CARI BAHAN

Sunday, October 14, 2012

Negara Bankrap

Mana satu negara dunia
jatuh bankrap kerana bantu rakyat jelata?
kerana berikan pendidikan percuma,
kerana turunkan harga
barang keperluan utama

Negara kita kaya raya
dalam bumi terbit minyak
permukaannya subur tumbuhan melata
rimba sawit dan juga tanah balak
limpahan makmur tidak terkata

Itulah kurnia Tuhan semesta
bukan kerana bijaknya penguasa
tak perlu mendabik dada
konon pandai mengurus negara

Kalau ada sikaya berjuta
beristana syuga di puncak maya
sedang rakyat hidup melarat
berumah usang di tanah menumpang
itu tanda negara tempang
harta negara dikaut ke gudang
buat si kaya makan seorang
si miskin mengutip yang terbuang.

Negara bankrap bencana Tuhan
untuk penguasa tidak berbudi
setelah diberi nikmat  limpahan
kufur kepada tuntutan ilahi

Sumber razeki pelbagai lapangan
habis dipagari dengan halangan
rumput panjang dalam pagar
rakyat meragut dari luar.
mereka makan dalam kepuk
lebihan ditabur rakyat mematuk

Khazanah negara hak bersama
jangan dibuat milik sendiri
jika hilang berkat Tuhan
tanah subur jadi kontang
negara tropika jadi sahara
minyak hilang dari bumi
ternakan dipelihara penyakit melanda
kontrak diberi nilainya juta
projek dilaksana tidak seberapa
lahir manusia temboloknya sahaja dibela
orang lain peduli apa
penguasa derhaka rakyat hina
hidup hanya mengejar dunia.

Negara bankrap kerana khianat
negara bankrap kerana rasuah
negara bankrap kerana tamak
negara bankrap kerana boros
bukan kerana bantu rakyat
bantu rakyat bawa berkat
negara berkat akan selamat
dikasihi Allah juga malaikat.

No comments: