CARI BAHAN

Friday, June 26, 2026

Kisah Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim asalnya Mesopotamia
Bapanya Azar pembuat berhala
Di zaman Namrud menjadi raja
rakyat dan raja kafir semua

Negara kaya banyak kemajuan
rakyatnya hidup penuh kemewahan.
Namun akidah dalam kegelapan,
Menyembah patung jadi pilihan.

Ibrahim muda merasa hiba
melihat kaumnya menyembah berhala
Patung mati tidak bernyawa
dipohon hajat disembah sentiasa.

Satu ketika pesta bermula,
Rakyat dan raja keluar belaka,
Ibrahim menyimpan satu rencana
Berhala sembahan biarlah dibinasa

Habis dihancur berhala semua,
dipukul Ibrahim hancur bercempera
Kecuali satu dibiar bersisa
kapak digantung pada lehernya.

Habis pesta kaumnya kembali
Tuhan sembahan berselerak di bumi
Siapa berbuat semua ini?
Ibrahim segera bawakan ke mari.

Namrud murka tidak terperi,
Unggun dinyala sangatlah tinggi,
Ibrahim dilempar ke dalam api
kaumnya melihat sangatlah ngeri

Namun Allah maha penyelamat
Api yang panas jadi selamat
Ibrahim dihumban disaksi rakyat
api membakar  tiadalah  mudarat.

Api padam Ibrahim kelihatan
selamat sejahtera tidak terkesan
Mata melihat sangatlah heran
Ibrahim selamat jadi bualan

Ibrahim berdakwah sampaikan kebenaran
kaum derhaka dihukum Tuhan
dimusnahkan bila sudah keterluan
tidaklah berguna apa yang dibanggakan.

Ibrahim mendapat perintah Tuhan
supaya berhijrah ke bumi Kan'an
melanjut dakwah menyebar kebenaran
jadi pusaka keturunan masa depan.

Bersama Sarah isteri setia
bertahun-tahun hidup berdua
setalah muda menginjak tua
tiada zuriat penyeri suasana. 

Oleh Sarah Ibrahim diminta
nikahilah Hajar sebagai isteri kedua
maka lahirlah Ismail sebagai putera
membawa cahaya penerang dunia

Sarah mandul hatinya cemburu
Ibrahim diperintah Allah yang satu
Hajar dan anak dibawa lalu
ditinggalkan berdua di lembah berbatu.

Satu ketika datanglah malaikat 
Ibrahim dan Sarah diberi berkat
mendapat anak sebagaimana hajat
Namanya Ishak sudah tersurat

Selepas Ishak Yaakob anaknya
lahirlah keturunan banyak nabinya
bersilih ganti tiada putusnya 
Bani Israil itulah namanya.

Dari Ismail mucullah bangsa
Namanya Quraisy jadi mulia
kerana di sanalah Nabi Kita
Muhammad lahir memimpin dunia.

Ibrahim pun digelar bapa ambiya
banyaklah nabi dari keturunannya
Khalilullah pula gelaran mulia
kerana Allah kasihkan dia.




No comments: