dan bukan seorang teoris!

Teman-teman bapa dipanjangkan umur

Di kala aku melihat lelaki itu, aku agak dia adalah sebaya al-marhum bapaku jika dia masih hidup. Semasa hayat bapaku, dia adalah antara kenalan bapaku. Bapaku sering bertandang ke rumahnya dan dia pun sering bertandang pula ke rumah kami. Bapaku dan selalu bertegur sapa ketika bersua di mana-mana. Aku melihat dia adalah antara teman-teman bapaku. 

Kini, bapaku telah kembali ke negeri kekal abadi 7 tahun yang lalu. Usia bapaku ketika dia meninggalkan dunia ini adalah 62 tahun. Justeru, teman-teman bapaku itu, mungkin dalam usia 69 tahun. Barangkali lelaki itu sudah pun mencecah 70 tahun lebih. 

Allah SWT telah menamatkan riwayat bapaku tetapi Dia masih melanjutkan usia sebahagian mereka yang kuanggap sebagai teman bapaku. Kekadang, antara mereka itu aku lihat masih kuat bekerja menguruskan dunia mereka. Masih bersemangat memerah keringat di ladang, sawah dan kebun. Mereka masih tegap menunggang kenderaan ke sana ke mari. Ramai pula kalangan merekan yang telah dan sedang menikmati hasil kejayaan anak-anak mereka.

Kadang-kadang aku rasa cemburu dengan mereka bagi pihak bapaku. Bapaku tidak sempat mencicip dunia yang diperolehi melalui kejayaan anak-anaknya. Bapaku pergi pada saat dia masih bergelut mencari sesuap nasi dan seteguk minuman untuk di hulur ke mulut anak-anak. Namun, aku percaya bahawa Allah menyayangi bapaku. Menjadi seorang bapa yang bermaruah bukanlah untuk mecicip razeki daripada bahagian anak-anak. Bapaku pergi sebagai seorang bapa yang merdeka dan kaya daripada balasan daripada anak-anak.

Semoga Allah menempatkan bapaku di kalangan zumrah para waliNya....

Buruh Patani dapat separuh

Warga Thailand dari Selatan Patani, yang rata-ratanya beragama Islam, banyak yang mencari razeki di daerah utara negeri Kedah. Mereka mengambil upah menoreh getah daripada tuan-tuan tanah yang memiliki kebun getah. Upahnya adalah separuh daripada hasil jualan. Dengan kata lain, hasil torehan dibahagi dua. Kaedah pembahagian ini lebih menguntungkan untuk warga Patani itu berbanding mereka mengambil upah menoreh getah di negeri mereka sendiri. Tambahan pula negeri Patani, keselamatannya sukar diduga. Kekadang meletus kekacauan yang menggugat.

Terdapat pandangan menyimpulkan mengapa sistem pembahagian hasil torehan getah di kedah adalah 50-50. Dahulu, mengambil upah menoreh getah ini adalah kegiatan adikm beradik. Seorang bapa saudara yang ada kebun getah akan menyerahkan kepada anak saudaranya yang tiada pekerjaan untuk menoreh. Oleh kerana adik beradik, mereka bersetuju untuk bahagi dua hasil dari torehan getah.  Lagipun harga getah dahulu amat rendah berbanding sekarang. Dahulu harganya pernah bermain di bawah RM1 untuk sekilo. Pernah berada pada harga RM0.60 sekilo. Kalau bahagi tiga, berapalah sangat yang diperolehi daripada kerja perburuhan menoreh getah. Namun, kini harga getah telah melambung tinggi. Ketika ini, untuk sekilo getah skrap, harganya melebihi RM6. 

Kerja menoreh getah lebih menguntungkan daripada makan gaji di syarikat swasta maupun kerajaan. Terdapat yang berhenti kerja kilang kekrana mahu menoreh getah. Penjawat awam yang seharian dalam bilik hawa dingin pun sudah tidak silu untuk bergelumang getah skrap dan dihurungi nyamuk dalam kebun getah lantaran harga getah yang begitu tinggi.

Aku melihat tanah-tanah yang dahulunya pernah menjadi milik syarikat GPT dan ditanam tebu, kini telah berpindah tangan ke syarikat lain dan ditanam pula dengan pokok getah. Apabila syarikat besar telah terjun ke dalam industri pertanian getah, apakah mungkin harga getah akan kekal pada tahap sekarang?

Tausiah sebelum khutbah

Aku menyarankan kepada Paklang Sor yang seringkali memainkan peranan sebagai bilal masjid kampung Datuk dalam acara solat jumuat agar mengubah cara tausiahnya sebelum khutbah. Dahulu, semasa Tok Wan Li bertindak sebagai bilal masjid, dia akan berdiri menghadap para jemaah dengan tangan kanan memegang tangan kiri di atas perut sebagaimana gaya qiam dalam solat. Begitulah caranya selama puluhan tahun menjalankan sesi tausiah sebelum khutbah yang mengandungi pesanan kepada para jemaah agar berdiam diri.

Kini, setelah Tok Wan Li tiada, Pak Lang Sor meneruskan tugas tersebut. Namun, nampaknya dia menyalin bulat-bulat ayat dan gaya Tok Wan Li. Aku menjelaskan kepadanya bahawa ayat dan gaya tersebut bukan wajib dituruti. Aku menceritakan bahawa aku solat Jumuat di masjid Bukit Tampoi minggu lalu dan bilalnya memberi tausiah dengan gaya bebas tetapi berkesan. 

Sebenarnya, memberi tausiah itu sendiri bukan wajib. Sunat pun bukan. Ia cuma nasihat buat para jemaah. JIka tak buat, tidak mencacatkan sedikitpun acara solat jumuat. Sebab itu, mengubah ayat maupun cara tidaklah terlarang. 

Kita perlu bebaskan minda daripada taqlid membuta tuli. Itulah jalan tajdid dalam agama.

Wednesday, December 15, 2010

Pandangan buat sang imam masjid

Seingatku, telah sepuluh tahun imam masjid kampungku menjawat jawatannya sebagai imam kariah. Semenjak dia memegang jawatan itu, kontroversi terus timbul berikutan ramai yang tidak menyetujuinya. Dia bukanlah pilihan majoriti anak kariah. Sejak itulah ramai anak kariah yang menjauhkan diri dari masjid. Anak kariah menjauhkan diri dari masjid telah pun lama terjadi. Tetapi, sebelumnya mereka hanya menjauhkan diri dari solat fardhu berjemaah di masjid. Kalau hari jumu'at, mereka datang beramai-ramai untuk solat jumuat di belakang imam. Bila imam sekarang dilantik oleh pihak Pejabat Agama, mereka meninggalkan solat Jumuat di belakangnya dan bercempera mencari masjid lain pada hari Jumuat.

Sesetengah yang lari dari masjid itu adalah beralasankan ideologi politik imam sekarang yang dianggap berfahaman kebangsaan panutan UMNO. Namun ada juga yang lari itu kerana masalah peribadi dengan imam dan ada pula cuma sekadar ikut-ikutan. 

Setelah sepuluh tahun berlalu, keadaan tidak juga berubah. Aku mengamati perkembangan ini dan berhasrat untuk menitipkan nasihat berikut kepada sang imam:-

a) Imam perlu bertindak neutral dalam masyarakat. Imam tidak harus menampakkan dirinya sebagai berpihak kepada mana-mana parti. Lebih-lebih lagi parti UMNO dalam sebuah masyarakat yang majoritinya PAS.  Imam perlu mengikis tanggapan masyarakat yang kini menganggapnya sebagai UMNO atau pro UMNO. Untuk itu, beberapa cara perlu dilakukan:-


i) Dia hendaklah rajin menghadiri program anjuran pihak PAS.

ii) Dia hendaklah menjemput individu-individu yang dilihat sebagai ahli PAS untuk memenuhi jadual khutbah pada hari jumuat. 

iii) Dia hendaklah mengelakkan diri daripada berasosiasi dengan kelompok UMNO sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

b) Kebencian masyarakat kepada bilal adalah melebihi kebencian masyarakat kepadanya. Dia hendaklah berusaha menjauhkan dirinya daripada dilihat bersekutu dengan sang bilal. Bilal tersebut hendaklah dikurangkan peranannnya atau peranannya disamaratakan dengan AJK yang lain.

Sekian dulu cetusan saya setakat ini.

Membuat Border Pass

Durian Burung dikenali juga sebagai Kota Putera. Ia merupakan pintu sempadan dari negeri Kedah ke Thailand yang baru dibuka sebagai pilihan kepada Bukit Kayu Hitam. Dari Kuala Nerang sekitar 25-30 KM. Jalan raya ke sana masih lagi sedang dibaiki di beberapa tempat terutama jalan Padang Sanai.Oleh itu terdapat jalan rosak di sana sini. Namun, mendekati kawasan Durian Burung, jalannya sudah elok dan beraspal sempurna.

Aku ke sana hari ini dengan anak dan isteri untuk menguruskan "Border Pass" bagi memasuki Thailand. Mengikut rancangan yang disusun oleh isteriku dengan keluarganya, kami akan masuk ke Thailand pada 18hb nanti untuk ke Yala. Terdapat sanak saudara ayah mentuaku di sana yang boleh diziarahi. Kebetulan sudah ke Yala, timbul cadangan untuk terus ke Hatnyai. Aku bersetuju dengan perjalanan tersebut kerana ia merupakan jalan baru yang belum pernah aku lalui. Tentunya ia memberikan pengalaman baru kepadaku.

Kompleks Imigresen Durian Burung kelihatan lengang. Para pekerjanya bekerja dalam keadaan releks dan santai. Penmgunjung pun tidak ramai. Boleh dibilang dengan jari. Yang datang pula kebanyakan penduduk kawasan Padang Terap yang berhajat untuk ke Thailand atas tujuan-tujuan yang pelbagai.

Untuk membuat "border Pass" dikenakan bayaran sebanyak RM10. Jika tidak datang dengan gambar, pihak imigresen akan ambil gambar dan bayaran yang dikenakan adalah RM8. Urusan mendapatkan "border pass" boleh disiapkan  tak sampai 10 minit. Tempoh laku "border pass" tersebut adalah 6 bulan.

Insya Allah, Sabtu hadapan aku akan menyemberang sempadan untuk melihat selatan sebuah negeri yang berjiran dengan Malaysia iaitu Thailand. Semoga keadaan di sana selamat semasa perjalananku nanti.

"Minggu lepas ada letupan di Segaya...", seorang pengunjung yang datang membuat "border pass" untuk ke Segaya  menjawab pertanyaanku ketika aku bertanya mengenai tahap keselamatan di Selatan Thailand. Ilallah atawakkalu...

Kasihan keluarga si mati!

Ada jemputan solat jenazah di kampung Kerasak hari ini. Malam kelmarin ada orang meninggal di kampung Bagan. Minggu lepas di kampung Sireh. Ketiga-tiga jemputan solat jenazah itu aku gagal menghadirkan diri. Ada baiknya juga aku gagal hadir solat jenazah tersebut. Setiap orang yang hadir solat jenazah dibayar RM5. Terpulang kepada kita sama ada mahu terima atau tidak. Namun, ramai yang datang solat menerima bayaran tersebut atas alasan sedekah daripada keluarga si mati untuk menjadikan pahalanya buat si mati. Untuk yang datang berkereta, jika kereta itu kereta biasa seperti Kancil atau Proton Saga, pemandunya akan diberikan RM10. Jika kereta itu jenis Van, pemandunya diberikan RM20.

Demikianlah adat yang diamalkan di kawasan ini. Kawasan lain aku tidak pasti. Namun, yang pasti, adat sebegini aku tak temui di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur maupun Sandakan. Di kampung-kampung di Sabah pun tiada adat kebiasaan seperti ini. Sebenarnya, ini bukan adat semata-mata. Ia telah dikaitkan dengan agama kerana dikatakan sedekah dan tujuannya menambahkan pahala buat si mati.

Setiap keluarga yang menghadapi musibah kematian, secara paksa rela perlu memenuhi tuntutan kebiasaan masyarakat sebegini. Jika tidak, secara peribadi keluarga tersebut akan merasa malu. Masyarakat akan membuat pelbagai andaian. Sebahagiannya mungkin positif dan simpatik. Namun sebahagian akan pesimis dan prasangka. Jumlah orang yang datang untuk solat jenazah pun tidak akan ramai.

Masibah di atas musibah. Demikianlah situasi yang dapat kita rasakan bagi keluarga si mati. Dari pengurusan jenazah sehinggalah majlis-majlis tahlil yang diadakan pada malam-malam sesudah kematian, semuanya merupakan tambahan kepada musibah sedia ada yang sedang ditanggung keluarga si mati. Kemudian, ditambah pula dengan amalan upah mengupah dalam amal ibadat untuk dikirimkan pahalanya kepada si mati, semuanya dengan sejumlah harga yang perlu dibayar oleh keluarga si mati. Upah solat sunat hadiah, menjaga kubur, baca Quran di kubur, meratib 70 ribu kali dan banyak lagi tambahan baru yang sedang dijual oleh mereka yang menjanjikan pahala untuk kiriman buat si mati!

Siapa yang akan membela penindasan yang ditimpakan kepada masyarakat ini? Ada individu yang membantah amalan sebegini tetapi kuasa dan pengaruh mereka yang mempertahankannya lebih besar. Seperti biasa, penentang amalan seperti ini akan terpalit dengan tuduhan sebagai wahabi. Siapa yang yang berani secara terbuka mengistiharkan bara'ah daripada kebiasaan ini, akan secara terbuka pula dituduh sebagai wahabi.

Akal yang sihat boleh mengenal keburukan kebiasaan ini. Namun, akal yang mencetak agama dalam otak dan amalan secara taqlid akan menghalalkannya dan ditambah pula dengan kepentingan pamrih laba duniawi yang sedikit. Aku ingin sekali meringankan beban keluarga si mati, tetapi kekuatan besar diperlukan untuk meruntuhkan legasi songsang yang mencengkam ini. Legasi songsang yang diwarisi melalui restu tokoh agama yang menunjangi masyarakat desa.

Setiap kali berlaku peristiwa kematian di kawasan ini, terlintas dalam benakku...Kasihan keluarganya.

Ayohlah para da'i yang punya nama dan kehormatan di desa, jujurlah dengan ilmu dan bantulah masyarakat yang teraniaya!



Monday, December 13, 2010

Kehebatan semasa belajar

Masa zaman belajar dulu, kita bertemu dengan orang-orang yang hebat dalam dunia ilmu. Hari ini, kita mungkin bertanya, ke mana orang yang kita kenali hebat tersebut? Apakah kegiatannya dalam masyarakat? Apakah yang terjadi dengan kehebatannya?

Adalah lumrah untuk kita menemui hal-hal yang sedemikian. Kehebatan dalam dunia ilmu akan menjadi bermakna jika ilmu itu dapat diaplikasi untuk menjana perubahan dalam masyarakat. Seorang yang kuat dhabitnya semasa belajar, tajam kefahamannya, cemerlang pula dalam segenap peperiksaan yang diduduki, perlu membuktikannya dengan aplikasi ilmu tersebut dalam lapangan.

Surau kampung Sireh.

Hari ini, dalam perjalanan ke satu kenduri kahwin yang diadakan di kampung Sireh,  aku singgah solat di Surau Kampung Sireh yang dikatakan telah dibina baru dengan kubah yang besar dan cantik. Khabarnya surau itu telah dipohon agar dinaiktaraf menjadi masjid namun terhalang dengan sebab tidak mendapat persetujuan dari imam kariah yang berdekatan. Itu merupakan syarat untuk pecah kariah yang diamalkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kedah.

Aku mendapati surau tersebut memang besar dan cantik tetapi lengang. Kotor,  tahi cicak memanuhi ruang tandas dan juga ruang solat berhabuk. Ada sebiji bantal di tepi diding dan botol air orange menandakan ada seseorang menjadikannya tempat tidur semalam. Halamannya masih becak. Nampak terbiar.


Memang mudah membina masjid namun memakmurkannya adalah amat sukar. Apalah guna ada masjid yang indah dan cantik kalau tiada solat fardhu berjemaah di dalamnya?? KIta boleh membina berpuluh masjid dan beratus surau, namun yang lebih penting daripada membangunkan fizikalnya itu, adalah membangunkan amalan di dalamnya.

Sunday, December 12, 2010

Islam agama yang mudah

Islam agama mudah. Tetapi bukan bermaksud untuk dipermudah-mudahkan. Mereka yang menjalani kehidupan beragama dengan depayahan dan sukar, bukanlah menuruti agama Islam yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW. Terdapat banyak dalil ayat Quran maupun hadis yang menggambarkan kemudahan Islam. Ia menegaskan hakikat sebenar agama Islam yang pertengahan.

Seseorang itu hanya perlu mengucapkan kalimah shahadah untuk diperakui sebagai muslim. Tentang apa yang ada dalam hatinya tidak perlu diselongkari. Dalam sebuah hadis, nabi SAW menegaskan bahawa hanya dengan menyebutkan kalimah tauhid dan mengelakkan diri daripada syirik , seseorang itu akan memasuki syurga Allah SWT. Dalam persoalan ibadat, bukanlah ibadat ala rahib yang menjadi pilihan Islam. Islam menerima realiti kehidupan dunia yang menentut pelbagai keperluan.

Justeru, ambillah agama sebagaimana nabi ajar. Jangan memetik agama daripada mereka yang lain selain nabi SAW kerana ia mungkin akan membawa kepada menyukarkan agama atau mempermudah-mudahkannya!

Thursday, December 09, 2010

Masjid Kampung Masjid

Singgah solat Zohor di masjid kampung Masjid, aku melihat beberapa orang kalangan veteran yang sama-sama menunaikan solat Zohor berjemaah. Sepertinya mereka adalah kalangan yang istiqamah dengan solat jemaah dan melakukan atas kesedaran. Teringat aku kepada masjiod kampungku dahulu, sewaktu generasi tua ahli masjid masih ramai dan istiqamah dengan solat jemaah. Kini, masjid kampungku sudah sunyi dan generasi tua yang mati tidak berganti pelapis. 

Aku merasakan masjid kampung masjid juga akan melalui fasa yang sama. Kecuali jika dakwah ditingkatkan.

Rumah Maulid Nabi

Seorang penceramah sempena sambutan Ma'al Hijrah baru-baru ini mengatakan dalam ceramahnya dengan nada kecewa atas kehilangan rumah maulid nabi di Makkah Al-Mukarramah. Menurutnya, tempat-tempat seperti itu perlu dikekalkan agar ummat dapat melihat kesan-kesan tinggalan sejarah dan memahami dengan lebih mudah perkembangan sejarah Rasulullah SAW. Tentunya, kekecewaan ini ditumpahkan ke arah menyalahkan kerajaan Arab Saudi yang dilebelkan sebagai Wahabi. Itu adalah satu daripada pelbagai kesalahan dan jenayah yang sering dikaitkan dengan Wahabi.

Aku berpendirian bahawa kewujudan rumah tempat nabi lahir ke dunia ini tidaklah mempunyai kepentingan besar sehingga ia perlu dipelihara dan dikekalkan. Malah, dalam satu sudut yang lain, kewujudannya akan mendedahkan kepada sikap bertabarruk yang menghantui ramai pengunjung ke tanah suci dewasa ini. Dengan lupusnya rumah maulid nabi itu, sikap tabarruk yang menyalahi syariat itu dapat dikekang.

Kita lihat pihak berkuasa Arab Saudi mengambil sikap tegas untuk mengekang ummat daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara bid'ah dan khurafat yang berleluasa. Sungguhpun begitu, masih ada tindakan secara peribadi dan tersembunyi untuk meneruskan kebid'ahan dan kekhurafatan tersebut.

Maka, apalah maknanya rumah maulid nabi untuk agama sehingga kita perlu menangisi kehilangannya??

Wednesday, December 08, 2010

Tokoh Ma'al Hijrah

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah dipilih sebagai tokoh Ma'al Hijrah tahun 1431H. Hijrah dalam Islam terbahagi kepada dua Satu hijrah kerana Allah dan satu lagi adalah hijrah kerana dunia. Jika Tan Sri Zeti Aktar Aziz itu dipilih kerana hijrahnya, hijrah apa yang dilakukannya? Besar kemungkinan alasan pemilihannya adalah kerana sumbangannya yang dianggap hebat sebagai Gabenor Bank Negara. Jika atas dasar itu, ia adalah faktor dunia. Ummat Islam di Malaysia dapat melihat penampilan muslimah Dr. Zeti Akhtar sejak dahulu sehingga sekarang tidak berubah. Jika dia tanpil membawa watak mulimah yang lebih baik dengan memakai pakaian menutup aurat, tentu pencapaian duniawinya itu disempurnakan perubahan ukhrawinya yang mana melayakkan dia dianugerahkan sebagai tokoh Ma'al Hijrah. 

Di negeri Kelantan, seorang saudara baru yang berbangsa Cina bernama Ridhwan Foo telah dianugerahkan sebagai tokoh Ma'al hijrah tahun ini. Anugerah itu memang layak dan ia menjadi inspirasi serta contoh kepada kaum Cina yang lain yang masih berpegang dengan ajaran Budha dan sebahagiannya Kristien dan ada yang Free Thinker.

Siapa yang berhijrah kerana dunia, sia-sialah penghijrahannya. Siapa yang berhijrah kerana Allah, maka itulah hijrah yang membuahkan hasil.

Tabib

Tabib itu dalam bahasa Arab. Ertinya doktor. Masyarakat sekitar Kuala Nerang untuk beberapa malam ini didedahkan dengan kehadiran seorang yang disebut sebagai Tabib Norhisyam, berasal dari Kelantan. Aku mengambil kesempatan meninjau sepintas lalu cara pengubatan yang dilakukan oleh Tabib tersebut semalam. Sewaktu aku sampai, kedengaran suara pembantu tabib itu sedang menerangkan pelbagai perkara mengenai pengobatan Tabib tersebut serta kesibukan dan kemasyhurannya. Orang pun boleh dikatakan ramai juga. Terdapat beberapa orang tua yang sakit dan tidak mampu berjalan di bawa ke lokasi.

Setelah lama berceloteh, pembantu tabib tersebut menjemput tabib Norhisyam untuk membacakan doa permulaan. Banyak botol air dikumpulkan di depannya beserta buah kismis yang telah dibungkus. Selesai berdoa, air botol tersebut ditawarkan kepada khalayak dengan harga RM2 dan buah kismis pula dengan RM5. Kata pembantu itu, bahan tersebut adalah untuk ditawarkan oleh tabib dengan bacaan dan doanya bagi pelbagai tujuan. Dia menekankan tentang perlunya buat air penawar untuk terang hati anak-anak dalam pelajaran dan buah kismis tersebut adalah untuk minda anak-anak.

Berpuluh-puluh botol air diedarkan kepada orang ramai yang mengambilnya dengan bayaran RM2. Aku tidak lama dalam majlis tersebut kerana aku bersama seorang teman menyisih ke sebuah kedai makan dan menikmati hidangan di sana. Namun aku mendengar suara pembesar suara pembantu tabib tersebut.Aku tidak pasti barang apa pula yang ditawarkan kerana harganya pula RM10.

Pada pandangan aku, yang dikatakan tabib itu bukan doktor. Sekadar membaca jampi pada air botol, buah kismis dan pelbagai bahan lain, ia bukan cara tabib. Kalau kita lihat tabib Cina sekalipun, dia menggunakan kaedah-kaedah khusus seperti ramuan ubatan, akupuntur dan sebagainya. Menggunakan air penawar lebih sesuai disebut sebagai bomoh kerana memang cara bomoh membaca jampi. 

Menggunakan nama tabib untuk seorang bomoh hanyalah cara memberikan nilai tambah kepada kaedah pengobatannya. 

Monday, December 06, 2010

Doa akhir tahun dan awal tahun bukan sunnah!

Tahun lepas, majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun dibuat di Masjid Negara dan diraikan secara rasmi dengan kehadiran Yang Dipertuan Agung serta ramai pimpinan utama negara. Timbul pertanyaan di kalangan tertentu, apakah doa akhir tahun dan awal tahun itu sunnah? Dengan kata lain, apakah nabi Muhammad SAW melakukannya? Atau, apakah para sahabat mengamalkannya?

Jika dicermati dengan minda pencerahan, dengan mudah kita dapat menarik kesimpulan bahawa doa awal dan akhir tahun itu bukanlah sunnah. Ia dikatakan mudah kerana kita maklum bahawa di zaman nabi SAW tidak ada kalender hijrah yang dikira bermula daripada Muharram. Penggunaan taqwim hijri yang memulakan Muharram sebagai bulan pertama hanya bermula pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Justeru bagaimana harus dikatakan ia sebagai sunnah?

Rangkaian doa yang dikatakan doa akhir tahun dan awal tahun itu pula bukanlah daripada nabi. Fadhilat yang dinyatakan untuk mereka yang membacakan doa tersebut di mana di katakan syaitan akan kecewa, diampunkan dosa untuk setahun itu dan aman daripada tipudaya syaitan untuk setahun mendatang adalah satu rekayasa yang tidak bersandarkan nabi SAW. Bagaimana kita boleh mempercayai bahawa nabi  SAW menitipkan satu doa dengan fadhilat tertentu dan ia dikaitkan dengan awal Muharram sedangkan Muharram pada zaman nabi SAW belum lagi dijadikan tahun pertama dalam taqwim Islam?

Berdoa memang bagus. Namun mengamalkan doa akhir tahun dan awal tahun seolah-olah ia adalah sunnah Rasul dan diberi pahala dan fadhilat tertentu bagi yang mengamalkannya adalah satu pencemaran kepada keaslian agama. Hanya Allah dan Rasul sahaja yang boleh menjanjikan fadhila untuk sesuatu amal. Orang lain hanya membuat rekaan belaka!

Umar Al-Khattab meletakkan taqwim Islam bermula daripada bulan Muharram dan menjadikan tahun nabi berhijrah ke Madinah sebagai tahun pertama bukanlah untuk disambut. Lebih-lebih lagi , bukan untuk diritualkan dengan amalan yang disandarkan kepada agama seperti doa akhir tahun dan awal tahun. Ia adalah untuk memperlihatkan kebesaran peristiwa hijrah dan menjadi lambang tajdid hayat bagi setiap Muslim melaui konsep hijrah.

Bukan budaya Islam merayakan awal tahun seperti mana golongan kuffar meraya penghujung Disember dan awal Januari. Justeru, jika ditanya tentang apakah sunnah Rasulullah SAW sempena akhir tahun dan awal tahun, ia adalah persoalan yang perlu diketepikan jawapannya.  Islam tidak menginstitusikan awal dan akhir tahun untuk diritualkan dengan amalan tertentu. Tiada sunnah khusus untuknya!


Janji nifak

Setahu aku, semasa pembentangan baget 2011 yang lalu kerajaan berjanji bahawa tiada kenaikan harga minyak pada tahun ini. Janji itu tidaklah menarik sangat sebab semasa baget tersebut dibentangkan, ada kira-kira 4 bulan lagi akan berakhirnya tahun 2010. Rakyat sudah menjangkakan bahawa kenaikan minyak pada tahun 2011 akan berlaku. Namun, dengan kenaikan harga minyak petrol RON97 dan disusuli dengan kenaikan harga minyak petrol RON95 sebanyak 5 sen pada minggu yang lalu memperlihatkan sifat munafik kerajaan UMNO-BN. Mereka boleh berjanji tetapi untuk menunaikan janji yang yang begitu ringan mereka tidak sanggup. Sekiranya mereka boleh bersabar sehingga januari 2011 yang tinggal kira-kira sebulan lagi baru menaikkan harga minyak, rakyat mungkin akan berlapang dada dengan pelbagai alasan yang dinyatakan. 

Nampaknya, hayat UMNO-BN benar-benar sudah di penghujung. Allhummas ra'!

Nak beli tanah, waspada....

Usahaku untuk membeli mana-mana tanah khususnya dalam kawasan Padang Terap menambahkan pengetahuanku mengenai hakikat kedudukan tanah-tanah di kawasan Padang Terap. Ada seorang sahabat memaklumkan kepadaku bahawa seseorang yang tinggal di Kuala Nerang mahu menjual tanahnya di kawasan Lesung Batu. Untuk mendapat maklumat terperinci mengenai kedudukan tanah tersebut, aku bersama sahabat itu bertemu dengan bapa saudaranya yang dikatakan juga mengusahakan tanah di kawasan tersebut. Apabila kami bertemu dengannya, dengan secara sepontan memberikan nasihat kepada kami agar melupakan hasrat untuk membeli tanah tersebut. Sungguhpun harganya menarik iaitu dengan keluasan 15 relung hanya pada harga RM45000, ia sebenarnya tanah yang diperolehi grant hak milik secara atas angin. Tanah tersebut telahpun diusahakan oleh peneroka di kampung berdekatan dan orang yang mahu menjualnya itu hanya memiliki grant hak milik tanpa mengetahui pun kedudukan tanahnya.

Situasi sebegini banyak sekali berlaku. Pada zaman Mahadir Khali selaku menteri besar Kedah, banyak orang yang telah diberi grant hak milik tanah kerana pelbagai faktor. Antara mereka yang mendapatkannya adalah orang yang punya hubungan rapat dengan pemimpin ataupun pegawai-pegawai bertanggungjawab. Kebanyakan mereka, bila mendapat grant hak milik tersebut telah mengambil langkah menjualnya. Pembeli yang terpesona dengan tawaran harga yang menarik tidak usul periksa mengenai kedudukan sebenar tanah tersebut. Merekalah yang menanggung kerugian. Sebahagian pula berdepan dengan masalah dengan peneroka yang telah lama memugar tanah tersebut tanpa berusaha mendapatkan grant hak milik daripada pejabat tanah.

Ketika berbual dengan bapa mentuaku yang merupakan Ahli Majlis bagi Daerah Padang Terap, dia menceritakan bahawa banyak masalah berkenaan tanah yang berlaku. Terdapat kalangan yang membuat permohonan tanah pada zaman pemerintahan terdahulu telah diberikan grant hak milik tanah. Setelah mereka mengusahakan tanah tersebut dengan tanaman seperti getah dan sebagainya, tiba-tiba timbul hakikat sebenar bahawa tanah tersebut terletak dalam kawasan grant besar yang telah diberikan kepada PKNK. PKNK telah membuat kontrak dengan syarikat GPT (Gula Padang Terap) untuk tempoh 60 tahun bagi tujuan perladangan. Justeru, bila syarikat GPT mula mahu membuka ladang-ladang baru dan ia melibatkan tanah-tanah yang diperolehi grant hak milik secara salah itu, timbullah bantahan pemiliknya. Namun, apa yang boleh dibuat? Mereka yang mendakwa mempunyai grant hak milik tersebut tidak dapat melawat grant hak milik yang ada pada GPT. Akhirnya, ramai yang berputih mata melihat kebun getah mereka ditolak dan dibakar!

Terdapat jumlah ratusan ribu ekar tanah yang diberikan kepada syarikat termasuklah juga kepada Felcra, Maik dan kini untuk projek Ladang Rakyat. Justeru, setiap pembelian tanah yang dibuat di kawasan perbukitan dan hutan belantara yang di luar kawasan penempatan, haruslah diwaspadi. Semakan di pejabat tanah amat penting sebelum sebarang transaksi dibuat. Jika tidak, menangis tidak berlagulah...


Thursday, December 02, 2010

Ketuanan Melayu?

Heboh pejuang kebangsaan Melayu itu mempertahankan ketuanan Melayu. Ketuanan Melayukah yang mereka pertahankan atau ketuanan elit pemerintahan yang berada di tangan mereka. Aku ini bangsa Melayu. Selama ini aku rasa mereka memperhambakan aku. Aku tak rela jadi hamba pada sesiapa sekalipun kepada raja Melayu. Aku bukanlah berbicara seperti hikayat klasik "hamba rakyat". Aku cuma hamba Allah SWT.

Jika ketuanan Melaytu ertinya ketuanan raja Melayu, aku menolaknya. Jika ia bermaksud ketuanan pemimpin UMNO, aku juga menolaknya!

Melawat Zoo Taiping

Hari ini, aku bersama ibuku, isteriku, anakku Zamila Salsabila dan anak saudaraku Anis Syahira pergi melawat Zoo Taiping.  Kami bertolak jam 9.30 pagi dari kampung dan tiba menjelang jam  2.30 petang.Perjalanan agak lama kerana aku memilih untuk mengambil jalan biasa dan mengelakkan Lebuh Raya. Aku cuma naik lebuh raya di Tol Pendang dan turun di Sungai Petani. Dari Sungai Petani aku melalui jalan-jalan biasa sehingga ke Jawi. Aku masuk Tol Jawi dan akhirnya turun di susur keluar ke Taiping. Dengan dua kali naik jalan bertol itu aku membayar RM12.00.

 Hujan turun renyai-renyai dan kekadang lebat apabila kami tiba di Taiping. Walaupun begitu, hajat kami untuk melawat Zoo tidak terhalang juga. Aku membeli tiket untuk keluargaku. Kadar tiket untuk masuk ke dalam Zoo adalah RM12 untuk orang dewasa, RM8 untuk kanak-kanak antara 3 tahun hingga 12 tahun dan RM10 untuk warga emas 55 tahun ke atas.

Memandang keadaan hujan, kami naik kenderaan yang disediakan. Sebahagian daripada haiwan hanya kami lihat dari atas kenderaan pengangkut pelancung itu. Hanya beberapa jenis binatang sahaja aku bawa  anakku melihat daripada dekat.
Setelah puas melihat haiwan dalam zoo, kami keluar dan bercadang untuk menginap di mana-mana hotel murah di Taiping. Walau bagaimanapun, aku berubah hati dan melencongkan haluanku untuk pulang melalui lebuh raya. Kami singgah di R&R Bukit Semanggol dan di sini aku mencatat perjalanan hari ini.

Untungnya adalah kerana PLUS membekalkan wireles di R&R ini. Ketika aku mencuba untuk buat sambungan, rupanya ia menuntut pasword. Aku mencuba sahaja pasword 1234567890. Ternyata itulah paswordnya. Apa lagi...aku pun access internet di sini.

Wednesday, December 01, 2010

Beli tanah

Beberapa orang menyampaikan kepadaku tentang tanah yang mahu dijual oleh tuannya. Ada yang harganya mencecah RM300 ribu. Ada yang sekitar RM70 ribu. Aku mencari yang lebih murah. Kalau boleh, memadailah sekadar RM50 ribu ke bawah. Dulu, apabila orang menawarkan tanah untuk dijual kepadaku, aku menjadi pertanyaan mengenai grant sebagai soalan utama. Namun, akhir-akhir ini, aku lebih sukakan tanah yang tidak bergrant. Tanah tidak bergrant lebih mudah berbanding tanah yang ada grant kerana kebanyakan tanah yang ada grant, penamanya telah meninggal dunia dan bermasalah dari segi hak milik. Asalkan tanah itu aku kenali siapa tuannya dan tuan-tuan sekitarnya, apa salah jika tidak bergrant.


Dalam masa terdekat, aku akan membeli tanah. Semoga Allah mempermudahkan jalanku.

Takathur

Allah menyifatkan manusia sebagai sukakan "takasthur" dalam surah At-Takathur. Kerana manusia sukakan takathur, manusia dilalaikan dan hanya akan tersentak sedar bila sudah sampai kesaat disumbat ke lubang kubur.

Takathur manusia dalam dunia ini melibatkan harta, anak-anak dan pangkat kedudukan. Ketika bertemu  kawan-kawan lama, aku selalu berdepan dengan soalan-soalan seperti sudah berapa anak, sudah beli rumah atau belum, ada beli tanah atau tidak dan sudah naik pangkatkah sekarang. Soalan-soalan ini jika diteliti, adalah terbit daripada kecenderungan semulajadi manusia kepada takathur.

Sebolehnya aku ingin mengawal diriku daripada karama dalam takathur. Bimbang jika takathur membawa kepada takabur.