CARI BAHAN

Thursday, November 22, 2012

Sidek Baba bergayut di pintu Istana

Aku masih ingat pertemuan dengan Dr. Sidek Baba dalam sebuah bilik hotel di Kuantan yang aku ikut serta. Tahun itu tahun 1998. Kekacauan politik meletus di Malaysia berikutan pemecatan DS Anwar Ibrahim. Dr. Sidek Baba pada masa itu merupakan Tim Reaktor di UIAM. Beliau datang ke Kuantan atas kapasiti pimpinan ABIM dan bertemu dengan pimpinan ABIM Negeri untuk menjelaskan kedudukannya yang perlu dipertahankan di UIAM. Alasannya adalah supaya orang jama'ah perlu terus berada di bahagian pengurusan UIAM agar UIAM tidak diambil alih oleh orang bukan anggota jama'ah ABIM.  Hujah-hujah Dr. Sidek Baba adalah untuk memperlihatkan dirinya sebagai pemain strategi yang hebat dalam kemelut penyingkiran orang-orang yang dikaitkan dengan DS Anwar Ibrahim dari kerajaan.

Itu adalah pada tahun 1998. Aku mengamati keperluan mempertahankan jawatan Tim Reaktor di UIAM sebagaimana yang ditekankan oleh Dr. Sidek Baba itu. Pada masa itu aku boleh terima hujah-hujahnya miskipun aku tidak pasti samada jawatan yang dia mahu pertahankan itu demi kepentingan jema'ah atau diri sendiri. Namun, setelah jawatannya itu diambil daripadanya juga pada akhirnya, nayatalah strateginya itu hanya tidak ke mana. Kalau tidak silap,  Datuk Sri Sanusi Junid yang dilantik menjadi Reaktor kemudiannya.Maka aku melihat lekehnya strategi Dr. Sidek Baba itu dan ia tidak lebih dari mempertahankan jawatan untuk diri sendiri. Tidak ada apa pun keuntungan jemaah di sana. Kekadang kebijaksanaan dan strategi tidak diperlukan apabila pendirian tegas sedang dituntut oleh rakyat.

Fikrah Dr. Sidek Baba pada masa ini sudah nampak jelas. Ia makin ketara apabila dia mengambil langkah menyertai kelompok Dr. Hasan Ali yang dipecat dari PAS untuk sama-sama berada dalam JATI. Orang ABIM yang menyelusur ke JATI adalah tidak punya wawasan jelas pada hematku. Penyertaan ke dalam JATI hanya satu escapisme orang-orang yang kecewa dan keliru. Dari perjuangan untuk Islam, ia menjadi pecahan 3 jalur yang mengelirukan.

Pada malam ini, Dalam satu slot TV1, aku berkesempatan melihat sepintas lalu bagaimana Dr. Sidik Baba berpencak silat bicara sepihak mengenai doa memohon kemusnahan orang lain sebagaimana yang dihebohkan dalam media kerajaan dua tiga hari ini. Apa yang cuba ditanamkan ke dalam minda penonton olehnya ialah ketempangan doa tersebut kerana ia tidak melambangkan sifat da'i dan murabbi sejati. Dia mahu orang yang berdoa itu bertindak sebagai pendakwah yang sabar dan tidak memohon keburukan kepada lawan yang disifatkannya sebagai saudara Islam. Hujah-hujahnya lebih menampakkan kecenderungannya untuk mentazkiah UMNO dan menempelkan kesalahan kepada pihak yang berdoa mohon kemusnahan terhadap UMNO.

Beliau hanya menyalahkan pihak yang berdoa dan tidak pula mahu memperkatakan sebab apa mereka berdoa begitu secara adil dan saksama. Alasan doa ke atas orang zalim juga cuba dinafikan kerana menurutnya tidak berlaku kezaliman di pihak kerajaan untuk membolehkan rakyat berdoa demikian. Beliau mengemukakan contoh apa yang dibuat oleh kerajaan dalam pendidikan yang mana dia pernah sebagai moderator Darul Quran , melatih murid-murid hafaz Al-Quran dan kemudian disalurkan ke bidanng guna tenaga negara yang pelbagai. Menurutnya kerajaan yang zalim tidak melakukan hal yang sedemikian. Contoh-contoh keadilan diambil untuk menidakkan contoh-contoh kezaliman.  

Firaun pun bukan zalim kalau hendak dikira jasanya. Firaun berjasa buat rakyat negeri Mesir dengan membina sistem saliran yang sangat membantu pertanian rakyat Mesir. Firaun juga membela nabi Musa sejak kecil. Firaun bangunkan bangunan pencakar langit di Mesir. Banyak Firaun buat untuk lahirkan tamadun Mesir yang hebat dalam sejarah. Tetapi itu bukan bermakna Firaun tidak zalim. Pertama sekali,  Firaun zalim sebab menolak seruan dakwah nabi Musa. Apabila pemerintah menolak seruan Islam yang dikumandangkan, itulah zalim namanya. Tambahan pula kalau sampai merampas hak rakyat.

Hak royalti Kelantan yang dinafikan, apa macam Prof?

Aku terkenangkan tanah Palestin yang dirampas Zionis.  Sungguh zalim Zionis. Siapa merampas hak orang lain, orang lemah yang tak berdaya, tak waras kalau dikatakan dia adil dan orang tertindas dimarahi kerana berdoa minta tolong dari Allah SWT.




No comments: