Seorang teman yang bertugas di sebuah Institut Perguruan mengeluhkan masalah sukarnya memproduksi guru-guru yang mampu bertindak sebagi agen perubahan mesyarakat. Guru-guru agama yang dilahirkan tidak mampu beraksi sebagai da'i dalam masyarakat apabila sudah tampil ke gelanggang. Kebanyakannya hanyalah bekerja dan memenuhi tuntutan kerjayanya dengan mengharapkan gaji dan pangkat. Apatah lagi untuk diharapkan menyertai perjuangan dalam gerakan Islam.Sudah tentu amat jauh sekali untuk mengimpikan mereka di tahap itu.
Jika demikian gagalnya sebuah IPG melahirkan guru yang menjadi murabbi kepada masyarakat dan bertindak sebagai da'i kepada agama Allah di samping terlibat dengan rangkaian gerakerja berjamaah, maka demikianlah pula halnya dengan soal kemenjadian murid-murid. Murid-murid yang dididik oleh guru-guru di sekolah tidak menjadi sebagaimana diharapkan. Pelbagai masalah menghantui terutama dari segi akhlak dan nilai-nilai agama dalam diri.
Kegagalan melahirkan guru berkaliber dan murid yang menjadi insan bermutu membuatkan kita terfikir, di mana salahnya?
Seorang penggiat sekolah Islam swasta pernah membuat rumusan terhadap permasalahan ini dengan mengatakan bahawa kesalahannya adalah kerana sistem pendidikan kita berorientasikan melahirkan manusia robot yang tidak dihiasi dengan nilai ketakwaan. Sistem pendidikan kita caca marba dan hilang hala tuju. Terlalu banyak yang mahu dilakukan sehingga tiada satu pun yang berfokus. Sebab itu, sekolah-sekolah Islam yang ditubuhkan, baik oleh individu maupun jamaah tertentu menggariskan sistem yang berbeza dengan menekankan aspek pendidikan dan tarbiah menyeluruh.
Ada orang mencabar saya dengan mengatakan bahawa saya juga lahior dari sistem pendidikan caca marba ini maka bagaimana orang yang dilahirkan dari sistem caca marba ini mahu membuat sistem baru dan hilang kepercayaan dengan sistem pendidikan yang melahirkannya?
Saya menegaskan bahawa saya belajar di sekolah agama rakyat selama 8 tahun sebelum masuk universiti. Bahagian terbesar dalam pendidikan untuk saya ialah semasa di sekolah agama rakyat. Selain itu keberadaan saya dalam sistem ini adalah demi menahan kerosakan yang lebih besar bakal terjadi kalau mengambil pendekatan konfrontasi meninggalkan sistem yang sedia ada. Tidak salah untuk bertugas dalam sistem pendidikan perdana kerana ia menjadi pilihan terbanyak rakyat. Namun, ia tidak bermakna kita harus melupakan usaha untuk membangunkan sistem pendidikan yang kita yakini keberhasilannya.
No comments:
Post a Comment