Kasihan dengar khabar dari saudaraku di kampung, bahawa orang-orang kampungku bertolak dengan sebuah bas ke Kuala Lumpur malam kelmarin. Tok Imam, Bilal , siak serta ramai ahli jamaah masjid ikut serta sehingga terasa kehilangan mereka oleh para jemaah masjdi di kampung. Mereka tinggalkan kerja menoreh dan persoalan lembu dan ayam itik, semata-mata kerana mahu bersama dengan gerakan dan kebangkitan rakyat di Kuala Lumpur, di bawah panji bernama Bersih 3.0. Mereka menempuh jalan beratus kilometer melalui lebuh raya utara-selatan. Mereka juga korbankan wang poket sendiri untuk misi tersebut.
Sungguh kasihan untuk rakyat negaraku dewasa ini. Kenapalah mereka bersusah payah turun ke Bersih 3.0? Untuk apa semua itu? Bukankah enak kalau tinggal sahaja di kampung dan buatlah kerja menyara keluarga di sana. Penuhilah rutin harian macam biasa. Tak usahlah fikir dan risau tentang masalah yang dibangkitkan oleh pihak penganjur Bersih 3.0 itu.
Bukan alang kepalang pengorbanan yang perlu ditempuhi untuk ke Kuala Lumpur itu. Tambahan pula kerajaan sedia ada mengancam dengan pelbagai ancaman. Perlu pula berdepan dengan polis dan risiko kekejaman dan kebuasan mereka. Sejarah penguraian polis terhadap demontrasi rakyat penuhkan cerita luka. Gas pemedih mata, water cannon, tangkapan dan dipukul serta dipenjarakan adalah antara kemungkinan-kemungkinan yang terpaksa ditempuh oleh peserta Bersih 3.0.
Pihak polis dan penguasa yang ber"kapok" atas batang leher mereka tidak kenal tasamuh. Sekalipun himpunan itu menyatakan mottonya "duduk dan bantah", mereka tetap enggan menerimanya dan mengatakan ia bahaya untuk negara.
Sebenarnya bukan membahayakan negara. Hanya ia membahayakan penguasa yang makar dan maling, maka himpunan itu ditentang habis-habisan.
Kasihan pakcik, makcik dari kampung....Mereka terpaksa hadapi semua itu. Hanya kerana ingin melihat sebuah negara yang adik dan saksama. Menyingkirkan penguasa yang beraja dengan penipuan pilihanraya. Kalaulah penguasa adil, semua itu tidak perlu. Rakyat akan dudk menghirup kopi di kedai simpang jalan awal pagi dengan senyum tawa lebar.
Sabarlah wahai orang kampungku. Masa itu tidak lama lagi....
No comments:
Post a Comment