Setelah solat Subuh pagi itu, aku sempat berbual seketika di tangga masjid dengan imam masjid kampungku. Aku membahasakannya sebagai "Pak Ngah" kerana dia di kalangan kaum kerabatku. Dia bertanyakau tentang calon bilal yang boleh diketengahkan untuk menggantikan Tok Wan Li. Katanya, kalau boleh dia mahukan orang muda yang menempati jawatan bilal itu. Dia bertanya tentang Sdr. Zakuan kerana mengharapkan Zakuan yang akan menjadi bilal. Aku memberitahunya bahawa Zakuan sekarang bertugas sebagai tenaga pengajar tetap di Kolej Universiti Insaniah. Dia juga menyebut tentang Sdr Subhi yang pada hematnya berilmu tetapi tidak sesuai kerana menjadikan politik sebagai alasan untuk menjauhkan diri dari masjid.
Mereka mencampuradukkan antara politik dan agama. Mereka jadikan politik sebagai timbangan agama dan bukan agama sebagai timbangan politik. Imam meluahkan rasa terkilannya.
Dalam kesempatan singkat itu, aku mencadangkan agar beliau menampilkan wajah politik yang serupa dengan mereka yang tidak menyukainya. Itulah politik bijaksana namanya. Demi dakwah, apa nak kisah dengan jenama politik. Lebih-lebih lagi rata-rata imam masjid di banyak daerah mengambil wadah politik Islam. Dengan kata lain, tinggalkan rupa UMNO dan tunjukkan rupa PAS. Dengan cara itu, orang PAS yang enggan datang ke masjid akan merasa lembut hati dan kembali datang. Orang UMNO kebanyakannya bukan jenis yang suka datang masjid.
Namun, imam keberatan dengan helah politik itu. Aku menegaskan bahawa bukan faktor politik semata yang menyebabkan orang yang datang solat di masjid sedikit. Dahulu, sewaktu almarhum imam yang kuat PAS menjadi imam di masjid kampungku, orang yang datang solat jemaah di masjid kurang juga. Padahal imam itu orang PAS dan pengaruhnya kuat pula.
Aku menyimpulkan pentingnya dakwah. Ajak orang datang ke masjid adalah dakwah. Buatlah program untuk menarik ramaja dan anak muda ke masjid biarpun program itu remeh. Program seperti pertandingan memburu cicak di masjid, apalah kalau nak dibandingkan dengan program ilmu yang menampilkan penceramah hebat. Tetapi, percayalah, program pertandingan memburu cicak lebih berkesan daripada ceramah daripada sahibus sahamah Datuk Mufti.
Remaja kampungku sudah dirosakkan oleh pelbagai pengaruh luar. Masa banyak dihabiskan di simpang jalan waktu senja menjelang tengah malam. Sesetengahnya menjadi pondok rehat belakang rumah sebagai lokasi aktiviti kurang sihat termasuk menagih air daun ketum.
Tuan imam, kita tidak akan dimaafkan dengan hanya mencela dan menyalahkan mereka. Sebab itu, menjadi imam tugasnya berat dan penuh pelbagai persoalan. Rancanglah dakwah dan orang kampung akan menumpang rahmat islah. Allah akan membantu tugas dakwah yang dilakukan dengan ikhlas. Masjid kampung, bukakan itu siapa-siapa sahaja yang mahu buat program dakwah. Jangan pula halang jemaah Tabligh daripada datang bermalam di masjid kita. Biarlah masjid kita kotor asalkan hati warga kampung kita dapat dibersihkan.
No comments:
Post a Comment