CARI BAHAN

Monday, November 29, 2010

Dilema sang imam

Setelah solat Subuh pagi itu, aku sempat berbual  seketika di tangga masjid dengan imam masjid kampungku. Aku membahasakannya sebagai "Pak Ngah" kerana dia di kalangan kaum kerabatku. Dia bertanyakau tentang calon bilal yang boleh diketengahkan untuk menggantikan Tok Wan Li. Katanya, kalau boleh dia mahukan orang muda yang menempati jawatan bilal itu. Dia bertanya tentang Sdr. Zakuan kerana mengharapkan Zakuan yang akan menjadi bilal. Aku memberitahunya bahawa Zakuan sekarang bertugas sebagai tenaga pengajar tetap di Kolej Universiti Insaniah. Dia juga menyebut tentang Sdr Subhi yang pada hematnya berilmu tetapi tidak sesuai kerana menjadikan politik sebagai alasan untuk menjauhkan diri dari masjid. 

Mereka mencampuradukkan antara politik dan agama. Mereka jadikan politik sebagai timbangan agama dan bukan agama sebagai timbangan politik. Imam meluahkan rasa terkilannya.

Dalam kesempatan singkat itu, aku mencadangkan agar beliau menampilkan wajah politik yang serupa dengan mereka yang tidak menyukainya. Itulah politik bijaksana namanya. Demi dakwah, apa nak kisah dengan jenama politik. Lebih-lebih lagi rata-rata imam masjid di banyak daerah mengambil wadah politik Islam. Dengan kata lain, tinggalkan rupa UMNO dan tunjukkan rupa PAS.  Dengan cara itu, orang PAS yang enggan datang ke masjid akan merasa lembut hati dan kembali datang. Orang UMNO kebanyakannya bukan jenis yang suka datang masjid.

Namun, imam keberatan dengan helah politik itu. Aku menegaskan bahawa bukan faktor politik semata yang menyebabkan orang yang datang solat di masjid sedikit. Dahulu, sewaktu almarhum imam yang kuat PAS menjadi imam di masjid kampungku, orang yang datang solat jemaah di masjid kurang juga. Padahal imam itu orang PAS dan pengaruhnya kuat pula.

Aku menyimpulkan pentingnya dakwah. Ajak orang datang ke masjid adalah dakwah. Buatlah program untuk menarik ramaja dan anak muda ke masjid biarpun program itu remeh. Program seperti pertandingan memburu cicak di masjid, apalah kalau nak dibandingkan dengan program ilmu yang menampilkan penceramah hebat. Tetapi, percayalah, program pertandingan memburu cicak lebih berkesan daripada ceramah daripada sahibus sahamah Datuk Mufti.

Remaja kampungku sudah dirosakkan oleh pelbagai pengaruh luar. Masa banyak dihabiskan di simpang jalan waktu senja menjelang tengah malam. Sesetengahnya menjadi pondok rehat belakang rumah sebagai lokasi aktiviti kurang sihat termasuk menagih air daun ketum. 

Tuan imam, kita tidak akan dimaafkan dengan hanya mencela dan menyalahkan mereka. Sebab itu, menjadi imam tugasnya berat dan penuh pelbagai persoalan. Rancanglah dakwah dan orang kampung akan menumpang rahmat islah. Allah akan membantu tugas dakwah yang dilakukan dengan ikhlas. Masjid kampung, bukakan itu siapa-siapa sahaja yang mahu buat program dakwah. Jangan pula halang jemaah Tabligh daripada datang bermalam di masjid kita. Biarlah masjid kita kotor asalkan hati warga kampung kita dapat dibersihkan.

Anwar memang anugerah Tuhan

Utusan Malaysia seperti hairan apabila menjadikan kata-kata Dr. Wan Azizah, presiden PKR bahawa Anwar Ibrahim adalah "anugerah Tuhan" sebagai tajuk utama beritanya pada hari Ahad, kelmarin. Kalau bukan anugerah Tuhan, anugerah siapa? Betullah kata-kata Dr. Wan Azizah itu. Bukan semua orang boleh jadi pemimpin. Apabila muncul seorang pemimpin, dia adalah anugerah Tuhan.Pemimpin yang membawa kebaikan kepada rakyat, kita sebut sebagai anugerah. Sebaliknya, pemimpin yang mendatangkan bencana kepada rakyat, kita sebutkan sebagai bala dari Tuhan.

Kalau kita lihat, keberadaan Anwar dalam persada politik negara, telah mendatangkan banyak kebaikan kepada rakyat. Baik semasa beliau dalam kerajaan atau kini di pihak pembakang.  Sejarah tidak boleh memperdaya kita untuk satuy kenyataan bahawa sumbangan Anwar semasa dalam kerajaan amat besar.  Setelah dia tersingkir dan kini memimpin pakatan pembangkang, rakyat dapat merasai nikmatnya. Kerajaan bongkak UMNO-BN terpaksa merendahkan tahap ketakburannya dan berhempas pulas memenangi hati rakyat.

Siapa yang untung kalau kerajaan UMNO-BN terancam? Tentu rakyat. Siapa yang rugi kalau kerajaan UMNO-BN  jadi kuat dan bongkak? Tentu juga rakyat! Adakah sesiapa yang mahu menafikan fakta bahawa kelemahan UMNO-BN pada hari ini adalah hasil perjuangan Anwar dalam politik?


Saturday, November 27, 2010

Ke Tanjong Dawai.

Hari ini, bersama ibuku, isteri dan anakku, kami ke Tanjong Dawai. Bertolak kira-kira jam 10 pagi, kami tiba di Tanjong Dawai sekitar jam 12.30 tengahari. Ketika berdiri di jetinya sambil melihat bot penambang yang pergi dan datang ke Pantai Merdeka di semberang sana, aku teringin membawa keluargaku naik bot itu ke semberang. Lalu kami pergi ke semberang. Tambang untuk seorang adalah RM2.00  untuk satu hala. Tiada apa yang menarik di Pantai Merdeka. Hanya pantainya yang agak bersih berbanding pantai di Tanjong Dawai. Sebilangan pelawat bermandi manda. Ada Ekspo Sejahtera di sana di mana terdapat pelbagai barangan dijual.

Tidak lama kami di sana. Sejam kemudian, kami berlepas meninggalkan Pantai Merdeka dengan bot penambang ke Tanjong Dawai semula. Ibuku membeli belah di pasar kering Tanjong Dawai. Setelah itu, kami bertolak balik melalui jalan Yan. Aku berpandukan garmin di handphoneku baik semasa datang maupun pulang. Program garmin dalam handphoneku amat berguna sekali. Aku tidak tersesat dan menemui lokasi yang aku tuju dengan cepat.

Kami singgah di air terjun Titi Hayun. Aku mengambil peluang mandi manda. Tetapi, tiba-tiba hujan lenbat turun. Justeru, kami pun pulang lebih awal. Hanya sebentar di sana. Aku mengambil jalan pulang mengikut jalan Kota Sarang Semut dan terus menyusur keluar ke jalan Kuala Kedah. Perut sudah lapar benar. Setelah solat asar di sebuah masjid tepian parit air, kami meneruskan perjalanan dan singgah makan di sebuah restoran Radix Chiken House di tepi jalan Aman, Alor Setar.

Di sini aku menggunakan wifi yang disediakan  untuk posting blog mengenai perjalanan singkat seharian ini.

Tuesday, November 23, 2010

Harga skrap

Harga getah skrap mencapai RM6.80 sekilo. Harga ini sangat menguntungkan para pekebun kecil. Ramai yang dapat merasa nikmat kesenangan hasil peningkatan luar biasa harga skrap ini. Namun, di satu sudut yang lain, kejadian curi skrap sering pula terjadi di mana-mana. Kegiatan mencuri skrap dilihat dapat memberikan pulangan menguntungkan buat para pencuri.

Monday, November 22, 2010

Baca Yasin selepas solat hari raya.

Selepas selesai khutbah hari raya baru-baru ini, masjid kampungku mengadakan bacaan Yasin. Saat khutbah menghampiri penamat, buku surah Yasin mula diedarkan. Secara tersirat, setiap orang dipaksa untuk terlibat dengan acara bacaan yasin tersebut. Seingatku, amalan membaca surah Yasin selepas selesai solat sunat hari raya dan khutbahnya ini telahj diamalkan beberapa tahun. Ia mula dirintis oleh imam masjid yang ada sekarang. Kononnya, untuk memmpermudahkan hadiah pahala bacaan Yasin pada hari raya, bacaan surah Yasin itu pun  dilakukan. Jika ada sesiapa yang berhalangan dan tidak dapat menziarahi kubur untuk membacakan surah Yasin di sana, memadailah dengan bacaan surah Yasin beramai-ramai di masjid selepas khutbah Hari raya itu.

Demikianlah alasan dan rasional kenapa amalan bacaan Yasin selepas khutbah hari raya dipopularkan.

Aku masih ingat, kalau masa aku kanak-kanak dulu, soalan paling popular ditanyakan satu sama lain selepas selesai acara solat hari raya ialah "sudahkan ke kubur?". Boleh dikatakan, meziarahi kubur adalah agenda pertama pada hari raya selepas acara solat hari raya.

Sejak aku dewasa dan mengerti duduk perkara dalam agama, aku tidak lagi suka menziarahi kubur pada pagi raya. Aku tidak menemui hujah yang mensunatkan ziarah kubur di pagi raya. Lagi pun, pada pagi raya menziarahi kubur beramai-ramai menghilangkan hikmah menziarahi kubur itu.

Lalu, amalan baca surah Yasin selepas selesai acara solat hari raya ini, aku cukup tidak setuju. Pada hari raya baru-baru ini, aku bangkit meninggalkan majlis dan pulang. Ketika ditanyakan abangku kemudiannya, aku katakan bahawa amalan tersebut tidak disunnahkan. Sekarang, zaman orang sudah mendapat ilmu dan maklumat dan tidak lagi harus tunduk kepada taqlid membuta tuli. Mereka cuba merekayasa amalan agama mengikut logik akal mereka. Kelak, amalan tersebut akan mengakar dan menyusahkan masyarakat. Amalan yang agama tidak surah, pada akhirnya akan mempersulitkan keadaan miski pada hari ini akal melihatnya baik.

Orang kampungku memang addicted dengan surah Yasin. Pantang ada majlis, bacaan surah Yasinlah menjadi pilihan. Tokoh agama kampung yang datang hanya meneruskan dan bukan mengajar masyarakat berfikir. Aku tidak suka meneruskan amalan yang tidak punya hujah. Minta maaf. Sekalipun ial pernah diamalkan oleh tuan-tuan guru pondok. Banyak sudah amalan mereka yang aku lempar dari kamus hidupku setelah mendapati ia bukan datang dari ajaran sunnah Rasulullah.

Aku pernah berkata kepada sahabatku di kampung, lebih baik duduk melepak di atas "pelengak" bersembang kosong daripada duduk di masjid melakukan amalan yang diciptakan sedangkan nabi tidak ajar. Lebih baik balik rumah basuh kereta daripada duduk baca yasin di masjid selepas selesai solat hari raya!

Tuesday, November 16, 2010

Perjalanan pulang yang berliku.

Perjalanan balik kampung kali ini tak sama seperti perjalanan-perjalanan sebelumnya. Semuanya berpunca daripada silap faham tentang masa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar. Sangkaku, penerbangannya ialah pada jam 9.25 pagi. Begitulah yang tertera pada skrin tv. Semalaman aku dan isteri tidak dapat lelapkan mata kerana anak tidak mahu tidur. Dia berlarian di sana sini hinggalah jam 4 pagi baru dia keletihan dan terlena sendiri. Selepas solat subuh, kami melihat tetapan masa itu. Aku tidak lihat salinan tiket yang aku beli. Sememangnya tiada salinan itu bersamaku. Aku tidak cetak. Aku hanya bergantung kepada maklumat yang akan aku dapat daripada lapangan terbang.

Ketika aku mahu check in pada jam 8.00 pagi di kaunter Air Asia, aku diberitahu bahawa penerbangankju telah berlepas. Aku kaget. Bagaimana boleh jadi begitu. Kata kerani kaunter, penerbangan ke Alor Setar ialah jam 7.30 pagi. Masya Allah. Aku kebingungan seketika.

Akhirnya aku buat keputusan untuk beli tiket lain untuk ke Bayan Lepas, Pulau Pinang. Kerugian berganda. Sudahlah setiap transaksi bagasi aku kena bayar untuk beg gara-gara tidak beli semasa pembelian tiket online. RM80 daripada Sandakan ke LCCT, Kuala Lumpur.
 
 
Dari Bayan Lepas, aku naik bas penang speed turun di Nibung. Dari Nibung naik pula bas ekspress yang singgah sebentar ke Butterwoth. Dari Butterworth naik bas konsortium ke Alor Setar. Di Alor Setar adikku menunggu dan aku pulang naik kerata.

Sunday, November 14, 2010

Denda RM80.00: Peraturan bagasi Air Asia

Sekali fikir geram juga aku. Ketika hendak check in di kaunter Air Asia airport Sandakan malam tadi, aku diberitahu bahawa beg bagasiku tidak didaftarkan secara online semasa pembelian tiket. Pekerja kaunter itu mengatakan aku dikehendaki membayar RM80.00. Ini kerana jumlah berat timbangan bagasiku ialah 25 kilogram. 15 Kilogram kalau dibayar secara online ialah RM20.00 Jika dibayar dikaunter, ia diganda menjadi RM40.00. Jumlah yang lebih daripada 15 kilogram dianggap 15 kilo berikutnya. Ia hedaklah dibayar RM40.00 di kaunter. Oleh itu, jumlah yang aku kena bayar ialah RM80.00.

 
Itu baru sampai di KL. Esok, bila penerbangan ke Alor Setar, jumlah yang sama juga akan dikenakan. Wah...peraturan ini aku tidak tahu sebelum ini. Air Asia membuat peraturan yang memerangkap. Apa boleh kita buat kalau sudah di kauter check in dan sudah tergesa-gesa mahu balik. Bayar sahajalah. Nampaknya, sebagai galang ganti tambang murahnya, Air Asia kopak wang penumpang melalui peraturan-peraturan baru yang pelik.

 
Apa caranya untuk menyelamatkan diri dari kena bayar RM80.00. Malam ini aku harus memikirkannya. Aku rasa aku akan kekluarkan barang daripada bagasiku sehingga tinggal lagi 15 kilo sahaja. Aku akan bawa 10 kil0 dalam beg bimbit. 5 kilo aku dan 5 kilo lagi isteriku.





Kalau ada razeki

Gabra...begitulah yang kurasakan sewaktu aku menyeluk beg sandang kecil yang aku bawa untuk penerbangan balik kampung kali ini dan mendapati handphone X6ku tiada di dalamnya. Segera aku mengandaikan dan seterusnya meyakini bahawa ia terjatuh semasa aku sedang duduk dalam kapal terbang. Segera aku berpatah balik. Apa harus kubuat. Dalam kepalaku yang bingung, mahu balik ke kapal terbang dan mencarinya. Semasa berjalan menonong itu, mulutku tertanya polis bagaimana nak dapatkan barang tertinggal dalam kapal terbang. Polis itu syorkan aku ke kaunter lost and found. 

Di kauter itu aku melaporkan. Dua pekerja wanita dihantar. Aku tak berapa yakin handphoneku itu dapat ditemui. Tapi aku mengharap. Demikianlah, kalau ada razeki takkan ke mana. Tidak lama, mereka pulang dengan membawa handphoneku semula. Sungguh rasa bersyukur aku kepada Allah SWT. Kepada petugas kaunter lost and found itu, aku ucapkan terima kasih. Sebagai tanda penghargaan yang tak seberapa daripadaku, aku berikan RM15.00 untuk mereka minum. Mereka menolak tetapi aku bersugguh-sungguh melahirkan rasa syukurku.

Kalau ada razeki, barang hilang akan kebali.

Friday, November 12, 2010

Goyang itu rahmat

Apa nak hairan dengan kemelut PKR. Malah apa nak hairan dengan kemelut mana-mana parti pun. Jangan cepat menjustifikasikan kemelut dalam sesebuah parti itu merupakan kelemahan buatnya. Sebenarnya, parti politik ni macam piling. Kalau pailing tidak diketuk, macam mana ia akan tertancap ke dalam bumi. Parti politik juga voleh diibaratkan macam turus pagar. Kalau orang memacak turus pagar, hujungnya ditajamkan. Setelah itu ia hentak ke bumi. Untuk menjadikan ia masuk menusuk kukuh ke dalam tanah, setiap kali dihentak, hendaklah digoyangkan.

PKR kelihatan bergoyang. Goyang itu biasa. Kalau tak goyang, banyak binatang kera dan moneyt bergayut di dahan. Susah lah burung untuk singgah bersarang.

Parti Baru dan Zaid Ibrahim

Kononnya, Zaid Ibrahim akan menubuhkan sebuah parti baru jika dia dipecat daripada PKR. Saya katakan kononnya kerana perkara itu hanya heboh di kalangan pengamal penulis blog dan wartawan kangkung yang hanya menulis berita hele kebele. Kebanyakan tulisan mereka tidak boleh dipercayai. Memang aku tak percaya kepada kebanyakan wartawan, khususnya dari akhbar kerajaan dan yang bekerja untuk media kerajaan. Wartawan kangkung yang hele kebele inilah yang menulis dan melaporkan dalam berita akhbar maupun tv  bahawa ust. Azizan menteri besar Kedah tidak turun ke padang bagi membantu rakyat Kedah.

Kalaulah betul Zaid Ibrahim tubuh parti baru, akulah orang pertama yang menyatakan tidak akan menyertai partinya. Pemimpin gah dan masyhur lagikan mati sekerat jalan partinya, inikan pula parti yang akan ditubuhkan oleh Zaid Ibrahim. Beliau bukanlah seorang pemimpin yang hebat dan berjasa. Pengikutnya tidak ada sebab untuk mendokongnya kalau bukan kerana kepentingan tertentu.

Dari satu sudut, orang kata Zaid Ibrahim orang berduit. Sebab itu, menakjubkan juga bagaimana dia yang baru setahun jagung dalam PKR mampu menarik sekian ramai sokongan sehingga menjadi saingan kepada Azmin Ali yang sudah bersama PKR sejak hari pertama ia ditubuhkan lagi iaitu kira-kira 12 tahun yang lalu. Dari sumber akar umbi yang aku dengar, Zaid Ibrahim menggunakan duitnya untuk membeli undi. Tapi, apa yang aku dengar juga Azmin pun apa kurangnya. Khabarnya dia juga main duit.

Aku terfikir, apakah mungkin PKR akan berbeza dengan UMNO dan konsisten dengan agenda reformasinya?

Thursday, November 11, 2010

Kesatuan hanya ada dalam Islam

Firman Allah SWT:


وَلَوْ شَآءَ رَبّكَ لَجَعَلَ النّاسَ أُمّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ  إِلاّ مَن رّحِمَ رَبّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ


Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan untuk Itulah Allah menciptakan mereka.

(Surah Hud Ayat 118-119)


Perselisihan di kalangan manusia sering berlaku. Perselisihan itu terjadi dalam pelbagai aspek samada agama, pegangan, mazhab, pendapat dan sebagainya. Ikrimah mengatakan bahawa perselisihan yang dimaksudkan adalah dalam aspek hidayah. Hasan Al Basri menambah, perselisihan itu juga berlaku dalam soal razeki yang tidak sama rata. Namun, dalam konteks ayat sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Kathir, perselisihan itu adalah dalam aspek agama.

Semua manusia berselisih kecuali mereka yang memilih untuk mengambil jalan para rasul dan berpegang dengan perintah agama. Merekalah golongan yang mendapat rahmat Allah SWT sebagaimana ditegaskan dalam ayat. 

Golongan tidak berada di atas landasan petunjuk Allah SWT, walaupun mereka mereka satu negeri, satu bangsa dan satu agama, mereka sebenar berpecah. Kesatuan yang mereka pamerkan kepada kita hanyalah palsu. Namun, golongan yang berada di atas landasan petunjuk Allah, biarpun mereka berbeza negeri, berlainan bangsa dan berbeza mazhab, mereka adalah bersatu. Merekalah golongan yang mendapat rahmat yang mana terkecuali daripada penyakit perpecahan sebagaimana dapat difahami daripada ayat.

Jika dilihat daripada aspek perjuangan, hanya mereka yang berjuang untuk Islam sahaja yang benar-benar bersatu. Perjuangan untuk selain Islam tidak bersatu. Jangan terpesona dengan penampilan bersatu yang ada pada perjuangan selain Islam. Selama perjuangan Islam menjadi manhaj perjuangan, maka selama itulah kesatuan sejati akan menyertai.

Penyatuan dalam Barisan Nasional yang menyerlahkan seolah-olah ada penyatuan yang teguh antara komponen di dalamnya adalah solekan sahaja. Di dalamnya, hakikatnya berbirat dengan retakan dalam segala bentuk rupa. Perlumbaan, dengki, prasangka, pesimis dan opurtunis bergentayangan dalam kesatuan palsu mereka. Ini kerana perjuangan kebangsaan tidak pernah boleh diasosiasikan dengan Islam.

Dengan rahmat Allah, mereka yang berjuang untuk Islam akan diselamatkan daripada perpecahan itu. Peliharalah perjuangan Allah, nescaya Allah akan memelihara perjuangan anda. Inilah renungan yang amat penting buat para pejuang yang bersenandung lagu perjuangan dalam Pas. Biarpun sudah bertahalluf siasi dalam Pakatan Rakyat, Pas tidak boleh mengambil sikap "mudahanah" kerana ia akan meleburkan istiqamah. Bila istiqamah telah lebur, tiadalah lagi karamah dalam perjuangan kerana istiqamahlah semulia-mulia karamah. Jika karamah istiqamah sering mengiringi, rahmat Allah akan sentiasa bersama. Kesatuan pun menjadi mantap.

Manusia tanpa istiqamah dengan perjuangan bukan wali Allah walau sederet khawariqul 'adah dapat dipamerkannya. Demikian juga sebuah jemaah atau parti Islam,  tanpa istiqamah, tidak bermakna siri-siri kemenangan yang diraih atau sokongan padu yang menakjubkan. Tanda sebuah jemaah atau parti Islam itu terpilih menjadi wali Allah di bumi adalah apabila ia kekal istiqamah dengan jalan-jalan hidayah yang digariskan nabi dalam perjuangan.

Zon maut Zulkifli Nordin

Zulkifli Nordin kata Anwar Ibrahim sudah berada di zon maut dan memintanya bertaubat. Bertaubat daripada apa? Dia pun tak jelaskan. Sepertinya dia mahu mengatakan benarlah dakwaan Saiful Bukhari Azlan bahawa Anwar meliwatnya. Zulkifli Nordin cuba menyuburkan prasangka tentang itu. Namun, apa yang menarik untuk aku tuliskan adalah tentang zon maut. Menurutnya Anwar sudah tua dan berada dalam zon kematian.

Mati bagi seorang ahli politik bukanlah dicabut nyawa. Matui bagi seorang ahli politik adalah apabila tersingkir dari gelanggang politik. Orang yang paling hampir terseningkir dari gelanggang politik adalah Zulkifli Nordin. Bila pilihanraya umum ke-13 telah dibuat, ketika itu aku merasa cukup pasti bahawa Zulkifli Nordin akan tersingkir dan tidak lagi bergentayangan di parlimen. Dia akan terus padam dari peta politik dan tidak ada jalan lagi untuk dia bangkit. Tanpa parti politik yang manampungnya. Zulkifli Nordin tidak ada harga dalam politik.

Dewasa ini, UMNO-BN sedang memperkudakannya. Apakah kelak UMNO akan  menerimanya untuk masuk UMNO. Siapa sanggup terima orang yang sarat dengan liabiliti sepertinya. Dia kata Anwar sebagai liabiliti kepada PKR dan rakyat Malaysia. Sebenarnya, dialah yang menjadi liabiliti buat rakyat Malaysia. Dia budak nakal yang suka buat kecoh.

Zulkifli Nordin sudah berada dalam zon maut politik. Seharusnya dia bertaubat dan mancari dahan tempat berteduh. Namun aku pasti tiada dahan yang sanggup menampungnya kerana bebannya sarat. Ketika itu, matilah Zulkifli Nordin. Negara tak rugi sekuman pun dengan matinya seorang Zulkifli Nordin.

Wednesday, November 10, 2010

Kalau begitu, tak perlu minta maaf.

Saya tidak pernah tarik balik atau menyesal dengan kenyataan mencadangkan “dinosaur-dinosaur” politik termasuk DSAI bersara. Surat terbuka saya jelas dalam hal ini. Cumanya saya hanya memohon maaf jika beliau berkecil hati. Itu adalah adab pergaulan, namun pendapat saya masih kekal sehingga kini.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Tokyo, Japan
.
Demikianlah penegasan semula Dr. Asri Zainal Abidin terhadap pendapatnya sebelum ini supaya DS Anwar Ibrahim bersara daripada politik. Surat terbuka yang dipaparkan dalam blognya bukanlah bermaksud dia meminta maaf sekaligus menarik semula pendapatnya. Dia masih berpendirian sebagaimana pendapatnya yang mula.

Dengan kata lain surat terbukanya kepada DSAI hanyalah basa basi. Campur tolak darab dan bahagi jawapannya sama. Dia mahukan DSAI berundur daripada politik. Alasannya, itulah jalan untuk melahirkan pembangkang yang kuat. DSAI telah tidak menyengat. Kebangkitan rakyat telah tidak dapat dijana olehnya.
Aku berpendapat Dr. Asri khilaf. Pendapatnya juga mencurigakan banyak pihak. Dengan mudah, dia boleh ditanggap sebagai alat kepada UMNO-BN walaupun dia menafikannya. Ini kerana pendapatnya merupakan serangan kepada jantung Pakatan Rakyat. Tambahan pula, pendapatnya mengenai kerajaan UMNO-BN sebelum ini tidak pula pernah menyentuh jantung UMNO-BN. 

Sebahagian pengkagum Dr. Asri tentunya telah mula memicing mata buatnya. Jika DSAI dikatakan zamannya telah berakhir, maka siapa boleh menyalahkan seseorang yang mengatakan bahawa kembang Dr. Asri telah menjadi kuncup sebelum tengahari. Jika kita boleh menafikan keperluan berlangsungnya denyut nadi politik seorang figur, maka demikianlah orang juga boleh menafikan keperluan seorang ilmuan sepertinya dalam masyarakat Jika kita senang memberi pandangan tentang orang lain, maka kita jika harus berlapang dada dengan kritikan orang terhadap kita.

Sekarang Dr. Asri telah bermain aci-aci dengan  kelas politik. Khalayak sedang menanti bilakah dia akan menerjuni politik dengan penuh tanggungjawab. Kehidupan seorang ilmuan tidak boleh terpisah daripada politik langsung. Ilmuan yang penuh tanggungjawab tidak muzabzab. La ila ha ula' wala ila ha ula'.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Jika tegas dengan pendapat, tidak perlu berbasa basi. Ya, katakan ya. Tidak katakan tidak. Jangan setelah melihat hujan lebat, baru mahu menampal atap. Meminta maaf tetapi menegaskan semula pendapat yang melukai orang yang diminta maaf adalah telunjuk lurus kelingking berkait.


Perihal banjir di Kedah dan kedatangan pemimpin

MB Kedah dilaporkan menempelak Tan Sri Muhyiddin Yasin yang hanya datang ke Kedah selepas seminggu banjir. Air sudah surut baru nampak batang hidung. datang pula disambut dengan bendera BN di Stadium yang diluluskan penggunannya oleh kerajaan negeri. Datuk Sharizat Abdul Jalil pula datang ke Tunjang, dan mendakwa kerajaan negeri Kedah lembab bertindak. Tunjang tiada pun banjir. Inilah dua contoh pemimpin UMNO-BN yang cuba mengintai peluang untuk condemn kerajaan negeri Kedah yang dipimpin oleh PAS. 

Aku menulis sebelum ini bahawa mereka yang datang pada saat banjir telah mula surut untuk bukannya ikhlas dalam membantu rakyat. Mereka sedang mencari keuntungan politik untuk merampas balik negeri Kedah. Hati yang sakit dan dendam kesumat mereka belum cukup sembuh untuk membantu rakyat Kedah yang sedang ditimpa musibah banjir.

Aku berharap kerajaan Kedah akan selama ditadbir oleh kerajaan yang memerintah sekarang. Biarlah pemimpin yang sedang menggelinjang kepanasan itu terus menggelinjang. Akhirnya mati kejang seperti cacing di bawah terik matahari.

Fikirlah wahai Zaid

Kenyataan Zaid Ibrahim bahawa Anwar adalah pemimpin lemah dan perlu berundur daripada PKR adalah satu kenyataan yang amat melucukan. Demikian juga desakannya agar Azmin Ali berundur daripada PKR. Zaid Ibrahim bukanlah orang yang mengasaskan PKR. Sewaktu PKR ditubuhkan, dia berada dalam UMNO. Dia baru setahun jagung dalam PKR. Tetapi, kerana dia antara pemimpin utama dalam kerajaan sekaligus UMNO dahulu, dia diberikan kedudukan dan keistimewaan dalam PKR. Dia diberi amanah untuk merangka penyatuan dalam Pakatan Rakyat.

Zaid Ibrahim sepatutnya menarik diri daripada PKR dan kalau perlu tubuhkan sebuah parti lain yang lebih baik menurut hematnya. Dia tidak perlu masuk kacau dalam PKR. Menjadi ahli pada saat yang terlewat bukanlah hak untuk mempertikaikan pimpinan pengasas.

Sungguh membujur lalu melintang patah si Zaid Ibrahim. Berani dia mencadangkan agar Anwar dan Azmin meninggalkan PKR. Setelah itu, siapa yang akan mengendalikan PKR? Zaid?...itu amat tidak masuk akal!

Apa dah jadi??

Tak tahulah apa nak jadi dengan dunia politik di Malaysia ini. Semenjak dua menjak ini, ia sangat tidak menentu. Calang-calang ahli politik, boleh patah semangat. Tapi mereka yang telah terjun dalam dunia politik itu telah benar-benar teruji. Mereka mampu menghadapi mehnah dan tribulasi. Lebih-lebih lagi kalangan pimpinan atasan sesebuah parti.

Dalam kelompok parti pembangkang, atau Pakatan Rakyat, kegoncangan yang berlaku lebih hebat. Sekali fikir, kemelut dalam Pakatan Rakyat, khususnya PKR macam meragamnya gunung Merapi di Indonesia. Sekarang ini, gunung Merapi sedang mengeluarkan asap berdebu yang tebal. PKR lebih kurang macam itulah. Apakah gunung itu akan meletus atau tidak, kita akan saksikan dalam sedikit hari lagi.

Pening kepala melihat belitan politik yang menghantui PKR. Kasihan juga memikirkan nasib DS Anwar Ibrahim selaku ketua Umum PKR yang belum pun selesai dengan kes mahkamahnya, datang pula masalah dalam parti. Sayangnya, pemimpin hebat seperti Anwar Ibrahim itu dikelilingi oleh pelbagai jembalang politik. Jembalang politik ini, kekadang pandai berbahasa dengan bahasa yang muluk sehingga telinga yang mendengar pun boleh terpedaya.

Setelah adegen lompat parti berlaku dalam PKR, berlaku pula kekalahan dalam PRK di Batu Sapi. Kemudian, kritikan misteri DS Asri. Seterusnya perletakan jawatan oleh Datuk Zaid Ibrahim. Dengar khabarnya, Mustafa Kamil Ayub pula beri amaran agar proses pemilihan dalam PKR yang sedang berlangsung perlu dihentikan. Dalam tempoh 48 jam, jika tiada tindakan, dia akan mengambil tindakan lebih keras. Mungkin juga letak jawatan atau keluar parti.

Politik dah jadikan macam main aci. Dah jadi caca marba. Kepalaku sakit memikirkannya. Tidur lagi baik dan lupakan sahaja masalah itu!

Monday, November 08, 2010

Mana surat?

Zaid Ibrahim meletakkan semua jawatannya dalam PKR dan menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR.  Dia hanya mengumumkan perletakan jawatannya itu dalam blognya. PKR mengatakan mereka menunggu surat resmi daripada Zaid Ibrahim. Zaid Ibrahim mengatakan pengumuman dalam blog memadai. Dengan sinis dia mengatakan bahawa makluman dalam blog itu sudah cukup bagus. Kalau dia tak maklumkan langsung perletakan jawatannya, apa PKR boleh buat? Begitu harga PKR di mata Zaid Ibrahim.

Manusia yang suka meletakkan jawatan tidak menerusi cara rasmi ini memang tidak bertanggungjawab. Sepatutnya, peraturan berorganisasi perlu diketahui dan diamalkan. Janganlah buat sikap arrogant kepala batu. Kalau masa dilantik dahulu bersurat, maka masa melepaskan jawatan hendaklah bersurat. Kalau masa dilantik dulu tak bersurat pun, elok juga masa melepaskan jawatan dinyatakan dengan surat. Itulah tanda adab sopan dalam hidup berorganisasi.

Ahli jemaah Islam perlu menjauhi sikap seperti Zaid Ibrahim dalam soal perletakan jawatan ini.

Kerana Nama

Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Perdana Menteri pergi ke Kedah bagi menyelesaikan masalah mangsa banjir di negeri Kedah. Beberapa hari sebelum itu Sultan Kedah telah mengingatkan agar fahaman politik diketepikan dalam soal membantu rakyat Kedah yang ditimpa musibah banjir. Kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yasin itu berlaku setelah seminggu banjir melanda negeri Kedah. Sepanjang seminggu itu, kerajaan negeri Kedah memang agak terkial-kial untuk menguruskan mansa banjir. Ini kerana jentera kerajaan tidak mendapat arahan untuk digerakan sepenuhnya. Tentera, bomba dan kemudahan kerajaan seperti ditahan daripada membantu. Bila Timbalan perdana menteri turun, barulah semuanya mula digerakkan.

Rakyat Kedah tidak bodoh untuk mentafsirkan semua ini. Kerana kerajaan Kedah adalah kerajaan PR yang diterajui Pas, kerajaan persekutuan bimbang untuk menyalurkan bantuan kerana takut kerajaan PR yang mendapat nama. Kalau segala kemudahan kerajaan dibenarkan untuk membantu, apa faedah lagi yang boleh diraih oleh kerajaan BN. 

Dalam derita mangsa banjir, pihak yang menjual nama masih memikirkan apakah keuntungan politik yang dapat diperolehi. Mereka yang turun di saat akhir ini, memikirkan apakah lukisan nama yang boleh ditera di lanskap politik negeri Kedah.

Sunday, November 07, 2010

Berterima kasih samada kalah atau menang.

Tengku Razaleigh Hamzah mengucapkan terima kasih kepada Pas atas kemenangan bergaya BN di Galas. Orang Pas jangan seronok kerana mendapat ucapan terima kasih daripada Tengku Razaleigh Hamzah  itu. Jangan pula buat muka tak malu merasakan bahawa Pas telah memberi peluang kepada BN memenangi Dun Galas. Sebenarnya, ucapan terima kasih Tengku Razaleigh Hamzah itu perlu dipelajari malah ditiru juga oleh pemimpin politik yang lain. Itulah sikap seorang ahli politik yang baik dan dapat menakluk hati ramai orang. Jika kita lihat komen dan respons Tengku Razaleigh Hamzah sepanjang tempoh berkempen di Galas, dia telah berjaya mempamerkan watak dan penampilan bersihnya. Dengan komen dan respons  berhemahnya, telah memberikan mileage politik untuknya.

Ahli politik Pas perlu belajar berterima kasih walaupun kalah. Yang merubah hati rakyat bukan kempen. Kempen itu cuma usaha. Allah yang merubah hati rakyat. Dialah yang memegang semua hati para pengundi. Kalau mahu Allah membalikkan hati para pengundi agar menyokong perjuangan Islam, kitab hendaklah berakhlak dengan akhlak yang menjemput rahmat Allah. 

Ketika kita menang, kita bersyukur kepada Allah SWT dan tidak pula lupa mengucapkan terima kasih kepada manusia lain yang membantu kemenangan kita. Amat mulia pula kalau boleh ucapkan terima kasih kepada musuh atau lawan politik sebagaimana yang telah dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang berjuang dari pihak parti kebangsaan. Apabila kita kalah, kita hendaklah bersabar dan redha. Jauhkan diri daripada saling salah menyalahkan. Ingatlah bahawa kalah menang itu resam perjuangan. Nabi Muhammad yang menjadi utusan Allah itupun ada masa dia menang dan ada masa dia kalah. Apa lagi kita yang jauh daripada Allah sekalipun berjuang untuk agamanya. Amat mulia kalau masa kita kalah kita boleh menuturkan kata-kata yang baik dan berterimakasih pula kepada lawan politik kita. Kerja menakluk hati manusia itu bukan untuk hari ini tetapi untuk tahun-tahun mendatang.

Ahli politik Pas perlu sedar bahawa bukan ceramah mereka yang menukar hati manusia. Ceramah mereka cuma usaha dan sebab. Allahlah yang menukarkan hati manusia. Sebab itu ceramah perlu disucikan daripada cemuhan, kutukan dan humiliasasi. Itu semua akan menghambat rahmat Allah SWT. Kalau tiada rahmat Allah SWT, bagaimana hati manusia dapat ditakluki. Jangan rasa bosan untuk menceritakan sirah perjuangan Rasul dalam ceramah. Jangan jemu untuk menitipkan mutiara kata para nabi dan auliya dalam ceramah untuk khalayak. Jangan ghairah untuk menghentam BN kerana berapa banyak hentaman dibuat pun, ia bukan jalan untuk menakluk hati manusia yang setia dan mendokong BN.


Saat menang bersyukur. Saat kalah bersabar. Kata-kata yang keluar adalah kata-kata mulia dan penghargaan. Baik kalah maupun menang, rasa menghargai perlu ada. Jangan tersasar menjadi ahli politik yang merasakan kerja keras dan strategi mantap partinyalah yang menentukan kemenangan diraih. Ingatlah....ingatlah...bahawa Allah yang memegang hati manusia. Buatlah apa yang sesuai dengan sifat rahmat Allah SWT.

Kita lihat kedapatan individu tertentu dalam PKR tidak boleh mengambil sikap redha dan bersykur dengan kekalahan di Batu Sapi. Umpamanya Setiausaha Politik DS Anwar Ibrahim, Abdul Rahman Yusuf dalam facebooknya mendakwa bahawa Pas dan DAP tidak cukup membantu PKR dalam pilihanraya kecil Batu Sapi. Tuduhan seperti ini tentunya menyakitkan hati rakan-rakan dalam PR yang telah berkerja keras siang dalan malam di lokasi. Mereka yang terlibat dengan kerja-kerja di peringkat grassroot sahaja yang mengerti penat lelah parti Pas dan DAP dalam membantu kempen memenangkan PKR.

Namun, Allah SWT belum mentakdirkan pengundi Batu Sapi beramai-ramai meyokong Pakatan Rakyat. Itu perlu diterima dengan redha. Jangan saling meyalahkan. Setelah berusaha, maka berserahlah. Jangan sekali-kali menyalahkan rakyat Batu Sapi. BN menghadiahkan sekalung perhargaan kepada rakyat Batu Sapi yang dikatakan telah membuat pilihan tepat. PR pula hendaklah menghadiahkan berkalung-kalung penghargaan dan pujian kepada rakyat Batu Sapi yang telah mengundi calon mereka. Inilah politik bijaksana dan berhemah yang akan mampu menakluk hati rakyat di masa depan. Bukan politik menyalahkan dan politik putus asa.

Oleh itu, para pejuang yang berjuang untuk memenangkan agama Allah perlu belajar hal ini. Pejuang agama Allah, dalam limpahan pejuang-pejuang politik yang bertali arus menerjunkan diri dalam perjuangan, perlu menunjukkan keunikan. Dengan menyedari penuh bahawa urusan menukarkan hati manusia agar menyokong perjuangan Islam adalah urusan Allah, para pejuang agama Allah SWT dalam politik perlu mengambil jalan paling berhemah. Dalam ceramah-ceramah tidak perlu memasukkan agenda kutuk mengutuk. Tidak perlu agenda serangan peribadi. Setiap yang dibentangkan kepada khalayak biarlah berdasarkan fakta dan biarkan masyarakat membuat kesimpulan. Biar masyarakat yang membuat pilihan sama ada hendak mengutuk pemimpin yang korup itu atau sebaliknya.

Pejuang agama Allah, kalau boleh biar 90 peratus ceramahnya adalah meceritakan tentang kebaikan perjuangan Islam. Mulakan dengan pujian buat Allah SWT dan sudahi dengan pujian kepada Allah SWT. Dalamnya pula penuh kata-kata mulia yang merungkai simpulan di hati manusia. Setelah itu, kalau ditakdirkan menang, ucapkan puji dan syukur. Jangan sekali-kali bongkak. Jangan dakwa inilah hasil kerja keras kita. Jangan bangga dan katakan bahawa rakyat telah menolak pemimpin lawan. Ingatlah bahawa kemenangan itu adalah ujian Allah SWT. Saat kalah pula sabar dan redhalah. Berkatalah yang baik atau diam sahaja. Jangan  tuduh musuh gunakan pelbagai tipu muslihat. Usah diulang sebut tentang penyalahgunaan jentera kerajaan  dan sebagainya. Sudah berapa banyak kemenangan yang Allah berikan dan menjadi bukti bahawa tipu muslihat dan penyalahgunaan jentera kerajaan tidak boleh mengatasi kehendak Allah SWT.

Kita hendaklah mengalahkan amarah yang bersiponggang dalam diri sebelum dapat memadamkan amarah dalam masyarakat. Mampukah kita mengambil sikap dan melakukan hal yang demikian? Inilah mujahadah yang panjang dan tidak ramai dapat meladeninya kecuali mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Saturday, November 06, 2010

Jangan Melenting?

Dr. Asri menasihatkan agar pemimpin pembangkang yang ditegurnyan tidak melenting. Ini berikutan cadangan agar DS Anwar Ibrahim bersara daripada politik kerana menurutnya pakatan pembangkang memerlukan suntikan baru dan Ds Anwar Ibrahim telah hilang keseimbangan. Sekali pandang, nasihat Dr Asri itu kelihatan muluk dan murni.

Nasihat agar jangan melenting itu memang patut. Ini kerana nasihat adalah komponen penting dalam agama. Orang yang hebat tidak akan marah jika dia dinasihat mahupun dikritik.

Namun, aku teringat bagaimana sikap Dr. Asri sewaktu dia ditahan oleh JAIS atas tuduhan menyampaikan kuliah tanpa tauliah. Dia pun melenting dan banyak tulisannya menyerang individu dan institusi agama dalam Selangor. Aku bukan orang yang mempertahankan tauliah.  Sememangnya aku setuju sekali orang seperti Dr Asri tidak perlu lagi diikat dengan tauliah. Namun, responsnya terhadap penangkapannya menggambarkan bagaimana wataknya juga suka melenting.

Melenting itu ada pada siapa sahaja. Pada pakatan pembangkang maupun kerajaan. Ada juga pada Dr. Asri selaku pendakwah.

Friday, November 05, 2010

Wang zakat untuk 3 orang itu rasuah?

Rasuah dan BN sudah menjadi umpama garam dan masakan. Ketika Menteri Besar Kelantan, Tg Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan sumbangan RM300.00 seorang kepada 3 orang asli yang baru masuk Islam, hebohlah kalangan pemimpin BN mendakwa Nik Aziz telah merasuah pengundi. Padahal, siapa yang bercinta dengan BN semasa pilihanraya amat mengerti kebiasaan BN membrikan duit pada malam sebelum pilihan raya.

BN bukan sahaja mengumpan rakyat dengan projek pembangunan. Mereka juga menjanjikan wang kepada pengundi. Pada 3 November baru-baru ini, ketika melalui jalan susur Sim Sim, di depan bangunan MCA berjejeran kereta. Aku kehairanan. Sangkaku ada ceramah seseorang tokoh. Rupanya, pada hari itu MCA menjanjikan wang seratus seorang kepada pengundi Batu Sapi. Itulah khabar yang aku dengar. Kononnya wang yang dijanjikan tidak diberikan dan yang datang pulang dengan kecewa.

Cerita pasal pengundi diberi duit ini sudah biasa aku dengar. Jika kita bersembang dengan pengundi setia BN, aku akan dengar cerita mereka terima sejumlah wang yang boleh ditafsirkan sebagai mengumpan undi. SPRM perlu membuat siasatan terhadap responden-responden BN ini. Bukan menyibukkan diri menyiasat pemberian wang zakat oleh Nik Aziz. Mustahil memberikan wnag zakat kepada 3 orang untuk tujuan merasuah pengundi. Apalah nilainya 3 orang? Kalau berikan wang zakat kepada 100 orang atau lebih, kemungkinan besar untuk tujuan merasuah pengundi. Ini 3 orang. Akal busuk sahaja yang akan mentafsirkannya sebagai rasuah!

Thursday, November 04, 2010

Kaum Nabi Nuh

Pilihanraya kecil Parlimen Batu sapi menyaksikan BN menang besar. Walau bagaimanapun,  terdapat dua saluran mengundi bertempat di SMK Agama memperlihatkan kemenangan kepada Hj. Ansari Abdullah, calon PKR. Umumnya para pengundi yang membuang undi di sana adalah pemastautin Taman Mawar dan tentunya dari kalangan yang terpelajar. Sebahagiannya adalah berketurunan Cina. Dengan itu, rumusan mudah yang boleh dibuat ialah, rakyat yang berpelajaran menolak BN. Namun, rakyat yang tinggal di kawasan miskin dan rendah pengetahuan memberikan sokongan padau kepada BN. Ini boleh dilihat pola kemenangan calun BN di pusat-pusat mengundi  seperti SMK Segaliud, Sk Kg. Bahagia. Sk. Karamunting, Sk. Bandar dan Perpustakaan Awam. Masyarakat yang membuang undi di sana rata-rata adalah penghuni perkampungan persisiran laut yang hidup serba daif dan bercampur baur dengan kaum pendatang.


Meninjau suasana semasa kempen, hari mengun di sehinggalah malam pengumuman keputusan, aku melihat BN mempunyai pendokong yang ramai. Tidak tahu atas dasar apa mereka menyokong BN. Namun, di Batu Sapi, terdapat limpahan sokongan golongan muda. Sokongan kepada BN semacam diwarisi daripada ibu bapa mereka. Kempompong tersebut belum dapat dipecahkan. Keadaan seperti di Semenanjung, di mana ibu bapa kuat BN tetapi anak pula kuat pembangkang tidak berlaku secara massa di Batu Sapi.

Setelah selesai pilihanraya yang menyaksikan kemenangan BN ini, aku mengeluh kepada  beberapa teman yang kuat bekerja memenangkan calun Pakatan Rakyat. 

"Sesungguh yang kita hadapi ini adalah kaum nabi Nuh...bersabarlah seperi sabarnya nabi Nuh...",

Wednesday, November 03, 2010

Minyak RON97 naik harga

Minyak petrol RON97 naik 5 sen hari ini. Kini harganya menjadi RM2.15 seliter. Kenaikan ini tidak pun diumumkan oleh mana-mana menteri. Hanya berita yang memaklumkannya. Ramai rakyat yang tidak tahu. Sekarang, kerajaan main cara baru. Kenaikan harga minyak dibuat secara senyap.

Mungkin kerana sibu di Galas dan Batu Sapi, kerajaan tidak sempat untuk memaklumkan kenaikan tersebut. Mungkin juga mereka bimbang ia akan mempengaruhi pengundi kalau diwar-warkan.

Selama mereka berkuasa, rakyat tidak akan selamat. Kemungkinan kenaikan harga  akan terus menghantui. Kenaikan harga barang akan terus menjadi bayang-bayang negeri yang memburu ketenteraman rakyat.

Ust Mohd Nor Deris

Ust Mohd Nor Deris, begitu membenci TG Nik  Aziz Nik Mat.  Aku baru melihat video youtube yang memarkan kata-kata penghinaan ekstrimnya terhadap TG Nik Aziz. 




Sewaktu di Universiti Malaya aku mengenali ustaz ini. Boleh dikatakan dia adalah salah seorang pensyarah yang mengajar kami para pelajar kuliah Syariah universiti Malaya. Ketika dalam satu sesi kuliah, secara tiba-tiba dia mengutuk TG Nik Abd Aziz Nikmat. Katanya, TG Nik Abd Aziz Nik Mat bukanlah ulama yang warak tetapi ulama yang nyanyuk. Ketika itu, baru kami tahu bahawa Ust  Mohd Nor Deris itu daripada parti Islah, iaitu satu parti serpihan daripada PAS.

Tahun tersebut ialah tahun sekitar 1995/96. Kami para pelajar, mulai saat itu mula tidak menyukai ustaz tersebut.  Mulutnya celupar sekali.

Kini, sudah lebih sepuluh tahun, ustaz tersebut terus memikul beban dendam kesumatnya kepada TG Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kehormatan dan kemuliaan TG Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak terjejas juga, Dia masih lagi sebagai MB Kelantan. Sedangkan ustaz tersebut bergentayangan tanpa sanjungan, tidak dikenali dan tidak memberi sumbangan kepada dunia ilmu maupun politik.

Tuesday, November 02, 2010

Melayu Haprak

Dr. Mahathir pernah bersajak dahulu, sewaktu beliau masih lagi perdana menteri. Dalam sajaknya, dia menyebut Melayu haprak. Aku ingin menyebutkan sejenis Melayu yang benar-benar haprak.  Itulah pemimpin-pemimpin Melayu dalam UMNO. Mereka bimbang jika mereka datang ke satu-satu majlis, tidak ramai orang yang datang mendengar ucapan mereka. Lalu, mereka umpan orang ramai dengan habuan. Habuan tersebut mungkin dalam bentuk makanan, pengangkutan bas percuma, duit poket dan juga baju T. Kalau kakitangan awam, mereka dipaksa datang melalui arahan majikan.

Demikianlah yang berlaku sepanjang kempen PRK Batu Sapi. Rakan-rakan guru yang bernasib malang menceritakan bahawa mereka diarahkan untuk pergi ke majlis anjuran UMNO-BN yang mengatasnamakan kerajaan. Jika tidak pergi, surat tunjuk sebab akan menyusul. Kehadiran mereka pula akan diambil tandatangan. Sewaktu kedatangan Timbalan Perdana Menteri, warga guru dikerah pergi mendengar ucapannya. Ucapannya sudah tentu berbaur kempen pilihanraya Kecil Batu Sapi.  Kalau kehadirannya atas kapasiti Menteri Pelajaran, mengapa dipilih saat kempen sedang hangat berlangsung?

Ada pesara tentera yang memaklumkan. Zahid Hamidi turun ke Sandakan, mereka dipaksa pergi mendengar ceramahnya. Program dinamakan sebagai program kerajaan.

Mereka ketandusan khalayak yang sudi mendengar ucapan mereka. Mereka haprak pengikut. Lalu diumpan dan dipaksa orang ramai agar meramaikan majlis mereka. Kelihatan hebat, tetapi kosong.


Jalan panjang dan jalan pintas

Semalam, TG Hj. Hadi Awang menyampaikan ceramah di Pasti Umar Al-Khattab, Indah Jaya. Hujan yang lebat turun sebelumnya dan terus renyai-renyai menyebabkan kehadiran banyak daripada guru-guru dan petugas PAS bagi PRK  Batu Sapi .

TG Haji Hadi Awang menyampaikan ceramah berkisar mengenai perjuangan Rasulullah SAW untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Beliau  membawakan kisah sirah di mana pada satu musim haji, baginda telah cuba mendapatkan nusrah daripada Bani Amir dan Bani Syaiban untuk mendokong pembentukan negara Islam. Namun, kedua-dua bani tersebut berdolak dalik dan menyatakan perlbagai alasan. Apabila dibentangkan kepada Aus dan Khazraj, mereka dengan senang hati menerima tawaran Rasulullah SAW. Lalu berlakulah Bai'ah Aqabah yang terkenal.

Penerangan TG Haji Hadi Awang yang menfokuskan kepada kefahaman sirah Rasulullah SAW itu itukmembentuk fikrah politik Islam adalah satu tarbiah pemikiran yang amat penting. Tarbiah pemikiran amat penting untuk menstabilkan minda di saat-saat genting. Ramai pendokong perjuangan PAS yang kecundang kerana longlainya tarbiah pemikiran. Ada yang goyah hanya dengan sedikit ujian, lalu lari meninggalkan perjuangan.

Kata Hj. Hamzah Abdullah, masyarakat Sabah tidak mengerti bahasa kiasan. Apa yang mereka tahu ialah bahasa terus terang. Mereka tidak faham kalau tidak dinyatakan dengan kata-kata jelas "tolak UMNO". 

Menurut hematku, cara TG Haji Hadi Awang itu walaupun panjang dan berliku untuk sampaikan kepada kesimpulan "tolaklah UMNO", malah beliau tidak pula menyimpulkan begitu, cuma boleh difahami begitu, caranya itu lebih selamat dan menancap. Ini kerana, manusia yang hendak menolak UMNO perlu didasari dengan ilmu. Jika dasarnya semangat, ia akan ada masa pasang surutnya.

Memberitahu orang-orang kampung agar menolak UMNO pun belum tentu akan membuatkan mereka menurut kata-kata kita. Mengungkapkan kata-kata "tolak UMNO' memang mudah, namun untuk membuatkan orang melakukannya, tidak semudah itu. Jalannya panjang dan berliku. Itulah jalan yang telah ditelusuri oleh para ulama amilin sepanjang zaman.

Kita lihat, ulama hebat dalam PAS, apabila mereka berceramah, mereka tidak penuhkan isi ceramah mereka dengan menceritakan kebejatan UMNO-BN. Mereka memulakan ceramah mereka dengan teladan sirah yang bertujuan mendidik pemikiran kita agar benar-benar masak dan memahami perjuangan.

Antara jalan panjang dengan jalan pintas, pilihlah jalan panjang. Allah pun ciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari.

Monday, November 01, 2010

Bersara daripada politik?

Dr. Asri memberi pandangannya agar DS Anwar Ibrahim bersara daripada politik untuk menjadikan pembangkang mendapat nafas baru. Dengan membadingkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi yang telah bersara daripada politik, maka pemimpin-pemimpin politik pembangkang yang seangkatan dengannya juga perlu mengambil langkah yang sama. Itu pandangan Dr. Asri. Apakah pandangan tersebut benar?

Ia tergantung kepada apakah politik menurut kefahaman Dr. Asri. Jika dia memahami politik itu sebagai dakwah, maka dakwah sememangnya tidak pernah mengenal persaraan. Hanya matilah yang mempersarakan pejuang dakwah dalam politik. 

Saidina Uthman bin Affan, walau didesak meletakkan jawatan politiknya sebagai khalifah, dia bertegas untuk tidak melepaskannya. Kerana politik menurut Saidina Uthman adalah dakwah. 

Patutkan seorang pendakwah menyisih diri dan berhenti daripada berdakwah? Kalau anda mentafsirkan kerja-kerja politik sebagai dakwah, maka sebenarnya tidak ada istilah persaraan daripada politik. Kalau persaraan politik itu perlu dibuat oleh DS Anwar Ibrahim, maka demikianlah juga DS Najib dan  DS Muhyiddin Mat Yasin juga  perlu bersara daripada politik. Mengapa tidak disuruh mereka bersara daripada politik juga.

Apakah penglibatan politik pemimpin UMNO-BN itu satu dakwah? Itu sendiri jawablah!

Ceramah Kelompok

Mengikut rancangan asal, ceromah kelompok di kampung Cenderamata petang kelmarin akan dihadiri oleh DS Anwar Ibrahim. Namun, disebabkan kepadatan jadualnya, dia tidak punya kesempatan untuk datang ke lokasi yang dirancangkan. Oleh itu, sebagai memenuhi kekosongan, ceramah tersebut telah disampaikan oleh salah seorang dari pimpinan peringkat kawasan. Sementara sebilangan yang lain mengambil kesempatan melakukan ziarah sambil merayu undi.

Kampung Cenderamata merupakan sebuah perkampungan yang terletak di atas air tidak jauh daripada kampung Bahagia dan kampung Gas.Sebahagian penduduk yang ditanya memaklumkan bahawa mereka tidak punya IC. Hanya memegang pasport. Tidak tahulah benarkah mereka memupunyai pasport yang masih terkini. 

Kalangan mereka ada yang berbangsa Bugis, Bajau dan Suluk. Namun, mereka boleh bercakap bahasa Malaysia dan memahami penjelasan dalam bahasa Malaysia.

Amat sukar menentukan pemikiran politik mereka. Sebagaimana yang aku rumuskan sebelum ini, bahasa yang paling berkuasa di Sabah, khasnya di Batu Sapi adalah bahasa material. Pandangan politik boleh dirubah dengan sedikit pemberian habuan kewangan maupun matabenda.

Bilalah bahasa politik itu akan berubah...mudahan akan sampai masanya.