CARI BAHAN

Saturday, February 19, 2011

Ulasan Berita: Kebangkitan rakyat berterusan di bumi Arab

Dengar berita di siaran rodio klasik FM pagi tadi, sambil memandu pulang dari sekolah (hari ini pulang awal), dilaporkan bahawa pemberontakan rakyat di Bahrain, Yaman dan Libya berterusan. Rakyat di tiga buah negara tersebut bangkit menuntut agar pemerintahan ala algojo di sana berundur. Selain itu ada kebangkitan kecil di Jordan dan ada demonstrasi di Kuwait oleh kalangan Beduin menuntut hak kerakyatan dan taraf hidup yang lebih baik.

Korban  akibat kebangkitan tersebut berlaku apabila pemerintah menggunakan kekerasan untuk menundukkan rakyat. Di Bahrain, Yaman dan Libya telah ramai rakyat yang cedera dan terbunuh. Pemerintah yang sayang kepada jawatannya sanggup buat apa sahaj untuk pertahankan kekuasaan. Kepada rakyat mereka berani gunakan ledakan api dan keganasan besi, tetapi mereka bacul pula menggunakannya kepada musuh sebenar mereka iaitu Israil yang menginjak kehormatan bangsa Arab secara khusus dan Islam secara am. 

Di Libya, rakyat memberontak sehingga membunuh dua orang anggota polis. Dua anggota polis digantung oleh penunjuk rasa di Tripoli. Sampai ke tahap ini, Muammar Gadafi masih mempertahankan kuasanya. Dia sudah lama benar jadi presiden Libya. Tak salah aku, sejak tahun 1968. Dia pun waktu berjiwa muda dan mendapatkan kuasa dengan menggulingkan pemerintah semasa. Kini gilirannya pula. Hidup dalam dunia ini memang putaran. Jangan disangka bahawa kita akan di atas selamanya.

Di Yaman pula, ada sekelompok rakyat yang mempertahankan presiden Abdullah Saleh berlawan dengan penunjuk perasaan di ibu negaranya, San'a. Barangkali, kita boleh katakan bahawa yang mempertahankan presiden Abdullah Saleh itu membawa misi kepentingan pribadi sedangkan rakyat membawa misi maruah dan keadilan. Rakyat yang diperintah diktator sebenarnya direnggut maruahnya dan mereka tidak mendapat keadilan sebenar.

Di Bahrain mungkin kita berbelah bagi. Penentangan rakyat Bahrain terhadap penguasa didominasi oleh pembangkang dari kelompok syiah. Sebilangan mungkin berkata penguasa Bahrain yang merupakan kelompok ahli sunnah perlu dipertahankan. Kes bahrain tidak sama dengan kes Tunisia dan Mesir. Apapun, syiah atau ahli sunnah, keadilan terhadap rakyat perlu diutamakan. Penguasa bahrain sekarang ini bukan juga mengangkat sunnah sebagai sistem pemerintahannya. Mereka kelompok algojo yang disokong oleh sekularisme dan kapitalisme. Mereka bukan Ahli Sunnah.  Biarlah Allah menentukan!

Jatuhlah semua batu penghalang kebebasan rakyat di bumi Arab! Semua pemerintah boneka penjajah, tertiaraplah. Akan kita pacakkan nesan kutukan di atas mereka sebagai ingatan penguasa akan datang. Saatnya Islam bangkit telah hampir...

No comments: