CARI BAHAN

Saturday, September 10, 2011

British bukan menjajah negara kita?

British tidak pernah menjajah negara kita. Kalaupun pernah dijajah, hanya negeri-negeri Selat sahaja. Negeri-negeri Melayu yang lain tetap berdaulat di bawah sultan-dan raja masing-masing. Demikianlah cetusan pandangan daripada Prof. Khoo Kay Kim dan disokong pula oleh Prof. Zainal Kling. Menurut mereka , British hanya menaungi negeri-negeri Melayu. Natijah daripada kesimpulan mereka ini, semua pegawai yang bekerja semasa zaman sebelum merdeka adalah pekerja kepada kerajaan negeri-negeri Melayu yang berdaulat itu dan bukan kepada ratu England.

Pendapat ini, menurutku adalah latahan berikutan isu apakah polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu pejuang kemerdekaan atau pasukan penyerangnya yang merupakan pejuang kemerdekaan? Akibat melatah dengan lontaran Mat Sabu mengenainya, dua profesor tersebut melatah. Lalu keluarlah latahan bahawa negara kita secara umumnya tidak pernah terjajah. Salah besar kalau dikatakan bahawa negara kita dijajah selama lebih 400 tahun oleh British. Demikianlah pula Prof. Zainal Kling menegaskan.

Ramai orang terlopong mulut pula mendengar hujahan profesor ini. Sebelumnya, mereka tersentak dengan lontaran Mat Sabu. Sekarang, orang menggeleng kepala dan ada pula yang mengangguk-angguk.

Habis, apalah makananya sambut ulang tahun kemerdekaan yang diadakan saban tahun?, tanya sebahagian orang.

Jadi, aktiviti melawan Inggeris seperti yang dilakukan oleh Dol Said, Abdurahman Limbung, Tok Janggut, Maharaja Lela dan lain-lainya itu, apalah yang akan katakan kepada mereka?  Apakah mereka itu penderhaka kepada kerajaan raja Melayu  berdaulat yang berada di bawah naungan British?

Huh, parah!

Kalau hanya menaungi, bagaimana pula British ada wewenang untuk mengadakan perjanjian Bangkok 1909 dengan raja Siam yang mempersetujui bahawa negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada British?

Bagimana pula dengan Sabah dan Sarawak? Apakah kedua-dua negeri itu juga dinaungi oleh British? Justeru, pemberontakan Mat Saleh di Sabah dan Rentap di Sarawak itu, apakah akan kita katakan mengenai mereka?

Nampak semacam  British masih ada pembelanya di negara ini. Sungguh mulia British di mata mereka. Penaung kepada sebuah negara berdaulat!

No comments: