Kalau mereka berhikayat, biarkan aku juga berhikayat. Hikayat mereka bernama hikayat Perjuangan Kemerdekaan. Dalam hikayat tersebut, ada pejuang sejati dinafikan. Ada pembela penjajah dianggap pejuang. Kerana hikayat itu hak diri sendiri agaknya, maka mereka berhikayat. Kalau begitu, mempercayai sesuatu hikayat itu juga adalah hak sendiri. Seseorang tidak boleh dipaksa menerima satu hikayat dan tidak boleh pembuat hikayat juga tidak boleh dimarahi.
Maka, biar aku berhikayat mengenai diriku.
Dulu, moyangku yang entah ke berapa di atasku, adalah bangsawan muqarrabin dalam daulah Uthmaniah di Turki. Kira-kira, dari segi kelayakkan menjadi khalifah ummat Islam, adalah juga pada moyangku tersebut. Kemudian, salah seorang leluhurku yang berketurunan moyang bangsa Turki itu telah berhijrah meninggalkan Turki. Alkisah, perkara itu berlaku selepas jatuhnya kerajaan Turki Othmaniah ke tangan Mohd Kemal At-Tarturk. Dia berkelana ke negeri Hadramaut dan disama bersemenda dengan puteri seorang ulama Hadhramaut dari keturunan Alawiyyin. Kerana minat dalam pengembaraan, salahs eorang anak lelakinya telah naik kapal sehingga sampai ke sebuah negara Islam di Asia Tenggara. Kerajaan itu dulunya dinamakan orang negara Champa. Pada zaman komunis telah menguasai Vietnam , kerajaan Champa telah lupus dari muka bumi diserang oleh kerajaan komunis tersebut. Maka, raja terakhir Champa itu namanya Che Man bersama ramai rakyat Champa telah lari berhijrah meninggalkan tanah air yang telah diperkosa. Dari keturunan Che Man itu, lahirlah pula moyang datukku yang bernama Che Mat. Datukku telah menetap di kampung yang menjadi kampung asalku di Kedah dan dari salasilah itu aku dilahirkan.
Cerita auta! Kata seorang pendengar setiaku. Aku tersenyum lalu berkata bahawa ceritaku, hikayatku dan lipurku adalah milikku. Mereka yang lain bebas merangkai cerita sejarah, maka apa salahnya aku menceritakan cerita sejarahku. Aku menambahkah bahawa ceritaku adalah hakikat. Sama seperti pendakwa cerita sejarah mereka sebagai hakikat.
Apa buktinya? Mereka yang menceritakan sejara itu bukan punya bukti mantap. Sekadar catatan dalam buku sejarah bukan bukti. Mana sanad perawinya untuk diandalkan kepercayaan kita? Maka, aku pun tidak perlu membuktikan sejarahku. Cukup aku sebagai buktinya. Kalau mahu bukti, aku pun boleh membuat bukti.
Aku adalah cucu seorang yang punya kekayaan hartanah besar dulu. Sifat itu adalah sifat orang bangsawan. Aku pun sering ditaklifkan jadi pemimpin pada peringkat yang sesuai dengan keberadaanku. Itu pun boleh jadi bukti kebenaran sejarahku.
Anda menang sudah gila. Ceritamu memang auta dan diada-adakan. Tuduh pendengar setiaku itu. Kataku, aku punya suka kerana itu ceritaku. Adakah aku boleh ditangkap kerana cerita sejarahku? Kalau aku perlu ditangkap, pencalit sejarah pengorbanan polis-polis penjajah yang terbunuh oleh serangan komunis itu juga perlu ditangkap. Para pelakar sejarah tokoh pejuang kemerdekaan yang lewat itu juga perlu ditangkap kerana tahap ceritanya tidak juga jauh daripada ceritaku. Bezanya, mereka banyak duit dan ada kuasa untuk membukukannya menjadi silibus sejarah di sekolah.
Aku meilik ceritaku. Cerita kita semua tidak perlu senarai rawi. Ceritaku bukan hadis. Siapa nak percaya silakan. Siapa tidak mahu percaya pergilah cari cerita lain. Alang-alang bercerita, biar kita cerita semahunya.
Biar caca marba sejarah lalu dan orang hari ini menapis kebenarannya dengan akal sendiri!
No comments:
Post a Comment