CARI BAHAN

Thursday, April 26, 2012

Ke mana hala tarbiah PAS?

"Apalah makna tarbiah kalau tidak sanggup turun ke lapangan untuk kerja-kerja pilihanraya?", keluh seorang sahabat yang kuat berjuang dalam parti PAS.

Tarbiah dilihat seharusnya dapat menjadi seorang ahli PAS itu sangup turun ke medan dan melakukan kerja-kerja yang berkaitan pilihanraya secara khusus. Kempen pilihanraya dari rumah ke rumah, sebar risalah politik, gantung bendera, dengar ceramah pimpinan parti dan parti yang bersekutu dan mesyuarat-mesyuarat Jabatan Pilihanraya.

Aku cuba merenung dan mendalami konsep tarbiah dalam Pas sebagai gerakan Islam. Apakah natijah tarbiah dalam PAS kesemuanya berkemuncakkan pilihanraya. Apakah benar pilihanraya adalah kemuncak kepada perjuangan PAS? Jika seorang yang mengaku PAS dan menjalani proses tarbiah PAS tetapi kurang minat dalam kerja-kerja pilihanraya, bolehkah kita katakan bahawa dia telah gagal menghadam tarbiah PAS?

Secara peribadi, aku tidak mahu melihat pilihanraya sebagai kemuncak amal dalam PAS. PAS seharusnya menjadi lebih besar daripada itu. Ia adalah sebuah gerakan yang melangkau kerja meraih kekuasaan di dunia. Pas mencebur dalam proses menancapkan ukhrawi dalam dada manusia. Maka, pilihanraya hanyalah satu sisi dalam PAS yang tidak harus dibesarkan dan didewakan sehingga diaulawiyatkan di atas semua yang lain. Bagaimana dengan dakwah? Bagaimana dengan kebajikan rakyat? Bagaimana dengan tradisi ilmu yang perlu disebarkan dalam masyarakat? Bagaimana dengan pendidikan yang perlu diperteguhkan? Dan...bagaimana dengan kerja-kerja pengkaderan generasi amilin yang mahu ditempatkan dalam perjuangan PAS yang melangkau perlbagai dimensi?

Para Aktor politik pilihanraya cuba meletakkan kerja-kerja pilihanraya sebagai aulawiyat nombor wahid dalam PAS.Mereka banyak berbicara mengenai strategi dan kemenangan sehingga bicara itu merampas banyak masa tidur mereka. Lantas, menjadi kuranglah pula tarbiah rohani agar menjadi hamba yang rahban di malam hari. Keutamaan melampau terhadap kerja-kerja pilihanraya menyebabkan timbul perlecehan terhadap bidang kerja asasi gerakan Islam.

Apakah kita mahu PAS muncul sebagai sebuah parti politik yang hanya menggantikan UMNO? Jika demikian, ia hanya perjuangan peribadi para aktor politik. Para mukhlasin dalam PAS tidak akan meraih apa-apa keuntungan duniawi kerana mereka hanya mengharapkan balasan ukhrawi daripada Allh SWT. Jangan sampai jenuh oppurtunis politik yang memijak kepala para munhlasin demi meraih pamrih politik yang dibayangkan mengembungkan poket sendiri!

No comments: