Hujan yang berterusan sejak beberapa hari ini, sekejap lebat dan sekejap renyai dan berhenti seketika sebelum bersambung kembali kemudiannya, telah menyebabkan berlaku banjir di beberapa tempat di kawasan Sandakan. Satu rekod selama berpuluh tahun (menurut warga lama Taman Fajar), hari ini air naik tinggi sehingga beberapa rumah di lorong 15 dimasuki air separas betis kering. Mengikut lontaran pandangan seorang warga Taman Fajar, En. Oting, pertembungan antara air pasang dengan pertambahan air sungai (sebenarnya parit besar) akibat hujan lebat pada waktu kemuncak air pasang, menyebabkan pengaliran menjadi tersekat. Itu sebabnya tempoh air naik tidak lama. Sekadar tempoh air pasang.
Buat pertama kali dalam sejarah pembinaan masjid Al-Fajr ( menurut En. Suradi), air dari saliran berdekatan naik sehingga memasuki ruangan lantai bahagian bawah masjid Al-Fajr. Separuh dari lorong 6 dan lorong 7, airnya mencapai ke kawasan garaj. Sumber-sumber warga setempat membuat komentar bahawa apa yang dialami oleh warga Taman Kenari lebih malang. Air naik mencapai paras pinggang. Sehingga catatan ini dibuat, mangsa banjir kawasan Taman Fajar merungut kerana ketiadaan perhatian segera daripada pihak kepimpinan setempat maupun DUN dan Parlimen. Lawatan simpati sekalipun belum dilakukan.
No comments:
Post a Comment