Beriman dengan hari akhirat merupakan salah satu dari rukun Iman. Ia bukan sahaja dengan lafaz lidah bahawa hal-hal akhirat diimani, tetapi memerlukan pembuktian melalui tindakan. Tidak ada maknanya jika seseorang itu berbuih mulut menegaskan bahawa dia percaya kepada hari akhirat dan balasan-balasan yang dijanjikan pada masa itu, tetapi tindak tanduk tidak menggambarkan begitu.
Konsep keimanan dengan hari akhirat bukan melalui lafaz lidah seperti mengucap dua kalimah syahadah lalu diakui sebagai muslim tanpa mempersoalkan hati dan amalannya lagi. Apabila hal mempecayai akhirat itu dikatakan soal keimanan, ia memerlukan amalan. Amalan adalah syarat keimanan.
Seorang yang makan rasuah berbilion-bilion ringgit lalu berjaya melepaskan diri dari hukuman dunia, dia berasa sangat senang hati dan bebas, maka orang itu tidak beriman dengan hari akhirat. Dia merasa dirinya selamat dengan pembebasan dunia dan lupa pembalasan akhirat. Orang seperti ini menunjukkan dirinya bersih dalam kehidupan dunia sedangkan dosa rasuah yang disembunyikannya akan dibawa dan dibalasi di akhirat. Dia tidak pula takut dan bimbang dengan balasan akhirat yang menantinya.
Dia tidak beriman dengan hari akhirat.
Tidak beriman dengan hari akhirat menyebabkan seseorang tidak akan masuk syurga. Rasulullah SAW ketika ditanya oleh Aishah mengenai tempat Abdullah bin Jad'an, jutawan hartawan Jahiliyyah, baginda menjawab:
"Dia di dalam neraka kerana tiada sekalipun dia mengatakan semasa hidupnya:Wahai Tuhan, ampunkan daku",
No comments:
Post a Comment