CARI BAHAN

Sunday, July 17, 2011

Malam Nisfu Syaban

Semalam, malam Nisfu Sya'ban di masjid kejirananku disambut dengan bacaan surah Yasin 1 kali dan tahlil arwah. Pada mulanya, aku dan sahabat-sahabat Jemaah berkira-kira untuk mengadakan forum agama bagi menggantikan amalan bacaan Yasin yang menjadi tradisi yang diwarisi dari nenek moyang itu. Banyak ilmuan Islam telah menjelaskan mengenai tiadanya sandaran amalan seumpama itu dalam Islam. Amalan bacaan surah Yasin dengan niat yang berbeza pada setiap kalinya adalah rekaan yang akhirnya ditanggapi sebagai amalan sunnat dalam Islam. Padahal, ia bukan dari amalan Islam.

Namun, pengerusi mempertimbangkan kebiasaan yang belum bisa diubah sepenuhnya itu. Beliau memintaku agar amalan tersebut diteruskan dan hanya ditukar dari 3 kali menjadi sekali. Aku tidak menolak hasrat murni pengerusi untuk melihat kerukunan pola masyarakat yang telah dibentuk itu. Aku boleh menerima perubahan berdikit dalam menangkis dan menyingkir amalan tidak bersumber dalam agama.

Justeru, selepas selesai bahagian pertama sambutan malam Nisfu Syaaban semalam, pengerusi menjemputku untuk menerangkan tentang kelebihan bulan Syaaban. Sebenarnya aku tidak tahu apakah kelebihan Syaaban. Sya'aban dengan kelebihan seperti yang digambarkan dalam doa malam Nisfu Sya'aban itu, iaitu malam penuh keberkatan dan malam ditukar buku suratan amal hamba, adalah kelebihan yang tidak tsabit dalam hadis-hadis yang saheh. 

Maka, aku bercakap apa yang aku mahu cakap dan bukan apa yang aku diminta cakap. Aku terangkan bahawa Islam agama mudah dan amalan baca Yasin 3 kali malam Nisfu Sya'aban itu menyusahkan. Ia berat. Lebih berat lagi kerana ia tidak meyakinkan kemakbulannnya kerana tidak disokong oleh qaul dari nabi SAW.

Sya'ban adalah bulan di mana nabi SAW berpuasa seolah-olah tidak akan berbuka. Namun, Sya'aban juga bulan di mana Rasulullah berbuka puasa seolah-olah tidak akan berpuasa sehinggalah Ramadhan. Sementara amalan yang diselitkan pada malam Nisfu Sya'aban seperti solat Raghaib adalah bid'ah munkarah kerana ia adalah rekayasa dalam persoalan ibadat khusus iaitu solat.

Semoga Allah menjadikan kita kuat berpegang dengan Kitab Allah dan Sunnah baginda Rasul!

No comments: