CARI BAHAN

Sunday, June 05, 2011

Ziarah terakhir

Kelmarin, sepulang daripada menyertai siang daging untuk majlis kenduri kahwin di rumah Tok Imam Pakngah Daud, aku singgah di rumah Pak Ngah Hamid. Sudah lama benar dia sakit. Seingatku sudah beberapa tahun dia menderita lumpuh akibat strok. Namun, beberapa minggu ini dikatakan dia paling teruk. Tiga malam yang lepas aku dijemput untuk majlis bacaan Yasin di rumahnya. Namun, aku tidak pergi kerana pada malam itu juga aku merancang untuk mengikut delegasi Pemuda Padang Terap untuk ke Muktamar Pemuda di Shah Alam.

Ketika aku singgah di rumah Pak Ngah Hamid itu, dia hanya terbaring. Aku kira dia dalam sakarat. Kata isterinya sudah 3 hari, begitulah keadaannya. Isterinya mintakan aku bacakan ap-apa yang patut. Kataku memadailah dengan apa yang orang kampung majliskan sebelumnya untuk bacaan Yasin. Namun, akhirnya aku mintakan segelas air. Aku bacakan ruqyah padanya. Lalu aku suruh isteinya sapukan di ubun-ubunnya dan kakinya serta berikan dia minum.

Dalam hati, aku mendoakan agar Pak Ngah Hamid dipermudahkan perjalanannya menuju barzakh. Kasihan keluarganya, sudah bertahun mereka bersusah menjaga Pak Ngah Hamid. 

Aku meninggalkan rumah Pak Ngah Hamid dan ke Alor Setar. Menjelang petang ada panggilan dari kampung memberitahuku bahawa Pak Ngah Hamid telah meninggal dunia. Aku mengucapkan tahmid dan tarji'. Sesunguhnya Allah telah mentakdirkan ajalnya setakat itu sahaja.

Aku teringat sewaktu kematian Tok Wan Li pada hujung tahuyn lepas. Aku penziarah terakhir sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Pak Ngah Hamid juga begitu. Aku diberi kesempatan menziarahi untuk kali penghabisan. Maka, sudah tentu sewaktu ziarahku itu, malaikat telah berbaris sejauh mata memandang menunggu kehadiran malakatul maut.

No comments: