Bila sudah pencen dari kerja sebagai penjawat awam, umur sudah sekitar 58-60 tahun. Pada umur yang sebegitu, ada beberapa perkara yang seharusnya menjadi keutamaan. Pertama sekali, perlu ditanya diri, sudahkah ke Makkah menunaikan haji. Walaupun seharusnya pergi haji itu pada usia muda belia, jika selepas pencen belum juga menjejaki kaki ke Makkah menunaikan haji, maka sewajarnya ia menjadi persoalan.
Sesudah pencen, kalau sihat itu cuma untuk beberapa tahun yang boleh dijangkakan. Malang sekali kalau tidak memanfaatkannya untuk meningkatkan kualiti amal. Ada yang sesudah pencen, merancang pula untuk berniaga. Ada yang merancang untuk membuka ladang kelapa sawit, beli kapal menangkap ikan di laut, menternak kambing, menternak kulat dan sebagainya. Segala usaha tersebut tidak salah tetapi jarang sekali ada manusia yang dapat mengaut kedua-dua perkara dalam satu masa. Jika dunia masih dikejar dengan ciptaan perusahaan baru, bila pula hendak memberi tumpuan kepada perusahaan akhirat.
Mudah cakap, bila masa nak ulang alik ke masjid solat jemaah? Nanti, kerana sibuk dengan kerjaya baru di usia lanjut, menemui maut di ladang sawit, di ladang kambing atau di atas kapal di laut dalam. Alangkah tenang kalau mati di masjid atau mati ketika bangun solat tahajjud. Bertuah sangat kalau mati di tanah haram Makkah atau Madinah.
No comments:
Post a Comment