Saya berpandangan, dalam Islam, persoalan ibadah dan akidah memang hak eksklusif orang Islam. Orang bukan Islam tidak terlibat dalam soal ibadah dan akidah orang Islam. Namun, dalam soal Jinayat dan Mu'amalat, ia bukan ekslusif untuk orang ISlam sahaja. Hukum jinayat dan mu'amalat Islam itu dilaksanakan juga kepada yang bukan Islam.
Sebab itu, dalam soal melaksanakan undang-undang hudud, ia melibatkan seluruh rakyat sama ada Islam atau bukan. Ia universal ke atas semua rakyat. Samalah keadaanya dengan mu'amalat. Ia melibatkan semua rakyat. Kalau Islam melarang menipu dalam jual beli, tidak boleh amalkan riba, pajak gadai dan sebagainya, ia bukan sahaja untuk orang Islam. Orang bukan Islam juga tertakluk kepada hukum berkaitan. Maka, demikianlah juga dalam soal jinayat.
Tidak boleh rakyat Islam sahaja yang dilarang mengamalkan mu'amalat ribawi sedangkan orang bukan Islam tidak, Demikian juga, tidak wajar jika orang bukan Islam dihukum potong tangan kerana mencuri sedangkan yang bukan Islam tidak. Dalam sebuah negara, jika masih ada dua sistem diamalkan, negara tersebut masih lagi menyimpan najis sekularisma.
Orang bukan Islam boleh menerima hukum muamalat, maka kenapa pula mereka tidak boleh menerima hukum jinayat. Penolakan orang bukan Islam terhadap undang-undang hudud yang rancak dalam negara kita dewasa ini adalah angkara umat Islam sendiri. Walau pun beragama Islam, ada kalangan orang Islam yang menentang hudud. Maka, bagaimana orang yang jelas bukan Islam mahu menerima hudud?
Kita percaya dan yakin, kefahaman masyarakat tentang perundangan Islam akan bertambah baik dari semasa ke semasa. Lambat laun, perundangan Islam akan tertegak di atas muka bumi. Hanya persoalan masa, bila iia akan diterima dan tertegak.
No comments:
Post a Comment