CARI BAHAN

Thursday, September 29, 2011

Negara ini bukan hak sesiapa

Ada orang bertindak seolah-olah negara ini miliknya. Negara ini milik Allah dan Dia berhak memberikannya kepada sesiapa yang dia kehendaki. Ketika Marahkan Anwar Ibrahim yang dituduh sebegai agen Amerika, Yahudi dan kuasa asing, ada pihak yang meminta agar kerakyatannya dilucutkan. Kemudian, sewaktu emosi membuak ke atas Ambiga, ada suara mencadangkan agar Ambiga dilucutkan kerakyatan. Mat Sabu yang dituduh sebagai menghina pejuang kemerdekaan, disarakan agar dilucutkan kerakyatan.

Kerajaan BN Sarawak, dengan wewenangnya melarang beberapa orang rakyat Malaysia untuk masuk ke dalam Sarawak. Terbaru, ada seorang bekas ahli DAP mahu agar Lim Guan eng diharamkan ke Johor kerana dituduh menghina negeri Johor.

Manusia yang dengan bongkak menafikan hak orang lain sebenarnya tidak sedar bahawa haknya tidak seberapa pun. Sekalipun kita bangsa Melayu, hak ke atas tanah ini bukan lebih kepada kita. Setiap warganegara yang lahir di bumi Malaysia ini, dia berhak ke atas negara ini. Inilah reliti yang telah ditakdirkan Tuhan. Mana mungkin kita menidakkannya.

Wednesday, September 28, 2011

Umur Persaraan

Saya dengar dalam TV semalam, Datuk Syarizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat berkata umur 55 tahun adalah terlalu muda untuk rakyat Malaysia berpencen. Justeru, umur pencen bagi pekerja swasta dicadangkan untuk dinaikkan kepada 60 tahun. Terdapat cadangan daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF)agar umur persaraan boleh dinaikkan menjadi 70 tahun.

Nampaknya manusia makin memaksimakan usia untuk mengejar dunianya. Umur yang dikurniakan itu mahu diabadikan seluruhnya untuk kesibukan pekerjaan. Kalau mengikut saya, biarlah umur persaraan itu diturunkan menjadi 50 tahun. Umur selepas 50 tahun itu boleh digunakan untuk meningkatkan amal. 

Kita hidup bukan hanya untuk dunia. Ada akhirat menanti kita di depan.

Tuesday, September 27, 2011

Akhlak mulia menjemput keimanan

Akhlak sangat penting. Akhlak lebih penting dari ilmu. Seorang yang punya ilmu tetapi tidak berakhlak, dia adalah seorang yang hina. Di dunia dia akan terhina dan di akhirat lebih-lebih lagi akan terhina.Tetapi, seorang yang berakhlak mulia sedangkan ilmu tiada, dia akan dimuliakan juga. Di akhirat,kemuliaan akhlaknya akan menjadi sebab dia dimasukkan ke syurga. Allah akan memafkan perlakuan seseorang yang didasari kejahilannya. 

Disebutkan dalam sebuah hadis, seorang pelacur dimasukkan ke syurga hanya kerana akhlaknya yang baik dengan seekor anjing. Dia memberi minum kepada anjing tersebut. 

Sesungguhnya akhlak menjemput rahmat Allah SWT. Para ahli sihir firaun,sekalipun mereka itu kafir dan menghabiskan khidmat bakti mereka kepada Firaun unuk satu tempoh, kerana mereka punya akhlak yang mulia, mereka disentuh keimanan. Tidakkan anda lihat bagaimana mereka tampilkan akhlak mulia mereka tatkala berdepan dengan nab Musa. Mereka sudi menawarkan kepada Musa untuk memulakan lemparan sebelu mereka. Bila nabi Musa menolak,barulah mereka  memulakan lemparan.

Monday, September 26, 2011

MAS atau Syarikat Travel

Syarikat Rejoice Travel memaklumkan kepadaku melalui panggilan talifon bahawa penerbanganku pulang ke kampung pada hujung tahun, sempena cuti panjang persekolahan memerlukan bayaran additional RM 37 untuk satu sektor. Perjalananku akan melibatkan 3 sektor iaitu Sandakan-Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-KL dan KL-Alor Setar.  Oleh itu jumlahnya RM37x3 =111. Bersamaku adalah isteri dan anak seorang. Maka jumlah semua adalah RM111.00 x 3=RM333.00

Menurut syarikat travel berkenaan, bayaran tambahan tersebut adalah untuk aiport tax.

Apa yang menjadi kehairananku, harga tiket yang beli atas namaku oleh syarikat travel tersebut sidah cukup mahal. Lebih daripada RM2000.00. Tiket seperti harga itu pernah digunakan oleh temanku untuk ke Mesir dengan syarikat penerbangan Arab. Mengapa tiket mahal tetapi tempat duduk yang diberikan adalah kelas ekonomi?

Siapa yang sebenarnya mempermainkan kakitangan awam yang mendapat tiket percuma? Syarikat Mas atau Syarikat Travel?

Kalau Syarikat MAS yang mengenakan bayaran tambahan tersebut dengan alasan kenaikan harga minyak dunia, itu adalah sikap tidak pandai bersyukur sebuah syarikat gergasi yang banyak dimanjakan kerajaan. Sudahlah semua tambang yang ditanggung kerajaan buat kakitangan awam diberikan kepada MAS, ia masih tidak merasa cukup. Wang tambahan masih lagi diminta kepada penumpang. Ini benar-benar melampau.

Seandainya syarikat travel yang main silap mata, mereka perlu diajar. Tambang-tambang tersebut sebenarnya tidak perlu diberikan kepada syarikat penerbangan yang pelbagai. Kementerian boleh mewujudkan satu unit khas menguruskan tiket dari permohonan, kelulusan dan pembeliannya. Namun, memikirkan untuk memberi kehidupan kepada syarikat travel, ia diberikan kepada mereka. 

Tetapi, jangan pula tidak pandai bersyukur.

Abang Mat

"Kalau boleh hidup 2 atau 3 bulan lagi...", demikian kata abg Mat.
"Insya Allah, 20 hingga 30 tahun lagi...", balasku.

Usia abang Mat kini sudah melwati 50 tahun. Itulah anggaranku. Baru-baru ini dia masuk wad kerana tekanan darah yang terlalu tinggi. Darah keluar dari rongga-rongga di bahagian kepala. Mata, telinga, hidung dan mulut. Beberapa hari beliau terlantar di wad. Sempatlah aku bersama teman-teman melawatinya. 

Alhamdulillah, kelmarin beliau telah dibenarkan pulang.

Sunday, September 25, 2011

Siapa perjuangkan hudud?

Kini, orang kembali memperkatakan tentang undnag-undang hudud. Berikutan satu seminar yang diadakan di Kelantan baru-baru ini berkenaan perlaksanaan undnag-undang Syariah di Malaysia, di mana TG Nik Aziz telah mendedahkan mengapa Kanun Jenayah Syariah yang diperkenalkan di Kelantan beberapa tahu yang lalu telah digagalkan oleh Tun Dr. Mahathir. Pendedahan tersebut kembali menjemput response balas Tun. Dr. Mahathir. Beliau mencabar supaya kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya. Maka berleretlah isu itu dengan jawapan dan respons dari pemimpin-pemimpin DAP dan MCA sendiri.

Satu hari nanti, jika undang-undang hudud telah diterima dan dilaksanakan di Malaysia, kita akan mengingati Tun Dr. Mahathir adalah penentangnya. Kita juga akan bersaksi bahawa dari zaman berkuasa hinggalah zaman tiada kuasa, Tun Dr. Mahathir tidak pernah positif kepada hudud. Apa yang Tg. Nik Aziz telah lakukan telah membuka ruang perdebatan yang membawa kepada perbahasan tentang rasionaliti undang-undang hudud.

Satu masa kelak, jika kita mengimbas kembali pihak mana yang telah mencetuskan kefahaman masyarakat tentang hudud, kita hendaklah ingat bahawa selama lebih 50 tahun BN memerintah, pemimpinnya tidak melakukan apa-apa untuk mempositifkan undnag-undang Allh di muka bumi.

Insya Allah, undang-undang Allah pasti berada di atas!

Jangan hairan, jika satu masa nanti apabila negara terpaksa melaksanakan hudud, para pemimpin BN (kalau masih berkuasa, tetapi tipis untuk melangsungkannya biar sedekad lagi) mereka akan berkata bahawa perlaksanaan hudud jangan diambil kredit oleh PAS. Demikianlah mereka berbicara tatkala ISA di mansukhkan. Padahal, sudah bertahun rakyat membantahnya.

Friday, September 23, 2011

Rasuah untuk berpindah

Apa yang aku dengar ini banyak diperkatakan orang. Namun, sejauh mana benarnya, wallahu a'lam.

Guru-guru yang memohon tukar untuk balik ke Semenanjung, kerana kecewa tidak berjaya setelah berkali-kali, akhirnya mengambil jalan bawah meja. Mereka bertemu pagawai yang bertanggungjawab menguruskan perpindahan (tidak pastilah sama ada kerani atau pegawai atasan), lalu membuat sejumlah bayaran. Mengikut maklumat yang aku dengar, kadar bayaran yang diminta oleh pegawai yang menguruskan perpindahan itu ialah RM3,000.00. 

Aku katakan cara ini rasuah. Seorang yang ditukarkan ke sekolah baru setelah melaksanakan urusan itu, akan mendpaat bayaran gaji bulanan yang haram. Haram untuk seterusnya kerana mendapatkan jawatannya melalui jalkan rasuah.

Adalah orang cuba menghalalkannya. Dikatakan bayaran tersebut  adalah wang pengurusan. Aku menafikan kemunasabahan ia sebagai wang pengurusan. Wang pengurusan hanya berlaku jika bayaran itu bukan kepada orang yang bertanggungjawab dalam soal perpindahan. Misalnya seorang yang kita minta tolong untuk kirimkan borang perpindahan kita. Sebagai menghargainya, diberikanlah wang pengurusan. Kalau diberikan kepada pegawai yang menguruskan, ia bukan wang pengurusan. Pegawai itu telah dibayar gaji untuk kerjanya.

Ada yang mendakwa bahawa jawatan di tempat baru memang hak miliknya. Dia bayar untuk dapatkan hak miliknya. Ia bukan rasuah. Rasyah ialah kalau bayaran yang dibuat untuk rampas hak orang lain. Namun, persoalannya, siapakah yang mengatakan kedudukan dan jawatan di tempat baru itu hak miliknya. Semua yang memohon pindah akan mendakwa kekosongan itu adalah hak miliknya.

Sanggupkah anda manakn gaji haram sepanjang anda bertugas sebagai guru. Amat malang sekali kalau yang melakukan kerja ini adalah guru agama. Ustaz dan ustazah!

Bahana wakil rakyat bermewah

Tun Mahamthir kata rakyat pandang jijik kepada wakil rakyat yang hidup mewah. Memang, tidak dapat dinafikan. Apa yang dikatakannya itu benar. Seorang wakil rakyat yang hidup mewah melambangkan dia menunggangi jawatannnya untuk kepentingan diri.  Apa tidaknya? Dulu, sebelum jadi wakil rakyat, naik kereta kancil sahaja. Lepas jadi wakil rakyat, sudah tukar kereta dengan kereta mewah. Padahal, wakil rakyat itu bukan dari keluarga yang mewah pada asalnya.

Rakyat menjadi penonton kepada kelakuan wakil mereka. Jawatan yang disandang itu adalah berkat sokongan rakyat. Jika rakyat sudah tidak sokong, maka di manalah wakil rakyat itu? Kerana merasakan kehidupan sebagai wakil rakyat dapat memewahkan diri, maka kita lihat ramai wakil rakyat yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemenangannya. Selain berkempen siang dan malam, mereka tega merasuah pengundi. Biarlah wang habis berjuta, asalkan selepas menang mereka mendapat gantinya yang lebih berlipat ganda.

Sebenarnya, lebih jauh daripada kebencian rakyat, wakil rakyat yang hidup mewah akan membawa  kepada kehancuran.  Ini kerana kemewahan yang diperolehi itu akan menyemai budaya rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

Thursday, September 22, 2011

Putar alam

Tun Dr. Mahathir kembali bercanda di pentas politik melalui kenyataan-kenyataannya. Kalau masih terbayang dalam ingatan kita, sebelum Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan dengan terpaksa, demikianlah feel dan kelakuan Tun Dr. Mahathir. Beliau yang telah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri banyak mencampuri urusan Perdana Menteri penggantinya. Seolah-olah, beliau tidak berkeyakinan dengan kemampuan perdana menteri selepasnya.

Mungkin, pada rasa riaknya, dialah perdana menteri terhebat. Malaysia tidak dapat ditadbir urus dengan baik jika dia tidak melibatkan diri. Sebab itu dia menyerang Abdullah Ahmad Badawi. Dan kini, dia memandai pula dalam pentadbiran DS Najib.

Dia mahu dirinya terus menjadi ikon.  Padahal, kemeluatan sebahagian rakyat kepadanya tidak berkurang. Malah, dengan kelancangannya, bertambahlah jumlah yang meluat kepadanya.
Terbaru, dia memberi respons tentang hudud kerajaan negeri Kelantan yang pernah dibantahnya dengan surat amaran semasa pemerintahannya. Kini, dia mencabar kerajaan Kelantan melaksanakannya kerana dia tidak membantah lagi. Katanya, DS Najib yang berkuasa sebagaimana dia pernah berkuasa.


Sunday, September 18, 2011

Penangan bisul

Malam ini, hujun turun renyai-renyai. Sepatutnya aku mengunjungi rumah terbuka GB sekolahku. Tetapi, sakit bisul dibetisku yang sudh berlarutan lebih seminggu membuatkan aku malas untuk pergi. Selain perlu berpantang makan, denyut sakitnya membuatkan aku tidak selesa untuk bertamu di rumah orang. Setakat ini, aku masih bertahan dengan solat di masjid dan duduk bersila ketika tahiyyat.

Aku menggunakan pelbagai ubat. Namun, ubat bunga raya paling aku suka. Ia menurunkan bengkak dan menghilangkan sakit. Bunga raya yang ditumbuk, dilumurkan di sekeliling luka bisul.

Sakit bisul, walaupun bunyinya remeh, tetapi bisul yang serius akan menyebabkan kesakitannya menjalar sampai ke kepala. Ia menghilangkan keselesaan sekujur badan.

Friday, September 16, 2011

ISA dimansuhkan...

ISA akhirnya diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, akan dimansuhkan. Kedengarannya amat bagus sekali. ISA yang menjadi akta zalim yang selalu disalahgunakan oleh pihak pemerintah, sudah sekian lama ditentang oleh rakyat. Ia telah banyak mencalit luka di hati rakyat, terutama keluarga mangsa ISA. Ternyata kini, ISA itu satu kesilapan kerajaan.

Maka, rakyat diseru berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas pengumuman tersebut dan pebgumuman lain. 

Ada seorang hamba Allah yang memandu kereta di satu jalan. Tiba-tiba dia disergap sekumpulan perompak. Perempak itu mengancam untuk membunuhnya. Tetapi kemudiannyanya mereka tidak jadi bunuhnya. Mereka melepaskan hamba Allah tadi untuk meneruskan perjalanannya. Perjalanannya selamat sampai  ke tempat yang dituju. Hamba Allah tadi ceritakan kepada kawan-kawannya mengenai pengalamannya itu.

Lalu mereka berkata kepada hamba Allah itu;

"Kau sepatutnya berterimakasih kepada perompak itu!

Hamba Allah terpinga-pinga

Thursday, September 15, 2011

Penyambut Merdeka

Sang penyambut kemerdekaan. Bukan kataku. Tapi kata Pak Samad, seorang sasterawan tua berstatus Sasterawan Negara. Belia mengulas mengenai siapakah Tunku Abdul Rahman, pejuang kemerdekaankah beliau? Sambil menolak kewajaran beliau digelar Bapa Kemerdekaan kerana sinis terhadap profesor yang menafikan negara pernah terjajah, dia menyifatkan Tunku Abd Rahman hanyalah seorang penyambut kemerdekaan. (rujuk: Merdekareview)

Di negara kita banyak sekali acara sambutan. Ada sambutan bersifat agama dan ada yang bertaraf kebangsaan. Sambutan Maulidur Rasul, ISrak Mikraj, Nuzulul Quran, Ulang Tahun Kemerdekaan, Hari Pahlawan dan sebagainya, adalah sebahagian daripada hari-hari yang disambut dalam negara kita. Sambutan tersebut merupakan program yang disusun atur agar menampakkan kemeriahannya. Untuk itu, dibentuk jawatankuaa dan diketuai oleh seorang pengarah program. Pengarah programlah yang berucap menaluy-alukan acara sambutan buat permulaannya. Sesetengah kes, ada perasminya.

demikianlah pula sambutan hari kemerdekaan. British telah mengatur program tersebut dan melantuk Tunku sebagai pengarahnya merangkap perasminya. Sebab itu, beliaulah yang melaungkan "merdeka" sekalipun sebelum itu beliau dan juak-juaknya hanya mengenal laungan "hidup Melayu".


Monday, September 12, 2011

Ubat Bisul

Sakit bisul di betis kiriku sudah hampir seminggu. Cuma dalam tiga hari terakhir ini ia semakin parah. Denyut sakitnya kekadang sampai ke kepala. Bengkak sekitarnya telah memerah dan sakit sengalnya tidak terkata lagi. Ia membawa kepadsa demam di malam hari. Untuk mengurangkan rasa sakit itu, aku makan ubat "panadol soluble". Ia dapat membuatkan aku tidur lena di malam hari.


Banyak kawan mencadangkan pelbagai penawar dan petua. Ada yang suruh ambil beberapa bahan tumbuhan untuk ditempelkan pada bisul itu.  Cikgu Azis Tahja meriwayatkan bahawa dia pernah terkena bisul antara pusat dan anunya. Mentuanya telah berikan kelopak bunga raya yang telah dilecekkan. Katanya, punat bisul itu terkulai keluar kemudiannya. 

Cikgu Liza kata, daun kapal-kapal sangat mujarab. Ia dihancurkan dan ditampal di atas bisul

Cikgu Jainul kata ada ubat dijual di kedai ubat Cina (Singseng). Ia sebesar buah longan dan apabila dibasahkan dengan air dan diletak di atas bisul, ia akan menyedut punat bisul sehingga kesut.

Sekuriti sekolah berikan petua. Ambil kapur makan dan perahkan asam limau kasturi atasnya dan gaulkan. Limau nipis mungkin lebih baik.  Kemudian, pecahkan punat bisul dan sapukan dengan ramuan itu. Ia akan menyebabkan bisul menjadi kesut.

Ada pandangan kolektif bahawa bisul merupakan sejenis infection kuman. Oleh itu, hendaklah dapatkan antibiotik dari hospital atau farmasi. Ia akan mengurangkan kesan rebakannya.

Aku mengenangkan diri dan dosa. Semoga ini menjadi kifarat buat sebahagian dosaku. Kalau boleh semuanya. Allahumma ameen!


Kad Prabayar dicukai 6 %

8:07 AM, 12/09/11, From: CELCOM, RM0.Plggn dihargai, mulai 15/9/2011, semua pembelian reload & pek permulaan prabayar akan dikenakan 6% cukai perkhidmatan yang berkenaan. Info: www.celcom.com.my

Dalam TV semalam, heboh pak menteri bercakap mengenai ketidakwajaran dikenakan cukai tersebut. Tetapi, kenapa pagi ini mesej seumpama ini sampai ke inbox saya? Apakah menteri yang bertanggungjawab itu tidak ada kuasa menghalang pengenaan cukai tersebut? Ada menteri yang mempertikaikan cukai tersebut dan mengatakan bahawa sebelum cukai dikenakan, servis hendaklah terbaik. Pelanggan banyak mengadu mengenai lemahnya servis yang disediakan. Apakah sekadar itu pak menteri? Hanya mengeluh seperti rakyat mengeluh?

Kalau begitu, turun di sini, biar orang di bawah pula naik ke tempat atas jadi menteri. Apa guna jabatan kalau tidak mampu gunakannya untuk kepentingan rakyat?

Saya sudah katakan, kalau hendak bermain dengan rakyat demi keuntungan puak kapitalisme, rakyat akan membuat hukuman. Kerajaan di pihak mana? Menjaga puak kapital  atau rakyat? Siapa yang memulih kerajaan? Puak kapital atau rakyat. Jangan jadi lupa asal usul setelah berada di atas. Yang di atas, boleh jatuh pada bila-bila masa sahaja.

Kalau puak kapital telekomunikasi rasa hebat sangat, kerajaan bukalah peluang untuk pelbagai syarikat telekomunikasi yang bersepah serata dunia ini bersaing dengan syarikat haprak dan tamak dari Malaysia. Baru tau langit tinggi rendah.

Itulah cara rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Sunday, September 11, 2011

Merebut Kota Perjuangan

Kerana
kemerdekaan ini anugerah penjajah
buat anak-anak terdidiknya
kitapun dipaksa melupakan
mereka yang telah berjuang
dalam selengkar masa
dengan lelehan peluh, air mata dan darah
diburu, dipenjara, dibuang negeri dan dibunuh.

Siapa berhasil merebut kota perjuangan
di sanalah dia memacakkan rayahnya

Manakala yang tewas
adalah untuk dilupakan

Profesor oh profesor!

Aku tidak pernah tahu adanya persatuan para profesor yang dinamakan Majlis Profesor Negara. Sehinggalah apabila mereka membuat sidang media dan melalui ketuanya Prof. Zainal Kling, komen dibuat mengenai siapakah pejuang kemerdekaan dan taraf penjajahan British ke atas negara kita, baru aku tahu mengenai kewujudannya.

Prof. Zainal Kling menyatakan dua perkara penting dalam kenyataan mediannya. Pertama, bahawa Tanah Melayu (Malaya) tidak pernah dijajah. Ia hanya dinaungi oleh British. Selama 400 tahun British hanya menaungi negeri-negeri Melayu. Kedua, para penentang British yang berhaluan kiri bukanlah pejuang kemerdekaan. Malah mereka adalah penderhaka kepada sebuah kerajaan yang legitimate.

Aku suka menyentuh dua perkara dalam isu ini. Pertamanya mengenai persatuan yang dinamakan Majlis Profesor Negara ini. Keduanya ialah mengenai pandangan Prof. Zainal Kling tersebut.

Majlis Profesor Negara ini ditubuhkan, apa keperluannya? Apa kepentingannya sehingga disandarkan nama "negara" pada nama rasminya. Mungkin, secara mudah akan dikatakan untuk membantu negara mencapai kemajuan dengan idea-idea cemerlang para cendikiawan di dalamnya. Namun, setakat hari ini, apakah pandangan dan sumbangan pemikiran luar biasa MPN ini? Kalau setakat berkumpul dalam satu persatuan lalu merasa hebat kerana sudah bergelar profesor, bolehlah...boleh blah. Profesor hanya satu gelaran dan bukan lambang keilmuan yang mutlak. Kalau sudah berhempas pulas menyiapkan satu kajian spesifik tertentu, kemudian dihujahkan depan panelnya, lulus, dapatlah gelaran profesor. Apakah nilainya profesor itu kalau hanya bersandar di sofanya dalam bilik berhawa dingin.

Aku mengenali beberapa profesor. Dari kacamataku yang bukan profesor ini, tiada ilmu yang boleh kuambil daripadanya. Dia hanya duplicate apa yang ada dalam buku. Pandangannya beku dan kaku.

Tapi, apa yang diutarakan oleh Prof Zainal Kling ini satu penemuan yang agak hidup sebenarnya. Melawan pandangan arus perdana yang mengatakan negara kita dijajah, sebenarnya pandangan yang aktif. Ia boleh dinilai dan dikaji.

Mengenai pandangan Prof Zainal Kling yang mendakwa negara kita tidak pernah dijajah ini, banyak persoalan yang boleh diberikan kepadanya. Apa yang selalu dimomokkan ialah apa perlu sambut merdeka kalau tidak pernah dijajah. Orang akan mentertawakan profesor tersebut kerana dengan mudah pandangannya dicari cacatnya.  Sementara, terdedah juga kejahilannya mengenai perjalanan sejarah secara detail apabila dia mendakwa negara hanya terjajah selama 2 tahu di bawah Malayan Union. Padahal, malayan Union tidak pernah dilaksanakan, Ia hanya di peringkat cadangan.

Beliau juga menafikan perjuangan kiri sebagai perjuangan kemerdekaan. Maka, dengan itu tertolaklah individu-individu yang kita kenali dalam sejarah melawan British seperti, Burhanuddin, Ahmad Boestamen, Pak Sako dan tokoh-tokoh sbelum mereka seperti Dol Said, Abd Rahman Limbung, Tok Janggut, Mat Saleh, Rentap dan ramai yang lain. Kalau ikut profesor itu, yang namanya berjuang untuk merdeka hanyalah yang berkompromi dengan British untuk merdekakan negara secara aman.

Sangat janggal pendapat profesor ini. Allah mengurniakan akal kecil buat sang profesor!

Saturday, September 10, 2011

British bukan menjajah negara kita?

British tidak pernah menjajah negara kita. Kalaupun pernah dijajah, hanya negeri-negeri Selat sahaja. Negeri-negeri Melayu yang lain tetap berdaulat di bawah sultan-dan raja masing-masing. Demikianlah cetusan pandangan daripada Prof. Khoo Kay Kim dan disokong pula oleh Prof. Zainal Kling. Menurut mereka , British hanya menaungi negeri-negeri Melayu. Natijah daripada kesimpulan mereka ini, semua pegawai yang bekerja semasa zaman sebelum merdeka adalah pekerja kepada kerajaan negeri-negeri Melayu yang berdaulat itu dan bukan kepada ratu England.

Pendapat ini, menurutku adalah latahan berikutan isu apakah polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu pejuang kemerdekaan atau pasukan penyerangnya yang merupakan pejuang kemerdekaan? Akibat melatah dengan lontaran Mat Sabu mengenainya, dua profesor tersebut melatah. Lalu keluarlah latahan bahawa negara kita secara umumnya tidak pernah terjajah. Salah besar kalau dikatakan bahawa negara kita dijajah selama lebih 400 tahun oleh British. Demikianlah pula Prof. Zainal Kling menegaskan.

Ramai orang terlopong mulut pula mendengar hujahan profesor ini. Sebelumnya, mereka tersentak dengan lontaran Mat Sabu. Sekarang, orang menggeleng kepala dan ada pula yang mengangguk-angguk.

Habis, apalah makananya sambut ulang tahun kemerdekaan yang diadakan saban tahun?, tanya sebahagian orang.

Jadi, aktiviti melawan Inggeris seperti yang dilakukan oleh Dol Said, Abdurahman Limbung, Tok Janggut, Maharaja Lela dan lain-lainya itu, apalah yang akan katakan kepada mereka?  Apakah mereka itu penderhaka kepada kerajaan raja Melayu  berdaulat yang berada di bawah naungan British?

Huh, parah!

Kalau hanya menaungi, bagaimana pula British ada wewenang untuk mengadakan perjanjian Bangkok 1909 dengan raja Siam yang mempersetujui bahawa negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada British?

Bagimana pula dengan Sabah dan Sarawak? Apakah kedua-dua negeri itu juga dinaungi oleh British? Justeru, pemberontakan Mat Saleh di Sabah dan Rentap di Sarawak itu, apakah akan kita katakan mengenai mereka?

Nampak semacam  British masih ada pembelanya di negara ini. Sungguh mulia British di mata mereka. Penaung kepada sebuah negara berdaulat!

Friday, September 09, 2011

Tauliah itu cemeti penguasa

"Watawallana...fi man tawallait..." Demikianlah kita munajat doa Qunut saban Subuh. Kita minta Allah tauliahkan kita sebagaimana Allah telah berikan tauliah kepada mereka yang Dia tauliahkan. Kita minta tauliah kepada Allah kerana hanya Dia sahaja yang berhak memebri tauliah.

Hari ini, Jakim mendakwa bahawa pensyaratan tauliah untuk menyampaikan ilmu agama adalah demi menjaga Islam. Persoalannya, siapakah pula yang melantik Jakim dan Majlis-majlis agama untuk menjaga agama? Apakah pula agama telah cukup terbela oleh JAKIM dan Majlis-majlis agama negeri selama ini? Setakat mana agama mendaki kemuliaan di tangan mereka?

Siapa pula yang jadi tukang sign surat tauliah itu? Hebat sangatkah ilmunya untuk mengenalpasti salah dan silap dalam ilmu?

Kalau nak kawal penyebaran ilmu agama, syaratkan juga semua ustaz dan ustazah di sekolah mempunyai tauliah. Sasaran ustaz dan ustazah adalah murid-muirid yang jumlah puluhan ribu. Kalau tiada tauliah, dibimbangi murid-murid itu mendapat ilmu salah daripada ustazah dan ustaz yang tidak bertauliah. Kerosakan pada generasi pelajar lebih bahaya daripada jemaah masjid yang hanya beberapa kerat.

Huh, memelihara agama konon! Tauliah hanya selembar cemeti yang memukul para pejuang Islam. 




Wednesday, September 07, 2011

Pengkhianat perjuangan

Di Indonesia,apabila kita membicarakan mengenai perjuangan menentang penjajah Belanda oleh penduduk peribumi, kita akan temui sebuah nama besar. Nama tersebut adalah Pangeran Diponegoro. Beliau telah bangkit menggerakkan perjuangan yang disokong oleh rakyat menentang penjajah Belanda. Penjajah Belanda menghadapi keletihan yang amat dalam menghadapi tentangan daripada pasukan Diponegoro. Malangnya, ketika perjuangan deponogoro memanjat kemuncaknya dan dapat membuat pukulan hebat terhadap Belanda, muncullah pengkhianat dari kalangan pengikutnya sendiri. Dia bersubahat dengan penjajah Belanda dan akhirnya pangeran Diponegoro tertangkap dan dibuang negeri oleh penjajah Belanda.

Demikian...dalam setiap perjuangan ada pengkhianat. Dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu, siapa pula pengkhianatnya??

Tuesday, September 06, 2011

Sejarah berliku dusta

Sejarah adalah pelajaran yang penuh dengan penipuan. Ini kerana sejarah adalah kisah masa lalu. Kita tidak ada pada zaman kisah itu terjadi. Maka, periwayat sejarah dengan senangnya membohongi kita. kalau mereka bohong pun, apa kita nak buat. Kita hanya boleh tidak percaya tetapi tidak dapat mengubah cerita bohong mereka.

Cerita pasal Hang Tuah yang penuh dengan episod luar biasa itu juga kaya dengan pembohongan. Kisa masa lalu yang hari ini sukar untuk ditelan lagi.

Sedangkan sejarah Islam pun ada banyak pembohongan, apatah lagi sejarah Melayu. Sejarah Islam melalui disiplin periwayatan yang ketat. Sedangkan sejarah Melayu tiada apa-apa disiplin. Ikut suka hati periwayat. Siapa yang ada kuasa, sejarah akan dilakar mengikut kemahuannya.

Demikianlah yang terjadi kepada sejarah merdeka.

Monday, September 05, 2011

Utusan perubahan

 Ada seorang ayah yang kuat betul perjuangan kebangsaannya pada satu masa dulu. Alhamdulillah, kini dia sudah kendur. Fikrah Islam ada sedikit sebanyak dalam buah percakapannya. Mungkin,lambat laun dia akan berubah secara total. Intima' dengan Islam bukan dapat dicapai secara total dalam masa yang sekejap.Kekadang dua atau tiga generasi barulah penggabungan secara kaffah berlaku kepada seseorang. 

Dia seorang ayah. Kunjunganku ke rumah beberapa kali memperlihatkan kepadaku keadaan keluarganya. Anak-anak perempuannya darijenis yang tidakbertudung. Kalaupun bertudung, bertudung ala-fesyen sekarang.Bukan kerana taat perintah agama. Namun, tahun lalu dia mendapat seorang menantu. baru-baru ini dia buat cukur jambul cucunya yang baru lahir.

Ketika mendengar makluman menantunya mengenai nama cucu sang ayah itu, aku sudah melihat sesuatu yang unik. Namanya adalah sempena seorang pejuang hebat dalam sejarah Islam. Buah bicaranya menggambarkan watak keislamannya.ternyata anaknya seornag ahli gerakan Islam.

Alhamdulillah...Allah memberikan perubahan mengikut cara yang tidak kita duga.

Sunday, September 04, 2011

Wira negara adalah yang mati demi UMNO

Sdr. Noramfaizul Mohd Nor, wartawan yang menyertai Kelab Putera Umno ke Somalia untuk misi bantuan kemanusiaan telah terbunuh akibat terkena peluru sesat. Demikianlah apa yang dilaporkan. Kematiannya sisifatkan oleh Perdana Menteri, DS Najib Tun Abd Razak, sebagai gugurnya seorang perwira sebenar negara. Jenazahnya disambut dengan penghormatan bertaraf pahlawan. DS Najib yang sedang dalam rangka percutiannya ke Perth Australia terpaksa membatalkan rancangannya dan pulang ke Malaysia demi menyambut jenazah alayarham. Keranda yang mengandungi jenazah alayarham diusung keluar dari kapalm terbang dan berbungkus bendera Malaysia. Ramai yang menantinya di lapangan terbang.

Perwira negara. Demikianlah media mewar-warkan. Demikianlah pula gelaran yang diungkapkan oleh pemimpin no. 1 negara. 

Baru beberapa minggu ini rakyat negara Malaysia didedahkan dengan tafsiran semula sejarah oleh Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS mengenai sejarah kemerdekaan. Mat Sabu menolak tanggapan yang melebelkan polis-polis yang terbunuh di tangan komunis dalam peristiwa Bukit Kepong sebagai perwira. Jauh sekali untuk menerima mereka sebagai pejuang kemerdekaan. Maka, marahlah semua juak-juak pemimpin UMNO. Mereka menganggap Mat Sabu telah terkeluar dari landasan sejarah yang benar. Malah, ada yang menuduhnya sebagai pengkhianat bangsa dan juga komunis.

Kini timbul lagi soal wira negara. Noramfaizul yang hanya bertugas sebagai wartawan yang menjalankan misi mempopularkan kerja-kerja kemanusiaan penuh riak Putera UMNO dianggap sebagai wira negara. Mengamati perkembangan ini dan mengaitkannya dengan isu pejuang kemerdekaan dan wira negara sebelum merdeka, kita akan dapat mengerti tahap pemikiran para pemimpin UMNO mengenai konsep wira negara. 

Wira negara bagi mereka adalah seorang yang mati kerana UMNO. Jika mereka mati kerana sebab lain, tidaklah dia dianggap wira negara.

Buat arwah Noramfaizul, semoga Allah merahmatinya. Doaku buatnya sama dengan doaku buat pakcik sekampungku yang meninggal ketika mengait kelapa kerana terhempa dek buah kelapa. Sama sepeti doaku dalam majlis kenduri arwah yang selalu aku terpaksa menghadirinya.

Pejuang Sebenar

Siapakah pejuang kemerdekaan? Kerajaan mengajar murid-murid di sekolah bahawa bapa kemerdekaan adalah Tengku Abd Rahman. Bercakap mengenai kemerdekaan, buku sejarah bikinan kerajaan UMNO akan memulakannya dengan sejara tokoh-tokoh UMNO. Benarkan mereka itu pejuang kemerdekaa?

Bukankah Tengku Abd Rahman itu masa British menjajah tanah Melayu adalah salah seorang kakitangan pentadbiran British? British yang melatihnya mentadbir. Sedangkan pada masa itu sudah ada mereka yang berhempas pulas membebaskan negara ini dari penjajahan. Sementara Tengku Abd Rahman adalah golongan bangsawan yang tidak mengetahui pun perjuangan rakyat menentang penjajah pada masa itu.

Aku memahami sejarah ini dan akun tidak mudah tertipu dengan sejarah karangan pendongeng UMNO.

Thursday, September 01, 2011

Wal hasil balik asal

"Macam mana dengan jumlah jemaah Subuh pagi ni?" tanya seorang sahabat yang terlepas jemaah Subuh pagi tadi. Mungkin keletihan atau makan banyak semasa beraya, maka tidak terjaga waktu Subuh. Mungkin terjaga pun orang dah selesai solat Subuh.

Pertanyaan mengenai jumlah jemaah solat Subuh adalah kerana kebiasaannya pada bulan Ramadhan yang lalu ramai orang datang berjemaah Subuh. Al-maklumlah, orang yang bangun sahur akan mudah untuk ke masjid. Lagi pun masa di bulan Ramadhan tiada syaiatan penggoda yang mengganggu keimanan seorang yang ingin ke masjid untuk solat Subuh.

"Wal hasil balik asal", aku memberi jawapan. 

Sebagaimana keadaan sebelum Ramadhan, maka demikianlah kini sesudah Ramadhan. Hamba-hamba Ramadhan kembali menghilang.  Mungkin akan dapat disaksikan beberapa orang yang Allah berikan hidayah untuk berubah.  Dia akan menjadi ahli masjid yang istiqamah. Siapakah dia? Seminggu dua lagi kita akan dapat melihatnya.