CARI BAHAN

Friday, October 05, 2012

Banyak ilmu?

Masa dulu, bila tiba 27 rejab, orang kampung buat sambuatan Israk Mikraj. Orang kampung buat jamuan di masjid dan warga akan berpakat beramai-ramai bawa kuih muih ke masjid. Di samping makan-makan, orang kampung akan dengar ceramah dari Tuan Guru yang dijemput untuk bacakan kitab mengenai Israk dan Mikraj.  Ketika zaman sudah berubah, orang kampungku masih mengekalkan kebiasaan buat kenduri di masjid. Ramai-ramai berpakai bawa kuih muih ke sana sungguhpun tidak sebulat pakatan orang dulu. Kini hati orang kampungku sudah bersalut noda politik yang menjarakkan antara satu sama lain.

Namun, tidaklah jarak antara mereka itu hanya disebabkan politik yang memecahkan. Aku merasakan zaman yang berubah juga menyumbang kepada renggangan itu. Tapi, kebanyakan orang selalu mengkambinghitamkan politik. lalu, politik dikatakan sebagai racun kepada masyarakat. Lantas, lahirlah sekelompok orang yang membuang jauh-jauh urusan politik dari hidupnya. Mereka merasa lebih suci dan bersih dan lebih dekat dengan agama apabila hidup laksana darwis.

Hanya, apabila malam sambutan Israk Mikraj di kampungku tiba, pengisiannya tidak lagi oleh orang yang dipanggil Tok Guru. Penceramah bergelar ustaz dijemput dan selalunya orang-orang dari Jabatan AGama yang ditampilkan. Mereka akan datang berceramah dan ceramahnya juga tidak lagi dalam bentuk lipur lara sebagaimana yang selalu dihidangkan sebagai halwa telinga orang-orang kampung di zaman dahulu.

Penceramah dari Jabatan Agama akan cerita mengenai peristiwa Israk dan Mikraj itu secara ringkas dan kemudian akan menyenaraikan iktibar yang boleh diambil oleh warga desa. Oleh itu, ceramah hanya akan berlangsung sekitar satu jam. Kalau dibuat selepas solat Insya, jam 10 malam semuanya sudah selesai.

" Tok Guru dulu sangat alim, kalau berceramah Israk Mikraj, sampai ayam kokok pun belum habis...", kata ibuku satu ketika bernostalgia.

" Bukan macam ustaz-ustaz sekarang, ceramha Israk Mikraj satu jam sudah habis. Lanjut ibuku.

" Bukan kealiman itu dilihat kepada lamanya berceramah dan banyaknya perkara yang disebut....tetapi ia dilihat bagaimana bijaknya seseorang memilih perkara untuk menyampaikan ilmunya", Aku menyanggah apa yang dinaqalkan ibuku mengenai sambutan Israk Mikraj di zamannya dulu.

No comments: