CARI BAHAN

Monday, February 28, 2011

Islam di muara

Islam hari ini umpama air di muara sungai. Ketika di ulu sungai, airnya jernih dan boleh diminum biarpun tidak ditapis. Setelah sungai mengalir melalui hutan belantara, desa dan kota, kini ia telah sampai ke muara. Tentunya tidak lagi sama dengan masa ia di ulu. Untuk minum air tersebut, kita perlulah menapisnya dengan proses tertentu agar ia selamat. Minum terus air tersebut akan menimbulkan mudarat.

Demikianlah untuk menerima Islam di hari ini. Jangan asal Islam sahaja kita terima. Kita sangka ia Islam tetapi sebenarnya ia bukan Islam dan bukan sebahagian dari Islam pun. Berapa banyak perkara kebid'ahan yang ditempelkan kepada Islam. Kini telah ada pula Islam corak baru yang lahir dengan pelbagai nama. Ada Islam liberalisme, pluralisme dan Hadharisme. Malah, orang yang tidak punya asas ilmu Islam pun dengan angkuh bercakap dan memaksa orang lain menurut tafsirannya tentang Islam.

TG Nik Aziz memberi ibarat Islam dan sungai tersebut ketika menjawab tempelakan Dr. Mahathir agar beliau bersyukur kerana dilahirkan berbangsa Melayu. Dengan sinis, Tg Nik Aziz kata, dia tidak kisah sekalipun dia dilahirkan berbangsa orang asli asalkan dia muslim. Tidak ada lebihnya bangsa Melayu. Malah bangsa Arab, bangsa nabi Muhammad SAW juga tidak ada lebihnya berbanding bangsa lain.

Inilah fikrah pendokong perjuangan Islam. Ia berbeza jauh dengan fikrah orang yang berfahaman nasionalisme. Dr. Mahathir telah terlalu tua untuk membuat islah pemikiran songsangnya. Hanya keajaiban dari Allah SWT sahaja yang akan membantunya terbimbing kepada fikrah yang selamat daripada simpang siur rekayasa manusia.

Allahumma amin...thabbitna...

Sunday, February 27, 2011

Sekilas kebimbangan tentang Mesir

Aku selalu meyedarkan diriku sendiri bahawa dunia ini bukan syurga. Pertentangan antara kebaikan dan kejahatan tidak akan pernah berhenti. Pada satu ketika, kejahatan di atas dan akan datang sesudah itu kebaikan pula di atas. Jangan pula menyangka bahawa kejahatan akan berhenti menebar racunnya. Satu saat, ketika kelalain telah melebar, kabaikan pun kalah dan kejahatan akan kembali berkuasa.

Demikianlah hari-hari yang Allah SWT silih gantikan dalam dunia.

Saat kekuasaan diktator kini mula berakhir. Di Tunisia dan Mesir, rakyatnya telah berhasil menghalau pergi diktator dari singgahsana pemerintahan mereka. Apa pula sesudah tumbangnya diktator. Kita tentu mengharapkan akan kembali pemerintahan yang adil dan saksama untuk rakyat. Rakyat mendapat haknya dan lebih penting Islam akan kembali di atas.

Namun, merenung situasi di Mesir secara khusus, kita akan mengerti bahawa bukan senang untuk memenangkan Islam. Selepas jatuhnya Mubarak, ada sederet pemimipin yang berpotensi menjadi seperti Mubarak sedang menunggu. Mereka bukan pemimpin baik tetapi memang merekalah paling berghairah menjadi pemimpin. Orang baik dan bertakwa, selamanya tawadhhuk dan tidak tamak haloba kepada jawatan kepimpinan. Terlalu sedikit pula orang baik dan bertakwa yang sanggup mendepani mehnah untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan demi kesejahteraan rakyat.

Laskar politik Mesir penuh dengan ketidaktentuan. Siapa yang bakal memimpin Mesir akan menjadi tumpuan dunia. Secara peribadi, para pencinta Islam di seluruh dunia mengharapkan pemimpin yang mempunyai roh perjuangan Islam seperti dari kelompok Ikhwanul Muslimin akan naik. Tetapi, rakyat Mesir bukan sedikit. Kira-kira 83 juta. Dalam jumlah yang begini ramai, bukan ramai pula yang menjadi muslim sejati. Masih ramai yang lahir dari kandungan sekular dan mereka jauh sekali melihat Islam sebagai penyelesaian. 

Saturday, February 26, 2011

Menjilat parti penguasa

Rasul dahri menulis buku berjudul "Hukum Mengkafirkan Pemerintah Islam (Menurut al-Quran, As-Sunnah Dan Manhaj salaf As-Soleh)". Di dalamnya terdapat kesimpulan bahawa menubuhkan parti pembangkang dalam sebuah negara yang diperintah oleh pemerintah Islam adalah haram.

Cuma nak soal satu buat Rasul Dahri itu. Parti yang memerintah  itu ada sejak bila? Pernahkah parti yang memerintah itu jadi parti pembangkang? Sungguh tak aci sekali. Dulu mereka buat parti pembangkang, bila dah berkuasa dikatakan haram ada parti pembangkang. Kalau ikut teori Rasul Dahri itu, kerajaan Umayyah adalah haram sebab dia memerintah setelah membangkang pemerintahan Saidina Ali. Begitu pula, kerajaan Abbasiyyah itu haram sebab ia membangkang kerajaan Umayyah. 

Maka, akan kekallah Mubarak memerintah Mesir selamanya. Demikian juga Muammar Gaddafi dan penguasa Islam seluruh negara Islam yang bertindak zalim dan pecah amanah.

Orang seperti rasul Dahri ini hanya menjilat parti penguasa.

Thursday, February 24, 2011

Evolusi pemikiran generasi muda

"Kecenderungan generasi muda hari ini adalah menyingkirkan individu atau parti yang memerintah negara mereka semenjak zaman merdeka daripada penjajah....", aku meluahkan pandangan kepada rakan setugas pagi itu.

"Itulah yang dapat dilihat di Tunisia, Mesir dan sekarang Yaman, Libya dan Bahrain...", Aku melanjutkan dengan menyebut contoh-contoh negara yang sedang berdepan dengan kebangkitan generasi mudanya.

Di Malaysia, parti yang memerintah UMNO-BN telah berkuasa sejak merdeka. Keadaan yang dialami di negara-negara Arab itu juga sedang dialami di Malaysia. Generasi muda telah menolak UMNO-BN dan mahukan parti baru memimpin mereka. Mereka tidak peduli dengan sejarah indah yang diceritakan berhubung perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan. Malah, sebahagiannya tidak mempercayainya.

Ini adalah evolusi pemikiran generasi muda. Kita hendaklah mempersiapkan minda untuk berhadapan dengan perubahan pemikiran ini. Usah lagi bercakap lagu lama seperti hak istimewa orang Melayu, kedaulatan Sultan, 30 peratus ekuiti dan sebagainya. Sementara kita tidak menolak kebaikan apa yang diletakkan oleh pendahulu kita, kita tidak boleh selamanya mempertahankannya. Kita tak akan mampu mempertahankannya. 

Proses perubahan pasti akan berlaku dan mengasak kita!

Tuesday, February 22, 2011

Dunia sunni yang tertindas

Dari segi politik, sebut sahaja berapa buah negara yang pemerintahnya dikatakan sunnni, memberi hak politik yang adil untuk rakyat. Hampir keseluruhan negara Arab yang dinisbatkan kepada sunni diperintah oleh para diktator. Rakyat tidak punya kebebasan politik. Rakyat tidak punya hak untuk memilih siapa yang akan jadi pemimpin mereka. Mesir (alhamdulillah baru ditumbangkan), Arab Saudi, Jordan, Yaman, Oman, Qatar, Kuwait, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Libya, Tunisia (juga telah ditumbangkan) adalah negara-negara Arab yang rakyatnya ditindas dari segi politiik oleh penguasa diktator.

Sedangkan negara Iran yang kita lebelkan sebagai Syiah, sejak revolusi yang menumbangkan dinasti Syah yang kononnya sunni, telah memberikan hak politik kepada rakyatnya. 

Dari segi agama, dunia sunni menekan kebangkitan ijtihad agama dengan mengatakan pintu ijtihad telah ditutup dan feqah hanya berkisar tentang pendapat ulama mazhab yang empat sahaja. Justeru, dalam dunia sunni, penerbitan buku-buku agung sukar berlaku berbanding dalam dunia sunni. Pemikiran ummat Islam ditahan daripada mengembangkan daya kreativiti dengan dogma-dogma yang dilebelkan atas nama agama.

Dari segi sains dan teknologi, berapa ramai tokoh yang muncul sebagai saintis nuklier yang menakutkan dunia Barat. Ddalam dunia syiah, lahir pakar-pakar nuklier yang mampu menguraikan uranium dan mungkin mencipta senjata nuklier. Malah, Iran mendakwa ia mampu mencipta senjata yang lebih hebat daripada nuklier.

Kerana dunia sunni ditekan dari segi politik, banyak aspek kehidupan yang lain tidak dapat dikembangkan. Mudahan, dengan perkembangan mutakhir yang menyaksikan tumbangnya para diktator dalam dunia sunni itu, akan membebaskan ummat Islam sunni. Kembali mencipta kegemilangan.

Diktator memang bongkak

"...sehingga pemuda terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir", demikian ungkap Saiful Islam Gaddafi menegaskan sikapnya untuk mempertahankan kekuasaan bapanya yang kini berada diambung kejatuhan. Kini pemberontakan rakyat Libya telah marak sehingga ke ibu kota Libya, Tripoli. Mangsa yang menjadi korban tindakan pihak berkuasa menggunakan senjata api dikatakan telah menjangkau 200 orang.

Kata-kata Saiful Islam itu adalah kata-kata biasa seorang yang bergayut pada nafas-nafas terakhir diktator. 

"Kita bukan seperti Tunisia dan Mesir!", begitu katanya. 

Aku teringat bahawa Hosni Mubarak juga berkata begitu dahulu. Dia kata Mesir bukan macam Tunisia. Akhirnya Hosni Mubarak lari ke Laut Merah. Di sanalah kesudahan segala Firaun Mesir.

Kita tunggu dan lihat, hebat sangatkah kuasa Gaddafi. Mereka juga manusia dan mereka manusia yang cintakan kuasa. Namun, harta kekayaan yang diraih sepanjang masa berkuasa membuat ramai pemimpin diktator yang mulanya dulu naik dengan jiwa kental, kini menjadi bacul dan pengeut. Keadaan telah mengubah jiwa mereka. Cuma, bongkak mereka tidak berubah.

Monday, February 21, 2011

Kaca mata biru

“Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini", demikian TG Abdul Nik Aziz berucap dalam Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). 

Media pro kerajaan melaporkan bahawa TG Nik Abdul Aziz telah mengubah nada mengenai perjuangan untuk bangsa Melayu dengan mengatakan:

"Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu,"

UMNO menuduh perubahan nada TG Nik Abd Aziz ini adalah kerana merasakan sokongan Melayu kepada Pas merosot sejak akhir-akhir ini.Semalam para pemimpin UMNO menenpelak habis TG Nik Abd Aziz ata apa yang dikatakan perubahan sikap tersebut.Dahulu menentang perjuangan bangsa, kini menyokong pula.

Sebenarnya, dalam menilai perjuangan untuk bangsa ini, UMNO dan Pas mempunyai kacamata yang berbeza. UMNO pakai kaca mata warna biru sednagkan PAS pakai kaca mata warna hijau. Bila melihat alam semesta yang berwarna hijau, UMNO nampak daun kayu dan rumput rampainya bewarna biru semua. Sedangkan PAS nampak warna hijau juga. 
 

Isu terbaru ini menampakkan kepada kita bagaimana tembelang busuk media kerajaan itu pecah. Aku tak pernah percaya padanya.

Sunday, February 20, 2011

Bukan lalang

Aku bukan lalang, yang apabila mendengar sesuatu berita terus mengubah sikapku. Aku sedar bahawa dalam dunia pemberitaan, banyak sekali kebohongannya. Media TV maupun akhbar perdana banyak menjadi alat propaganda para penguasa. Dalam banyak hal, motifnya adalah untuk mengangkap reputasi penguasa agar diterima oleh rakyat. Rakyat zaman baru merdeka mungkin boleh terbalik penderian dengan corak pemberitaan seperti sekarang. Tapi rakyat sekarang adalah rakyat yang mempunyai minda terpelajar dan terdedah dengan pelbagai sumber.

Kalau lalang, saat angin bertiup ia pun meliuk-liuk. Lalang amat goyah. Itulah perumpamaan orang yang mudah dipengaruhi media pemerintah. 

Aku suka mengatakan aku adalah ikan. Ikan tidak jadi masin dengan berendam dalam air laut. Hanya setelah dikeringkan, baru ia menjadi ikan masin.

Kalau dengar apa yang dimainkan dalam TV, sungguhlah wali keramat pemimpin-pemimpin kerajaan. Tiada cela dalam pemerintahan. Orang lain tidak pandai memerintah melainkan merekalah. Dakwaan mereka, pemimpin selain mereka hanya menghancurkan negara. Banyak sudah didengar tuduhan kepada individu tertentu. Kekadang tuduhan tersebut bagai makian budak-budak yang malas ke sekolah dan menghabiskan masa di lorong belakang bangunan lama. Masing-masing berebut guli. 

"babi kau!", itulah makian yang paling betah dimulut budak-budak yang tidak matang fikirnya.

Kini, makian itu dalam rupa tuduhan yang berbagai-bagai.

"kau pencacai Yahudi, pengkhinat negara, pembawa ajaran pluralisme dan bermacam-macam lagi...", 

Yang anehnya, ada ulama dituduh oleh individu bukan ulama sebagai pembawa fikrah pluralisme. Terlebih pandai ayam dari itik berenang di kolam.

Doa buat rakyat Libya

Teruslah berjuang wahai rakyat Libya yang sedang keluar ke jalan-jalan raya untuk menumbangkan diktator Muammar Ghadafi. Sesungguhnya dia telah melwati batas. Sehingga kini, sudah lebih 80 rakyatnya yang bengkit menentangnya itu dibunuh. Saatnya kemenangan pasti akan tiba. Tidak ada seorang penguasa yang dapat menahan api kemarahan rakyat. Jadikan hari kemaharan kalian sebagai api yang membakar keangkuhan Muammar Ghadafi. 

Rakyat Tunisia dan Mesir telah berhasil dan sedang memungut hasilnya. Kalian bila lagi. Hanya sedikit perjuangan dengan hati yang teguh diperlukan untuk mengotakan hasrat anda. Darah yang tumpah adalah pengorbanan. Anggaplah kemtian itu sebagai korban perjuangan. Tiada perjuangan tanpa korban. Mati, sama ada di katil atau medan juang pasti akan tiba. 

Pilih sama ada untuk hidup tanpa berbuat apa-apa atau mati kerana melakukan sesuatu. Mati kerana melakukan sesuatu lebih mulia daripada hidup tidak berbuat apa-apa. Sekali melangkah, jangan undur. Muammar Ghadafi perlu ditumbangkan. Biarlah celaan mereka yang mencela. Sang pencela itu berlagak suci sedangkan selama ini mereka tinggal dalam kehinaan dikuasai diktator. Mereka juga kelak akan menikmati hasil perjuangan kalian sebagaimana kalian nikmati (merujuk kepada celaan sesetengah ulama yang mengaku salafi terhadap perjuangan rakyat Tunisia dan Mesir)

Hari-hari kemenangan telah dekat. Bersabar dan istiqamahlah!

Saturday, February 19, 2011

Telunjuk lurus kelinking berkait

Apabila DS Najib Tun razak jadi perdana menteri Malaysia, beliau kemukakan selogan "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". Antara utama dan dahulu, mana satu yang motif menjadi tandatanya. Dua terma itu seperti saling menangkis antara satu sama lain. Kalau pencapaian diutamakan, maka rakyat dkemudiankan. Jika rakyat didahulukan, maka semestinya pencapaian dikemudiankan. Untuk mencakup kedua-duanya adalah tidak mungkin.

Kerana itu, hari ini kita menyaksikan kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak dan barangan utama lain. Tujuan kerana hendak meningkatkan pencapaian ekonomi. Tidak tahulah ekonomi siapa. Ekonomi rakyat atau ekonomi korperat dan konglomerat. Dalam banyak hal, kepentingan rakyat bukan didahulukan. Pencapaian yang diutamakan. Projek menara warisan 100 tingkat yang mahu dibina, bukan untuk rakyat. Ia adalah untuk melambangkan pencapaian, tetapi merugikan rakyat. Seperti menara Petronas yang tersergam dan Menara KL, rakyat hanya mampu mendongak memandang puncaknya yang melayut. Ramai yang tak mampu naik melancong ke atas pun, apatah lagi untuk memiliki lot-lot pejabat atau premis perniagaan di dalamnya.

Kerajaan banyak buat projek. Ada projek mega dan ada projek kecil. Projek mega adalah umpama membina menara pencakar langit, landasan MRT dan empangan Bakun. Projek kecil adalah seperti menurap jalan kampung dan menaiktarafnya, buat jambatan kayu atau konkrit di kampung air dan mebina rumah mesra rakyat di kampung.

Waktu kerajaan buat landasan LRT di Kuala Lumpur, rakyat terpegun dengan pembongkaran  maklumat bahawa harga satu batang tiangnya adalah RM1 juta. Waktu projek membina jambatan di kampung air, penduduknya mengharapkan agar dibian jambatan konkrit. Dalam setiap projek, mega atau kecil, ada penangguk di air keruh. Kerajaan membela orang-orang ini untuk mengenyangkan perutnya dan mengembungkan poketnya. Harga sebatang tiang landasan LRT, masakan sampai RM1 juta. Mesti ada parasit yang dijamu atas nama membina projek landasan tersebut. Penduduk kampung nelayan mengharapkan agar dibina jambatan konkrit yang boleh tahan beberapa puluh tahun, tapi kontrakternya membina jambatan kayu. Kalau jambatan konkrit, mungkin itulah kali terakhir dia dapat projek bina jambatan di kampung itu, tapi kalau jambatan kayu, dua atau tiga tahun lagi akan ada projek baru. Jambatan kayu itu rosak dimakan serangga laut. Sekurang-kurangnya ada projek penyelenggaraan yang boleh dikautnya.

Kenapalah jalan yang diturap asyik pecah sahaja?  Tidak bolehkah jalan yang dibina itu guna batu keras dan berlapisan tebal. Sekali buat jalan raya biar tahan 20 tahun lebih. Mana mereka mahu. Kalau buat begitu, alamat kecutlah kantong mereka. Nak dapat satu-satu projek bukannya mudah. Projek yang dibuat biat jangka hayatnya pendek. nanti akan ada penyelenggaraan atau projek baru menggantikan yang rosak.

Negara yang kaya tatapi infrastrukturnya kelas rendah. Kita kalah dengan Selatan Thailand kalau nak banding dari aspek keselesaan jalan raya. Semuanya menyebabkan berlakunya ketirisan. Sebuah tangki besar, sengaja ditebuk lubang agar airnya keluar dan mereka menadahnya di luar. Bila rakyat mahu menggunakan air tangki, air tangki telah kering. Demikianlah bandingannya.

Kononnya hendak bela rakyat. Rakyat didahulukan. Tidaklah....hanya telunjuk yang lurus tetapi kelinking berkait!

Ulasan Berita: Kebangkitan rakyat berterusan di bumi Arab

Dengar berita di siaran rodio klasik FM pagi tadi, sambil memandu pulang dari sekolah (hari ini pulang awal), dilaporkan bahawa pemberontakan rakyat di Bahrain, Yaman dan Libya berterusan. Rakyat di tiga buah negara tersebut bangkit menuntut agar pemerintahan ala algojo di sana berundur. Selain itu ada kebangkitan kecil di Jordan dan ada demonstrasi di Kuwait oleh kalangan Beduin menuntut hak kerakyatan dan taraf hidup yang lebih baik.

Korban  akibat kebangkitan tersebut berlaku apabila pemerintah menggunakan kekerasan untuk menundukkan rakyat. Di Bahrain, Yaman dan Libya telah ramai rakyat yang cedera dan terbunuh. Pemerintah yang sayang kepada jawatannya sanggup buat apa sahaj untuk pertahankan kekuasaan. Kepada rakyat mereka berani gunakan ledakan api dan keganasan besi, tetapi mereka bacul pula menggunakannya kepada musuh sebenar mereka iaitu Israil yang menginjak kehormatan bangsa Arab secara khusus dan Islam secara am. 

Di Libya, rakyat memberontak sehingga membunuh dua orang anggota polis. Dua anggota polis digantung oleh penunjuk rasa di Tripoli. Sampai ke tahap ini, Muammar Gadafi masih mempertahankan kuasanya. Dia sudah lama benar jadi presiden Libya. Tak salah aku, sejak tahun 1968. Dia pun waktu berjiwa muda dan mendapatkan kuasa dengan menggulingkan pemerintah semasa. Kini gilirannya pula. Hidup dalam dunia ini memang putaran. Jangan disangka bahawa kita akan di atas selamanya.

Di Yaman pula, ada sekelompok rakyat yang mempertahankan presiden Abdullah Saleh berlawan dengan penunjuk perasaan di ibu negaranya, San'a. Barangkali, kita boleh katakan bahawa yang mempertahankan presiden Abdullah Saleh itu membawa misi kepentingan pribadi sedangkan rakyat membawa misi maruah dan keadilan. Rakyat yang diperintah diktator sebenarnya direnggut maruahnya dan mereka tidak mendapat keadilan sebenar.

Di Bahrain mungkin kita berbelah bagi. Penentangan rakyat Bahrain terhadap penguasa didominasi oleh pembangkang dari kelompok syiah. Sebilangan mungkin berkata penguasa Bahrain yang merupakan kelompok ahli sunnah perlu dipertahankan. Kes bahrain tidak sama dengan kes Tunisia dan Mesir. Apapun, syiah atau ahli sunnah, keadilan terhadap rakyat perlu diutamakan. Penguasa bahrain sekarang ini bukan juga mengangkat sunnah sebagai sistem pemerintahannya. Mereka kelompok algojo yang disokong oleh sekularisme dan kapitalisme. Mereka bukan Ahli Sunnah.  Biarlah Allah menentukan!

Jatuhlah semua batu penghalang kebebasan rakyat di bumi Arab! Semua pemerintah boneka penjajah, tertiaraplah. Akan kita pacakkan nesan kutukan di atas mereka sebagai ingatan penguasa akan datang. Saatnya Islam bangkit telah hampir...

Friday, February 18, 2011

Masa lalu yang dilupa...siapa mudah lupa?

Orang kata Dr. Mahathir itu negarawan. Itu orang kata...Bagiku, aku belum dapat menerima kelayakannya untuk digelar negarawan. Seorang negarawan sepatutnya seorang yang sentiasa berjuang demi negaranya. Hal ini, untuk Dr. Mahathir tidak meyakinkan. Apakah perjuangannya selama kira-kira 23 tahun menjadi perdana menteri demi negaranya.

Ada dua benda lucu yang disebut berkaitan Dr. Mahathir dalam masa 1 minggu terakhir ini. Pertamanya, penafian oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar mengenali penglibatan Dr. Mahathir dalam Operasi Lalang tanhun 1987 di mana menyaksikan penangkapa ramai pemimpin pembangkang. Penafian tersebut dibuat dalam sebuah forum yang turut disertai Dr. Mahathir. Rakyat Malaysia yang hidup dan membaca berita pada tahun 1987 tentu mengetahui bahawa Menteri Dalam Negeri pada tahun tersebut adalah Dr. Mahathir. Bagaimana anggota polis boleh membuat tangkapan tanpa arahan ketuanya. Ketua bagi pasukan keselamatan polis tentunya Menteri Dalam Negeri.

Sekarang mahu cuci tangan. Dalam dunia boleh buat helah untuk cuci tangan. Kelak di akhirat, apa yang berlaku tersebut pasti akan diadili. Sebaiknya, minta maaf pada mangsa, mudahan mereka memaafkan dan bebab dosa itu di akhirat tidaklah keterlaluan.

Perkara kedua ialah mengenai cadangan Dr. Mahathir agar dihadkan tempoh seseorang Perdana Menteri memegang jawatan kepada 2 penggal iaitu kira-kira 10 tahun. Semua maklum, Dr. Mahathir adalah perdana menteri yang paling lama di antara semua Perdana Menteri Malaysia yang memerintah. Tiba-tiba, setelah dia tidak punya jawatan, dia mencadangkan agar perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun sahaja. Katanya, kalau prestasi baik, boleh dibenarkan untuk dilanjutkan. Sebenarnya, dia mungkin nak cakap, kalau perdana menteri itu macam aku dulu, bolehlah kalau sampai 20 tahu lebih pun. Masalahnya, apakah kayu ukur untuk menilai prestasi itu. Kekadang, seseorang itu syok sendiri. Macam Hosni Mubarrak, sehingga dia berdepan dengan kebangkitan rakyat, dia masih syok sendiri.

Kekadang, Allah menjadikan balasannya dengan memanjangkan usia dan ketika itu dia akan menderita hilang moral di mata rakyat.

Pemberitaan corak bodoh

TV Malaysia nampaknya memperbodohkan rakyat. Berita-berita lewat terakhir ini memaparkan mengenai kebobrokan pentadbiran negeri Pakatan Rakyat. Kritikan peniaga yang dirobohkan gerai mereka oleh Majlis Perbandaran di Pulau Pinang terhadap Ketua Menteri Lim Guang Eng di susuli dengan komen-komen pedas pemimpin UMNO. Namun,respons Lim Guang Eng tidak muncul di TV. Demikian pula isu buletin My Balik Pulau.

Pemberitaan bercorak bodoh dan menganggap rakyat bodoh ini akan memakan hayat kerajaan BN sendiri. Rakyat sekarang sudah ada media lain untuk mengetahui berita-berita semasa. Penyampaian berita yang berat sebelah oleh TV pada hakkatnya akan menjadi backfire kepada kerajaan BN sendiri.

Thursday, February 17, 2011

Yang Jahat itu Nasionalis dan Kapitalis

"Orang Cina itu jahat, kejam dan tidak boleh dipercayai...", ulas seorang lelaki Melayu ketika kami berbual sambil minum kopi di sebuah warung. 

Dia membawakan kepadaku contoh-contoh kejahatan bangsa Cina. Menurutnya, orang Cina, apabila dia menubuhkan sebuah syarikat dia akan menaikkan bangsa Cina dan menidakkan hak bangsa lain untuk menapak naik dalam syarikat, khasnya orang Melayu. Bersumberkan pengalamannya yang pernah bekerja dalam sebuah syarikat milik orang Cina, dia disuruh melatih seorang pekerja baru Cina dan kemudian pekerja baru itu mendapat kedudukan yang lebih baik daripadanya dalam syarikat dan memperolehi gaji yang lebih tinggi.

Di negeri Sabah, banyak konsesi balak dimiliki oleh orang Cina. Malah, tanah-tanah di banyak tempat dalam kawasan Sandakan dimiliki oleh orang Cina. Dengan menyebutkan kawasan batu 10 sebagai contoh, katanya hampir 90 peratus adalah milik orang Cina. 

Sebuah bandar baru yang hampir siap dibina di Sandakan, dinamakan Bandar Letat. Ditulis Letat, tetapi sebenarnya Lee Tat, nama seorang Cina. Bandar tersebut muncul dengan prasarana pasar yang mengiklankan secara melampau arak "calrsberg". Aku pernah meninjau sepintas lalu kedai-kedai makan di atas pasar bandar tersebut, hampir keseluruhan signboard nama-nama kedai di situ diletakkan bersama  logo "Calrsberg".

Ini kerana orang Cina memang jahat. Lelaki Melayu yang berbual dengan itu menyimpulkan. Mereka nak tunjuk "power" sehingga menghina orang Melayu Islam. Presiden MPS pun seorang Cina dan dia tentu melebihkan kaum Cina dalam membangunkan Sandakan. Orang Melayu di Sandakan, penempatan mereka adalah di persisir pantai, kawasan kampung air yang miskin. Sedangkan kawasan perumahan mewah dengan rumah agam dan halaman yang selesa seperti di Grand View dan beberapa taman awal yang lain, dimiliki oleh kaum Cina. Cuma perumahan baru yang sedang dibina, oleh kerana terikat dengan koata bumiputera, pegangan kaum Cina sudah berkurang. 

"Itu pun mereka cuba membantah...tidak puas hati...", lelaki Melayu itu berang.

"Kalaulah negeri Sabah ada Sultan...orang Cina taklah sewenang-wenangnya seperti sekarang!", Dia mengeluh mengimbau kehilangan institusi Sultan di Sabah, tidak sebagaimana negeri-negeri Melayu di Semenanjung.

" Yang jahat itu bukan bangsa Cina...bangsa melayu pun jahat", balasku.

Kalau orang Cina jadi pengarah syarikat besar, mengutamakan bangsanya, itu tidak lebih jahat daripada bangsa Melayu yang diberi jawatan mengepalai sesebuah syarikat besar milik negara tetapi mengutamakan hanya adik beradiknya. Mereka, malah tega merampas tanah orang miskin dengan alasan projek pembangunan. Soal mengumpulkan kekayaan dengan jalan haram, rasuah, pecah amanah dan sebagainya telah menjadi kebiasaan pula bagi konglomerat Melayu. Kehidupan di belakang tabir pula dihiasi dengan party air setan dan wanita-wanita simpanan. Sebagaimana watak peniaga-peniaga besar bangsa Cina, demikian pula watak kapitalis Melayu ini.

Ketika mereka diberi undi untuk menjadi YB dan terpilih untuk menjadi pemimpin di peringkat tertentu, mereka jadikan jawatannya sebagai jalan merebut peluang kekayaan. Kalau ada yang lebih baik sedikit, asyik melaungkan selogan perjuangan bangsa secara membuta tuli. Bukan juga bangsanya yang diperjuangkan, melainkan hanya kelompoknya sahaja yang rata-rata berbangsa Melayu. Melayu teramai tidak juga terbela.

Justeru, bukan persoalan bangsa yang menentukan jahat baiknya. Nasioanalis dan kapitalis seseorang itu yang membuatkannya  jadi jahat. Bani Israil itu bukan jahat, tetapi nasinalis dan kapitalis merekalah yang jahat. Huru hara di Palestin itu lantaran api nasinalisme Yahudi yang dimarakkan. Kegawatan ekonomi dunia dan ketidakseimbangan pembahagian kekayaan dunia antara negera-negara adalah gara-gara kapitalis Yahudi yang menguasai ekononomi dunia.

"Yang Jahat itu nasionalis dan kapitalis, tak kira bangsa apa pun dia, baik Cina maupun Melayu...", aku menegaskan hal itu buat lelaki Melayu itu.

Wednesday, February 16, 2011

Selidiki berita TV

Apabila TV memaparkan sesuatu laporan eksklusif mengenai sesuatu perkara, aku tidak mudah percaya. Aku beranggapan TV adalah seperti seorang fasiq. Kalau orang fasiq ialah orang yang melakukan dosa besar dan berkekalan di atas dosa kecil,  maka saluran TV milik kerajaan dan Swasta di Malaysia ini memiliki ciri tersebut. Baik TV1. TV2, TV3 serta beberapa saluran di bawah media prima dan juga saluran Astro semuanya memaparkan banyak perkara dosa. Justeru, khabar berita yang dibawa oleh TV tersebut hendaklah diselidiki dengan membandingkan pelbagai sumber lain. 

Allah memerintahkan "Tabbayun" terhadap berita orang fasiq. Maka segala berita TV fasiq itu hendaklah di'tabayyun'.

Tuesday, February 15, 2011

Bila maulid kami?

Tahukah anda bahawa sambutan Maulid Nabi bukanlah satu-satunya sambutan hari lahir yang dilakukan oleh orang-orang Islam? Terdapat berpuluh-puluh , malah beratus sambutan Maulid yang dilakukan untuk mengingati seseorang tokoh yang telah meninggal. Sambutan Maulid sangat popular di kalangan pengikut sesuatu tariqat. Tidak dapat aku mengingati berapa banyak nama syeikh yang sambutan Maulidnya dibuat oleh murid-murid yang mengkaguminya. Umpamanya tahun lepas, di masjid negara, satu Majlis Maulid & Haul Syeikh Abd Qadir al-Jailani telah diadakan. Bagi pengikut tariqat, mereka ada taqwim sambutan maulid buat mengingati syeikh-syeikh mereka. Dalam sambutan itu, dibacakanlah syair-syair "madah" yang memuji tokoh-tokoh mereka.

Mereka mendakwa inilah jalan kelompok Ahli Sunnah Wal Jama'ah.Berhujahkan bahawa kita perlu mencintai Rasulullah, maka dibuat Maulid Nabi. Kerana kita disuruh mencintai para ulama, maka para pengikut masyayeikh buat sambutan Maulid masyayeikh. Tanda cinta dijelmakan dengan pujian dan majlis maulid.


Jumlah sambutan maulid yang berentetan ini mengelirukan aku. Apakah ini jalan ahli Sunnah Wal Jama'ah? Apakah ini pula cara meluahkan cinta dan kasih kepada nabi dan ulama? Orang-orang kafir Makkah mengungkapkan "madah" buat nabi dengan menggelarkannya "al-amin", namun mereka mengkufuri nabi Muhammad SAW. Malah, Abu Lahab, pada hari kelahiran nabi, dia membebaskan hambanya dan menyembelih unta untuk dikendurikan tanda gembira atas kelahiran nabi SAW. namun, apakah Abu Lahab itu beriman dengan nabi? Tidak! Malah dia memusuhi nabi dan tergolong kalangan ahli neraka.

Kalau Maulid adalah jalan Ahli Sunnah, tentu nabi buat dan para sahabat buat. Para sahabat adalah contoh unggul Ahli Sunnah. Para Salafus Soleh pula adalah "al-Jama'ah". Mana Maulid yang dibuat oleh imam mazhab yang empat. Mana pula Maulid yang dibuat oleh orang lain untuk mereka?

Mungkin ketika Maulid Nabi diperkenalkan, aku boleh memikirkan untuk menerimanya berdasarkan hujah positifnya. Namun, apabila aku melihat di sana ada beratus sambutan Maulid selain nabi, ternayatalah sambutan maulid ini adalah satu yang menimbulkan tandatanya dan mengelirukan. Apakah keperluannya maka sambutan Maulid Masyayeikh yang beratus jumlahnya itu diadakankan?

Mengapa orang tak buat sambutan Maulid Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Uthman. bin Affan. Sambutan Maulid Fatimah binti Rasulillah, Saidina Ali, Hasan, Husain, Zainab dan keturunan-keturunan mereka banyak sekali diadakan. Perangai siapa yang menyanjung keturunan Ali berlebihan ini? Apakah ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah sejak zaman silam pernah beranggapan Ali lebih mulia daripada Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Uthman bin Affan?

Justeru, mengapa pendokong perjuangan Imam As-Shahid Hasan Al-Banna, Sayyed Qutb dan ratusan ulama pejuang lain yang terkorban dalam jihad mereka, tidak melakukan Maulid untuk mereka. Kalau mahu dinilai pengorbanan untuk Islam, apa yang mereka lakukan adalah lebih besar daripada apa yang segala masyayeikh tariqat itu lakukan. Mengapa Maulid masyayeikh dilakukan dan tidak Maulid para Mujaddid agama yang begitu berjasa?

Kepada siapa cinta kasih kita sepatutnya tumpah? Kepada mereka yang dicerca dan terkorban demi membela agama ini atau kepada mereka yang hidup terhormat tanpa cercaan dan mati dimaqamkan di bawah kubah agam?

Kalau kita boleh menerima sambutan maulid dengan kepelbagaian acaranya itu, maka janganlah mengata nista pula kalau anak kecil yang baru mencecah tahun-tahun awal hayatnya menngungkapkan peringatan buat ibu bapanya:

"Papa...mama...birthday saya tahun ni jangan lupa...",

Kuihnya mahu besar. Mesti ada lilin yang dipacakkan mengikut jumlah usia. Ada pula topi Santa Claus di kepala. Kemudian diiringi nyanyian lagu "happy birthday to you". Seterusnya ada "party".

Apakah sambutan Maulid Masyayeikh sahaja mahu diadakan? Kami juga mahu diadakan maulid untuk kami. Mungkin itulah ocehan anak-anak kecil itu...Apa kita nak kata?

Maulid anda bagaimana?

Maulid Nabi itu hari kekasih?

Terpandang dalam TV pagi tadi, komen ustazah Masyitah Ibrahim tentang sambutan maulidur Rasul. Ketika menyebutkan sambutan Maulidur Rasul sebagai tanda kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW, dia mengaitkan dengan 14 Feb. Katanyalah hari kekasih buat umat Islam. Kasihn kepada rasul itulah kasih sejati. Memang cantiklah bunyinya. Tapi, kenapa dikaitkan lagi dengan hari kekasih 14 Feb tersebut. Kalau untuk memberi pilihan kepada orang yang menyambut hari kekasih pada 14 Feb agar menyambut Maulidur Rusul atas ruh hari kekasih yang baru, itu tidak benar. Aku tidak menyetujuinya. 

Dalam Islam, tidak ada hari kekasih atas nama apapun. Hari kekasih khusus buat Rasul tidak perlu diadakan. Mengadakan hari kekasih khusus buat Rasul akan mengundang orang buat pula hari kekasih untuk yang lain.

Bukankah, selain hari maulid nabi, ada juga hari maulid syeikh-syeikh dalam sesetengah ajaran dan tarikat?

Misi penyebaran risalah Velentine day tidak menemui mad'u.

Dua kali kami ke bandar Sandakan. Malam kelmarin dan semalam. Malam kelmarin tidak ada sesiapa di bandar yang boleh ditafsirkan meraikan sambutan Velentine's day. Keadaan di sepanjang tembok bandar Sandakan adalah lengang. Selalunya, di situlah tempat berhimpunnya anak-anak muda untuk sesuatu acara sambutan. Kalau malam sambutan sempena kemerdekaan negara atau tahun baru, di situlah manusia berkerumun. Namun, malam kelmarin lengang. Lalu kami mengandaikankami silap faham tentang tarikh 14 Feb. Malam kelmarin masih 13 Feb dan Velentine's day bukanlah disambut menjelang jam12 malam sebagaimana lakunya sambutan malam merdeka dan malam tahun baru.  Kami pulang ke rumah dengan tekad akan kembali semula malam esoknya.

Semalam,kami turun lagi. Namun, lokasi sasaran juga lengang.Malah,di mana-mana lengang sahaja. Ternyata, tidak ada sambutan Velentine's day di bandar Sandakan. Kami termenung mengimbas kenangan tahun-tahun yang lepas. Biasanya, tahun-tahun lepas, ramai orang memenuhi bandar Sandakan apabila tiba malam hari Velentine. Beberapa andaian boleh dibuat mengenai ketiadaan orang yang meraikan Velentine'sday padatahun ini.

Mungkin,hujan-hujan yang agak lebat selepas solat insya semalam menyebabkan anak-anak muda tidak berkumpuldi sepanjang tembok. Semasa kami tiba, hajan baru sahaja seriyat. Selain itu, ada kemungkinan pertembungan hari Velentine dengan ulang tahun Maulidur Rasul menyebabkan ada penghomatan di kalangan anak muda  terhadap hai besar Islam. Mungkin juga dakwah membanteras sambutan Velentine's day telah menunjukkan kesannya.Kalau begitu,alhamdulillah. Namun, pada masa ini, setiap malam, ramai oang mengerumuni bandar Indah kerana di sana ada "fun fair".

Walaupun mad'uuntuk penyebaran risalah tidak kami temui, kami berangapan ganjaran pahala telah Allah kuniakan seolah-olah kami menyebarkan risalah dakwah. Sebagai pilihan risalah-risalah yang disediakan akan diedarkan kepada pengunjung masjid untuk acara sambutan Maulidur Rasul hari ini dan dedarkan secaa peribadi oleh anggota kami secara peribadi.

Mudahan Allah SWT menetapkan hati kami.

Monday, February 14, 2011

Mendahuli pemimpin jemaah

YB Iskandar Abdul Samad dalam blognya, direct free kick mengingatkan agar presiden Pas mesti tegas. Katanya dia merindui ketegasan TG Haji Hadi Awang seperti tahun-tahun 80-an dan 90-an. Dengan melupakan faktor perubahan mengikut masa, nampaknya YB Iskandar masih terimbau dengan kenangan zaman silam di mana orang Pas sering dilihat bengis, pemarah dan tidak boleh diajak berbincang. Corak kepimpinan TG haji Hadi sekarang telah diterima oleh rakyat berbilang kaum dan itulah sebenarnya yang penganut ideologi politik dalam Pas harapkan. Kalau YB itu menghayati keberadaannya dalam Pas sebagai seorang anggota gerakan Islam, beliau tidak sepatutnya mendahuli pemimpin dalam hal-hal yang menjadi hak seorang pemimpin. Bagaimana watak dan sikap, itu adalah hak seorang pemimpin. 

Rupanya mengkritik pemimpin jemaah  dalam blog menjadi petanda bahawa seseorang itu hanya memahami Pas persis parti politik.

Sunday, February 13, 2011

Buat mereka yang berlarian pulang

Kepada seorang sahabatku yang belajar di Mesir dan pulang ke Malaysia di bawah operasi piramid yang dilancarkan kerajaan Malaysia, aku katakan bahawa dia tidak perlu bergembira dengan kemenangan rakyat Mesir. Dia tidak menyumbang sedikitpun, malah lari dari medan juang.Tidak perlu juga dia ceritakan kejadian di sana kepadaku kerana tidak ada lebihnya maklumatnya berbanding maklumatku. Dia telah melepaskan peluang menyaksikan peristiwa besar bersejarah yang tidak pernah terjadi.

Saturday, February 12, 2011

Buat penista demokrasi

Ketika para penguasa muslimin meratah rakyat dengan sistem diktator, mereka salahkan rakyat yang bangkit menuntut kebebasan atas nama demokrasi. Mereka katakan demokrasi sistem kufur. Takfir itu beratus kali di atas sistem diktator yang mencengkam ummat Islam. Kebencian mereka kepada demokrasi tidak senada dengan kebencian mereka terhadap sistem diktator. Mereka julangkan selogan khalifah!. Mereka katakan khalifah ditegakkan di atas sistem syura. Padahal, kebanyakan khalifah berdiri di atas singgahsana diktator. 

Maafkan aku. Aku membenci diktator. Hak aku sebagai rakyat tidak menjadikan layak ditekan oleh seorang khalifah.

Berapa ramai pejuang agama di negara ummat Islam bergeladangan di negeri demokrasi. Mereka meninggalkan negara mereka yang diperintah Sultan. Mereka meninggalkan negara mereka yang ada majlis syura. Tetapi itu semua hanya untuk mengaburi mata rakyat. Sebenarnya, negara itu diktator.

Tiba-tiba ada suara mencela demokrasi sebagai sitem kufur. Kufur kerana penetapan hukum terletak di parlimen dan bukan pada Allah. Selama ini, siapa yang menentukan hukum di negara diktator? Ia lebih dahsyat daripada hukum yang dikeluarkan daripada parlimen kerana ia terbit dari kalam muktamad seorang diktator.

Kita tidak membela demokrasi. Tetapi kita juga tidak mebela sistem diktator. Memberikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa yang akan mengetua mereka lebih menepati naluri kemanusiaan. Sejauh ini, demokrasilah yang meraikan kehendak ini. 

Bagi yang membenci demokrasi, gencarkan seranganmu kepada sistem yang lain yang bukan dari Islam. Sistem pewarisan tahta yang berabad menjadi amalan kekhalifahan bagaimana? Oh...ia telah dimurnikan dengan bai'ah? Kalau begitu, murnikan demokrasi dengan bai'ah. Lebih baik demokrasi berbanding pewarisan tahta. 

Penetapan hukum? Siapa kata hak menetapkan hukum selain Allah. Memang kufurlah siapa dan sistem manapun mengatakan. Apakah sepanjang sistem pewarisan tahta khilafah ditegakkan, penetapan hukum menjalani lorong yang sentiasa bersih? Tidak pernah terjadi khalifah yang menurunkan hukum yang bertentangan dengan hukum Allah?

Hukum Allah tidak ditegakkan dari langit. Ia melalui manusia. Manusia-manusia dari sistem manapun, jika tidak beriman kepada Allah...tidak akan punya kehendak mengangkat hukum Allah.


Friday, February 11, 2011

Kesudahannya milik Allah.

Apa akan jadi pada kebangkitan rakyat Mesir secara aman menuntut pengunduran presiden Hosn Mubarak, kalau beliau berkeras tidak mahu melepaskan jawatannya? Mungkinkah para dementran akan berhenti dan pulang ke rumah masing-masing atau ada tindakan lain yang tidak terduga. Mungkin merempuh masuk ke istana presiden dan membunuhnya secara sadis? Bagimana jika Hosni Mubarak hilang akal dan menjadi mabuk darah lalu memerintahkan para demonstran di Dataran Tahrir di bantai habis-habisan? 

Semuanya masih menjadi tandatanya. Allah yang mengaturkan semuanya dan penamatnya ada di tangan Allah!.

Sunday, February 06, 2011

Allah khairul makirin

Ketika kita mengeluh resah dan gelisah melihat kedaifan ummat Islam berbangsa Arab yang tidak berdaya melawan penguasanya yang menjadi tunggangan negara Barat dan Yahudi, tiba-tiba Allah mencipta makarnya. Seorang pemuda tidak masyhur dari Tunisia membakar dirinya kerana memprotes ketidakadilan penguasa ke atasnya. Dia adalah salah seorang daripada jutaan ummat Islam seantero dunia yang merintih kerana ketidakadilan penguasa yang menunggangi ummat ini. Siapa sangka, dengan  tindakannya membakar diri telah mencetuskan revolusi yang menumbangkan "taghut" berlumut di negaranya.  Kemudiannya, api kebangkitan itu kini sedang bernyala dan menyambar membakar taghut-taghut lain di negara tetangga. 

Ketika banyak gerakan Islam yang menyertai pilihanraya tewas, kedengaranlah bahawa pilihanraya tidak akan memungkinkan kemenangan Islam. Parti Islam yang pernah memenangi pilihanraya di Algeria satu masa dahulu, tidak dapat memerintah. Demikian, Hamas yang memenangi pilihanraya Palestin kecundang dengan permainan negara barat yang mendokong demokrasi, terhimpit hanya di semenanjung kecil bernama Gaza. Di Mesir, pejuang gerakan Islam Ikhwanul Muslimin tidak dapat memanfaatkan pilihanraya untuk memenangkan Islam. Tekanan demi tekanan dikenakan.

Lalu berkatalah sesetengah orang, bahawa Islam tidak akan menang dengan cara yang sedang ditelusuri oleh parti-parti politik berhaluan Islam di seluruh dunia. Sebahagian mencadangkan revolusi. Tetapi, sekadar mencadang tanpa keberanian, tidak ada gunanya. Islam menolak jalan yang mengundang mafasid yang lebih besar. selagi ada jalan yang ringan, maka tidak harus memilih jalan yang berat. Ada pula hanya bergantung kepada dakwah islahiyyah. Buat seminar, sebar risalah dan membina kader-kader du'at yang disuntik ruh perjuangan, namun, ibarat membina tembok pasir di tepi pantai, sekali ombak mendebur, berkecailah tembok pasir itu. Penguasa yang bermaharajalela di tampuk kuasa tidak mengizinkan rakyah didakwahkan. Sarana yang pelbagai digunakan untuk meruntuhkan binaan kesedaran  yang dibangunkan menjadi puing-puing yang berkecai. Media massa dan racun hedonisme ditebarkan sehingga generasi muda mejadi lesu longlai.

Tanpa meraih kuasa, dakwah tidak sempurna. Islam bukan datang untuk mengisi lakuna sosial di bawah kekuasaan taghut. Islam datang untuk merebut kekuasaan itu dan menjadi Islam di atas  segala isme-isme ciptaan manusia. Tidak akan sampai ke hadaf dan ghayah perjuangan kalau hanya idealisme dan kerja-kerja Islahiyyah. Sementara tidak menafikan pentingnya kerja-kerja Islahiyyah, merebut kuasa daripada penguasa yang menekan Islam adalah keperluan penting dalam perjuangan Islam.

Tidak pasti jalan mana Islam akan memang. Allah yang telah menjatuhkan Islam pada satu waktu dahulu sehingga ummat jadi lemah dan hilang jati diri. Maka, Allah juga yang akan mengangkatnya kembali. Namun, ia bukan bermakna kita duduk berpeluk tubuh. Berjuang untuk merealisasikan kebangkitan semula Islam itu adalah tawaran tukaran yang paling menguntungkan Allah berikan buat pendokong agamanya. Siapa yang mahu meraih keuntungan akhirat yang lumayan, maka, hendaklah ia melakukan sesuatu yang terdaya olehnya. 

Makar Allah akan mengatasi makar semua orang. Betapa pun banyak penipuan dalam pilihanraya, Allah boleh memenangkan perjuang-pejuang agamanya yang meledeni jalan itu. Malah, Allah boleh mencipta jalan yang tidak terduga untuk memenangkan agamanya.

Renunglah kisah ajaib daripada Tunisia itu....

Mohd Noor Deris cabar Nik Aziz

Pengerusi Biro Agama Veteren UMNO Kelantan, Prof Dr. Mohd Noor Deris mencabar TG Nik Aziz Nik Mat untuk berdebat. Kata TG Nik Aziz, dia sudi berdebat dengan orang yang tauliah dan kedudukan. Mohd Noor Deris itu mungkin ada tauliah, tetapi tiada kedudukan. Kedudukannya sebagai ketua biro agama veteren UMNO bukalah apa-apa jika hendak dibandingkan dengan kedudukan TG Nik Aziz sebagai menteri besar. Bukan menghina, Mohd Noor Deris pelu sedar pada kedudukan apa dia. Perdebatan antara dua orang yang tidak sama kedudukan tidak akan membawa faedah. Kalau sekadar nak "tunjuk jantan" bolehlah. Kalau Mohd Noor Deris nak tunjuk jantan dengan TG Nik Aziz, ramai lagi pemuda-pemuda dan tokoh dalam Pas yang sudi menunjuk jantan dengan Mohd Noor Deris.

Orang macam Mohd Noor Deris lebih menggunakan emasi. Aku pernah jadi pendengar kuliahnya masa di universiti. Kalau boleh aku tak mahu dengar kuliahnya. Kuliahnya itu tidak pula menambahkan ilmuku. Ia berisi kutukan dan celaan terhadap TG Nik Aziz. Itu pada tahun 1995.  Hampir 16 tahun yang lalu dia memendam dendam kesumat terhadap TG Nik Aziz.  Dia bergentayangan mencari pengaruh. Becakap soal Islam dalam perti Islah yang tak ke mana. Akhirnya masuk UMNO dan kini nama jawatannya pengerusi Biro Agama Veteren UMNO. 

Sejak bila pula dia menjadi orang UMNO yang setia untuk dikatakan veteren?

Akidah Perjuangan

Memiliki akidah keimanan yang betul belum cukup. Sesorang itu perlu melihat apakah akidah perjuangannya benar. Dengan kata lain, hidup yang menuntut perjuangan untuk menegakkan Islam diasaskan di atas akidah yang bagaimana. Seorang yang berjuang untuk nasinalis, perjuangan itu pastinya terbit daripada akidah yang salah. Akidah yang benar tidak sekali-kali akan membenarkannya berjuang untuk nasinalis. Demikianlah untuk semua perjuangan lain selain Islam. Malah, perjuangan Islam sendiri boleh terbit daripada akidah yang salah. Ini berlaku apabila seseorang itu terlibat dalam perjuangan Islam bukan kerana matlamat mendapatkan keredhaan Allah SWT. Mungkin, dia berjuang kerana sukakan pemimpin, bencikan musuh, ikut-ikutan dan sebagainya. Justeru, akidah perjuangan yang betul akan menentukan natijah daripada perjuangan yang kita lakukan di dunia untuk menangguk hasilnya di akhirat kelak.

Saturday, February 05, 2011

Mencemar Duli

Apakah rakyat  ini begitu nista maka apabila seorang raja atau permaisuri datang bergaul dengan mereka ia distilahkan "mencemar duli"? Cemar itu kotor dan duli itu adalah debu tapak kaki.Apakah rakyat itu kotor dan lebih hina dariupada debu tapak kaki seorang raja? Begitulah bahasa bangsawan yang digunakan merujuk kepada raja-raja. Sesungguhnya nabi itu jauh lebih mulia daripada mana raja-raja dalam dunia. Namun, tak pernah pula orang mengatakan baginda mencemar duli apabila bergaul dengan orang-orang Islam. Tidka juga dengan yang bukan Islam.

Janganlah terlalu menghina diri. Allah menentukan kemuliaan hanya berdasarkan takwa. Raja hebat, jika tiada takwa, tiada kemuliaan di sisi Allah SWT. Sang pengemis yang bertakwa, lebih mulia daripada raja hebat atas tahta yang tiada takwa.

Bahasa-bahasa menghina rakyat dal;am khazanah bahasa Melayu perlu dibuang daripada kamu bahasa. Kedudukan rakyat tidak wajar dihina sehingga begitu.

Wednesday, February 02, 2011

Gundah pelajar Mesir

Mendengar keluhan-keluhan ibu bapa para pelajar di Mesir sebagaimana yang dipaparkan dalam TV3 ,malam tadi membuatkan aku terfikir, apakah bezanya pelajar kita di sana dengan rakyat negara Mesir. Ibu bapa mendesak agar kerajaan melakukan sesuatu untuk membawa pulang para pelajar tersebut ke Malaysia. Sementara, kerajaan hanya membawa mereka transit di beberapa negara jiran yang difikirkan selamat seperti Arab Saudi dan Jordan. Ada ibu bapa mengadu bahawa dia telah menalifon anaknya dan diceritakan bahawa makan minum anaknya tidak menentu.

Negara Mesir ada lebih 80 juta penduduk. Bagaimana rakyat negara Mesir itu menghadapi situasi gawat dalam negara mereka. Kalau mereka boleh menghadapinya, kenapa pelajar kita tidak boleh menghadapinya. Kita selalu menyebut, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Semasa negara Mesir aman dan damai, kita menumpang kasih menuntut ilmu di sana. Di saat negara Mesir kacau kerana keinginan rakyatnya untuk berubah, kita tidak sangggup duduk bersama mereka. 
Terlalu penakutkah bangsa kita? Di mana rasa persaudaraan muslim dalam diri kita?