CARI BAHAN

Sunday, July 31, 2011

Jangan ubah ciptaan Allah!

Hidup di dunia hanya sementara. Apalah ertinya berhempas pulas untuk sesuatu yang sementara ini, kalau ia tidak akan membawa hasil yang bernilai di akhirat. 

Seorang pondan bernama Mohd Asyraf Hafiz Abdul Aziz, setelah melakukan pembedahan menukarkan jantinanya kepada perempuan dan membuat permohonan menukarkan nama dalam maykad kepada Aleesha Farhana. Namun, permohonannya telah  ditolak.

Tiba-tiba, dalam heboh isunya itu, kelmarin dia sudah meninggal dunia. 

"Tak sempat nak cuba baju kurung baru...", kata ibunya mengenangnkan anaknya yang telah bertukar menjadi perempuan itu.

Namun, tak sempat pakai baju kurung baru bukan hal besar. Apa yang penting, sempatkah bertaubat? Menukar jantina adalah dosa besar kerana mengubah ciptaan Allah. Setiap orang, perlu jadi hamba Allah yang bersyukur dengan apa yang dia diciptakan.

Apa kedudukannya di alam sana, kita serahkan kepada Allah SWT.

Friday, July 29, 2011

Bukan cendikiawan di mataku.

Maafkan aku...
Sebut nama Uthmam el-Muhammadi
Aku tidak menyukainya
Dia bukan agaman yang kupetik ilmunya
Sayang sekali
ABIM menjadikan dia ahli syura
Aku ada pengalaman tentangnya
sewaktu di UM dulu
Dia seorang panel forum
yang kuat membela kerajaan UMNO
di pentas yang sama dengan TG Hj.Hadi
Lantaran panas telinga dengan hujah TG. Hj.Hadi,
Dia cabut dari pentas
Dia bukan jaguan ilmu
Seorang sahabat ABIM
pernah berkata
dia ulama yang hebat Bahasa Inggeris
Aku tidak nampak hebatnya
hanya pendapat ortodok
penuh defensif
tidak realistik dengan dunia kini.
Sering berkata:
"Ini rantau ahli sunnah waljama'ah bermazhab Syafie".

Ku ingin katakan kepadanya...
Siapa melantikmu jadi sultan di rantau ini?
Rantau ini milik siapa?
Allah akan mewariskan bumi
kepada hambanya yang beriman.

Aku tidak berghairah
mendengar kalamnya

Dia mendokong kerajaan UMNO sebagai kerajaan Ahli sunnah Wal jama'ah.
Kasihan....mujur aku tidak belajar di ISTAC menyambung master
sewaktu para fellownya datang ke kuliah kami
menawarkan peluang untuk menyambung di sana.
Kalau tidak....bergurulah aku dengannya....
jadilah aku seperti murid tegarnya...Yusri
Yang senada seirama dengannya....

Aku aliran lain....
Bukan Wahabi...sekalipun seribu kali katamu aku Wahabi.

Tuesday, July 26, 2011

Impian iri akan tumpas

Sibuk sekali kalian dengan celaan ke atas orang yang tidak sependapat dengan kalian. Dengan alasan-alasan remeh,Dr.Yusuf Al-Qardhawi dicela. Dengan apa antah berantah, tokoh-tokoh tertentu di Malaysia di lebelkan sebagai Wahabi dan terorist yang merbahaya. Giranglah kalian kerana kerajaan bodoh yang menurut telunjuk pandangan tempang kalian. Kalian adalah manusia gelisah yang sedang berpaut pada tangkai-tangkai terakhir  penguasaan ummat. Anda semua seperti ayam betina yang kokonya berderai, tetapi pungkok berlumuran najis.

Ummat sedang menuju kepada kecerdikan.Kalian sedang berusaha menghalang fatonah.Itu tidak mungkin akan berjaya. Kalian boleh menahan buat sementara , tetapi bukan selamanya. Zaman kaum tua sudah malap. Generasi baru bukan lagi pendokong akal-akalan lama yang tidak mengundang kebijakan.Akalan lama yang berbau hapak keraguan.

Maaf sahaja...aku tidak menyanjungi upaya kalian. Kalian kudoakan kecewa dalam impian iri itu.

Monday, July 25, 2011

Hormat lagu kebangsaan

Semasa lagu negaraku dinyanyikan, kita disuruh secara tradisi tanpa soal, untuk berdiri sebagai tanda menghormatinya. Jika sedang berjalan ketika itu, hendaklah berhenti berjalan dan berdiri tegak sehingga lagu habis dinyanyikan. Demikianlah yang kita amalkan dalam majlis-majlis rasmi negara dan juga di perhimpunan-perhimpunan pagi sekolah. Sejak zaman kita sekolah lagi kita sudah diajar begitu.

"Tetapi, apakah demikian pula kita menghormati laungan azan yang menjadi syiar agama kita?" aku melontarkan pertanyaan itu kepada seorang rakan guru.

Sewaktu azan dilaungkan, kita yang berjalan tidak pun diajar berhenti dan berdiri tegak. Malah, ada yang bercakap-cakap dan tidak berasa bersalah apapun (bercakap semasa azan memang tidak harampun).

Lantas, daripada mana asal muasalnya budaya menghormati lagu negaraku dengan berdiri tegak kaku ini?

Aku cuba mengandaikan sahaja. Apa yang kutahu dari sejarah yang dilakarkan dalam buku-buku yang pelbagai, sewaktu Jepun memerintah Tanah Melayu, mereka memaksa rakyat menghormati lagi Jepun. Rakyat menjadi takut kalau tidak hormat lagu Jepun kerana jika dilihat oleh askar Jepun ataupu  kapetai Jepun, alamat buruklah nasib. 

Aku kira, itulah asal muasal yang ditirukan oleh pemimpin Melayu terawal yang mencipta aksesori negara merdeka bernama Malaya di satu masa dulu.

Aku hanya menduga....kajian lanjut perlu dibuat.

Sunday, July 24, 2011

Mereka yang mendustai rakyat.

Para pemimpin BN kepanasan kini. Dalam ucapan-ucapan mereka, tersimpan bara kebimbangan. Mereka dilambung degap degup memikirkan kemungkinan untuk kekalahan. Dunia pula mengata. Dengan bahasa yang londeh, mereka cuba mempertahankan krdebiliti mereka selama ini. Padahal mereka sudah menelanjangi Tsiqah rakyat buat mereka. Kini, SPR menghadapi episod yang memalukan apabila Diplomat EU pula berkira-kira mengirimkan pemantau dalam PRU akan datang. SPR dikatakan tidak berwibawa.


Mereka yang selama ini makan besar atas penipuan kepada rakyat bukan lagi berada dalam syurga ciptaan mereka. Syurga tidak akan kekal di dunia. Boleh sahaja rakyat diperbodohkanm tetapi bukan selama-lamanya. Apabila telah sampai masa rakyat mendapat pengetahuan, tak usahlah para pemimpin itu menasihati rakyat. Rakuyat lebih terbuka mata berbanding mereka.


Mereka....pasti bakal mejadi para pemimpin yang ditimbus sejarah baru yang lebih murni.

Saturday, July 23, 2011

Sebuah jawatan bernama Presiden

Manusia ibarat bola berisi angin yang ditekan ke dalam air. Mana mungkin bola sudi berada dalam air. Biar  sedalam mana bola ditekan, ia tetap mahu malantun ke atas. Tempat adalah di atas permukaan air dan bukannya dalam air.

Sebab itu, kita lihat ramai orang mahu jadi ketua. Untuk mudah jadi ketua dan ramai pengikut, perlu tubuh parsatuan, parti dan sebagainya yang ahlinya dijangka beribu-ribu.

Aku rasa itulah sebab kenapa Ibrahim Ali tubuh Perkasa. Itulah sebab kenapa Tengku Razaleigh menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka

Bahasa Muluk tidak mudah dipercaya.

Khabarnya, sewaktu di United Kingdom baru-baru ini, Datuk Seri Najib telah menerangkan kepada Perdana Menteri Britain, David Cammeron mengenai isu Bersih 2.0 dan apa sebenarnya tujuan sebenar perhimpunan tersebut. Dia menerangkan kepada rakan sejawatannya itu seolah-olah rakan sejawatannya itu tidak mengetahui mengenainya lebih banyak daripada apa yang dia ketahui. Dalam dunia terbuka hari ini, amat salah kalau menganggap orang di dunia sebelah lain tidak tahu apa yang kita lakukan. Kalau di zaman kerajaan Langkasuka dulu, mungkinlah ada keperluannya DS Najib memberi penerangan. Zaman ini, buat berbuih air liur di celah bibir sahaja. Informasi sebelah pihak tidak akan mudah dipercayai oleh orang zaman kini yang mewah dengan informasi.


Apa yang berlaku berhubung dengan Bersih 2.0, tidak dapat dilapisi dengan bahasa muluk. Ramai orang ada camera digital. Malah, pada hari tersebut, entah berapa juta keping gambar telah dirakam. Demikian juga video. Justeru, ia akan menjadi bukti yang menyokong sesuatu dakwaan. (Kecuali dalam dakwaan zina, keperluan tetap terletak pada 4 saksi)


Kekadang, aku kasihan mengenangkan nasib PM Malaysia di United Kingdom itu. Tapi, apalah nak dikata. Itulah harga yang terpaksa dibayar atas penipuan bertahun ke atas sistem demokrasi di Malaysia.

Wednesday, July 20, 2011

Polemik sia-sia

Aku sudah tidak berminat untuk mendengar lagi isu kalimah Allah ini. Pengarah Ikim, Dr. Mohd Sani Badron dalam kenyataannya mengulangi sebut sekali lagi bahawa kalimah Allah Islam dan Kristian dan Islam tidak sama. Apa yang pasti, Tuhan yang samalah disembah orang Kristian dan Islam. Kekafiran mereka bukan kerana menyembah Tuhan yang lain. Kekafiran mereka adalah kerana menolak kerasulan Muhammad SAW dan mempercayai akidah menyimpang seperti Triniti.

Bukan Soal nama Allah yang dihebohkan itu menyelamatkan Islam atau memikat ramai bukan Islam untuk menganut Islam. Polemik itu sia-sia sahaja. Buang tenaga membahaskannya.

Tuesday, July 19, 2011

Daun hanyut

Biarlah dia pergi. Kepergiannya tidak perlu ditangisi. Selama dia bersama kita di kejiranan ini, dia tidak mengendahkan keperluan kejiranan ini. Malah, dia tidak pun mengambil tahu hal ehwal masjid di kejiranan ini. Dia adalah orang yang tidak mengambil berat mengenai kami, maka dia bukan kalangan kami.

Jika berada di kalangan kita tidak menambahkan apa-apa, biarlah dia pegi tanda disebut. Kita juga tidak kekurangan apa-apa. 

Bagaimana kita hendak meraikan perpisahan kalau tidak pernah pula bersama?
Bagaimana kita hendak bersedih untuknya jika tidak pula pernah bergembira dengannya?

Jika satu ketika orang betanya tentangnya yang pernah tinggal di lingkungan kami, akan aku katakan bahawa aku tidak pernah tahu masa itu. Aku tidak temuinya di masjid atau majlis-majlis keraian kejiranan.


Sunday, July 17, 2011

Malam Nisfu Syaban

Semalam, malam Nisfu Sya'ban di masjid kejirananku disambut dengan bacaan surah Yasin 1 kali dan tahlil arwah. Pada mulanya, aku dan sahabat-sahabat Jemaah berkira-kira untuk mengadakan forum agama bagi menggantikan amalan bacaan Yasin yang menjadi tradisi yang diwarisi dari nenek moyang itu. Banyak ilmuan Islam telah menjelaskan mengenai tiadanya sandaran amalan seumpama itu dalam Islam. Amalan bacaan surah Yasin dengan niat yang berbeza pada setiap kalinya adalah rekaan yang akhirnya ditanggapi sebagai amalan sunnat dalam Islam. Padahal, ia bukan dari amalan Islam.

Namun, pengerusi mempertimbangkan kebiasaan yang belum bisa diubah sepenuhnya itu. Beliau memintaku agar amalan tersebut diteruskan dan hanya ditukar dari 3 kali menjadi sekali. Aku tidak menolak hasrat murni pengerusi untuk melihat kerukunan pola masyarakat yang telah dibentuk itu. Aku boleh menerima perubahan berdikit dalam menangkis dan menyingkir amalan tidak bersumber dalam agama.

Justeru, selepas selesai bahagian pertama sambutan malam Nisfu Syaaban semalam, pengerusi menjemputku untuk menerangkan tentang kelebihan bulan Syaaban. Sebenarnya aku tidak tahu apakah kelebihan Syaaban. Sya'aban dengan kelebihan seperti yang digambarkan dalam doa malam Nisfu Sya'aban itu, iaitu malam penuh keberkatan dan malam ditukar buku suratan amal hamba, adalah kelebihan yang tidak tsabit dalam hadis-hadis yang saheh. 

Maka, aku bercakap apa yang aku mahu cakap dan bukan apa yang aku diminta cakap. Aku terangkan bahawa Islam agama mudah dan amalan baca Yasin 3 kali malam Nisfu Sya'aban itu menyusahkan. Ia berat. Lebih berat lagi kerana ia tidak meyakinkan kemakbulannnya kerana tidak disokong oleh qaul dari nabi SAW.

Sya'ban adalah bulan di mana nabi SAW berpuasa seolah-olah tidak akan berbuka. Namun, Sya'aban juga bulan di mana Rasulullah berbuka puasa seolah-olah tidak akan berpuasa sehinggalah Ramadhan. Sementara amalan yang diselitkan pada malam Nisfu Sya'aban seperti solat Raghaib adalah bid'ah munkarah kerana ia adalah rekayasa dalam persoalan ibadat khusus iaitu solat.

Semoga Allah menjadikan kita kuat berpegang dengan Kitab Allah dan Sunnah baginda Rasul!

Kematian adalah lumrah

Kematian itu bersilih ganti menimpa seorang demi seorang. Walaupun kita sudah biasa menyaksikan kematian, sama ada orang yang jauh daripada kita maupun yang dekat, kita selalu melupakan tentang giliran diri sendiri. Apabila terjadi kematian, kita sering menziarahi jenazah si mati. Lalu kita melahirkan kesedihan  dan mengucapkan takziah untuk keluarga yang ditinggalkannya. Kemudian kita pulang dan melupakan peristiwa kematian yang baru kita saksikan atau dengar. Demikianlah peprangai manusia.

Khabar angin bertiup mengenai kematian Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali. Khabar itu dinafikan oleh Presiden Pas. Tn. Guru Hj. Hadi Awang dan beberapa pimpinan yang lain. Kematiannya akan menjadi mileage kepada parti lawan, khasnya UMNO kerana Dr. Lo' Lo' merupakan tokoh wanita yang bukan calang dalam Pas.  Dia merupakan aset dan mutiara berharga dalam Pas.  

Namun, jika kematian sudah ditakdirkan menjemputnya, Allah maha mengetahui keadaan perjuangan yang ditinggalkan kosong itu. Apa yang telah dicapainya dengan pengorbanan dalam muslimat Pas akan tetap menjadi saham buatnya di akhirat.

Musuh politiknya tidak harus bergembira kerana semua kita akan melalui jalan yang sama.

Saturday, July 16, 2011

kasihan Pencela Al-Qaradhawi

Terkejut juga bila tengok video youtube yang memaparkan Ust Idris  Sulaiman mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai kepincangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam beragama. Ulama sehebat Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang reputasinya berkembang seantero dunia dan kitabnya menjadi rujukan kebanyakan pelajar universiti aliran agama, pun mendapat cemuhan dan celaan. Hanya dengan berpandukan kepada guru-gurunya dari Arab Saudi yang tidak berapa terkenal itu, dia dengan berani mengatakan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ditolak oleh para ulama. Kedengkiannya kepada Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjadi ternyata apabila dia enggan menggunakan gelaran Dr pada namanya atau gelaran Syeikh yang selalu disebut orang. Hanya orang dengki sahaja yang enggan memanggil seseornag dengan gelaran baik yang masyhur padanya.

Bila fikir semula, yang aku kasihan ialah Ust Idris Sulaiman. Dia siapa ? Untuk bertemu Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan meminta maaf atas segala "lamam"nya itu, rasanya dia hampir tidka berpeluang lagi. Akan kontanglah dan muflislah dia di akhirat kelak!

Kasihan....mungkin itulah yang sebenarnya "Wahabi".

Friday, July 15, 2011

Sesudah pencen...

Bila sudah pencen dari kerja sebagai penjawat awam, umur sudah sekitar 58-60 tahun. Pada umur yang sebegitu, ada beberapa perkara yang seharusnya menjadi keutamaan. Pertama sekali, perlu ditanya diri, sudahkah ke Makkah menunaikan haji. Walaupun seharusnya pergi haji itu pada usia muda belia, jika selepas pencen belum juga menjejaki kaki ke Makkah menunaikan haji, maka sewajarnya ia menjadi persoalan.


Sesudah pencen, kalau sihat itu cuma untuk beberapa tahun yang boleh dijangkakan. Malang sekali kalau tidak memanfaatkannya untuk meningkatkan kualiti amal. Ada yang sesudah pencen, merancang pula untuk berniaga. Ada yang merancang untuk membuka ladang kelapa sawit, beli kapal menangkap ikan di laut, menternak kambing, menternak kulat dan sebagainya. Segala usaha tersebut tidak salah tetapi jarang sekali ada manusia yang dapat mengaut kedua-dua perkara dalam satu masa. Jika dunia masih dikejar dengan ciptaan perusahaan baru, bila pula hendak memberi tumpuan kepada perusahaan akhirat.


Mudah cakap, bila masa nak ulang alik ke masjid solat jemaah? Nanti, kerana sibuk dengan kerjaya baru di usia lanjut, menemui maut di ladang sawit, di ladang kambing atau di atas kapal di laut dalam. Alangkah tenang kalau mati di masjid atau mati ketika bangun solat tahajjud. Bertuah sangat kalau mati di tanah haram Makkah atau Madinah.

Sunday, July 10, 2011

Rakyat yang bijak menjaga keamanan.

Perhimpunan Bersih 2.0 berakhir dengan selamat. Ada tangkapan yang dibuat ke atas pimpinan yang terlibat. Namun, menjelang petang, demonstran dilaporkan bersurai. Polis, sungguhpun mendakwa mereka berjaya mengawal keadaan, persoalan siapa sebenarnya yang mengawal keadaan perlu direnungkan. Sebelum perhimpunan, pihak polis telah mengeluarkan pelbagai sekatan dan ancaman. Nampaknya rakyat kecuil bukan lagi jenis yang tunduk kepada ugutan. Hal itu seharusnya menjadi pelajaran penting buat pihak polis di masa hadapan dalam menangani demontrasi rakyat.

Kalau mengikut laporan polis, mereka bertindak dengan tertib. Namun, gambar-gambar dan laporan memperlihatkan beberapa pelanggaran hak yang mereka lakukan. Pemimpin PKR, DS Anwar Ibrahim dilaporkan cedera kerana tembakan bom asap yang sengaja ditujukan kepadanya. 

Senadainya demontran beremosi, sudah tentu akan berlaku kekacauan besar. Namun, kebijakan rakyat yang mengatasi kebijakan pihak berkuasa polis menatijahkan kesudahan yang baik bagi perhimpunan tersebut. 

Apa yang penting, berita sampai ke seluruh dunia. Realiti demokrasi ala-Malaysia yang diterajui kerajaan BN yang menafikan hak-hak rakyat dari kalangan pembangkang perlu dihebohkan ke serata dunia. Setiap degup kezaliman tidak harus dibiarkan. Permalukan pelakun-pelakun lawak demokrasi itu di mata dunia.


Friday, July 08, 2011

Emosi dan kepalsuan cinta

Aku kira teman sekerjaku itu beremosi apabila dia mengatakan bahawa dia mahu melihat pergaduhan besar antara kumpulan Bersih 2.0 dan Patriot.  Sepatutnya, katanya, polis perlu berikan kebebasn kepada mereka untuk bergaduh. Malah kalau perlu, berikan mereka parang agar masing-masing bertetakan. Biar semua tahu betapa susahnya nenek moyang kita yang terdahulu membina negara ini yang aman dan damai.


Seterusnya, kata teman itu, dia kini hilang kepercayaan kepada parti Islam kerana perjuangan menegakkan daulah Islam dan Hudud telah digugurkan semata-mata kerana mengejar kekayaan dalam negara. Dia mendakwa bahawa dulu dia menyokong Pas. Namun, aku meraguinya kerana sejauh yang aku tahu dia memegang jawatan-jawatan penting dalam UMNO. 


Lalu, aku mengatakan kepadanya:


"Ramai sungguh orang terhimbau dengan negara Islam dan hudud, padahal semasa ia rancak dilaungkan dulu, mereka tidak menyokongnya, malah menetangnya",


 Lalu, aku bisikkan dalam hatiku:


" Tangan kanan menjulang keris sedangkan tangan kiri menghulurkan Quran!".


Panggilan dari IPD

Dia memperkenalkan namanya sebagai Andi, dari IPD Sandakan. Beberapa miscall pada telifon celularku sejak lepas solat Jumuat tertera di telifon celularku. Pulang dari urusan servis motosikal di bengkel, baru aku melihatnya. Tertanya-tanya mengenai siapa yang membuat panggilan, aku membuat panggilan balas.

Kataya dia perlu mengetahui nama khatib solat Jumuat hari ini kerana hendak membuat "cover". Aku kurang faham bahasa kepolisan itu. Namun, aku kira ia bermaksud laporan perkembangan. Aku tanya, apakah khutbah hari ini panas. Dia kata tidak. Kataku suaranya memang panas. Lantas, dia menjawab bahawa memang ada sedikit sahaja panasnya.Sementelahan, katanya, khatib itu seorang anak muda. Tentu panas suaranya.

Aku berharap khatib jumuat hari ini, saudara Bunyamin tidak dicop sebagai khatib yang dalam perhatian. Kebebasan haruslah diberikan kepada khatib untuk menyampaikan khutbah kerana itulah yang akan memaknakan sesebuah khutbah. Tentu sekali kita tidak sudi mendengar pembaca khutbah yang lembek dan longlai.

Aku tidak percaya kepadamu!

Ketika bercakap-cakap mengenai perkembangan semasa bersama seorang teman, aku tanyakan dia mengenai sumber maklumatnya. Katanya, tentulah TV. Di Malaysia ini, TV1 dan TV3 lah yang menjadi sumber utama  maklumat orang Melayu. Bukan semua Melayu. Aku kira, Melayu haprak sahaja yang bergantung kepada dua jenis TV itu. 

Malam kelmarin, ketika di surau, aku dengar seorang pakcik setengah baya berkata:

"Kita bersihkan kampung kita...lagi bagus", 

Kata-katanya adalah respons atas perbualan-perbualan tak rasmi sebelum Daurah Quran  mengenai Bersih 2.0 yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Dari kata-katanya itu, aku mendapat gambaran bagaimana sumber maklumatnya. Semenjak dua menjak ini, begitulah TV1 dan TV 3 mewar-warkan mengenai Bersih 2.0. Iklan-iklan direka khas untuk mempermainkan Bersih 2.0. Salah satu iklannya, menggambarkan seorang ketua kampung melancarkan kempen bersihkan kampungnya.

Aku berkata kepada temanku, ketika membuka TV 1 atau TV3 jam 8 malam, sebelum pemberita itu memulakan kata-katanya, aku telah katakan kepadanya:

"Aku tidak percaya kepadamu",

Demonstrasi haram?

Ceh...Tiba-tiba mereka ghairah membicarakan soal hukum demonstrasi. Bila demonstrasi berlaku di serata dunia dan rakyat yang sekian lama tertindas dan teraniaya bangkit menentang penguasa zalim dan durjana, tampillah ulama-ulama kelewatan terbangun tidur itu dan bercakap pasal hukum demonstrasi. Demonstrasi haram! Meloncat hukum itu daripada mulut sebahagian yang menamakan diri mereka sebagai ulama salafi.

"Siapa kata demonstrasi haram". Demikian pula tajuk forum perdana yang diiklankan di Kuala Lumpur bahawa akan diadakan di Masjid Negara. Imam masjid negara menafikan bahawa pihak pengurusan pernah membenarkan forum seumpama itu. Forum tersebut kononnya dianjurkan oleh ILMU dengan kerjasama Mediu dan Pertubuhan Kebajikan Al-Qalam, menampilkan tokoh-tokoh ilmuan muda yang menyertai UMNO tidak lama dulu.

Mediu juga menafikan penglibatannya. Entah siapa punya kerja tidak tahulah. Namun, tajuk tersebut tidak digemari oleh pihak yang bermudahanah dengan kerajaan.

Apa hukum demonstrasi? Kenapa sekarang timbul perbahasan mengenainya. Kenapa hukum pemerintahan yang tidak mengikut garis panduan Allah SWT dengan kezaliman dan penipuan ke atas hak-hak rakyat tidak dibincangkan hukumnya?


Ulama jenis apakah yang hanya celik sebelah matanya?  Khabar dalam hadis, dajallah yang buta sebelah matanya.


Wednesday, July 06, 2011

Bersih 2.0 di Stadium.

Kalau Bersih2.0 jadi buat perhimpunan di stadium,agak-agaknya di mana pula perhimpunan Patriot dan Perkasa hendak diadakan? Kalau boleh,buatlah perhimpunan di stadium juga. Kita mahu lihat sejauh mana kemampuan mereka menghimpunkan orang ramai. Asalkan jangan di stadium yang sama dengan stadium yang digunakan oleh Bersih 2.0, mereka boleh menguji pengaruh mereka. Soal mereka nak angkut dengan bas atau makan percuma seta duit poket, terpulanglah.
Himpunan Bersih 2.0 akan tetap mendapat sokongan sekalipun dalam stadium. Demikian tegas TG Nik Aziz dengan penuh keyakinan.

Tuesday, July 05, 2011

Bersihkan negara dari nista

Apalah guna bersihkan kampung kalau negara kotor. Iklan-iklan Tv cuba mengubah selogan Bersih 2.0 kepada bersih yang mereka mahu fahamkan rakyat. Bersihkan kampung daripada nyamuk aedis dan sampah sarap. Bersihkan hati dan sebagainya. Bersih 2.0 mengajak rakyat bersihkan negara daripada kekotoran pilihanraya yang menafikan hak rakyat. Ia merupakan kekotoran yang amat besar. Kalau rakyat ditipu dalam sistem bernegara, ia merupakan kekotoran. Ia perlu dibersihkan.

Apa guna sibuk bersih longkang dan kumbahan kalau para atasan mengotorkan negara dengan penipuan dan pembohongan yang mencemarkan kesucian hidup bernegra?

Saturday, July 02, 2011

Tazkiah diri budaya Iblis

Kata Iblis, dia jadi derhaka selepas Tuhan menciptakan manusia. Kerana manusia diciptalah, dia dilaknat Tuhan. Dia gelar "ar-rajim". Padahal sebelumnya dia adalah kalangan "muqarrabin". Apa yang menimpanya dan apa yang bakal dilakukannya, adalah gara-gara terciptanya manusia. 

"alangkah baiknya kalau manusia tidak pernah dicipta!", mungkin demikianlah Iblis mengeluhkan kekesalannya.

Kejahatan dirinya dikambinghitamkan ke atas manusia. Itu memang perangai Iblis.  Kesalahan diri sendiri tidak mahu dimuhasabahkan. Perasaan bangga diri itu menyebabkan dia merasa dia cukup sempurna. hanya dia yang layak menjadi khalifah dunia dan bukan manusia. Manusia tidak mampu mentadbir dunia kerana yang pandai mentadbir dunia hanya dia, Iblis.

Aku merenung kesamaan apa yang didakwakan oleh seorang lelaki yang telah hampir kulupakan itu. Kata-katanya dilaporkan dalam Malaysiakini.

Lucut kewarganeraan Ambiga?

Ali Rustan cadangkan agar kerakyatan Ambiga dilucutkan kerana dia dianggap sebagai pencetus huru hara dan pembunuhan dalam negara. Gara-gara kerana dilantik menjadi ketua penganjur himpunan Bersih 2.0, dia mahu dilucutkan kerakyatan. Undang-undang siapa yang memilidirisendirikan sebuah negara? 


Aku mahu tambah, kalau boleh kerakyatan Ambiga dilucutkan, kerakyatan Ali Rustan juga perlu dilucutkan. Seorang perasuah lebih merosakkan negara berbanding seorang pembunuh. Bayangkan, berapa banyak rakyat yang tergadai haknya kerana amalan rasuah. Oleh itu sesiapa yang dijatuhkan hukuman bersalah kerana rasuah, perlu dilucutkan kerakyatannya.


Bumi Malaysia ini bukan hak sesiapa. Malah seluruh bumi ini bukan milik mana-mana orang atau bangsa. Kalau hari ini pemilikan itu diklaim, kita telah menyaksikan dalam sejarah, berapa kali sesebuah negeri beralih tangan. Jangan kata Malaysia ini negeri Melayu selama-lamanya. Jangan bongkak dan sombong atas dakwaan tersebut. 

Bumi ini milik Allah SWT dan Dia wariskan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.



Tabiat penentang kebenaran

Khawarij, komunis, boneka DAP, talibarut Amerika, Pengkhianat Bangsa dan Pengacau Kemanan adalah serangkai lebel yang ditempelkan kepada mereka yang menentang kerajaan. Persoalan kenapa mereka menentang tidak ditimbulkan, tetapi yang ditimbulkan adalah dosa-dosa menentang kerajaan. Dosa-dosa penentang disenaraikan berdasarkan hadis dan ayat, tetapi dosa-dosa pemerintah tidak pula disenaraikan. Maka, jadilah pemerintah itu sebagai "immune" di mata mereka. Malang sekali mereka itu mendakwa diri sebagai pengikut manhaj salaf.

Kerja memberi lebel kepada pejuang adalah kerja penentang kebenaran. Sejak manusia berdepan dengan dakwah para nabi-nabi, lebel-lebel buruk seringkali dilemparkan ke atas para nabi-nabi. Nabi kita Muhammad SAW sendiri dilemparkan tuduhan sebagai orang gila, tukang tenung dan ahli sihir. Jika hari ini, kita dengar mereka melebelkan para pembela hak-hak rakyat tertindas dengan tuduhan tertentu, ini adalah kelangsungan kepada sunnah para penentang kebenaran.

Mereka yang menuduh orang sebagai Khawarij, tidak sedar merekalah nasibah!



Friday, July 01, 2011

Tuduhan yang membosankan.

Menghidupkan fahaman Komunis. Demikianlah tuduhan yang ditimpakan kepada Gabungan Bersih 2.0 dan agenda yang mereka bawakan. Aku kira orang mamai sering bercakap yang bukan-bukan. Seketika, Bersih 2.0 dikatakan tunggangan kuasa asing. Ada yang kata ia dibiayai oleh Kristian antarabangsa. Kemudian dikatakan pula kelompok komunis. Ini semua teknik lapuk dalam strategi  "mematikan karekter" yang seringkali digunakan untuk lawan politik.


Orang yang kontang hujjah akan selalu menggunakan kaedah ini. Bagi mereka, bukti tidak penting. Apa yang penting ialah tuduhan. Apalah bezanya komunis dan sekularis di sisi Allah SWT?  Kedua-duanya bahaya. Kedua-duanya dalam neraka.


Gelagat yang sebegini sungguh meletihkan. Ia seperti menangani murid-murid buta huruf yang bebal. Kejahilan bertingkat yang menguasai minda.