CARI BAHAN

Saturday, November 03, 2012

Siapa suamiku di syurga?

Antara soalan yang ditimbulkan dalam sesi usrah semalam adalah mengenai suami bagi seorang perempuan yang berkahwin dengan beberapa lalaki di dunia. Antara lelaki-lelaki tersebut, siapakah yang akan menjadi suaminya di syurga (bagi kes suami dan isteri masuk syurga semuanya)?

Menjawab persoalan tersebut, aku mengingatkan bahawa syurga itu bukanlah sebagaimana yang kita khayalkan. Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sohehnya melalui Abu Hurairah, dinyatakan oleh Rasulullah SAW telah bersabda:

قال الله تعالى أعددت لعبادي الصالحين مال عين رأت ولا أذن سمعت ولاخطر على قلب بشر واقرءوا إن شئتم

" Berfirman Allah SWT: Aku sediakan kepada hamba-hambaku yang soleh apa yang mat tidak pernah lihat, telinga tidak pernah mendengar dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia dan bacakanlah jika kamu inginkan".

Dalam sebuah hadis nabi SAW menyebutkan kepada seorang lelaki yang bertanya kepada baginda mengenai bilakah berlakunya kiamat ketika baginda hendak mendirikan solat. Selepas selesai solat Rasulullah mencari lelai itu dan bertanya kepadanya mengenai persediaannya untuk kiamat. Lelaki itu mengatakan bahawa persediaannya tidaklah dengan solat dan puasa yang banyak. Hanya dia sangat mencintai nabi. Lantas Rasulullah SAW  bersabda:


المَرْءُ معَ مَنْ أَحَبّ، وَأَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ

" Sesorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya, dan kamu akan bersama dengan siapa yang kamu cintai".

Daripada hadis ini, bolehlah juga difahami bahawa isteri yang berkahwin dengan beberapa suami masa hayatnya dan semuanya pula masuk syurga, dia akan menjadi isteri kepada suami yang paling dicintainya ketika di syurga.

Namun, ada pandangan yang menyatakan bahawa isteri yang bernikah dengan beberapa suami di dunia dan jika semuanya masuknya syurga, isteri itu akan menjadi pasangan bagi suaminya yang terakhir. Ini berdasarkan sebuah riwayat yang dinyatakan oleh Baihaqi dalam sunannya bahawa sahabat rasulullah SAW bernama Huzaifah telah berpesan kepada isterinya sebelum matinya:


إن شئت تكوني زوجتي في الجنة فلا تزوجي بعدي، فإن المرأة في الجنة لآخر أزواجها في الدنيا. فلذلك حرم الله على أزواج النبي صلى الله عليه وسلم أن ينكحن بعده، لأنهن أزواجه في الجنة.


" Jika kamu ingin menjadi isteriku dalam syurga, maka janganlah kamu berkahwin sesudahku. Sesungguhnya seorang perempuan itu akan menjadi pasangan kepada suaminya yang terakhir di dunia. Kerana itu Allah mengharamkan ke atas para isteri nabi SAW daripada berkahwin lagi sesudahnya kerana mereka akan menjadi isterinya dalam syurga". 


Walau bagaimanapun, mengambil perkataan Huzaifah tersebut bukanlah satu dalil yang boleh dimuktamadkan. Ia adalah perkataan seorang sahabat yang berlaku perbezaan pula dengan perkataan sahabat yang lain  serta tindakan beberapa di antara mereka. Kalangan sahabat, ada yang berkahwin dengan janda sahabat yang lain. Lagi pula, alasan kenapa isteri nabi diharamkan menikah lagi sesudah Rasulullah tidaklah boleh disandarkan kepada suami terakhir akan menjadi suami di syurga. Para isteri nabi sebenarnya adalah ibu orang beriman, maka bagaimana ibu hendak dikahwini oleh anak-anak?

Apapun, ingatlah firman Allah SWT mengenai nikmat syurga:

 
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الأَعْيُنُ وَأَنْتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

" Dan di dalamnya apa sahaja yang diingini oleh syahwat dan enak dipandang mata serta kamu kekal di dalamnya.".
(Surah Az-Zukhruf: Ayat 71)

 Ahli syurga punya keluasan yang tidak dapat dibayangkan dengan akal dan minda dunia. Apa yang diingini berdasarkan keinginan mereka, Allah akan tunaikan. Maka, apalah mahu dirungsingkan mengenai siapakan suami seorang wanita dalam syurga kelak. Suami mana yang dia mahu, Allah SWT akan tunaikan keinginannya. Bukankah itu janji Allah SWT. Tentu sekali semua keinginan warga syurga kelak adalah keinginan yang sesuai dengan watak para syurgawi. Jangan pula dibayangkan keinginan yang bukan-bukan.

Memberi pesanan atau wasiat kepada isteri supaya jangan berkahwin lagi, menurut hematku, adalah tidak wajar. Ia merupakan satu wasiat yang cuba menghalang perkara yang dihalalkan Allah SWT.  Juga merupakan wasiat yang menzalimi wanita tersebut. Terlebih lagi jika wanita itu masih dalam kondisi memerlukan suami baru dan berkeinginan kepada keperluan seksual dan pembelaan hidup. Isteri tersebut tidak terikat dengan wasiat yang seumpama itu. 

Hendaklah kita berlapang dada dan buangkan kerungsingan tentang dengan siapa kita akan berkahwin di akhirat sana. Tetapi, yang perlu kita rungsingkan, apakah kita ini layak dan akan masuk menghuni syurga Allah SWT!



No comments: