CARI BAHAN

Thursday, May 24, 2012

Saatnya jatuh sebuah kekuasaan

Dalam beberapa hari ini, dunia politik dikejutkan dengan penghijrahan beberapa individu penting ke dalam kancah politik pembangkang. Kita pun tidak faham kenapa mereka mengambil tindakan berani tersebut. Seorang penyanyi seperti Aishah, dengan jelas mengistiharkan dirinya sebagai menyertai PAS. Terdahulu, kita telah pun kehairanan dengan penyertaan Bob Lukman ke dalam PAS. Terbaru, seorang bekas pengarah CID Bukit Amana, Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS. Kemduian, bekas pendakwaraya kes Liwat membabitkan Anwar Ibrahim dahulu membuat kejutan dengan menyertai pula pasukan peguan membela DS Anwar Ibrahim dalam Isu Bersih 3.0. Ada Pemuda UMNO Perak yang membuat kejutan keluar UMNO kemudian masuk balik dalam UMNO. Tentu ia menjejaskan reputasi UMNO sedikit sebanyak, menambahkan lagi derita sakaratul maut yang ditanggung.

Perkembangan ini memang menarik. Ramainya orang terkemuka dan berpengaruh menyertai kumpulan pembangkang memberi petanda hujung hayat sebuah parti penguasa. Dalam beberapa masa terdekat, akan kian ramailah soldadu pemerintah menyemberang. 

Saat kejatuhan Firaun menjadi nyata bila para ahli sihirnya mula beriman!


Saturday, May 19, 2012

Masa depan untuk kita!

Lambat bangat, ia akan mengalami kepupusan juga. Betapapun dihalang, kenyataan itu tetap akan berlaku. Generasi baru yang mendokong parti pemerintah sekarang ini semakin menipis. Orang cerdik pandai yang menyokong mereka juga semakin susut. Ramai anak penganut parti pemerintah dapat ditawan dan dijadikan pejuang kebangkitan Islam dan juga keadilan rakyat. Terlalu sedikit pula anak-anak pejuang Islam dan pejuang rakyat yang dapat dipengaruhi oleh parti penguasa.

Sebab itu, aku tidak peduli apa yang dikatakan orang tentang perjuangan parti Islam. Dalam mesyuarat sebuah jawatankuasa masjid, dibincangkan apakah wajar dibenarkan atau tidak, khatib dan penceramah pembangkang berdiri di membar masjid dan depan khalawak masjid menyampaikan khutbah dan ceramah. Keputusan yang dibuat adalah untuk mengawal kemasukkan orang-orang yang berfahaman membangkang pemerintah daripada berkhutbah dan berkuliah di masjid

Aku tidak risau sangat tentang itu. Semangnya orang yang cerdik di mana-manapun di Malaysian ini berada dalam parti Islam. Mana ada orang UMNO yang mampu berkuliah. Sedikit amat yang berani berkhutbah jumuat sekalipun.

Kita ada masa depan sedangkan mereka bermsa depan muram durja!

Thursday, May 17, 2012

Neneknya Muhammadiah!

Seorang rakan guru menceritakan mengenai neneknya yang telah meninggal. Katanya, nenek itu meninggal pada usia 100 tahun. Semasa hidupnya, dia adalah seroang pejuang Muhammadiah yang sangat kuat beramal dengan perinsip-perinsip Muhammadiah. Apa yang diceritakannya, semasa hayatnya, neneknya menghukumkan haram makan kenduri arwah kerana ia menyalahi sunnah baginda Rasulullah SAW.  Jika ada pengikut Muhammadiah yang meninggal, mereka tidak membuat kenduri arwah, sebaliknya mereka membuat majlis tazkirah. Penyediaan makanan pula tidak dibebankan kepada keluarga si mati. Neneknya menghabiskan masa hidupnya dengan dakwah Muhammadiah.

" Nenek itu meninggalkan dunia sebagai orang Soleh...", balasku setelah mendengar ceritanya mengenai sosok peribadi nenek rakan guru itu.

"Ameen", balas rakan guru itu.

Muhammadiah merupakan jamaah Islam yang dikatakan kedua terbesar selepas Nahdatul Ulama. Jumlah ahlinya lebih daripada 20 juta orang. Di Malaysia, aliran Muhammadiah itu diterjemahkan sebagai aliran kaum muda manakalah kelompok Nahdatul Ulama di Indonesia, apabila di Malaysia, dikenali sebagai Kaum Tua.

Pertembungan antara Muhammadiah dan Nahdatul Ulama memang sengit. Sejak dulu hingga kini. entah sampai bila...

" Pernah menonton filem Sang Pencerah?", tanyaku kepada rakan guru itu. 

Dia menggeleng. Cerita itu sangat baik ditonton oleh mereka yang mahu mengenali Muhammadiah. Ia adalah sebuah filem sejarah yang menceritakan perjuangan Kiyai Ahmad Dahlan, pengasas Muhammadiah.

" Nenekku itu asalnya Tarakan. Kalau dia datang melawat kami di Sabah, kami selalu nasihatkan dia agar jangan bawa pendekatan Muhammadiah di Sabah. Masyarakat Sabah sudah dibudayakan dengan majlis tahlil dan adat istiadat kematian ini...", ujar rakan guru itu.

" Kebiasaan tersebut tidak menjadikan kita pengikut setia...kesalahan hendaklah dibanteras dengan perjuangan...biarpun panjang masanya...", tukasku.


Perubahan bukan perebutan kuasa.

Timbalan Perdana Menteri menasihatkan rakyat Malaysia agar mengambil iktibar kejatuhan negara-negara dalam sejarah dunia akibat berebut kuasa. Beliau dilaporkan berkata demikian ketika melancarkan sebuah buku terjemahan yang diterbitkan oleh DBP yang bertajuk "Hikayat Tiga Negara". Nasihat tersebut tentunya ditujukan secara tersirat kepada rakyat yang pada hari ini cenderung untuk menyokong pihak pembangkang yang cuba merebut kuasa daripada kerajaan yang sedia ada.

Sememangnya perebutan kuasa telah dicatat dalams ejarah sebagai salah satu punca penting jatuhnya sesebuah kuasa di zaman dahulu. Kerana berebut kuasa, tumbanglah pemerintahan umaiyyah dan bertukar kepada pemerintahan Abbasiah. Demikian pula, legasi pemerintahan Islam di Andalusia selama lebih 500 tahun juga tamat gara-gara perebutan kuasa antara amir di wilayah-wilayahnya.  Seantero dunia kita sering mendengar kisah kejatuhan bangsa dan negara tertentu kerana perebutan kuasa.

Namun, Timbalan Perdana Menteri tidak juga harus lupa bahawa kejatuhan sesuatu bangsa dan negara juga disebabkan oleh pemimpin yang rasuah dan korup. Apabila ada pemimpin sedemikian dalam negara, maka menjadi kewajipan negara diselamatkan dengan cara kuasa mereka direbut dan diserahkan kepada pemimpin yang lain. Silih ganti pemimpin adalah perkara biasa dalam sejarah. Sejarah juga memperlihatkan kepada kita betapa banyak bangsa dan negara yang dapat diselamatkan dengan pertukaran pemimpin daripada yang jahat  kepada yang lebih baik.

Rakyat negara kita menyimpan banyak memori luka yang tidak dapat dilupakan. Pembaziran wang negara dalam pelbagai kesilapan urus tadbir sudah sampaui ke peringkat tidka boleh dimaafkan. Logik apapun tidak boleh diterima rakyat untuk mengetahui bahawa suami bekas Menteri Pembangunan  Wanita, Sharizat Jalil mendapat RM250 juta untuk projek lembu yang tidak menjadi. Rakyat juga tidak boleh menerima alasan apapun untuk menghalalkan RM500 juta sebagai komisyen pembelian kapal selam scorpene dari Perancis. Tidak juga boleh diterima bagaimana Tajudin Ramli boleh mendapat sekitar RM850 juta berhubung tuntutannya terhadap Syarikat MAS.

Sungguh banyak kebejatan pemimpin yang ada sehingga tidak mampu lagi hendak dibilang dengan jemari yang ada. Saatnya telah sampai untuk berubah.

Berapa ramai demi Islam?

Apa salahnya kalau kita letih dan letih itu demi Islam. Kita seringkali merasa letih kerana tugas-tugas dunia kita. Seorang guru seperti aku, seringkali pula letih dengan tugas-tugas di sekolah. Mengapa di kala letih kerana tugas sebagai guru itu tidak pula dikeluhkan. Sebaliknya bile hendak melakukan kerja-kerja menaikkan nama Islam, persoalan letih ditimbulkan!

Lebih jauh daripada itu, mari sejenak kita fikirkan pula. Alangkah ramai orang masuk penjara tetapi berapa ramai yang masuk penjara kerana memperjuangkan Islam? Ramai pula orang jatuh miskin, tetapi berapa ramai yang jatuh miskin kerana mendermakan harta untuk perjuangan Islam. Seringkali pula kita dipulau kerana sesuatu sebab, tetapi, berapa ramai yang dipulau demi kerana perjuangan Islam? Akhir sekali, ramai orang mati. Malah hari-hari orang mati. Kekadang, orang mati dengan tragedi seperti kemalangan, tsunami dan sebagainya. Hatta, ada masanya angkanya mencapai ratusan ribu sekaligus. Namun, berapa ramai yang mati demi perjuangan Islam?

Allahu akbar...alangkah sukarnya mencari akhirat di celah kehidupan dunia! Orang lebih terasa dengan dujnia daripada akhirat.

Tuesday, May 15, 2012

Nama Islam mahu dilarang?

Apa pasal heboh balik pasal nama Islam. Yang teruknya, mufti Perak tumpang sekaki. Katanya, dia bawa berbincang dalam MFK mengenai isu penggunaan nama Islam dalam pertubuhan. Tentunya punca timbul isu itu adalah nama Islam pada parti PAS. Setelah sekian lama sejak isu itu berhenti beberapa tahun lalu, kini ia ditimbulkan lagi oleh sesetengah orang yang hilang kudrat melawan perkembangan parti Islam tersebut. Oleh kerana bermacam-macam cara telah dibuat, tetapi tidak berjaya mengikis pengaruh PAS, maka dicuba pula cara membuang nama Islam pada PAS. Pada sangkaan manusia dungu itu, nama Islam pada PAS itulah punca kekuatannya.

Mereka memang jenis manusia yang memandang besar pada nama. Sebab itu, apa sahaja yang dilakukan mereka adalah untuk nama. Orang yang buat sesuatu kerana nama, itu perangai orang tak ikhlas. Kerana apa wang ditebarkan kepada rakyat? Apakah kerana mahu membantu rakyat? Aku rasa tidak. Ia adalah kerana untuk dapat nama. Nama sebagai sebuah kerajaan yang perihatin terhadap rakyat. Rakyat yang berakal akan berfikir, kerana apa setelah 50 tahun lebih baru wang ditaburkan gila-gila kepada rakyat? Lebih-lebih lagi pula, kenapa hanya pada penghujung penggal pemerintahan, setelah bau pilihanraya makin kuat baunya?

Patutnya, cadangan untuk buangkan nama Islam pada pertubuhan itu hendaklah mengena semua. Bukan sahaja terhadap PAS. Banyak pertubuhan yang ada nama Islam. ABIM, Puteri Islam, Persatuan-persatuan pengguna Islam dan banyak lagi. Semua nama Islam pada pertubuhan dan persatuan itu perlulah dibuang. Selain itu, nama-nama Islam pada syarikat juga hendaklah digugurkan. Nama Bank Islam, Pajak Gadai Islam dan Balai Islam, Pusat Islam, Majlis Agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam dan semua yang lain juga perlulah dibuang nama Islam pada mereka. Sesiapa orang yang ada nama Islam padanya juga perlu dilarang.

Macamana Harussani? Sanggup?

Monday, May 14, 2012

Tahun 1511

Menurut Tan Sri Nor Mohamd Nor Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia bahaya jika BN kalah dalam pilihanraya dan pembangkang menang. Katanya, jika itu terjadi, negara akan kembali kepada tahun 1511. Tahun itu adalah tahun kejatuhan Melaka ke tangan Pertugis.

Barangkali, menteri tersebut ingin menggambarkan bahana yang akan terjadi. Melayu jadi merempat di bumi sendiri. Melayu tidak ada apa-apa kelebihan lagi kerana tanah tumpah darah mereka telah dijajah. Dia cuma menggambarkan pembangkang yang cuba meraih kuasa di Malaysia ini sama seperti penjajah. 

Tahun 1511 belum ada UMNO, parti keramat yang dikhurafatkan Melayu itu. Memanglah benar apa yang dikata. Jika Pembangkang menang, ertinya UMNO-BN tamat riwayat. Bila tamat riwayat, bagi UMNO-BN samalah macam tahun 1511. Kita tahu bahawa UMNO-BN hanya boleh bernafas jika ada kuasa. Dengan kuasa dapat duit. Tanpa kuasa dan duit, UMNO-BN putus urat mareh wadajain. Maka sakaratnya tidak lama. 

Jadilah tahun ini sebagai tahun 1511.

Sunday, May 13, 2012

Cakap politik

Mereka suka sebut orang hebat yang sudah meninggal dengan sebutan:

" Saya kagum dia, saya rapat dengannya...", demikian Ezam Md Noor sebutkan tentang Ust Fadhil Noor.

Seseorang itu boleh cakap apa sahaja kerana orang yang sudah meninggal itu tidak dapat lagi bangkit untuk mengiyakan atau menafikan. Namun, orang yang sudah meninggal itu ada teman-teman dan sahabat. Jika Ezzam mendakwa dia rapat dengan Ust. Fadhil Noor, dia tidak berhak untuk mendahulu sahabat seperjuangan Ust Fadhil Noor dalam Pas. Kalau dia biadab dengan pemimpin Pas yang lain, yang semasa Ust Fadhil Noor masih hidup  berjuang bersamanya, maka bagaimana kita mahu mempercyai bahawa dia baik dengan Ust Fadhil Noor.

Ini semua adalah teknik pecah belah yang diamalkan oleh orang gelisah. Nanti kelak, kalau TG Nik Aziz sudah tiada, tentu akan ada musuh politiknya hari ini akan mendakwa bahawa dia baik dengan Tg Nik Aziz. Itu hanya  teknik meraih simpati.

Saturday, May 12, 2012

Angka besar yang dikejar

Semalam UMNO berkumpul di Stadium Bukit Jalil untuk sambutan hari ulatahun kelahirannya yang-66. Kata pemimpin UMNO yang bercakap menerusi TV, perhimpunan tersebut adalah untuk semua orang, bukan sahaja untuk ahli UMNO. Dianggarkan lebih 100 ribu dalam stadium (sungguhpun dakwaan itu meragukan) dan ramai lagi tersangkut dalam perjalanan. Khabarnya, itu perhimpunan terbesar yang pernah diadakan oleh UMNO.

Pemimpin UMNO dalam TV menyatakan angka-angka besar yang hadir semalam. Kelihatannya jumlah dan angka kehadiran sangat dipentingkan oleh mereka, Mereka cuba menyaingi angka kehadiran Bersih 3.0 yang baru-baru ini diadakan. Adalah lekeh dan memalukan kalau angkanya lebih kecil berbanding jumlah kehadiran semasa Bersih 3.0.

Apapun, inilah sebenarnya hari zinah yang pernah terjadinya dalam sejarah Firaun.  Apa yang berlakunya selepas berlalunya hari Zinah tersebut? Sila rujuk Al-Quran dalam ayat-ayat yang menceritakan kisah nabi Musa dan Firaun

Rupanya sejarah sama sahaja dan mengulang-ulang hal yang sama.

2 asas akhlak.

Aku menyebutkan dalam rumusan usrah semalam bahawa akhlak berdiri di atas dua nilai mulia iaitu:

a) Menahan kemarahan.
b) Memaafkan orang lain.

Ini berdasarkan apa yang disebutkan dalam Al-Quran iaitu:


 وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

 Dan yang menggigit kemarahannya dan yang memaafkan manusia. Dan Allah itu suka kepada orang yang berbuat baik.
(Surah Ali Imran: 134)









Jati dan perjuangannya.

Khabarnya, Jalur Tiga (Jati) pimpinan Hasan Ali akan menghantar satu memorandum 10 perkara kepada Perdana Menteri jika ahlinya telah mencecah 100 ribu orang. Antara kandungan memorandum tersebut adalah menuntut agar mata pelajaran agama Islam dimasukkan sebagai mata pelajaran wajib dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Perkara tersebut dinyatakan dalam satu ceramah oleh Hasan Ali.

Demikianlah perjuangan Jati. Perjuangannya bukan sebesar mana. Sekadar hendak memasukkan mata pelajaran Agama Islam dalam peperiksaan awam di sekolah, ia bukan satu perjuangan besar. Kalau masukkan mata pelajaran Agama Islam dalam peperiksaan, apakah itu menjadikan pendidikan Islam terbela dan Islam berada di tempat yang tinggi?

Menurut hematku, Hasan Ali sebenarnya tidak tahu apa yang patut diperjuangkannya. Tiga perkara yang diwar-warkannya itu, iaitu Islam, Melayu dan raja, dia sendiri pun tidak tahu bahagian mana yang hendak diperjuangkan. Maka, tidak hairanlah jika keluar hal-hal yang sepele dalam zikir perjuangannya.

Seorang murtad jamaah Islam tidak akan tahu berjuang lagi. Seorang uang derhaka kepada ulil amri tidak akan menemui jalan sejahtera dalam perjuangan. Itulah orang muzabzab yang menjadi laksana lalang!

Friday, May 11, 2012

TV yang berdusta

Ramai juga yang termakan fitnah dan adu domba RTM dan TV 3. Aku tidak berminat untuk mendengar hujah tentang haramnya perhimpunan Bersih 3.0 dengan mengaitkan Ambiga sebagai manusia kafir dan pejuang LGBT. Itu adalah mainan media kerajaan tersebut.

Ketika mendengar seorang kenalan siang tadi menyebutkan bahawa Bersih 3.0 itu adalah perhimpunan kotor kerana ia dipimpin Ambiga yang katanya anti Islam, pendokong Seks LGBT dan kafir, maka aku telah dapat buat kesimpulan bahawa kenalan tersebut hanya menggantungkan maklumatnya pada berita TV kerajaan.

Apa nak buat? Kalau sudah begitu sandarannya, memang tidak hairan kalau dia hanya menyambung lidah auta TV.  Bagiku, kalau menonton TV, sudah tersemat dalam kepalaku bahawa apa yang bakal diucapkan adalah dusta. Benda baik yang keluar dari TV semuanya jadi tak baik belaka.  Tengok ustaz bercakap dalam TV menyampaikan ilmu agama, aku merasakan tiada nilai di sana.

Kalau media sudah dikuasai kerajaan

Semalam, tengok dalam TV 3 menayangkan gambar DS Najib Abd Razak ditemuramah oleh sebuah saluran Radio dan menjawab panggilan orang ke hotline yang disediakan khas untuk beliau menjawab permasalahan rakyat.  Nampaknya, rakyat benar-benar dibodohkan sekarang ini. Ada berapa puluh saluran radio, semuanya menjadi pembodek kerajaan yang berkuasa. Semua TV di Malaysia tidak memberi peluang kepada pembangkang untuk menernag visi dan misi mereka. Ada satu radio bebas di Sarawak, itupun diberi perhatian serius dalam perbahasan para senator Dewan Negara baru-baru ini. Bukan macam radio lain pun. Rasanya macam radio yang berpusat dari luar negara yang boleh memecah masuk ke dalam frekunsi negara.

Seratus media yang ada, semua cuba dikuasai kerajaan. Mujur juga ada internet. Ada fb dan blog. Dapat juga mengetahui berita yang tidka berat sebelah. Kalau nak tengok video, ada youtube. Aku sebenarnya bangga berada pada zaman ini. Zaman teknologi yang membebaskan akal dari belenggu maklumat yang dikongkong oleh penguasa.

Melihat berita TV bukan pilihanku. Aku hany mahu melihat TV kerana nak tengok gelagat yang penuh penipuan itu. Lantas, berita TV perlu ditashihkan dengan pembacaan dan carian maklumat di internet. Inilah gaya hidup pencari maklumat pada zaman ini. Hal yang satu ini, para penguasa yang tamak itu tidak dapat menguasai. Di sini, mereka tidak dapat menawan anak muda secara keseluruhannya kerana anak muda adalah golongan yang tidak bergantung kepada media kerajaan.

Alhamdulillah...zaman ini adalah permulaan kepada perubahan.

Wednesday, May 09, 2012

Si dunggu yang perasan Islamik.

Orang-orang dunggu yang bercakap tentang Islam akan tentu akan sinis bila TG Hj.Hadi Awang mengatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud bukan keutamaan sekalipun PR memerintah Malaysia. Untuk melaksanakannya beberapa syarat mestilah dipenuhi. Sekadar menyebut beberapa contoh, beliau menyatakan jika gaji minimum tidak dilaksanakan dan pengangguran masih menjadi masalah, hukum hudud tidak dapat dilaksanakan.

Orang dunggu itu tentu akan marah. Bukan marah kerana mereka sangat memperjuangkan hudud. Tetapi mereka marah kerana hati dan jasad mereka teklah bercerai dengan parti Islam tersebut dan apa yang bermain dalam fikiran mereka adalah untuk menjatuhkan parti Islam tersebut.

Orang-orang dunggu itu jugalah yang tidak mahu berlapang dada menerima perubahan istilah negara berkebajikan sebagai ganti kempen negara Islam yang sekian lama menjadi selogan PAS. Lantas, si dunggu itu pun berkata bahawa PAS telah tergelincir. Kerana Feqahnya tidak sampai sedepa, si dunggu itu sukar mengerti perubahan yang berlaku. Baginya, perjuangan Islam itu perlu statik dan membujur lalu melintang patah. Apa orang kata jangan peduli. Pendapat orang lain salah semua, pendapat sendiri yang benar.

Manusia semakin berpengetahuan. Perubahan pengetahuan manusia ramai itu tidak diambil kira oleh si dunggu. Perubahan tahap dan daya fikiran rakyat tidak menjadi perhatian si dunggu. Sebab itu, si dunggu hanya akan berusaha memaksakan apa yang difikirkannya betul.

Lambat laun, si dunggu akan hilang ditelan kelapukan diri sendiri!

Bapak Kafir

Tiba-tiba heboh pasal Rahim Noor, bekas ketua polis negara kata TG Nik Aziz sebagai Bapak Kafir. Bekas Polis Negara yang telah menamatkan perkhidmatannya dengan rekod yang buruk itu hampir sahaja sudah dilupakan oleh masyarakat. Tiba-tiba namanya muncul kembali dengan kenyataan yang terlalu dahsyat itu.

Menuduh seorang yang diakui sebagai ulama oleh kebanyakan pencinta Islam sebagai Bapak Kafir adalah sangat mengejutkan. Tambahan pula tuduhan tersebut dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara yang umum tahu jenayahnya sebelum berhenti jadi polis. Dialah yang bertanggungjawap menumbuk DS Anwar Ibrahim dalam tahanan sampai mata lebam. 

Rahim Noor memang jenis manusia yang hitam pekat hatinya. Dia memang duduk dalam zulmat yang tak pernah habis. Sampai dirinya tidak berkuasa, dia tetap dalam pekat dan zulmat tersebut. Maka, sebab itu meluncur kata-kata kufur itu dari lidahnya. Tak usah beritahu dia apa implikasi katanya dari segi agama. Dia bukannya mengerti dan tidka pula peduli. Itulah lagak seorang polis yang mewarnai zaman perkhidmatannya dengan  kezaliman. 

Amat jauh Rahim Noor dari ulama. Persekitarannya bukan persekitaran orang baik. Sebab itu dia mengatakan dengan kata-kata kufur itu. Dia hanya membawa sisa nama mulia iaitu Ketua Polis Negara, padahal kemuliaan itu telah pun tiada padanya. Cubalah, dia pergi jalan-jalan di pekan dan pasar, berapa orang akan pergi bersalam dengannya. Bertuahlah kalau ada yang sudi mencium tangannya. Kalau ada tentu orang itu lebih hina daripadannya. Penamat hayatnya begitulah nanti.

Bandingkan pula TG, Nik Aziz yang dikatakannya Bapak Kafir. Apa yang sedang dibuat TG Nik Aziz sekarang? Mungkin dia tengan solat subuh padahal di mana Rahim sekarang? Kehidupan TG Nik Aziz dengan Rahim bangai langit dan bumi. Kehidupan orang soleh dan kehidupan seorang yang mewarnai hidupnya dengan kefasiqan...manakan sama?



Tuesday, May 08, 2012

JK Fatwa jatuhkan maruah sendiri.

Itulah, kalau nak berfatwa jangan sambil lewa sahaja. Jangan pula ambil maklumat daripada TV3 atau akhbar Utusan Malaysia. Jangan juga hanya telifon polis atau para pemimpin UMNO sahaja. Para mufti yang hendak berfatwa hendaklah turun ke lapangan dan buat kajian. Jangan duduk dalam bilik mufti yang cerminnya menghadap ke Bangunan UMNO di semberang jalan, lalu berfatwa. Kalau sudah fatwa begitu, masyarakat akan ketawa. Masyarakat akan mencebir. Masyarakat akan ke tongsampahkan fatwa sebegitu. Tidak laku. Jangan salahkan rakyat kalau memang fatwanya jenis pandangan sekerat.

Fatwa haramkan perhimpunan sebagai respon perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini dilpaorkan juga dalam media luar negara. Kaca mata luar melihat JK Fatwa Kebansgaan itu samalah seperti fatwa Mufti Besar Syria yang membantah fatwa sokong demonstrasi Arab Spring yang difatwakan sebagai syarie oleh Dr. Yususf Al-Qardhawi. Mufti Besar Syria itu telah termaklumlah, dia diak jaga perutnya. Apa gunanya membela Bashar Assad yang demikian zalim dan hati kering, kalau bukan kerana sayangkan tempat duduk empuknyan dan isi perutnya sendiri.

JK Fatwa Kebangsaan mahu jadi seperti itukah maka fatwa yang mutasyabih dengan fatwa sonsang ulama Syria itu dikeluarkan?  Dalam dunia ini, sewaktu rakyat Arab bangkit menetang penguasa mereka yang zalim, suara mufti Arab Saudi yang dikatakan wahabi itu juga membantah demonstrasi rakyat.

Nah, bagi yang benci sangat kepada Wahabi, silalah katakan JK Fatwa Kebangsaan sudah jadi macam wahabi sebab sealiran dengan wahabi membantah Demonstrasi. Tapi ingat, ramai lagi ulama Arab Saudi yang  dikatakan Wahabi, juga menyokong demonstrasi rakyat menentang penguasa zalim di Tunisia, Mesir, Libya, Syria dan Yaman.

Harga diri JK Fatwa sudah dijatuhkan hina oleh ahlinya sendiri. Mereka menjadi mufti yang terkunci mulut untuk berfatwa secara bebas. Sebagai buktim sepanjang JK Fatwa Kebangsaan berfatwa, mana satu fatwa yang menegur kepincangan pemerintahan? Apakah perintahan sekarang ini lurus dan betul sentiasa sehingga tiada fatwa yang perlu dikeluarkan untuk menegur. Paling tidak, sekarang rakyat menuntut fatwa mengenai kemenangan pilihanraya dengan cara menipu sistem pilihanraya. Apakah kedudukan pemerintah yang berkuasa dengan cara itu?

Sekarang JK Fatwa Kebangsaan sudah terpalit dengan najis buangan sendiri. Orang berani mengkritik. Rakyat bijak pandai sudah banyak. Para mufti rakyat juga sudah ber'jeremut'. Macam mana lagi nak memaksakan satu-satu fatwa ke atas rakyat secara  mudah?



berjeremut: Banyak sangat ( Bahasa longat kampungku)

Monday, May 07, 2012

Yang Remeh dan yang utama

Memang begitu, persoalan pokok tidak dilihat. Persoalan sampingan yang menjadi perbahasan. Ketika JK Fatwa kebangsaan memutuskan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 haram, mereka yang membincangkan hal itu memejamkan mata mengenai persoalan yang menjadi sebab berlakunya himpunan Bersih 3.0. Mereka tidak langsung berfatwa mengenai penipuan dalam sistem pilihanraya yang menjadi sebab meletusnya Bersih 3.0.

Minggu lepas,ada orang pertikai khutbah jumuat yang disampaikan khatib jemputan sebagai berbau politik. Dia persoalkan kenapa khatib luar boleh masuk berkhutbah. Perkara utama, mengenai isu khutbah yang menyebut kezaliman penguasa dalam menyuraikan peserta himpunan Bersih 3.0 tidak dihiraukan.


Dalil dari fatwa dituntut

Ketua AMK menuntut agar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat penjelasan terperinci mengenai fatwa mengharamkan perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Para mufti yang bersidang dalam JK Fatwa tersebut hendaklah tahu mahu zaman kini orang awam sudah tahu men untut dalil. Fatwa haram perlu disertakan dengan dalil. Zaman di mana orang angguk kepala terhadap fatwa para ulama telah berlalu. Zaman taqlid buta telah berlalu. Jika dalil tidak mantap, fatwa tersebut akan dipandang remeh oleh orang awam. 

Maka, menjadi tanggungjawab JK Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan sandaran dan dalil yang digunapakai. Biar nanti para muti rakyat menilai sejauh mana cakna akal minda para mufti dalam membuat keputusan.

Sudah aku katakan, di kalangan rakyat ada muftinya. Mufti kerajaan atau mufti rakyat yang akan dipatuhi?

Sunday, May 06, 2012

Mufti rakyat lebih diikuti

Maklumat terbaru dari FB seorang sahabat memaklumkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terlah bersidang dan mengeluarkan fatwa mengharamkan perhimpunan yang menimbulkan kekacauan. Secara tersiratnya, keputusan fatwa berkenaan memaklumkan bahawa menyertai Bersih 3.0 adalah haram.  Fatwa tersebut dibacakan oleh Prof. Emiritus Datuk Abd Shukor.

Sebagai respons peribadi, aku menyatakan bahawa fatwa itu tiada memberi makna apapun kepadaku. Fatwa tersebut hanya renggekan unta yang sarat memikul kitab. Renggekan kerana bontotnya dipukul oleh tuannya yang gelisah melihat kelambatannya meneruskan perjalanan.

Sejak dulu lagi para ulama kerajaan termasuk yang bekerja sebagai mufti telah hilang kredebeliti di hatiku. Rupanya itulah sebabnya kenapa Imam Hanafi rela disiksa daripada menjawat jawatan mufti kerajaan. Allah sayangkan Dr. Asri Zainal Abidin apabila belia berhenti (mungkin dipaksa berhenti) daripada jawatan mufti negeri Perlis. Menjadi mufti mendedahkan agamawan kepada sifat anjing yang sentiasa menjelir lidahnya.

Apa perlunya berfatwa haramnya perhimpunan seumpama Bersih 3.0? Kenapa tidak ada fatwa tentang haramnya menjalankan pilihanraya dalam keadaan Daftar Pemilih yang kotor? Mana fatwa membetulkan kepincangan kerajaan dan sistem pemerintahan yang ada?

Mana? Mana?

Sebab itu, aku tidak pernah menunggu fatwa. Fatwa tidak penting. Dalam masyarakat sudah ada ulama yang memberi fatwa. Fatwa ulama rakyat lebih diterima berbanding ulama kerajaan. Dakwah ulama  rakyat lebih berkesan berbanding ulama penguasa. Perubahan masyarakat terletak di tangan ulama rakyat. Ulama penguasa hanya berusaha mempertahankan legasi kekuasaan majikannya.

Ma'assalamah!

Kerja orang fasiq

Tuduh orang berzina bukan perangai orang soleh. Orang soleh, sekalipun melihat sendiri dengan mata kepalanya perbuatan zina yang dilakukan oleh seseorang, dia tidak akan mengeluarkan tuduhan sehingga dia yakin mempunyai bukti yang cukup menurut hukum syarak. Syarak telah menetapkan empat orang saksi diperlukan. Jika tiada empat orang saksi, maka si penuduh itu telah melakukan dosa besar. Dosa qazaf. Si pelaku dosa qazaf dihukum dengan sebatan 80 kali.

Inilah hudud Allah. Sudah banyak kali diterangkan oleh para ulama, dibahaskan dalam seminar dan dibentangkan dalam media yang pelbagai, sebahagian anggota masyarakat masih bebal dengan kejahilan dan kebodohannya. Kebodohan itu kian ketara apabila keluar suara sumbang agar orang dituduh melakukan zina itu melakukan sumpah. Disarankan pula sumpah di masjid dan menjunjung Al-Quran. Orang yang membuat tuduhan tidak pula dipersoalkan. Maka, dia makin girang dan merasakan dirinya sebagai orang yang berbuat baik kerana kononnya mendedahkan kemungkaran.

Ini semua kerja orang fasiq. Orang yang menyebarkan tuduhan tanpa bukti adalah kepala fasiq di atas semua orang yang mendendangkan lagu meminta sumpah penafian dibuat. Dalam Al-Quran Allah menegaskan:


إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ


Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak Mengetahui.
(Surah An-Nur: Ayat 19)


Bahasa Pemerintahan Firaun

Ada seorang pemimpin bekas pemimpin negara mendakwa bahawa Bersih 3.0 yang berlaku baru-baru ini adalah usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Pihak yang tertentu itu adalah DS Anwar Ibrahim dan TG Nik Abd Aziz Nik Mat.  Lebih daripada itu, beliau menambah bahawa usaha menjatuhkan kerajaan itu mendapat sokongan dan dana dari pihak luar.

Ketika meneliti butir kenyataannya itu, aku teringat apa yang dikatakan oleh Firaun kepada rakyat Mesir ketika berdepan dengan nabi Musa. Ia sebagaimana dirakamkan dalam Al-Quran:

يُرِيدُ أَنْ يُخْرِجَكُمْ مِنْ أَرْضِكُمْ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ
Ia hendak mengusir kamu dari negerimu sendiri dengan sihirnya; Maka Karena itu apakah yang kamu anjurkan?
(Surah As-Syu’araa’: Ayat 35)

Metod mengancam rakyat dengan ancaman kuasa luar dan cubaan menjatuhkan kerajaan adalah metod pemerintahan Firaun. Setelah terasa begitu letih dan payah menghadapi tentangan lawan, Firaun menggunakan kaedah ugutan dan mengingatkan rakyat agar berpegang dengan patriotisme. Sebagai menambahkan rasa terancam di hati rakyat jelata, Firaun akan menuduh kuasa luar memainkan peranan. Demikian mainan Firaun dan demikianlah pula pemerintahan yang menjadikan Firaun sebagai nabi pemerintahan.

Sebenarnya demikianlah yang brlaku. Dalam tidak sedar, style Firaun dalam mengekalkan kekuasaan akan diciplak. Itu adalah kerana dalam dunia, sepanjang sejarah peradaban manusia, hanya ada dua pemerintahan. Satu pemerintahan yang berwalikan Allah dan satu lagi pemerintahan yang berwalikan Syaitan. Kedua-dua pemerintahan itu ada ciri-cirinya. Pemerintahan Firaun akan dituruti oleh ala-Firaun dengan modifikasi caranya. Demikianlah pula pemerintahan para wali Allah, mereka akan mengamalkan caranya dengan modifikasi yng sesuai dengan perkembangan zaman dan perubahan tempat.

Peniaga rugi kerana Bersih 3.0

Khabarnya ada tuntutan gantirugi dari peniaga di sekitar jalan Tuanku Abd Rahman di Kuala Lumpur. ada yang seklalu berniaga air di situ mengatakan dia tutup premis perniagaannya pada hari himpunan Bersih 3.0 kerana takut rusuhan. Ada peniaga kain baju yang tidak bukan kedai kerana. Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah berkata sehingga semalam, beliau menerima anggaran kerugian lebih RM200,000 daripada peniaga. gara-gara takut perhimpunan Bersih 3.0.

Wah! Senangnya mereka mendakwa kerugian disebabkan Bersih 3.0. Bukankah Bersih 3.0 membawa ratusan ribu orang membanjiri Kuala Lumpur. Jika mereka peniaga yang berfikiran positif, seharusnya mereka melihatnya sebagai peluang. Kenapa mesti tutup perniagaan hanya kerana gembar gembur buruk media mengenai Bersih 3.0. Ramai Peniaga lain yang mengambil peluang untuk berniaga dan meraih keuntungan berlipat ganda.

Jika sudah tutup perniagaan, jangan pula hendak salahkan orang lain. Kerana kebodohan sendiri dalam merabut peluang perniagaan, mereka menanggung kerugian. Kerugian yang didakwa itu sering juga berlaku. dalam 360 hari setahun, banyak juga hari mereka tidak buka perniagaan. Barangkali kerana kereta rosak, gula habis di pasaran, banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur dan sebagainya. Kenapa mereka tidak tuntut kerugian disebabkan faktor-faktor tersebut. Kereta rosak, tuntut pada pihak yang mengeluarkan kereta, gula habis di pasaran, tuntutlah pampasan pula kepada kerajaan yang tidak pandai mengawal gula di pasaran. Banjir kilat salahkan DBKL yang lemah dalam menguruskan bencana banjir berulang itu. Minta gantirugi kerana tidak boleh berniaga.

Kenapa hanya kerana Bersih 3.0 mereka mahu tuntut gantirugi? Peluang keemasan yang diabaikan, mereka cuba persalahkan orang lain. 

Apa yang mereka cuba lakukan tidak dapat menutup mileage di sebaliknya. Tentu mereka diperlembukan lagi oleh pihak yang marahkan sangat dengan Bersih 3.0.

Ilmu Sihir dalam pelbagai rupa

Kuliah Subuh pagi ini aku sampaikan di Masjid Fajar. Isu yang dikupas adalah mengenai ilmu sihir yang ditampilkan dalam pelbagai bentuk dan jenama. Ada ilmu yang diberi nama ilmu putih, budi suci, wali suci dan bedah batin. Ilmu-ilmu tersebut adalah ilmu yang menggunakan camputangan jin dan syaitan, maka ilmu tersebut pada hakikatnya adalah ilmu sihir. Kita hendaklah berwaspada dengan dakwaan orang-orang yang ditampil soleh dan memiliki ilmu sedemikian. Ilmu seumpama itu adalah tazyin syaitan untuk memperdaya manusia.

Ilmu yang benar adalah ilmu yang daripada Allah SWT menerusi rasulnya dan diamalkan oleh para sahabat dan salafus soleh. Sementara, ilmu yang memungkinkan seseornag menjadi kebal, terbang, ghaib dan tidak hangus dibakar, maka ilmu tersebut adalah ilmu menyimpang yang mengundang bencana syirik.

Sehebat nabi Musa, dia terpaksa membelah laut dengan tongkatnya kerana jika terus masuk ke laut akan lemaslah. Sehebat nabi Muhammad SAW, baginda patah gigi dalam perang Uhud. Sehebat Hamzah seorang sahabat merangkap pakcik nabi SAW, dia terbunuh dalam perang Uhud. Demikian, Umar, Uthman dan Ali, mereka mati terbunuh.

Jika ada orang yang didakwa wali Allah, amat pendekar dan luar biasa ilmunya, hendaklah dicermati dimanakah duduk ilmunya itu.

Saturday, May 05, 2012

Zaman mencabar

Zaman ini...
nista menjalar
di denai desa dan lorong kota
noda mengalir deras
bagi sungai pecah empangan

Kelucahan menjadi makanan harian
fitnah adu domba menjadi lirik
dinyanyikan oleh para penyihir
dari dunia di sebalik kaca

Orang jahat didendang perwira
Orang baik dituduh penderhaka

Masjid sudah dianggap biara
Kuil dikatakan medan pendeta

Zaman ini....
Anakmu yang membesar dalam rumah cuma
bisa bertukar menjadi ular berbisa...

Aku tidak menanti fatwa

Ada sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Minda Pondok yang merupakan Gagungan Pondok-pondok di Kelantan. Tidaklah aku tahu seberapa banyak pondok yang berteduh di bawahnya. Berapa banyak pula Tok Guru Pondok yang menjadi ahli Minda Pondok. Tetapi, isu Bersih 3.0 baru-baru ini menyebabkan muncul nama Minda Pondok di Kelantan.

Wakil Minda Pondok yang juga Pengasas Pondok Pulau Ular, Tumpat, Mohamed Zainal Abidin Awang keluar dalam TV3 dan membuat beberapa kenyataan yang tidak haibah. Kenyataannya, malah menjatuhkan maruahnya sendiri. Dia minta Majlis Fatwa Kebangsaan keluarkan fatwa mengharamkan Bersih 3.0. Dengan neada kecewa, dia juga menyatakan bahawa Fatwa Nik Aziz itu adalah salah dan Nik Aziz tidak berhak memberikan fatwa menyertai perhimpunan Bersih 3.0 sebagai wajib.

Sekoyong-koyong aku teringat mengenai institusi Fatwa di Malaysia ini. Sudah banyak sekali fatwa dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi ia tidak banyak mempengaruhi masyarakat. Setahu aku, fatwa tentang keharaman rokok sudah ada, tetapi perokok tidak endahkan juga. Fatwa-fatwa pula kebanyakannya adalah respon terhadap persoalan hukum hakam melibatkan rakyat kebanyakan. Fatwa tentang pemerintah, raja-raja orang-orang kaya tidak ada. 

Maka, aku katakan bahawa aku tidak pernah mengharapkan fatwa. Biarkan para mufti dengan keseronakan fatwanya sedangkan ketika difatwakan, aku tidak mendengarnya pun.

Pendapat seorang "ulamak politik' lebih didengari daripada fatwa para mufti. Apa maknanya semua ini?

Sakarat sebuah kerajaan

Orang kuat UMNO memang jenis yang sukar menerima nasihat. Lebih-lebih lagi kalau nasihat itu berkenaan kejahatan yang dilakukannya. Kita lihat para pemimpin mereka akan sudi duduk mendengar kuliah yang berkisar soal-soal lain tetapi jika ia berkaitan diri mereka dan dikaitkan dengan mereka, mereka akan panas punggung.

Sebab itu, ketika khutbah jumuat disyarahkan oleh khatib kelmarin menyentuh soal tujuan Bersih3.0 diadakan sebagai menuntut keadilan daripada pemerintah, ada beberapa taiko UMNO merasa marah.  Menyebut tentang ketirisan 29 bilion sebagaimana laporan Audit Negara juga ditafsirkan sebagai menghina kerajaan. 

Sebenarnya, apa yang dimahukan untuk negara ini? Apakah jika rakyat bodoh dan diam menerima segalanya, itu bentuk negara yang dimahukan. Orang yang serong dalam kerja dan lakunya akan merasa bimbang jika rakyat bijak dan celik mata. Bagi mereka, memerintah dalam keadaan rakyat bodoh dunggu amat menyenangkan.

Tetapi, zaman rakyat dunggu sudah berlalu.

Semalam, aku bercakap dengan seorang ahli jamaah masjid, dia menyebutkan pengalamannya menyaksikan jatuh bangun para pemimpin. Dengan mengambil contoh Sukarno dari Indonesia dan Nelson Mandela dari Afrika Selatan yang mengahadapi banyak pancaroba sebelum berkuasa, dia mengatakan itulah yang sedang berlaku kepada DS Anwar Ibrahim. Dia dengan yakin mengatakan satu masa nanti DS Anwar Ibrahim akan berkuasa. Hanya persoalan masa sahaja sekarang.

Aku menyambung bahawa rakyat memang banyak ditipu sekarang ini. Rakyat ditipu mengenai wang negara yang diboroskan. Sekadar menyebut beberapa contoh, ratusan juta diberikan kepada NFC, syarikat milik suami ketua Wanita UMNO, lebih 800 juta diberikan kepada Tajudin Ramli, skandal kewangan bermacam-macam sudah berlaku. Para kroni dapat untung bilion ringgit. Sedangkan rakyat terpaksa meraih razeki dari sabsidi yang selalu diungkit. Amat berat pula untuk membatalkan PTPN. Tol Utara Selatan yang sudah meraih untung lebih dari 29 bilion masih begitu juga, malah semakin mahu dinaikkan harganya.

Orang boleh tertipu dalam satu perkara tetapi tidak semua perkara. Boleh tertipu dalam satu masa tetapi tidak semua masa. Boleh tertipu dalam satu tempat tetapi tidak semua tempat.

Saat-saat sakarat sebuah kerajaan yang memperdaya rakyat  kian hampir.

Friday, May 04, 2012

Sejenak Meneliti Persamaan Dua Pemerintahan

Pemerintahan Firaun adalah lambang kezaliman penguasa. Ia adalah model kepada manapun penguasa yang muncul dalam sejarah dunia dan penguasai memakai kezaliman sebagai mahkotanya. Jika kita meneliti perjalanan bangun jatuh pemerintahan Firaun dan buat perbandingan dengan bangun jatuhnya pemerintahan zalim sepanjang sejarah, maka ada persamaan ketara di sana.

Tulisan ringkas ini hanya ingin menfokuskan kepada satu persamaan sahaja iaitu penggunaan sihir sebagai mekanisma mengekalkan kekuasaan.

Sihir pada zaman Firaun adalah menukarkan tali menjadi ular. Namun sihir pada zaman ini adalah menukarkan ungkapan dan tulisan menjadi racun berbisa.

Kerajaan Firaun mula menuju kehancuran apabila para ahli sihirnya berpaling tadah. Ahli sihir yang selama ini bergelumang dengan dosa menyihir manusia tidak berdosa, menjadi beriman dengan nabi Musa. Kerana mereka menukarkan ketaatan kepada Firaun dengan keimanan, para ahli sihir itu dihukum dengan kejam. Kaki tangan dipotong bersilang serta mereka disalibkan di tunggul tamar.

Sudah tentu kerajaan zalim sekarang ini yang disokong oleh para pengamal media yang menyihir rakyat dengan laporan dan tulisan yang memukau, akan menemui kesudahannya bila mereka mula berpaling. Perubahan yang melanda media akan menandakan tamatnya semua kerajaan penindas rakyat.
 

Apa jadi dengan khutbah hari ini?

Khutbah Jumuat hari ini menjadi panas kerana khatib menyebut isu Bersih 3.0. Khatib menyebutkan sebagai contoh jihad politik ialah perjuangan menyatakan kalimah yang benar di hadapan penguasa yang zalim. Sambil memuji peserta Bersih yang disifatkan sebagai orang yang berani menyatakan "tidak" kepada penipuan yang dilakukan selama ini oleh kerajaan melalui SPR, khatib mengingatkan pula bahawa ualam yang keluar wajah mereka dalam TV dan media massa lain mengharamkan Bersih 3.0 adalah ulama upahan. 

Khatib juga menyatakan bahawa berlakunya ketirisan wang negara sebagaimana dilaporkan oleh Audit Negara sebanyak 28 bilion adalah mengundang mencana kelaparan daripada Allah SWT. Kerana menentang pemerintahan Islam, rakyat dilanda bencana ketakutan sehingga rakyat membina rumah bergril dan kedapatan kejadian rogol dan bunuh malah dibakar semakin berleluasa.

Kerana kepanasan isi khutbah itu, dilaporkan terdapat beberapa orang jemaah jumuat yang panas hati. Selepas solat jumuat, berlaku kekecohan kecil antara pemuka UMNO yang hadir dengan pembela isi kandungan kutbah khatib. Kononnya, tindakan perlu diambil oleh pengerusi dan mereka menuntut supaya pengerusi mengambil langkah agar khatib seperti itu tidak berulang.

Dalam bual selepas jumuat, aku bersama sebilangan sahabat merumuskan bahawa mojoriti jemaah boleh menerima kritikan khatib tersebut. Mereka yang dalam hatinya ada  penyakit akan melatah. Mereka adalah jenis yang suka mendengar khutbah yang menyebutkan mengenai buah-buahan tempatan, sungai yang bersih dan pencemaran udara. Kalau tajuk khutbah berkisar yang sedemikian, mereka senang hati. Jika menyentuh masalah kebobrokan negara yang menuntut rakyat disedarkan, mereka panas hati. Mereka sebenarnya tidak rela rakyat menjadi bijak dan sedar kerana jika rakyat menjadi bijak dan sedar, kepentingan mereka akan tergugat.

Apapun, biarkan hari ini berlalu. Bukan sekali kita menghadapi keadaan ini. Ini adalah asam garam perjuangan merubah masyarakat agar menjadi masyarakat yang merdeka dan bebas.

Media Penfitnah Memalukan Negara

The New Straits Times telah memohon maaf kepada senator Australia Nicholas Xenophon berhubung satu laporan yang mendakwa beliau membuat ucapan anti-Islam di Parlimen Australia pada tahun 2009.

Bagaimana dengan TV3 yang gelojoh mencemuh Nicholas Xenophon baru-baru ini apabila beliau dijemput oleh DS Anwar Ibrahim ke Malaysia untuk memantau himpunan Bersih  3.0? Sudah tentu TV3 juga patut meminta maaf. 

Satu hal yang dapat kita pelajari ialah, media massa di Malaysia ini memang tidak boleh dipercayai. Sudah buat salah, minta maaf. Nanti buat salah lagi. Kemudian kalau takut kena saman, diminta maaf. Apakah jenis media massa yang ada di Malaysia ini. Sungguh memalukan!

Kenapakah media massa yang ditadbir oleh orang Islam sendiri mencecah cara hina lebih daripada media massa yang ditadbir oleh orang kafir?

Kerja Pemberita TV3 haram!

Ketika menonton berita-berita dari TV3 semalam, aku mengeluh untuk didengari oleh isteriku.

"Kasihan pembaca berita TV3 ni, mereka bekerja dan makan gaji yang haram kerana pemberitaan yang sarat dengan unsur fitnah dan lucah",

Ketika itu berita-berita memaparkan gambar-gambar yang dikaitkan dengan Azmin Ali, apa yang didakwa gelagat seks dalam tandas. Kenyataan seorang yang didakwa sebagai ulama dari Kelantan juga dipetik yang mana secara terang dan penuh keperceyaan dia menempelak DS Anwar Ibrahim dan Azmin Ali sebagai pelaku hubungan seks terlarang. Sebenarnya, kenyataan tersebut menjelaskan bahawa orang itu bukan pun ulama kerana sikapnya dalam menerima berita adalah seperli anjing lapar yang diberikan tulang.

Jika menurut hukum Islam, mereka yang menyebarkan tuduhan terhadap Azmin Ali dan Anwar Ibrahim itu hendaklah dihukum qazaf 80 kali sebatan jika tidak mendatangkan bukti. Memang pun mereka tidak akan ada bukti kerana maklumat mereka hanya dari blog pencacai yang sewenang-wenang menyiarkan gambar yang telah dimanipulasi.

Pembaca berita TV3 sedang melakukan dosa dalam pekerjaan mereka. Mereka dibayar gaji hasil pekerjaan haram tersebut. Maka, apabila aku menyatakan bahawa mereka makan gaji haram, ia berasas. Walaupun mereka hanya jadi tukang baca berita, mereka turut bersekongkol dengan majikan mereka yang menyediakan unsur pemberitaan yang berbaur fitnah tersebut.

Jika anda bertakwa kepada Allah, Allah akan berikan jalan kelepasan. Allah juga akan berikan anda razeki yang tidak disangka. Kalau benar-benar bertakwa, berhenti sahaja jadi pemberita TV3 dan cari kerja lain. Allah ada dan akan membantu hambanya yang membuat keputusan atas dasar ketakwaan. Pada zaman fitnah ini, bekerja dengan TV3 terdedah kepada corak pemberitaan haram yang merugikan diri pada hari akhirat!

Renung-renungkanlah wahai pemberita yang masih berakal budi!

Thursday, May 03, 2012

Majlis zikir dan majlis ghafilin

Majlis zikir itu sangat baik. Aku tidak sekali-kali menentang majlis zikir. Zikir yang paling hebat adalah La Ilaha Illallah.  Kelebihan zikir tersebut telah warad dalam hadis dan telah disebutkan dalam Al-Quran. Namun, makna zikir tidka harus disempitkan kepada beberapa ucapan yang diulang-ulangkan. Zikir dalam dalam bahasa Al-Quran juga merujuk kepada Al-Quran. Majlis membaca dan bertadarus Al-Quran juga merupakan majlis zikir. Solat itu sendiri zikir. Maka acara solat jemaah itu juga majlis zikir. Majlis ilmu pun adalah majlis zikir.

Jadi, apa masalahnya dengan majlis zikir maka kita hendak menafikannya?

APa yang menjadi masalahnya adalah majlis yang dikatakn majlis zikir tetapi sebenarnya majlis ghafilin. Majlis zikir sewajibnya sentiasa membawa kita ingatkan Allah dan panduan RasulNya hendaklah dipelihara dalam menjalankannya. Jika sebuah majlis zikir itu dihiasi dengan amalan bid'ah, maka itu bukan lagi majlis zikir. Berapa banyak kumpulan yang kononnya mengadakan majlis zikir, padahal mereka berzikir dalam rupa yang gharib. Malah, ada yang kita dapat saksikan mereka berzikir dengan menari dan berjoget. Ada juga berzikir sambil membayangkan wajah guru.

Zikir semacam apakah semua itu? Itu bukan majlis zikir...tetapi adalah majlis ghafilin!

Jika terkeluar dari panduan yang dipertunjukkan Rasulullah SAW, maka jadilah ia majlis yang tiada bezanya dengan majlis lalai konsert Siti Norhaliza di Dataran Merdeka malam tahun baru. Mereka kononnya berzikir tetapi zikir karut. Zikir memuji dunia dan perhiasannya.

Wednesday, May 02, 2012

Media penyebar fitnah.

Memang patut UMNO yang depersalahkan atas apa yang berlaku dalam negara kita. Budaya menfitnah yang kian marak mutakhir ini, ke pundak siapa hendak dipersalahkan, kalau bukan kepada UMNO. UMNO yang memegang kuasa ke atas media massa di Malaysia, media massa tersebutlah yang menjadi juara penyebar fitnah. Pantang ada fitnah yang ditanam oleh blog pencacai, RTM dan TV3 akan memetiknya. 

Terbaru, hasil paparan blog papagomo (sebagaimana yang diberitakan dalam TV3) mengenai adegen seks yang dikatakan melibatkan YB Azmin Ali, TV3 telah mengambilnya sebagai tajuk berita. TV3 membantu menyebarkan fitnah yang tidak berasas hasil dari blog hina seperti papagomo.

Papagomo itu manusia yang tiada panduan agama dalam penulisan. Apa yang ditulisnya hanya menurut hawa nafsunya. Manusia papagomo itupun jenis manusia yang kelip kelap di malam gelita. Orang seperti itu diambil maklumatnya??