CARI BAHAN

Sunday, April 21, 2013

Negeri ini kita punya

Negeri ini
bukan milik raja bertahta
bukan kepunyaan menteri berkuasa
Setiap warga merekalah empunya

Jangan kiranya ada
sesiapa mendabik dada
negeri ini aku punya
pamah gunung desa kota
ikut suka aku di mana kan kupacak batu tanda
khazanah harta
buatku sekeluarga.

Negeri ini
leluhur kita wariskan
buat kita semua
sama rata...

Lima tahun cukuplah

Lima tahun cukuplah!
Seorang negarawan berwasiat
agar warga negeriku menginsafi
tahun-tahun penuh derita.

Mereka hanya memungut saki baki
50 tahun diperintah kita
negarawan mengungkit
lebihan sedikit yang ditinggalkan

Lima tahun cukuplah!
50 tahun tidak cukup?

Akan buat industri serata negeri
pusat pelancongan di Pulau Langkawi
rakyat dibela kemahuan diberi
jika kami perintah sekali lagi.

 Lima tahun cukuplah
50 tahun tidak cukup?

belumkah puas memecah bahagi
sekeping kecil kek ekonomi negeri
membuncit perut para kroni
sedang marhaen menggigit jari

Lima tahun cukuplah!
orang tak pandai tadbir negeri
jangan diberi kuasa lagi

Anakku menteri bestari
dialah penerus sebuah legasi
anakku pedagang luar negeri
San Migual mampu dikuasai
anakku pejuang hak asasi
menjulang wanita berlagu emansipasi

Kamilah orang bestari
hanya kami tahu tadbir negeri.


Pemuda harus berani

Walau tidak kutabur padi
namun lalang tidak kuharapkan

walau aku bukan menutur sabda
aku tidak mencicip nista

bukan perjuangan pada untai bicara
tetapi perjuangan pada perlaksanaan kata

Jika benar cintamu padaku
kutuntut nyawa galang gantinya

wahai pemuda
inilah masanya
merobos resiko menancap prinsip
buang segala hambatan takut
berani memburai nurani.

Nilai wanita dan ulama dalam UMNO

Cerita pasal wanita tiada nilai dalam UMNO bukan baru. Apa yang diluahkan oleh Datuk Kamalia Ibrahim, Naib Ketua Wanita UMNO yang keluar UMNO dan bertanding bebas dalam PRU13 mengenai tidak bernilainya wanita UMNO hanya menguatkan lagi apa yang telah kudengar. Apabila pemimpin dalam barisan tertingginya sendiri menyifatkan demikian, maka jelaslah kedudukan wanita dalam UMNO hanya untuk diperkudakan.

Beberapa minggu yang lalu, seorang sahabat daripad UMNO Libaran menceritakan bagaimana wanita UMNO Libaran dilayan hina dalam PRU12. Seorang wanita UMNO yang disifatkannya sebagai hantu kubur (kerana menggunakan IC orang yang telah mati) dan menjadi isteri kepada seorang pemimpin UMNO telah merendahkan martabat wanita UMNO sebagai jentera kempen pilihanraya. Hanya dengan alasan wanita-wanita UM|NO jentera kempen itu telah dibayar RM10 sehari, mereka disuruh jalan kaki masuk ke kampung-kampung sedangkan pengangkutan untuk parti ada. Wanita UMNO dianggap seperti ayam, lembu dan itik. Disuruh jalan kaki dan ada yang diangkut dengan lori seperti lembu korban yang mahu di sembelih.

Sedangkan ulama lagikan dihina dalam UMNO, apalah nak dihairankan jika golongan wanita dihina. Dalam PRU ke 13 ini, ramai tokoh ulama UMNO yang tersingkir. Fadzil Hanafi yang pernah membantu memenangkan UMNO di Kedah dan menjawat Exco Agama antara 1999 hingga 2004 dibuang sia-sia dalam PRU ini. Nilainya tiada lagi dan akhirnya bertanding bebas. Mana dia Dr. Masyitah Ibrahim yang dulu dipilih menjadi calon atas dasar merit agamanya. Mana ustaz dan agamawan yang mendapat tempat terhormat dalam UMNO melalui pencalonan PRU13 ini? Fathul Bari? Ini kali pertama beliau bertanding dan apakah anda yakin beliau akan terus dihargai UMNO?

Soal menghargai wanita dan ulama dalam UMNO adalah satu yang perlu dipertanyakan berkali-kali.  Apa yang boleh dilihat, dalam politik ala-Machiavelli amalan UMNO, apa sahaja yang boleh diperkudakan untuk kemenangan akan digunakan. 

Kini tahulah kamu nilai wanita? Para ulama, belum tahukah nilai kamu?

Saturday, April 20, 2013

Penamaan Calon

Hari ini penamaan calon untuk PRU ke 13. Seluruh negara berjalan serentak. Buat pertama kalinya aku melihat sambutan begitu hangat di pihak pembangkang, khususnya PAS. Selama ini, kalau di Sabah, apabila PAS menghantar calon untuk bertanding dalam PRU, maka UBN akan mendabik dada soal jumlah. Jumlah pengikut pembangkang akan menjadi ejekan. Ia akan menajdi ukuran potensi calon untuk menang. Namun, tidak pada kali ini. 

Kehadiran calon Pakatan Rakyat turut disokong oleh iringan pengiku yang walaupun tidak dapat mengatasi jumlah UBN, ia tidaklah melemahkan semangat. Sementelahan pula, UBN dengan segala prasarana dan kewangan yang ada telah mengupah para pemuda dan remaja untuk meramaikan perhimpunan mereka. Sedangkan, para pendokong pembangkang tidak diberikan semua itu. 

Dalam proses penamaan calon bagi parlimen Batu Sapi hari ini, Pas menampilkan Hj. Hamzah Abdullah untuk menentang calon dari parti PBS iaitu Linda Tsen. Tetapi, ada pula seorang calon bebas dari parti Star. Khabarnya orang kampung Bukhara. Maka, jadilah pertandingan pada kali ini tiga penjuru.

Friday, April 19, 2013

TAN SRI AISHAH GHANI

Khabar sampai hari ini. Tan Sri Aishah Ghani berpulang ke rahmatullah hari ini. Beliau mati sebagai seorang veteran UMNO sejati. Semoga Allah mengampunkan dosanya. 

Betapapun anda berjuang dalam dunia ini, maka setelah mati anda akan kembali seorang diri. Bawalah apa yang anda usahakan dalam kehidupan ini dan tiada sesiapa dapat membantu anda lagi. Sementara masih hidup, buatlah yang terbaik.  Kelak, jangan sesal setelah mati.

Thursday, April 18, 2013

Kronisme bagaimana yang dicela?

Blogger caci maki dari Cybertropper UMNO dalam sehari dua ini menyifatkan pencalonan anak lelaki TG Nik Abd Aziz Nik Mat, iaitu Nik Muhammad Abduh di Parlimen Pasir Mas sebagai kronisme dalam Pas. Sebelum kita menelan tuduhan yang dilemparkan itu, perlulah kita fahami dulu apakah sebenarnya kronisme yang ditentang oleh PAS sebelum ini dan apakah semua kronisme itu jahat. Jika kita menelah sejarah Rasulullah SAW sendiri, kita akan terpalit dengan lintasan yang digambarkan syaitan untuk melebelkan Rasulullah SAW sebagai seorang pengamal kronisme. 

Bukankah sahabat baginda itu adalah mereka yang ada hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah SAW? Apakah ada orang Islam UMNO dari kalangan blogger jahil itu berani menyifatkan nabi sebagai pengamal dasar kronisme?

Maka, apa sebenarnya kronisme yang ditentang dan dicela dalam Islam?

Pertama sekali, kita tanyakan, apa untungnya Nik Muhammad Abduh perolehi dari keberadaan ayahnya sebagai MB negeri Kelantan? Apakah beliau mendapat simbahan harta dari ayahnya sebagaimana Mukhzani berjaya mendapat simbahan harta dari kewujudan ayahnya Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri satu masa dulu dan sebagai pemain belakang tabir kerajaan dewasa ini?

Sebab itu, kronisme itu sebenarnya keji kalau melibatkan pengkhianatan. Mendapat sesuatu bukan kerana merit tetapi kerana dekatnya dengan waris. Bila hilang waris dari arus kuasa, maka pergi bersamanya segala apa yang mampu diberikan. Hari ini, ada lagikah orang katakan si Kamaluddin anak Pak Lah sebagai antara orang terkaya? Nama hebatnya sebagai antara orang terkaya sirna bersama lenyapnya Pak Lah dari puncak kuasa. Itulah kronisme. Apabila dapat kaut harta dari kedudukan si bapa lantas jadi antara yang terkaya.

YB gila kuasa

Dulu...
Kamu bukan sesiapa
lalu jadi YB dan ternama

lantas....
Apabila masa berubah
kamu mahu diganti orang lain
kamu memberontak
tak rela jadi orang biasa
mahu jadi YB sampai bila-bila?

Barulah nyata
kamu bukan pemimpin sejati
hanya demi kepentingan diri
laung juang demi bangsa atau agama
hanya sekadar mengisi perut busukmu?

Wednesday, April 17, 2013

Membina negara bebas cengkaman kapitalis.

Dalam pilihanraya, selalunya calon pilihanraya, terutama dari parti pemerintah, akan ada "funder"nya. Kewujudan "funder" ini pada awalnya memang memudahkan seseroang calon untuk terjun ke dalam pilihanraya dan seterusnya memenangi kerusi yang dipertandingkan. Namun, akibat daripada itu buruk sekali. Ia akan membawa negara diringkus dalam cengkaman para kapitalis. Tradisi kerajaan sebagai pembela rakyat hanya akan jadi mimpi apabila setiap tindak tanduk YB kemudiannya akan dibayangi jasa oleh "funder"nya.

Sebab itu, parti perjuangan rakyat heendaklah mengelakkan diri dari menerima sumbangan dari "funder" dalam mana-mana pilihanraya. Seperti apa yang dibuat oleh Pas sejak dahulu lagi, adalah sangat besar kebaikannya kepada rakyat. Rakyat digalakkan untuk menderma demi perjuangan PAS. Apa yang dibimbangi, kelak, setelah PAS diberikan kekuasaan oleh Allah SWT, budaya derma ini akan hilang. Ketika sudah memerintah, para "funder" akan berlumba-lumba menawarkan bantuan kepada calon-calon. Seperti itulah yang sedang mengkudis para calon BN dewasa ini.

Pemimpin PAS perlu penuh sedar perkara ini. Demi mewujudkan negara yang bebas dari cengkaman kapitalis, jangan mudah lentok dengan budi baik "funder". Ini kerana, mereka yang menamam padi tentu mennati masa menuainya. Walau senyum manis dibibir dalm tangan bergesel salam, di sudut bibir ada ancaman yang disimpan dan jemari pula menguik dalam salam.


Politik Perut

Dulu, bukan main pertahankan UMNO. Siang malam keliling negeri dendangkan lagu puji sanjung UMNO. Apa pun yang UMNO sebagai parti teras kerajaan lakukan, ia diwajarkan dengan logik yang pelbagai. Seolah-olah hatinya telah menggapai makam Mutamainnah. Malah, boleh dikatakan telah meneroka makam tertinggi Radhiah Mardhiah.


Tetapi, tiba-tiba feelnya berubah. Semuanya gara-gara dirasakan UMNO mengkhianatinya. Kerajaan yang diterajui UMNO itu tiba-tiba merampas tanah leluhurnya tanpa alasan munasabah dan tidak pula diberikan pampasan yang munasabah. Atau, untuk seorang bekas YB, dia melenting kerana tidak terpilih sebagai calon dalam PRU 13 kali ini. Bagi seroang kontraktor, terlepas daripada melahap kontrak kerajaan yang selalu menjadi miliknya melalui tender tertutup.

Kerana habuan untuk diri tidak dapat diperolehi, sifatnya yang mendokong UMNO kini bertukar menjadi musuh kepada UMNO. Lantas, tanpa segan seilu, dia pun mencari dahan baru. Dahan yang dulunya dicemuh cela, kini tempat dia berteduh dan bergayut. 

Hubaya-hubaya wahai Pakatan pembangkang dengan manusia yang fikirnya serendah nilai isi perutnya yang busuk. Mereka itu adalah kambing yang hanya mencari mrumput hijau. Tiada keuntungannya memberi penghargaan  buat mereka.

Tuesday, April 16, 2013

Pengkelana yang menemui destinasinya.

Dia adalah pengkelana politik
yang mencicip laba
di setiap persinggahan

baru kelmarin kudengar suara zanjinya
tapi kini dia sudah menyanyi lagu cinta ghairah

Baru  kelmarin dia melilit serban di kepala
tapi hari ini dibuat pembalut nagka busuk

Bicaranya hari itu
Islamis persis fundamentalis
tapi hari ini
bicaranya menjadi chauvinis nasionalis

benar-benar luar biasa
jalan putar yang ditempuhnya.

Zulkifli Nordin calon BN Shah Alam

Aku terasa lucu dengan kebodohan UMNO mencalonkan Zulkifli Nordin sebagai calin BN di Shah Alam bagi menentang Khalid Samad daripada Pas. Umum mengetahui bagaimana makar Zulkifli Nordin dalam politik. Beliau melompat dari sebuah parti ke sebuah parti dan kini dia singgah berpetualang pula dalam UMNO. Aku tidak fikir UMNO Shah Alam akan menerima manusia bernama Zulkifli Nordin. 

Baguslah UMNO meletaknya di Shah Alam. Dengan mudah beliau ditewaskan Khalid Samad. Ini merupakan pengamatanku setelah membezakan watak antara dua orang ahli politik tersebut. Orang Shah Alam rata-raya berpelajaran dan sangat matang dalam politik. Silap-silap, hilang wang pertaruhan si Zulkifli Nordin itu.

Qais dan cintanya.

Wahai pemuda
jika kamu seorang Qais
siapa yang menjadi Lailamu?

Cinta Qais buat Laila
menjadikan mata buta
tiada berfungsi semua pancaindera
tidak terasa putaran masa
karam makhsyuk rela derita

Kalau hanya untuk bercinta dengan fatamorgana
matinya Qais percuma belaka.



Monday, April 15, 2013

Jinayat dan Muamalat Islam itu universal.

Saya berpandangan, dalam Islam, persoalan ibadah dan akidah memang hak eksklusif orang Islam. Orang bukan Islam tidak terlibat dalam soal ibadah dan akidah orang Islam. Namun, dalam soal Jinayat dan Mu'amalat, ia bukan ekslusif untuk orang ISlam sahaja. Hukum jinayat dan mu'amalat Islam itu dilaksanakan juga kepada yang bukan Islam.

Sebab itu, dalam soal melaksanakan undang-undang hudud, ia melibatkan seluruh rakyat sama ada Islam atau bukan. Ia universal ke atas semua rakyat. Samalah keadaanya dengan mu'amalat. Ia melibatkan semua rakyat. Kalau Islam melarang menipu dalam jual beli, tidak boleh amalkan riba, pajak gadai dan sebagainya, ia bukan sahaja untuk orang Islam. Orang bukan Islam juga tertakluk kepada hukum berkaitan. Maka, demikianlah juga dalam soal jinayat.  

Tidak boleh rakyat Islam sahaja yang dilarang mengamalkan mu'amalat ribawi sedangkan orang bukan Islam tidak, Demikian juga, tidak wajar jika orang bukan Islam dihukum potong tangan kerana mencuri sedangkan yang bukan Islam tidak. Dalam sebuah negara, jika masih ada dua sistem diamalkan, negara tersebut masih lagi menyimpan najis sekularisma.

Orang bukan Islam boleh menerima hukum muamalat, maka kenapa pula mereka tidak boleh menerima hukum jinayat. Penolakan orang bukan Islam terhadap undang-undang hudud yang rancak dalam negara kita dewasa ini adalah angkara umat Islam sendiri. Walau pun beragama Islam, ada kalangan orang Islam yang menentang hudud. Maka, bagaimana orang yang jelas bukan Islam mahu menerima hudud?

Kita percaya dan yakin, kefahaman masyarakat tentang perundangan Islam akan bertambah baik dari semasa ke semasa. Lambat laun, perundangan Islam akan tertegak di atas muka bumi. Hanya persoalan masa, bila iia akan diterima dan tertegak.

Sunday, April 14, 2013

Bekerjalah untuk lokasi.

Ada pertanyaan dilontarkan kepadaku. Apakah tiket disediakan untuk anak Kedah balik mengundi. Terus terang aku katakan bahawa tiket balik mengundi tidak disediakan untuk anak-anak Kedah. Siapa yang mahu balik mengundi hendaklah berkorban. Apa lagi yang ada selain pengorbanan. Kalau tiada pengorbanan, maka tiada gunalah dibicarakan tentang kemenangan. Soal orang lain tidak berkorban, tidaklah perlu dirungsingkan. Siapa yang ikhlas, maka ganjaran Allah menanti.

Aku beranggapan selamat untuk balik mengundi itu tidak boleh mendahuli semangat untuk memenangkan perjuangan di tempat di mana kita berada. Kemenangan bukan untuk negeri asal kita sahaja, tetapi juga di mana sahaja kita berada.

Orang yang bekerja untuk menangkan perjuangan di Kedah telah ramai. Tetapi perjuangan untuk menangkan perjuangan di sini (Batu Sapi), perlukan tenaga kita. Jika kita memang ikhlas mahu menangkan Islam, biar di mana pun langit kita junjung, kita tidak akan meninggalkan Islam terkapai-kapai.

Ayuh, berfikirlah secara nasional tetapi bertindaklah secara tempatan.

Ilmu Tok Ayah berharga 2 Juta?





Harga ilmu Tok Ayah 2 juta
Murah sungguh
kalau begitu.

Aku tidak mahu jual ilmuku
walau harga seisi dunia

Tok ayah bangga menjual ilmu
hanya 2 juta?

Murah sungguh ilmu Tok Ayah
2 juta bukan seberapa
Tak cukup buat menyapu air mata
apa lagi menjamin bahagia alam baqa!

Tok Ayah
pembeli ilmumu membayar 2 juta
hanya untuk mengalas kaki
menyapu najis cemar politik nista.






Rasa Terima kasih

“Saya sudah buat keputusan tidak akan bertanding lagi. Cuma nak tolong Umno dan Barisan Nasional (BN) sebab rasa terima kasih kepada parti yang melantik saya sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat."

Demikian kata Dr. Mahathir Muhammad ketika ditanya mengenai desas desus mengatakan beliau akan bertanding di Putrajaya melawan Hussam Musa.  Merasa terhutang budi kepada Bn kerana melantiknya jadi Perdana Menteri keempat. Apa maknyanya? Kenapa perlu berterimakasih kerana dilantik jadi Perdana Menteri. Apa yang didapatya dengan jadi Perdana Menteri?

Kita pun tahu apa yang didapatnya dengan jadi Perdana Menteri selama lebih 20 tahun. Memang pun wajar beliau berasa terhutang budi dengan UMNO secara khusus dan BN secara umumnya. Segala kemewahan dan kekayaan yang diperolehi hari ini adalah hasil daripada jasa BN kepadanya. Anak-anaknya yang menguasai perniagaan Sam Miguel, Petronas dan beberapa syarikat lain adalah anugerah daripada BN.

Itulah yang menyebabkan kenapa beliau perlu berasa berterima kasih kepada BN.

Kalau sepatutnya, jadi Perdana Menteri perlu diterimakasihkan. Bukan Perdana Menteri berasa berterimakasih kerana jadi Perdana Menteri. Apa lagi kalau bukan sebab faedah yang diperolehi?

Saturday, April 13, 2013

Kereta dan Patriotik

Beli Proton?
atau nak beli Camry?

Belilah Proton
demi majukan industri kereta negara
jika benar anda seorang patriotik
tegas seorang negarwan

Habis?
Kenapa harga proton tak sama
antara di malaysia dan Arab Saudi?
kenapa pula pak menteri pakai Mers
anak menteri pakai Porshe
Adi beradik pakai Ninja King

rakyat biasa
pakai proton sahaja
sebagai tanda ptriotik cinta nusa

Ada YB
Dulu bawai teksi proton saga
kini sudah pakai Hammer

depan istana sultan baginda
bersusun puluhan kereta
tiada satu pun proton saga
semua berjenama luar negara
Menteri dan orang kaya
pakai kereta luar negara
tidak dipersoal cinta negara

rakyat marhaen pula
baru bermimpi nak tukar kereta
buatan luar negara
Honda atau Toyota
sudah dikata tak sayang negara.

Untuk siapa proton dibela?
untuk negara atau naga
atau patriotik hanyalah garam
buat bacuhan kopi petang??


Arbaban selain Allah

Demi Malaysia, kita perlu kereta Proton. Kita perlu patriotik. Siapa lagi yang akan mengangkat nilai kereta buatan negara kalau bukan kita sebagai rakyatnya. Perkara inilah yang sering dimainkan dan semangat patriotik rakyat dibakar agar terus setia penjadi pengguna kereta buatan Malaysia. Tetapi, lihat bagaimana Proton  buat untuk rakyat. Kereta Proton yang dijual di Arab Saudi jauh lebih murah berbanding yang dijual di Malaysia. Ke atas rakyat ditekankan semangat patriotik, tetapi rakyat permainkan sehingga terpaksa membayar lebih untuk jenis kereta yang boleh dibeli dengan harga yang lebih murah.

"Tak apa, ini adalah demi patriotik!", kata seorang pemimpin politik.
"
Patriotik tengkorak kau! Ini adalah demi legasi orang yang menunggangi Proton untuk kencangkan poket sendiri.

Seorang ilmuan muda berkata, kita hendaklah menggunakan produk perbankan tanp riba. Biarpun kena bayar lebih ketika membuat pinjaman, ia adalah urusan yang bebas riba. Sistem konvensional, walaupun nampak lebih ringan dan kurang membebankan peminjam dari bank, ia bersalut riba. Cari yang halal adalah kewajipan. Ke atas rakyat pengguna sistem perbankan disuruh cari halal. Apakah pengusaha perbankan memikirkan soal cari yang halal ini atau hanya menunggangi sistem perbankan atas nama tanpa riba demi keuntunngan? Kalau sistem Islam, kenapa ia menjadi lebih berat berbanding sistem Islam?

Islam dipergunakan lagi!

"Anda boleh beli air minueral mana pun di pasaran. Air mineral kami ini walaupun mahal sedikit, ia telah dibacakan dengan Al-Quran oleh pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz. selain membeli air mineral yang dibacakan Al-Quran, anda juga menderma melalaui pembelian ini kepada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz..."begitu pula semangat Islamik pembeli air mineral diasak. Apakah untuk kebaikan pengguna atau tidak lebih untuk melariskan perniagaan air mineral?

Mengapa masing-masing berlumba menggunakan Islam untuk kepentingan diri? Menggunakan nilai mulia untuk menegakkan nilai hina kocek dan perut sendiri??

Inilah Arbabab selain Allah yang amat diperingatkan Allah melalui teguran kepada kaum ulama yahudi dan Nasrani.

Tertipu.

mengapa hanya menatap cermin?
jenguklah di belakangnya
jangan tertipu dengan indahnya biasan

Kalau hanya melihat riak permukaan
memang tak tahu arus bawah
tak sedar buaya berendam

Sungguh baik budi mereka
kita rakyat tetap dibela?

korporat lebih terbela
orang kaya wang berjuta
rakyat membayar segala harga.

Friday, April 12, 2013

Perjuangan Rakyat

Kamu pacak bendera
berapa upahnya?

Tiada...hanya pahala kuharap.

huh!

beli tiket balik mengundi
siapa yang bagi?

Tiada...duit sendiri.

hah?

kenapa?
tak percaya?

Kami diupah pacak bendera
makan minum turut disedia
balik mengundi tiket ada
duit poket diberi juga

tak bayar upah bendera kami cabut
tiada tiket tak sudi kami balik
ini masa kita tunjuk kuasa
biar pemimpin datang menjunjung sembah

apa nak diheran
kalau pengikut disumbat sogok
silap selisih mula mogok

Kalau pengikut cerdik makrifat
ikhlas juang tak minta dinobat

Inilah beza antara dua
perjuangan elit dan perjuangan rakyat
tidak sama berbeza sifat.

Mereka buat Video Seks lagi!

Marahku bersimpuh di bawah Arasy
murkaku bersumpah di depan Kursi

Celaka sungguh Ibn Ubai
matinya sudah bergalang tanah
hidup lagi zuriat nifaqnya

Jika sudah otak bersaraf lucah
diri sudah tidak bermaruah
zahir manusia batin Khanazir wal Qiradah
halal haram semua diredah

Bukanlah dia unta nabi
bukan juga capal baginda
tak layak sebagai debu kakinya
mulia lagi kumpulan domba
lebih bahaya dari serigala

Kalau sudah nadi syaitan
takkan lahir denyut zikir

anak-anak pacal durjana
bersembah thagut tugu bangsa
parti keramat waris durja
tidak kenal hukum agama
tidak belajar susila manusia
tidak meniru adat dunia
hidup membesar dalam rimba
rimba gelap bergelumang dosa.

Masakan syaitan riwayatkan syurga
Usah berperi seperti malaikat
kalau diri dosa berkarat
makan maksiat tak kenal taubat.

Tidak ada benda lain?
selain video seks
Ciss!

Marahku bersimpuh di bawah Arasy
murkaku bersepuh de depan Kursi

Ya Tuhan...



وَامْتَازُوا الْيَوْمَ أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ


Minggirlah wahai pendosa
biar kami bina nusa

Miskin jiwa

Kau miskin harta
kereta cabuk sahaja
rumah setinggan cuma
tengok bendera apa
di atas sana

sudah miskin harta
miskin jiwa faqir agama
minda hamba tidak merdeka
rela bertahun dipijak kepala

Sungguh malang jadi lalang
angin datang terus goyang
azam berkobar hanya temberang
rupanya menunggu datang peluang

sudahlah miskin jiwa kontang
rumah sendiri bertuan orang

Celaka orang itu...

marahku bersimpuh di bawah arasy
benci terpaku dipinggir Kursi


Wahai pembikin video seks
makananmu khinzir berkuah nanah darah
minumanmu kencing hamis bercampur lender
berakmu bangkai segala
kencingmu menitis busuk sebuana

kau berotak selirat lucah
matamu tak berklip menayang porno
lidahmu mengeliat erotik

awan bergumpal membangkit ghairahmu
bayu menyapa mengurut ransanganmu
desiran ombak kau kata eranngan pelacur

cis...
kau najis di kengkang babi
kau celaka dipunggung iblis
kau hidup di lubang tandas
kau mati tahi digilis

kalau mati sebatang kayu
tinggal tunggul reput di situ
matimu tikis di longgok sampah
dibakar bau orang menyumpah

cis...ciss..

Pemuda Perjuangan

Hanya jauhari kenal manikam
masakan syaitan kenal malaikat?
hanya makar dilakar iblis
di mata porno pornolah jua

usah dimimpi madah pujangga
dari lidah orang gila
jangan diminta kalam berhikmat
dari iblis syaitan laknat

pemuda perjuangan memacak bendera
jangan ditanya upahnya berapa
pemuda perjuangan balik mengundi
jangan disoal tiket siapa yang beli
pemuda perjuangan sumbang derma
usah hairan untuk apa
pemuda perjuangan datang jauh
tidak mengeluh letih lenguh.
pemuda perjuangan dihina dicaci
usaha ditanya kenapa masih tegak berdiri
Pemuda perjuangan setelah mati
disebut nama peganti dinanti


Tidak akan faham babi berkubang
mengapa bebiri berbulu putih

Tidak akan mengerti lalat bangkai
mengapa lebah memburu bunga

kalau sudahnya namanya musang
Ayam juga jadi idaman

sudah jadi perangai beruk
sudah kenyang masih kemaruk




Kau adalah apa yang kau sangka

Semua orang adalah pencuri
demi kian sangka sang pencuri.

semua perempuan lacur diri
demikian pula pelacur berhalusinasi.

mana ada pemimpin tidak rasuah?
semua YB menyimpan perempuan

ukur baju di badan sendiri
kalau aku tidak baik
masakan orang jadi baik.

Thursday, April 11, 2013

Syaitan baca Quran

Bila syaitan baca Quran
surah fatihah bunyi berdekah
Al-Baqarah jadi seayat cuma
Al-Kauthar panjang berjela-jela

Tarannum berlagu Bayati Masri
bunyinya rentak Samba Paranawe
Lenggok suara mendesah keluh
suara rintih pelacur di ranjang

Mashaf dibuka terbalik dibaca
tajwed bergesel landasan keretapi
ketok kokok salak lengking
mengeboh menguak menderam menderuh
mengimpi muntaha menjunam ke sijjin

Masakan syaitan berbicara wahyu
walau lidah seperti malaikat?

50 tahun melunyai Islam
kini tampil mengungkap syair
ghazal cinta kalimah Allah
rathab kesal tiada yang berjuang
untuk hudud  dan daulah Islam
berhikam membina masyarakat adil
setelah melata rakyat miskin papa tidak terbela
dalam kepuk negara kaya.

Perlukah keliru antara dua?

Wahai pengundi

antara syaitan dan malaikat
apa perlu timbangtara
mahu dipilih siapa?

Di kala dini memanjat subuh
dia munajat rintih mengeluh
depan al-khaliq sujud bersimpuh

Sementara lawannya bersundal leka
arak diteguk diapit pelacur tua
letih terkulai hingga duha

perlukah keliru antara dua?

Dia pahlawan sepanjang masa
dari remaja hingga matang usia
di tengah masyarakat menjalar jasa
merakyat rasa tersekat tega
melihat nasib hina dina

Dia tampil di musim bunga
turunnya berdewa putra brahma
lahirnya bangsawan berjiwa raja
manakan merasa derita jelata

perlukah keliru antara dua?

dia miskin tak punya harta
berjanji akan membela kita
jika harta jadi miliknya

dia kaya harta melimpah
jenuh lanai penuh rumah
bakhil kedekut masya Allah
berjanji akan jadi pemurah
jika diberi harta tambah

perlukah keliru antara dua?

Dia berteman para wali
dikelilingi ulama pewaris nabi
didokong oleh orang bestari
pemudanya pula menjaga diri
pemudinya pula maruah mewangi
jaka dara membatas diri
jika dulu penyanyi seksi
kini bertukar muslimah sejati
jika dulu terkinja menari
kini tawadhuk insaf tertib berdiri.

Dia berteman iblis syaitan
di kelilingi manusia berjiwa haiwan
didokong oleh hantu cari makan
pemudanya jenis tak berpelajaran
pemudinya galak gatal sawan
bergaul bebas lelaki perempuan
dulu idealis kini kejar habuan
dulu ulama kini tunggangan
dulu pendeta kini lelucoan
malamnya gerhana tidak berbulan
siangnya berkabus diserkup awan
terkinja menari cucu dan tokwan
monyet beruk sangka kawan

Perlukah keliru antara dua?





Wednesday, April 10, 2013

10 Minit

Padang ini aku punya
dulu hutan rimba belantara
aku tebas dengan mantera
dari dupa harta jelata

Di sini kita berpencak sayembara


dari pagi hingga senja
bersambung malam hingga dini
masa itu aku punya

10 minit sebelum subuh
kami berehat lelap mata
giliran gamu melatih jaguh.
segala peraturan telah kusepuh.
jangan ada yang ceroboh.

Agar dunia terbuka mata
aku juragan penguasa medan
adil saksama pada semua
tiada tara tanding umpama
dalam dunia akulah sahaja.

harta  rakyat aku punya
rakyat berharta aku yang jana
inilah masa membalas jasa
aku sahaja pasang bendera
aku sahaja menyebar propoganda
aku sahaja boleh dipercaya
aku sahaja moral mulia
aku sahaja betul agama
Aku disokong semua ulama
aku bijak tadbir negara
aku mati masuk syurga!

Adilku bukan untuk disoal
tidak mahu 10 minit
kuberikan lebih masa
10 saat cukup lama.



Siapa tiru siapa?

Wahai teman!
Wahai sahabat,

Belum disebut dalam riwayat
Hang Tuah belajar mahir bersilat
berguru kepada Tun Mamat
Patih Karma Wijaya bijak politik siasat
Tun perak mengajar memberi nasihat

Baru ini aku mendengar
generasi dahulu mengambil ibarat
kejadian menimpa generasi sekarang.

Guruh berdetum hari ini
Menurunkan hujan pada kelmarin.

Siapa pertama terbit manifesto
yang kemudian itulah peniru...
Tak kan tak tahu

Tuesday, April 09, 2013

Bukan duit mereka

"Itu masjid, kerajaan BN yang buat...", seorang penganut fahaman politik UMNO menyebutkan. Mungkin dia mengingatkan agar jangan melawan sebuah kerajaan sebaik BN yang sanggup buat masjid.

Masalah bina masjid sudah pun dijelaskan.  Bukan hanya di Malaysia ada masjid. Sesiapa yang pernah pergi ke luar negara, akan mendapati terdapat banyak masjid. Membina masjid tidak dihalang oleh kerajaan komunis sekalipun yang kini ada  di Cina dan Rusia. Hanya, mungkin dana membina masjid, carilah sediri.

Namun, jangan ingat dana bina masjid itu dari poket orang BN. Dana bina masjid itu dari poket rakyat seluruhnya. Rakyat seluruhnya bukan semuanya orang BN. Maka, sengaja membebalkan dirilah kalau tidak faham soal ini. Dengan kata lain, yang bina masjid itu bukan bersumberkan duit partu BN. Hanya parti BN diberi kepercayaan untuk menguruskan duit orang ramai membangunkan negara, termasuklah membina masjid.

Duit bina masjid itu duit rakyat! Duit aku juga.

Bagimana pula kalau duit yang rakyat berikan untuk diuruskan itu dikhianati. Songlap duit RM250 juta bagi kepada saudagar lembu tetapi tak bela lembu, bukan lagi satu cerita rekaan. Sudah termaklum dan bukti juga sudah berlambak. Bila wang rakyat dipecah amanahkan, apakah patut lagi dipercayaan untuk menguruskannya?

Fikir sendiri dengan akal waras. Tidak ada paksaaan dalam soal ini.Tetapi ingatlah, akal yang tidak digunakan untuk berfikir akan dipersoalkan.




إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.
(Surah Al-Isra’: Ayat 36)




Janji turunkan harga kereta?

Dengar cerita, harga kereta akan diturunkan .Akujanji BN menyebutkan. Selepas pilihanrayalah baru diturunkan. Sudah lebih 50 tahun memerintah, kenapa setelah menjadi kerajaan sementara baru buat akujanji nak turunkan harga kereta? Ini biar betul. Kenapa tak buat masa kuasa seluruhnya dalam genggaman?

Ada akai ka? Boleh cayaka?Atau memang dan terdesak?

Orang, kalau suah terdesak macam-macam janji keluar. Janji bawa melancung ke bulan pun sanggup.Dari percaya janji melancung ke bulan, baik pangkah bulan. Kalau nak berjanji pun suluhlah diri. Apa dibuat masa kudrat penuh dulu. Asyik- asyik naik harga.AP tetap juga dipertahankan. Harga kereta mahal hanya mengkayakan pemegang AP. Harga Proton dalam negara lebih mahal berbanding di Arab.

Sekarang datang dengan janji baru, mulut manis semak dengan batang tebu.Nak turunkan harga kereta??

Otak kemetot mana yang termakan janji-janji baru ini?

Biar kesedaran itu ikhlas

Kesedaran itu bukanlah sedar hanya bila diri terpukul, dianiayai dan hak sendiri dirampas. Sedangkan, pada saat orang lain terhina, haknya dirampas, dizalimi dan diaibkan, kita masih boleh berdiam dan menerima si pelaku zalim. Kesedaran yang datang setelah diri mendapat habuan malang tidak mengujakan aku. Sejauh mana ikhlas itu terbit dari sanubari yang suci, ia sangat meragukan.

Dalam suasana mood rakyat yang memprotes sekarang ini, ada kalangan yang masih berdiam. Namun, pada saatnha dia merasa teraniaya, dia pun bangun. Tetapi, pada ketika iu orang lain sudah munkin duduk.

Itulah akibatnya kalau diri hanya memeninkan diri.

Monday, April 08, 2013

ORANG TUA TIDAK MUMAYYIZ


Orang tua tidak mumayyiz
Mengaji kitab baca kulit
dabik dada mengaku ulama
isi kitab salin balik
50 tahun fahamnya secarik

Orang tua tidak mummayiz
antara serigala dan juga domba
tak tahu beza mana bahaya
antara kasturi dan najis
mana satu penyeri majlis

Orang tua tidak mumayyiz
di kala petani menabur padi
dia pula melepas merpati
orang menapak jalan wali
dia memilih jalan mawali

Orang tua tidak mumayyiz
bicara kecil soal sepele
bicara besar dibuat tempe
mutiara berkelip di tapak kaki
lumpur hanyir atas kepala

Orang tua tidak mumayyiz
minda berkisar di pondok durja.

Monolog sebal-Minda Pondok tidak mumayyiz

" Pak ustaz pondok yang dulunya sekolah tak pandai, corot dalam pelajaran...masuk mengaji di pondok dan kemudian mendakwa dirinya ulama!", aku melepaskan kebengangan itu ketika menyaksikan sekumpulan lelaki berserban mengaku mewakili ulama pondok bercakap degung degang dalam TV. Mereka membawa suara pertubuhan mereka yang diberi nama Minda Pondok lalu berfatwa bahawa haram mengundi Pas dalam PRU ke 13 nanti.

Wah, begitu lancang membuat fatwa tanpa dalil yang jelas. Lantas, bersama pengharaman mengundi Pas, diwajibkan pula mengundi BN. Mereka telah mengambil sifat Allah yang Muhrim dan Muhlil. Kalau sudah jenis orang tak cerdik dalam mengaji, masuk pondok pun  tak cerdik juga. Kalau nak masuk pondok mengaji menuntut ilmu agama, biarlah asal menang genius. Barulah jadi lepasan pondok yang bermutu.

Inilah masalahnya. Ibu bapa selalu melambakkan anak tak cerdik untuk mengaji pondok. Anak yang cerdik disuruh mengaji jadi doktor, peguam dan sebagainya.  Sehabis-habis anak tak cerdik yang mengaji pondok, begitulah jadinya. Jadi pembela kepada kebatilan. Hanya meneruskan legasi Bal'am bin Ba'ura.

Kalau anak-anak cerdik yang masuk mengaji pondok, tidaklah jadi semacam mereka itu. Mereka akan jadi pembela kebenaran, jelas wawasannya dan tahu di pihak mana hendak berdiri.

Tak layak dipanggil ulamak. Apa harta ilmu yang mereka ada untuk dipanggil ulamak. Kalau sekadar hafal nama beberapa buah kita tapi tak faham isi kandungannya, keldai pembawa beban kitab lagi mulia. Jadi ulama bukan hanya dengan lilit serban di kepala atau pakai jubah darwis. Daripada serban di kepala mereka, kain pembalut nangka lagi berguna. Dari jubah darwis pakaian mereka, baik lagi orang-orangan dari kain buruk di tengah sawah.

Sebal betul aku melihat muka-muka orang tidak mumayyaiz mengaku ulama ini. Tapi...aku cuba sabar. Dunia ini memang begitu. Manusia bukan satu tingkat pemikiran. Ada orang mumayyaiz dan ada yang wayar otak putus kerana banyak sangat isimnya.

BUKAN KUN FAYAKUN

Bendera BN sudah menguasai beberapa tempat di sekitar Sandakan. Nampaknya BN sedang mendahului kemeriahan PRU dari segi pemasangan bendera di beberapa lokasi tumpuan. Boleh dikatakan semua bulatan di Sandakan sudah membiru dengan bendera BN. 

Lantas, ada orang bertanyaku.

" Mana bendera PAS, tak nampak sehelai pun lagi?", 

" Bendera PAS tidak dapat terbit dengan kalimah Kun Fa Yakun!", balasku.

Kebanyakan orang menjadi pemerhati. Memang dia penyokong PAS, tetapi bukan orang yang bekerja untuk mengangkatnya di persada maya. Ibaratnya, hanya menunggu yang pipih datang melayang yang bulat datang bergolek. 

Kekadang, melihat beberapa sahabat yang begitu bersemangat untuk balik mengundi mempertahankan kemenangan di bumi kelahiran di Semenanjung, terdetik dalam hati kecilku.

"Pas itu hanya di Kelantan dan Kedah sahajakah?",

Bukankah di mana bumi dipijak, di situ langit kita junjung. Pahala memperjuangkan cara hidup dan politik Islam itu ada diseluruh pelusuk bumi. Kalau pahala dari allah yang dicari, jangan persiakan masa di perantauan untuk memberikan sumbangan kepada perjuangan mengangkat harkat pemikiran Islam.

Muzabzabin

Saya tidak memihak
Tidak kepada kiri
tidak kepada kanan
saya hanya memberi nasihat
sebagai orang tengah.

Dalam pertarungan
antara haq dan batil
masih adakah kebenaran
jika berdiri di tengah?

di saat haq menyeru sokongan
batil menggoda dokongan
Masih ada orang berkata
bertarunglah kamu berdua
aku memerhati sahaja
memberi peringatan nasihat pujangga
agar sayembara lestari terpelihara

Engkaukah pendeta suci?
mendapat wahyu rabbani
sibuk zikr tazkiah diri
khulwat tahannus bak Ashabul Kahfi
yang tidak terganggu sekalipun dunia berkerajaan syaitan.

Tidak ada pilihan ketiga
jika tidak kamu mati
tentu namanya hidup
kalau hidup bukannya mati
putih dan hitam tidak serupa
masam dan manis berbeza rasa
datang cerah gelap kan sirna
masakan ada siang di malam gelita.


Bertenggek ayam di atas pagar
berkokok gegar sayap dikibar
tiba masa menentu qarar
di kala api hangat membakar
tak kan damai berselimut gebar
Ashabul A'raf pun terpanar

Sarat ilmu dalam dada
tidak menumbuh pendirian tegar
bak kolam bergenang air
sayang kumbahan rupanya dia.


Siapa Lelaki?

Akulah lelaki
tubuhku gagah kekar
janggut misai tumbuh meliar
berani bersemangat jiwa berkobar
riak muka bak api membakar
ada zakar

Itukah lelaki?
Atau...lelaki itu apa?

Lelaki itu rijal!
Lelaki itu pemberani menyimpang jalan
mencari menegak kebenaran


  وجاء من أقصا المدينة رجل يسعى قال ياقوم اتبعوا المرسلين

"Dan telah datanglah dari kawasan bandar itu seorang lelaki dalam keadaan bersegera, lalu dia berkata" wahai kaumku, ikutlah para utusan terbut!".
(Surah Yasin: Ayat 20)

Tidak mahu undi Cinakah?

"Terpaksalah aku mengundi BN juga kali ini..." ,keluh seorang kepadaku.
"Kenapa?", aku bertanya.
"Calon pembangkang tempat saya tu Cina...", jawabnya.
"Yang BN tu Melayu ka?" , tanyaku kembali.
"Cina juga, tapi okey sikit la...",ujarnya.

Saya mengerti. Inilah dilema yang terjadi kepada sesetengah pengundi. Mungkin di peringkat Nasional, keyakinan untuk perubahan sudah cukup baik. Tetapi, bila sampai di peringkat tempatan, di sinilah menentukan sikap. Pembangkang, walaupun sudah cukup memukaiu di peringkat Nasional, tetapi, ketika hendak memutuskan siapa mahu diundi diperingkat tempatan, seorang pengundi jadi terfikir berkali-kali.

Bukan senang hendak meyakinkan orang untuk buat perubahan. Kekadang, boleh difahami dengan mudah kenapa keputusan praktikal peringkat tempatan ini sukar ditentukan perubahannya. Kebanyakan pengundi masih berhati lemah dan termakan dengan budi sedikit. Para pemimpin kerajaan biasanya menaburkan jasanya pada musim-musim mendekati hari pengundian untuk memanipulasikan perasaan para pengundi. Umpamanya apa yang dilaporkan baru- baru ini mengenai pemberian permit bas pengangkutan awam oleh Y.B. Liew Vui Keong. Sebanyak seribu borang permohonan diedarkan sebagai menimbulkan harapan baik kalangan pengusaha bas pengankutan awam, biarpun permit yang disediakan hanya berjumlah 285 sahaja.

Orang Melayu masih dibayangi ketakutan pelbagai tanpa sebab. Memang sukar mengubah minda Melayu. Barangkali di mata Melayu penyokong tegar BN, LDP itu Melayu.MCA itu Melayu. MIC itu Melayu. Gerakan itu Melayu. Sementara di Malaysia ini, parti Cina itu hanya DAP sahaja. Kekadang PKR itu pun dilihat sebagai bukan Melayu. Malah, PAS pun tidak dirasakan Melayu.

Melayu...berubahlah demi anak cucu. Cubalah sekali ini.

Sunday, April 07, 2013

Jabariah Moden

Ada orang selalu bercakap: "Allah yang akan menentukan segalanya...",

Syurga atau neraka? Allah akan tentukan.
Solat diterima atau tidak? Allah yang akan tentukan. 
Benar atau batil? Allah juga akan tentukan.

Baru-baru ini, melenting sungguh seorang itu apabila diberitahu oleh seorang pemberita dari Utusan Malaysia bahawa TG Nik Aziz Nik Mat berkata solat orang UMNO tidak diterima Allah SWT. Maka keluarlah kata-kata seperti itu. Bukan Nik Aziz yang tentukan solat diterima atau tidak. Allahlah yang tentukan.

Pertamanya, perlu diingat bahawa rekod pemberitaan wartawan Utusan Malaysia sangat buruk. Dalam banyak keadaan daya kefahaman mereka sangat lemah terhadap apa yang mereka dengar atau lihat. Sebagaimana yang telah aku satirakan dalam tulisan sebelum ini, wartawan Utusan Malaysia mempunya masalah kognitif untuk membezakan antara "barbie" dengan "babi". Maka, laporan bahawa Tg. Nik Aziz berkata sedemikian dari wartawan yang minda celaru Utusan Malaysia itu amat wajar dipersoalkan. Dlam banyak keadaan, mereka sering mentafsirkan ibarat menjadi ayat, kinayah sebagai madah dan ungkapan umum sebagai khusus.

Keduanya, persoalan diterima atau tidak solat itu bukanlah semata-mata dikembalikan kepada Allah SWT. Kalau Allah yang tentukan secara mutlak, maka apa perlunya belajar solat secara sempurna. Boleh sahaja seseorang itu berkata:

" Solatlah mengikut caramu, nanti Allah juga yang akan menilai, kalau Dia mahu, Dia terima. Kalau Dia tidak mahu, Dia tolak",

Jika demikian, apa perlunya Rasulullah dihantar mengajarkan Islam. Dalam hal solat, ada syarat-syarat sahnya. Syarat sah tersebut ada aspek zahir dan ada aspek maknawi. Aspek zahir itu ramai yang tahu. Ia seperti masuk waktu, menutup aurat, suci dari hadas, menghadap kiblat dan sebagainya. Sementara aspek maknawi itu melibatkan sifat ikhlas, suci akidah dari kesyirikan, menjauhi takbur, ujub dan sum'ah serta lain-lain lagi.

Tidak wajar untuk membuat konklusi bahawa Allah akan menentukan solat diterima atau tidak. Sememangnya Allah yang menentukan segalanya. Namun Allah ada syariatNya. Allah juga ada sunnahNya. Menyalahi syariat dan Sunnah Allah, membawa kita tahu jawapannya.

Ungkapan "Allah menentukan semuanya" ini merupakan syibih kepada slogan kaum Jabariah di zaman dulu. Mereka selalu menyandarkan kepada Allah SWT. Akidah yang sebegini, kalau diaplikasikan, akan menjadikan seseorang itu tidak boleh dijelaskan kedudukannya dalam dunia ini kerana hanya Allah yang tahu segalaNya.

Saturday, April 06, 2013

Berikan aku 5 tahun lagi

Tuhan!
Kembalikan aku ke dunia
Kupinta sejam cuma
nanti amalku tiada tanding tara

Bukankah telah diberikan
Umur bertahun buat beramal
Apa yang kamu lakukan selama hidupmu??

Rakyat!
Berikan aku 5 tahun lagi
Akan kupersembahkan segala bakti
Membina nusa sejahtera
Rakyat terbela

Bukankah telah diberikan
Separuh abad berkuasa
Mengapa nusa masih sensara?
Mengapa ada rakyat dialpa?
Mengapa hilang harta negara?
Mengapa barang berlumba harga?
Mengapa yang kaya bertambah harta?
Mengapa si miskin kian papa?

Barang yang hilang yang ditagih
Hari berganti tuah bersilih.

Aku berjanji

Dulu aku berjanji
50 tahun tak cukup masa
Untuk kutepati
Kini aku berjanji
Janji ditepati

Berikan aku 5 tahun lagi
Akan aku buktikan
Aku orang menepati janji

Aku janji rakyat selesa
Aku janji negara sentosa
Aku janji rakyat dapat merasa
Nikmat pagi hingga senja

Inilah akujanji yang kujanji

GS-putaran hidup

Hidup ini putaran roda
Hari ini menjadi hamba
Esok mungkin raja bertahta
Itulah sunnah Yang Maha Kuasa

Janganlah merasa diri sempurna
Masih ada cacat dan cela
Orang lain jangan dihina
Mungkin esok jadi mulia.

Kalau hati sudah bernanah

Ust. Nasharuddin kelihatannya serba tak kena dengan perkembangan mutakhir dalam Pakatan Rakyat. Dalam isu ura-ura DAP mahu menggunakan lambang Pas dalam PRU 13 ini, beliau mempersoalkannya dan mengaitkannya dengan perjuangan Islam dan hudud oleh Pas. Dengan kata lain, kalau DAP mahu menggunakan lambang Pas, persoalannya apakah DAP sudi menerima dasar perjuangan Pas dalam soal negara Islam dan hudud.

Inilah lagu klasik penuh prasangka yang dimainkan rentaknya oleh UMNO dan di"chorus"kan pula Ust. Nasharuddin Mat Isa. Sungguh malang seorang yang telah meladeni fikrah dan adab perjuangan Islam boleh menjadi serendah itu daya fikirnya.

Kalau DAP sudi menggunakan lambang PAS, itu merupakan satu keajaiban yang sungguh menguntungkan PAS. Untuk selangkah ke arah mendekatkan orang-orang DAP kepada PAS, sudah berjaya. Mengapa harus begitu gelojoh agar orang-orang DAP terus menerima dan menganut apa yang dianuti oleh orang-orang PAS. Sedangkan orang UMNO sendiri yang rata-rata seagama dan sebangsa dan ornag-orang PAS pun sukar menerima dan menganut fahaman PAS mengenai Islam, apatah lagi yang bukan ISlam dari DAP. Sekurang-kurangnya DAP sudah bersedia membuka hatinya untuk menggunakan lambang PAS sungguhpun belum bersedia menganut fahaman Islam menurut mizan PAS.

Aku bukan pakar politik dan belum pernah menjadi ahli politik. Namun, sebagai pengamat kecil perkembangan politik, aku merasakan bahawa terdapt kebijakan politik yang sangat besar untuk PAS membenarkan DAP memakai lambangnya. Sekurang-kurangnya membenarkan DAP memakai lambang PAS itu lebih selamat berbanding Ibrahim Ali yang pernah memakai lambang PAS tetapi akhirnya menikam PAS dari belakang.

Politik menurut bacaan Ust Nasharuddin Mat Isa itu hanya menyapu riak permukaan. Samada beliau memang gagal menyelami pusaran arus di bawah atau sengaja enggan menyelaminya, yang jelas beliau tidak memperlihatkan kebijakan berpolitik. Kalau hendak berpolitik biar bijak. Pandai ilmu agama, mahir feqah kontemporeri dan sebagainya bukan bermakna seseorang itu punya kebijakan politik. Politik itu menuntut seni yang lain yang tidak tersurat dalam kitab turas. Ia adalah feqah lenggok manusia yang pelbagai dan serba mungkin.

Kalau hati sudah bernanah
keluarlah bau mual hanyir
tutur bicara bahasa pendeta
menyimpan pancutan racun berbisa

Masakan harum semerbak kasturi
terbit dari perlimbahan iri
mata merenung ekor ke kiri
telunjuk ke langit 
kaki menginjak lumpur najis

Bila minda dikhayal kuasa
rela bersaudara syaitan pura
merasa diri menggapai Baitul Izzah
mencicip wahyu di Luh Mahfuz

Mengapa...
bicara tidak serupa
kala diri di tanpuk wala'
menuntut taat para jundi
setelah terbuang hilang qiadah
melibas wala' merencam barra' !

Kalau hati sudah bernanah
lidah berbicara bahasa malaikat
menyimpan lahjah syaitan terlaknat.


Lidah berbisa setelah hati berubah

Seketika, aku termenung hairan.Kenapa setiap orang yang berubah pendirian daripada menyokong Pakatan Rakyat dan tokoh-tokohnya kepada menyokong UMNO-BN dan tokoh-tokohnya mula sarat dengan percakapan yang meragukan.

Hasan Ali, setelah dipecat menyatakan dia mempunyai "research" bahawa DAP berusaha menjadikan Malaysia Negara Kristian. Sebagaimana lagak bahasa yang sering digunakan sewaktu program motivasi, beliau secara bombastik membayangkan betapa bobroknya Pakatan Rakyat. Feel yang serupa terpamer pada watak dan perkataan Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, Datuk Zaharin dan Nalla. Mereka, kononnya menyimpan dalil khususnya dalam hal kebejatan akhlak Anwar Ibrahim. Namun, sampai kini dalil saheh tersebut tidak pernah dibentangkan dengan cara meyakinkan.

Janji Hasan Ali untuk mendedahkan video mengenai usaha kristianisasi di Selangor, hingga kini tidak nampak. Mungkin dia pun sudah melupakan apa yang dijanjikan. Zulkifli Nordin, dengan bahasa mengancam mengatakan kepada pihak yang mendedahkan video beliau mempersendakan sembahan orang Hindu, bahawa jangan main-main dengannya. Kelak dia mendedahkan rahsia yang akan menyebabkan pemimpin pembangkang tidak sanggup lagi menunjuk muka di tengah masyarakat.

Bunyinya hebat sekali. Tetapi, ia tidak lebih dari paluan gong yang isinya "nil".

Terbaru, Sidik Baba pula bercakap dengan nada yang serupa. Kononnya dia meninggalkan Anwar Ibrahim kerana ada kajian lengkap mengenai siapa Anwar Ibrahim dari segi moral. Ironinya, ketika Anwar dipecat dia menunjukkan sokongan dan kini pula berubah arah pusingan 360 darjah berganding dengan Dr. Mahathir. Dakwaan ada bukti lengkap itu hanya berdasarkan kajiannya. Kajiannya bukan boleh dipercayai secara mutlak. Apabila hati sudah dicelup, berbagai-bagai madah berhelah keluar.

Masa akan menentukan nasib semua manusia yang berputar itu. Anak cucu di belakang hari...ingat baik-baik nama-nama orang yang menconteng arang dimuka kebangkitan rakyat ini.

Menongkah ke hari esok

Hidup berkais pagi
Buat jamah petang hari.

Rumah usang di tepi laut
Patah jemboran senget serambi
Jambatan goyang atap carik
Tiang reput menanti rebah

50 tahun nusa merdeka
25 tahun menjadi warga
Masih menjadi rakyat separa
Dianggap kelas kedua
Sampai bila?

Musim pilihanraya tiba
Yang Berhormat tunjuk muka
Beri duit buat belanja
500 ringgit untuk setahun
Zink diberi dengan percuma
IC janji selesai segera

Semua buih belaka
Datang badai samudera masa
Sirna tidak lagi bersisa
Tidak cukup sepenggal kuasa

Rakyat mustad'afin
Mudah terpesona
Jiwa goyah termakan budi sedikit
Lupa sengsara hari esok
Wawasan menongkah hanya untuk esok.

Anak cucu bagaimana?


Antara dua keringat

Pemuda perjuangan
Yang menumpahkan keringat
Di medan laga menegak yang haq
Membuang santai hidup selesa
Bernafas penat mengharap redha
Risau nasib untung sarwa
Harum keringatmu tercium di syurga
Disapu mandil bidadari loka.

Pemuda santai leka
Tumpah keringat menelusuri lagha
Bersama hilai tawa lupa
Tidak peduli tempang warga
Diri selesa cukup segala
Apa perlu bersengkang mata?
Apa perlu ke medan laga?

Keringat itu hanya buangan
Jadi kasturi atau kumbahan
Anda sendiri buat pilihan...

Memudahkan perjuangan buat pengikut

Para pemimpin perjuangan hendaklah meringankan perjuangan buat para pengikut. Dalam Hadis, Rasulullah SAW berpesan kepada para imam solat agar meringankan solat untuk para makmum yang pelbagai. Jangan panjangkan bacaan dan panjangkan sujud serta sebagainya. Larangan sebegini membawa mesej bahawa pemimpin hendaklah mengukur kemampuan pengikut ketika memimpin mereka.

Sebab itu, pemilihan kaedah perjuangan Islam melalui pilihanraya merupakan tindakan yang menepati sunnah. Di Malaysia, rakyat tidak biasa dengan peperangan dan gerakan revolusi. Sungguhpun begitu, ia bukan bererti rakyat perlu duduk sahaja tanpa menyertai perjuangan menegakkan Islam. Maka, kaedah yang ringan dan sesuai dengan jiwa dan kehidupan rakyat hendaklah ditampilkan. |Membentangkan untuk mereka kaedah pilihanraya sebagai pilihan membuka ruang penyertaan kepada ramai orang dalam urusan perjuangan.

Mereka yang berkehendakkan kaedah perjuangan yang sulit, berliku dan tidak jelas kaedahnya adalah para pemimpin imam yang menyusahkan pengikut. Sedangkan dalam solat disuruh ringankan, mengapa dalam perjuangan dipersulitkan.Berilah pilihan yang mudah dan mampu dilaksanakan oleh para pencinta Islam.

Maka, pilihanraya adalah pilihan mudah dan tidak meyusahkan buat para pendokong perjuangan!

Friday, April 05, 2013

Zul Nordin memaksumkan diri

Jawapan Zulkifli Nordin ketika menjawab salah lakunya menghina sembahan orang beragama hindu menggambarkan betapa rendahnya tahap dan daya fikir beliau.Tanpa segan silu, beliau menyalahkan Pas sebagai pihak yang bertanggungjawab di atas keceluparannya.  Katanya, apa yang dia ucapkan itu adalah hasil didikan pas dan para pendengar yang mendengar ucapannya (tazkirahnya) itu adalah orang-orang Pas. Jawapan escapisme sebegini sangat tidak bertanggungjawap.

BUkankah setiap orang menanggung dosanya sendiri. Kenapa kesalahan dirinya dipulangkan kepada orang lain. Sepatutnya, lidah celupar itu menjadi muhasabah dirinya dan bukan menyalahkan orang lain. Sendiri buat, sendiri tanggung.

Kalau kerana didikan Pas melahirkan manusia celupar sepertinya, maka sudah tentu berlambaklah sudah para ustaz Pas yang bertazkirah di masjid menghina sembahan-sembahan agama lain. Tetapi orang lain faham apa yang diperingatkan Allah dalam Al-Quran mengenai larangan menghina sembahan agama lain kerana ia akan membawa kepada mereka menghina pula Allah SWT.