CARI BAHAN

Saturday, June 18, 2011

Anggaplah ia hanya kebarangkalian kecil

Khutbah Jumuat kelmarin mungkin pedas buat sesetengah orang. Khatib menyebutkan kepimpinan Islam yang dirindui dan membandingkan pula dengan kepimpinan negara hari ini. Kepimpinan negara hari ini mengenakan cukai ke atas rakyat dan membiarkan poket mereka dan kroni mereka kembung selamat. Sudah tentu sasaran yang mahu dikritik oleh khatib mudah difahami oleh sesiapapun. 

Pengerusi masjid barangkali tidak selesa. Aku kasihan juga kepadanya. Pengerusi masjid adalah seorang yang baik dan punya cita-cita memajukan masjid. Mungkin kritikan dalam khutbah oleh khatib membuatkannya bimbang. Alasan yang sering ditegaskan oleh penasihat, masjid kini dalam usaha mandapat taraf dan peruntukan. Jangan sampai dicop sebagai masjid pembangkang. Jika itu terjadi, laluan ke arah itu akan menjadi sukar.

Khatib pun bukan orang asing di kalangan ahli jemaah solat jemaah di masjid. Dia juga punya kuliah tetap di masjid. Kalau orang luar, mungkin pengerusi akan katakan khatib tersebut perlu di"gam" daripada menyampaikan khutbah atau kuliah di masjid. 

Bagaimana hendak mengawal khutbah agar tidak menyentuh semsitiviti kalangan tertentu terutama pemerintah? Mungkin itu menjadi bahan fikiran pengerusi. Pernah terlintas dalam perbincangan mesyuarat jawatankuasa untuk menuntut setiap khatib menyampaikan khutbah yang dikeluarkan oleh JAKIM atau JHEAINS. Namun, perbincangan itu itu menemui kata putus kerana bukan senang untuk memerintahkan khatib membaca khutbah yang disediakan. Rata-rata khatib bukanlah pekerja bagi JAKIM atau JHEAINS. Mereka dari latarbelakang yang pelbagai.

Pengerusi mungkin buntu. Dia mungkin akan meluahkan kebimbangannya itu dalam mesyuarat atau secara peribadi kepadaku. Apa yang aku boleh katakan, perkara itu telah berlalu. Anggap sahaja ia sebagai asam garam dalam masyarakat. Berapa ramai sudah khatib yang berkhutbah. Isunya pula pelbagai. Khatib yang menyampaikan khutbah menyindir kerajaan adalah kebarangkalian satu dalam beberapa puluh khutbah. Khutbah minggu depan tentu tidak lagi mengenai topik yang serupa.

Bersabarlah...

No comments: