Kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf, daftar pemilih yang digunapakai oleh SPR dalam pilihanraya ke-13 nanti adalah "Yang Paling Bersih Di Dunia". Wah, sungguh hebat kedengarannya. Memang di Malaysia ini menjadi semacam gila-gila untuk mencapai tahap "paling". Ada bangunan yang dibuat dulu kerana mengejar gelaran paling tinggi. Kalau tidak di dunia pun, di Asia Tenggara pun jadilah. Banyak lagi yang "paling" terdapat di Malaysia. Paling panjang, paling besar, paling luas dan bermacam -macam lagi. Semuanya mahu masuk "book of records". Namun, yang paling kedengaran lawak jenaka adalah kenyataan bahawa daftar pemilih kita"Paling Bersih di Dunia".
Umum mengetahui bahawa daftar pemilih kita tidak cukup bersih. Tidaklah berani untuk kukatakan paling kotor. Namun, untuk mempercayai bahawa paling bersih, aku sukar sekali. Itu cuma dakwaan orang yang sedang tertekan. Ungkapan gila atau separuh gila akan keluar dari mana-mana orang yang sedang dalam tekanan paras hampagas.
Kalau paling bersih mengapa tidak dibuktikan? Terlalu banyak alasan dikemukakan berhubung penama-penama misteri yang berdimosil pada alamat yang sama sedangkan orangnya tiada. Rakyat bawahan memang tidak ada keupayaan untuk membuktikan hal ini. Namun, tidak semua rakyat tidak berupaya. Kalangan rakyat, sudah ada yang melangkah ke alam cerdik dan mumayyiz beribu takah berbanding pengerusi SPR tersebut.
Zaman sudah berubah. Maka, rakyat perlu dilayani sebagai kelompok yang cerdik. Bukan lagi sebagaimana tahun 50-an sehingga 90-an.
No comments:
Post a Comment