CARI BAHAN

Saturday, June 18, 2011

Bukan pilihanraya masjid punca perpecahan.

UMNO Pulau Pinang berbangga kerana menurut apa yang mereka dakwa, dengan usaha mereka pilihanraya masjid di Pulau Pinang telah dibatalkan dengan perintah Yang Dipertuan Agung. Mereka menentang pilihanraya masjid atas alasan ia akan memecahbelahkan orang Melayu di Pulau Pinang. Institusi masjid, kata mereka tidak harus diresapi budaya politik kepartian yang dijelmakan dalam bentukl pilihanraya. Justeru, sejak berzaman, pelantikan AJK masjid dibuat dengan cara syura. Seorang yang paling layak di antara semua yang bermesyuarat dilantik menjadi pengerusi. 

Kedengarannya begitu cantik cara perlantikan tersebut. Lebih-lebih lagi perkataan "syura" digunapakai. Namun, ia tidak semudah dan seindah yang diceritakan. Dalam keadaan praktikalnya, tangan-tangan orang politik yang menentukan pemilihan pengerusi masjid. Hal ini berlaku dan menjadi lali selama pemerintahan BN di Pulau Pinang. Perkara inilah yang mahu dipecahkan melalui hasrat pilihanraya masjid.

Kaedah pemilihan Pengerusi dan AJK masjid dibuat secara angkat tangan sebelum ini. Apabila ia disistematikkan dengan kertas pencalonan dan undi, ia satu yang baru dan pihak yang takut legasinya terancam, akan menentang pembaharuan. Sebagaimana kata Ust. Idris Ahmad dalam laman webnya, hanya mereka yang zero IQ sahaja yang tidak suka kepada pembaharuan. Kelak, mereka sendiri akan menjilat ludah dan melakukan pembaharuan dengan mengklaim ia adalah cetusan idea mereka.


Masalah AJK masjid yang tidak menepati hasrat dan kehendak anak kariah ini menjadi rumit. Di kampungku sendiri, kebanyakan anak kariah memboikot masjid kerana imamnya dari seorang yang kuat UMNO dan dilantik melalui tangan-tangan penguasa terdahulu yang kuat UMNO. Adalah sukar menggantikannya kerana sistem pemilihan adalah melaui tauliah daripada Sultan. Anak kariah tidak ada hak menentukan siapa yang berhak mengimani mereka dalam solat. 
Sedangkan nabi SAW mencela seorang imam yang menjadi imam solat sedangkan jemaah tidak menyukainya.

Apakah pilihanraya masjid bukan penyelesaiannya? Apakah dengan menafikan pilihanraya masjid kerukunan orang Islam menjadi damai dan masjid dapat dimakmurkan? Begitu banyak masjid yang AJKnya dilantik menghadapi masalah perpecahan anak kariah!


No comments: