CARI BAHAN

Thursday, April 05, 2012

Menyebar kekacauan pemikiran

Satu seminar akan diadakan oleh pihak Hizbut Tahrir hujung minggu ini di Sandakan. Tajuknya "Negara Islam". Seorang sahabat membawa poster mengenai program tersebut untuk ditampalkan di masjid kejiranan Taman Fajar. 

"Anta Hizbut Tahrir ke?", aku sengaja melontarkan pertanyaan tersebut kepadanya. Aku tahu dia adalah penyokong PAS.

"Eh, tidaklah, ada anak murid kat sekolah minta tolong...", balasnya.

"Tak perlulah ditampal...perlulah kita menjadi pembantu kepada penyebar kekacauan pemikiran dalam gerakan Islam?", aku mengingatkan.

Sesungguhnya aku sudah nampak niat serong Hizbut Tahrir ini. Sekarang, apabila PAS tidak lagi menjadi jaguh juru bicara istilah Negara Islam, HIzbut Tahrir tampil dengan cubaan menjadi jaguhnya. Pengguguran PAS daripada menggunakan terma Negara Islam bukan bermakna PAS tidak lagi memperjuangkannya. Istilah Negara Berkebajikan yang digunakan sebagai ganti menjadi serangan puak Hizbut Tahrir dengan menyifatkan PAS sudah tidak memperjuangkan Negara Islam!


Sebab itu, apabila seminar tentang negara Islam mahu dibuat, sudah dapat dibayangkan, ke manakah peluru serangan itu secara "tumbuk rusuk" mahu dihalakan.  Membawa pemikiran ummat untuk menjadi nostalgik, adalah manhaj ketara dalam Hizbut Tahrir! Anjakan perjuangan perlu dilakukan sebagai strategi kemenangan. Musuh akan tersenyum lebar apabila kita berjuang tanpa kebijakan strategi.

Telah nyata bahawa menggunakan istilah negara Islam tidak menguntungkan banyak untuk perjuangan Islam. Bukan Islam di Malaysia telah berjaya ditakut-takutkan oleh UMNO selama bertahun-tahun terhadap istilah Negara Islam. Ia banyak memberi kecederaan kepada perjuangan Islam. Sementelahan, ia bukan istilah wajib yang datang bersama Islam. Pada zaman Rasulullah SAW pun istilah itu tiada. Apa yang penting isi kandungan negara Islam itu. Apa guna bergendang dengan nama Negara Islam seperti mana yang diumumkan oleh Dr. Mahathir untuk Malaysianya, tetapi apakah itu menjadikan Malaysia negara Islam?

Jangan jadi penyebar kekacauan pemikiran dalam gerakan Islam!


No comments: