CARI BAHAN

Friday, January 14, 2011

Peluru petir

Langit senja ini kelam. Selain mega merah maghrib telah berlalu, mendung juga bertebar di mana-mana. Sesekali kilat menyelinap di balik awam hitam yang berkumpul di ufuk. Kemudian bunyi guruh menderam sayup. Hujan sudah mula merintik sewaktu aku pulang dari surau seusai solat maghrib tadi.

Saat begini, aku teringat satu peristiwa zaman kanak-kanak dulu. Waktu itu, rumah keluargaku di kampung masih lagi rumah atas. Ada jemboran, serambi dan rumah induk, Sebahagian rumah kami beratap zink dan sebahagian lagi beratap rumbia. Dinding pula, kebanyakannya di buat dari buluh yang dijalin bapaku. Sedikit sahaja dinding papapan. Tiang rumah pula kebanyakan tiang bulat yang diambil dari hutan dan ditarah sendiri bapaku. Lantai rumah sebahagiannya papan kulaiti rendah buatan sendiri dan sebahagiannya adalah lantai batang pinang yang dibelah.

Ketika itu hari telah senja. Dalam ingatan samar-samarku, umurku saat itu sekitar 8 ke 10 tahun. Aku sedang duduk di jemboran sambil makan nasi. Di tepi jemboran ada sebatang pokok kelapa yang tinggi melayut. Jemboran itu tidak beratap dan lantainya hanya kayu-kayu bulat yang diambil dari hutan. Adik perempuan ku sedang bermain di halaman. Awam hitam berarak dan pencaran kilat berselinap di baliknya. 

Tiba-tiba satu lantunan petir menyambar di serta detuman guruh yang mengejutkan. Ia berlaku sekelip mata dan aku mendengar beberapa siri bunyi yang bersambung secara pantas dari pucuk kelapa tepi jemnoran, para-para dapur dan kemudian sebatang tiang di satu penjuru rumah sebelum ia senyap dan bersambung bunyi hentaman di pokok kelapa di belakang rumah. Semua ahli keluargaku terkesima waktu itu dan mula panik bila mendapati adik perempuanku jatuh pingsan di halaman. Bapaku menerpa dan kami pun tertanya-tertanya apa yang terjadi. Adik perempuan pingsan dan bapaku menyuruh ibu ambilkan badang. Dia mengipas adik perempuanku itu dengan badang. Kata ibuku kemudiannya, menerangkan kepadaku sebabnya, ia adalah petua orang tua-tua. Sebahagian rambut adik perempuanku itu mengeriting seperti terkena api. Dia sedar dari pingsan tak lama kemudian. Aku mendapat tahu daripada ibu bapaku bahawa kerinting rambut adik perempuanku itu adalah kerana peluru petir melalui di tepinya. Rambutnya dipotong dan kepala hampir dibotokkan sesudah itu sebelum rambut baru tumbuh.

Rupanya petir ada pelurunya. Pelurunya hidup dan bergerak zipzap sehingga ia pecah akibat bertembung dengan benda keras. Pada hari itu, pokok kelapa tepi jemboran telah dipanah dan mati beberapa hari kemudian. Demikian juga pokok kelapa di belakang rumah. Batangnya retak dan mati kemudiannya. Tiang sudut rumah pula terkupas kesan terkena puluru petir. Ada kesan sesuatu menyusup di antara surat khabar yang dijadikan alas pinggan mangkuk atas para-para dapur.

Peluru petir itu hilang tidak ketemu. Ada beberapa kali aku melihat batu putih yang dikatakan peluru petir oleh kawan-kawan sekampung. Mereka menjumpainya. Besarnya seperti telur merpati dan bewarna putih licin.

Ia masih menjadi misteri yang belum terungkap sepenuhnya. Menjadi kepercayaan orang-orang tua dahulu bahawa petir adalah tembakan syaitan ke atas Iblis. Sedangkan, mengikut sains, kilat, petir dan guruh hanya tindak balas pertembungan cas positif dan negatif dari awan dengan benda-benda di  permukaan bumi.


No comments: