CARI BAHAN

Saturday, September 26, 2020

Bangkit menyusun telapak dewa

Mengikuti perkembangan keputusan PRN Sabah malam ini, nampaknya UMNO bersama sekutunya akan kembali berkuasa di Sabah. Mojoriti mudah sebanyak 37 kerusi telah diperolehi. UMNO yang disangka orang telah dicabut nyawanya berikutan kekalahan dalam PRU ke-14 yang lalu rupanya belum mati. Ia cuma pengsan sahaja. Kini dia telah sedar daripada pengsannya. Dalam keadaan mamai dan lemah setelah sedar daripada pengsan itu, diberi bantuan pernafasan dan siraman renjisan air, UMNO kembali sedar dirinya. dari duduk bersandar pada dua lengan ke belakang, UMNO sudah boleh duduk bersila. Perlahan-lahan UMNO mula beralih duduk iftirasy.  Dengan gaya dan lagak pendekar Mata Satu dari Gua Hantu, UMNO pun bangkit memasang kuda-kudanya. Dua tiga kali dikelepiaq kaki kanan dan kirinya, disusuli dengan tumbukan jurus percubaan, timbullah keyakinan bahawa dia masih ada wibawa. 

Dengan tawadhuknya, ia duduk bertawarruk bersama orang-orang yang berjasa menyedarkannya daripada pengsannya. Kekuatannya sedang pulih satu persatu. Urat nadinya mula mengalir darah-darah semangat waja sekeras keris daripada besi waja khursani bernama Taming Sari yang selalu dijulangnya.

Selepas menang PRN Sabah, UMNO nampaknya telah benar-benar yakin dengan kepulihannya. Ia siap bertempur lagi. Jika dalam medan tempur di tanah Bawah bayu ia mampu menumpaskan lawan, apalah nak diherankan dengan Tanah Abang.  Dulu, namanya diratib orang, lepas ini akan kembali diratib orang. Dulu ia pernah menepuk dada penuh takabbur, kali ini barangkali akan ditepuknya dada, paha dan punggung sekali.

Roh-roh leluhur yang bersemadi dalam dirinya kali ini akan ditambah. Datanglah roh segala roh yang gagah perkasa, menyatu dalam dirinya. Kalau boleh, akan diserunya roh Firaun dan Haman sekali, biar kekuatannya bertampah sepuluh kali lipat.

Kebingkasannya yang baru ini, bukan seperti dulu lagi. Membujur lalu melintang patah. Semua nama menyatu dalam dirinya. Tiada gundah, tiada gelisah. Tiada budi yang patut dibayar. 


Sesal tiada berguna lagi.

KETUHANAN DAN KEAZAZILAN.

 Pergolakan politik masakini amat sukar diramalkan.Apa yang akan jadi pada keesokan hari menjadi tanda soal yang dinantikan jawapannya oleh semua orang. Mana-mana orang boleh membuat telahan. Namun ia cuma telahan. Kejutan-kejutan demi kejutan telah berlaku dan akan terus berlaku. Episod-episod sekarang ini, menjadi babak-babak singkat. Belum panas punggung, berlaku episod dan babak seterusnya.

Bermula daripada perubahan tampuk pemerintahan kepada PH tahun 2018, bertahan selama 22 bulan, kemudian kerajaan PN bula mengambil alih. Kerajaan yang didirikan dengan senarai SD yang dibentangkan kepada YDPA itu kemudian bergelut dengan kekurangan mojoriti yang ketara. Kerajaan itu seperti berdiri di jrang yang sedang terhakis oleh arus deras. Bila-bila masa sahaja tebing boleh runtuh dan kalau tebing runtuh, ghuyublah bersama runtuhan itu beberpa aktor politik yang bersenandung tanpa dahan tempat bergayut. 

Kemudian, tiba-tiba sahaja DSAI mengumumkan yang beliau cukup mojoriti untuk menumbangkan kerajaan PN pimpinan TS Muhyiddin Mat Yassin. Riuh juga arena politik kerana itu. Penerimaan pelbagai. Antara percaya dan tidak. Namun, masa terus berputar. Dalam putaran masa itu, ada yang tidurnya tidak lena. Ada yang bangkit melenting. Ada yang bersenda menyindir. 

Hukum alam terus berlaku. Sikap saling percaya satu sama lain telah mula terhakis sejak peristiwa paling tadah yang berlaku. Peristiwa paling tadah yang menumbangkan juga kerajaan Syafie Apdal di Sabah, yang berakhir dengan PRN. Hari ini PRN itu diadakan.  Malam ini akan tahulah siapa yang akan mendirikan kerajaan. Siapapun yang tegak bertahta, ada untung ruginya. Tidaklah menang satu pihak maka malaikat datang berbondong-bondong merayakannya. 

Politik itu pelumbaan kuasa. Ia adalah satu perkara yang melibatkan persaingan taktik dan siasat. Pihak-pihak yang bergelut ada lebih dan kurang masing-masing. Tidaklah pementasan politik itu satupertarungan antara Tuhan dengan Azazil. Dua-dua pihak dalam seteru politik ada ketuhanannya dan keazazilannya masing-masing.

Selagi bernama manusia, itulah situasinya.

Monday, August 24, 2020

Parti anak Muda Syed Saddiq

 

Bukan memperkecilkan harapan dan wawasan seorang yang bernama Syed Saddiq. Dia memang seorang anak muda yang berani dan masih bersih daripada najis kebobrokan politik. Keputusannya untuk menubuhkan parti sendiri adalah langkah yang baik. Dia tidak perlu menyertai parti pejuang yang ditubuhkan oleh Tun M. 

Tapi, kenapa parti itu parti anak muda? Ya...Syed Saddiq baru berusia 27 tahun. Apa jadi nanti klau dia sudah berusia 57 tahun atau setidak-tidaknya 47 tahun. Bukankah pada waktu itu parti anak muda itu tidka lagi relevan buatnya?

Kecuali jika parti aanak muda itu mengalami rombakan untuk menjadikannya parti tua muda macam parti parti lain.


Parti mana pun, ada jatuh bangunnya. Eloklah mencuba nasib. Kalau kena caranya, sebuah partu baru akan mengambil tempat parti lama. 

Semuanya dalam aturan yang disusun oleh Allah SWT.

Saturday, August 08, 2020

TUN M DAN PARTI BARU

 Khabarnya (Sumber berita Portal-portal), Tun Dr. mahathir dan "geng" Bersatu Black yang dipimpinnya akan menubuhkan sebuah lagi parti baru. Ini kerana Parti Bersatu telah dikuasai oleh geng TS Muhyiddin bin M. Yassin. Cabaran terhadap pemecatannya yang dibawa ke mahkamah nampaknya tidak menampakkan hasil. Kelicikan berpolitik Tun Mahathir tidak dapat mengembalikannya ke posisi  sebagai pengerusi Bersatu.

Parti baru itu, katanya akan jadi kuasa ketiga. Macam king maker. Akan masuk pilihanraya dan bertanding di kerusi-kerusi. Jika menang, parti itu akan menyokong mana-mana pihak yang dirasakannya perlu. Ia tidak terikat kepada PN maupun PH. Tun Dr. Mahathir megatakan bahawa masalahnya dengan Anwar Ibrahim menyebabkan dia tidak boleh masuk dalam parti-parti Pakatan Harapan. Dia kena buat parti baru dan  meletakkan parti baru itu di luar gelanggang yang bergelut di dalamnya PN dan PH.

Usia Tun M sudah melebihi 95 tahun. Dalam usia itu, dia masih berhasrat menjana sebuah parti baru! Ini boleh masuk dalam "The Guinness Of Book". Seluruh dunia belum ada setandingnya. Kebanyakan politikus yang berada pada usia tersebut telah bersara daripada kegiatan aktif politik. Apa lagi memimpin penubuhan parti politik. Tapi, Tun M ini sungguh lain.

Tidak akan ada yang akan memberhentikan Tun M daripada minatnya berpolitik sehinggalah "almaut". Sepertinya, Tun M akan beraksi di pentas politik sehingga nafas terakhir. 

6 orang yang menjadi penyokong Tun M, kita tidak tahulah bagaimana kesudahannya pencak politik memreka. Apakah sokongan mereka kepada Tun M itu akan membawa mereka ke persada politik yang cerah buat mereka atau cuma sokongan membawa rebah. 

 

Kita sebagai penonton lagak politikus hanya akan tahu setelah berselang berberapa waktu. Pada semua kejadian ini ada pelajaran berguna buat kita. Pada perubahan rentak mainan politikus, kita boleh pelajari watak orang-orang  buat penceritaan kepada anak cucu.

Monday, August 03, 2020

Pilihanraya Negeri Sabah

Pilihanraya DUN Sabah akan berlaku, Insya Allah, tidak lama lagi. Kini UMNO dan Bersatu mula bergesel tentang pembahagian kerusi buat pihak masing-masing bertanding. Masing-masing mahu mendominasi jumlah kerusi. Di celah-celah perebutan kerusi dua parti Melayu itu, Pas sebagai rakan dalam blog PN tentu juga mengharapkan ada kerusi yang bakal dipertandingkannya. Dalam pilihanraya, isu kerusi untuk bertanding merupakan isu yang sangat rumit. Silap-silap, rakan dalam blog akan mengkhinati rakan sendiri. Lebih daripada itu, ia boleh membawa kepada musibah fatal, pecahnya kesepakatan.

Pembahagian kerusi adalah langkah awal kepada cerakinan kuasa. Selepas menang dalam pilihanraya pada kerusi yang dipertandingkan itu, akan amenyusul situasi yang lebih sukar selepas pilihanraya. Orang berpolitik memang gila. Gila kuasa. Kalau tidak gila kuasa, tidak payah menerjunkan diri ke kancah politik. Maka, gila kuasa bukan satu hal yang perlu dicela. Ia lumrah dan asam garam dunia politik.

Sesama UMNO sendiri adalah main wayang. Bung Mokhtar dan Musa Aman saling memandang dengan ekor mata. Musa Aman nampaknya masih mengimpikan balik semula ke posisi lamanya sebagai CM. Dua kali usahanya gagal, belum tentu dia berputus asa. Bukan mudah Bung  Mokhtar mahu menempati posisi itu walaupun dalam UMNO Sabah dialah big boss. Dari segi jawatan, dia pengerusi UMNO Sabah. namun, bayang-bayang Musa Aman masih menjadi hantu kubur yang bergentayangan.

Selama berkawan dengan UMNO, Pas akan tetap mennjadi melukut. Sekurang-kurangnya di Sabah. Memang sukar untuk melonjak di tengah pergelutan dinasor-dinasor politik Sabah yang sering bertukar celana. Walaupun Pas lebih berusia berbanding Bersatu, Bersatu nampaknya lebih berani menuntut kemahuan dan bernafsu.

Warisan akan mendepani pilihanraya negeri dengan lebih tenang berbanding gabungan UMNO-Bersatu-PBRS, PAS  dan Lain-lain. Kerencaman blog PN ini menyukarkan para ahli mesyuarat. Kenyataan luar yang kedengaran muluk dan berbasa-basi jangan mudah dipercayai. Kekadang, hiasan luar yang indah itu hanya cuba menutup kejelekan di dalam.

Saturday, August 01, 2020

Ubah sistem pilihanraya-Bertanding ikut parti

Isu MP atau ADUN melompat parti menjadi satu hal yang meresahkan. Hatta, ada yang memgakibatkan tumbangnya satu-satu kerajaan. Maka, yang melompat itu dicemuh dna dikatakan sebagai "katak politik". Apakah sebab  yang mendorongnya melompat, ada pelbagai faktor. Antaranya adalah sogokan. Manusia...bukan maksum. Bukan juga kebal daripada asakan nafsu ke atas kekayaan, harta maupun wang ringgit.

Inilah kejanggalan dalam sisitem demokrasi yang diamalkan di Malaysia dewasa ini. Sistem yang kita warisi sejak merdeka itu tidka menutup lubang kerosakan yang satu ini. Ia perlu diperbaiki. Tidaklah perlu menolak kaedah demikrasi secara total. Ia masih lebih baik berbanding sistem diktator atau kesultanan berkuasa mutlak.  Juga masih lebih baik berbanding sistem pewarisan tahta mengikut garis keturunan.

Saya punya cadangan!

Sistem pilihanraya perlu dirombak.  Mereka yang bertandiang dalam pilihanraya hendaklah hanya menjadi wakil parti.  Bukan bertindak atas kapasiti sendiri. Parti-parti yang masuk pilihanraya meletakkan "batu berat " sebagai calonnnya. Cuma calon yang berbentuk manusia mewakili batu itu. Verikan nama  pada batu itu. Batu P001. Lepas pilihanraya, katakan batu P001 itu dimemangi calon Zack daripara parti MN. Lalu, sampai pilihanraya umum akan datanglah parti MN pegang batu p001 itu.  Kalau Zack mati atau buat hal hingga dia dipecat oleh MN, maka MN boleh gantikan dengan ornag lain pula. MN boleh lantik pula Jef duduk atas batu itu.

Manusia boleh jadi katak tapi batu tak boleh. Batu berat untuk meloncat!

Cara ini boleh elakkan femomena jijik ahli yang berhormat berkelakuan hudoh menjelir-jelir lidah bak anjing  mencari tuan baru. Cara ini juga boleh memansuhkan PRK yang membazir dan sebenarnya tidka perlu pun. Hanya perlu buat PRU dalam tempoh 5 tahun sekali. Negara tidak disibukkan dengan PRK yang mengganngu perjalanan dan kemajuan negara.

Sistem pilihanraya kita kena diubah. Biarlah yang masuk bertanding guna tiket partinya. Yang tidak ada parti, boleh masuk pilihanraya sebagai calon bebas. Kalau katakan dia menang, dia nak masuk parti mana-mana, dia boleh bawa batunya itu. Batunya tidak diikat. Dia boleh masuk parti MN kalau dia mahu. Kalau MN terima dia. Atau nak masuk parti PH pun tak apa. Kalau ada banyak parti masuk berlawan, lepas pilihanraya beberapa parti bergabung, pun boleh. Tidak ada masalah.

Ahli parlimen dan Adun kena fikir cadangan ini. Dah naik mual kami rakyat melihat gelagat kalian yang menjadi penjilat najis dunia!



Friday, July 31, 2020

Hukum Relatif

Jika guna hukum relatif, tidak ada seorang pun boleh dikatakan zalim. Satu orang yang dihukum bersalah atas satu jenayah, ia relatif bersalah bagi sebilangan orang tetapi akan tetap ada yang menganggapnya tidak bersalah. Demikian sebaliknya, di kala mahkamah memutuskan seseorang tidak bersalah, akan tetap ada yang menganggapnya bersalah. Hukum relatif tidak akan menemui satu kesimpulan. Islam secara relatif benar di kalangan pengikutnya tetapi dilihat sesat di kalangan penentangnya.

Ketika DS Najib Tun Razak telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi, masih ada orang yang melihatnya tidak bersalah dan mengangapnya sebagai keputusan mahkamah di bawah pengaruh politik. Oleh kerana itu, bagui hukum relatif ini, tidak ada seorang pun yang boleh dibacakan ayat Al-Quran yang melarang "rukun" kepada orang zalim.

Allah melarang anda cenderung hati kepada orang zalim.  Namun ketika anda menyokong orang berdosa, bersalah dan penjenayah, anda boleh katakan bahawa orang itu tidak bersalah, tidak berdosa dan  bukan penjenayah. Biarlah mahkamah putuskan dia sebagai penjenayah, anda tetap mengatakan dia bukan penjenayah. Maka celaaan Allah agar jangan cenderung hati kepada orang zalim tidka boleh dipakaikan kepada anda.

Jika demikian, selamanya tidak ada orang yang boleh dibacakan ayat itu. Ia subjektif dan ia relatif.

Hadapi Sahaja PRN

Pembubaran DUN Sabah seharusnya disambut baik oleh semua pihak. Beberapa pihak di atas persada politik sebelum ini yang sering menyeru agar parlimen dibubarkan berikutan krisis politik dalam negara, sepatutnya tidak lagi ragu-ragu dengan keputusan DS Shafie Apdhal memohon pembubaran DUN Negeri Sabah. Jangan kerana merasakan peluang berkuasa sudah di depan mata, maka tindakan membubarkan DUN dilebelkan sebagai menjerumuskan rakyat dalam bahaya. Bahaya Covid19 dan resiko pembaziran wang negara!

Pembubaran DUN perlu didokong sebagai satu jalan penyelesaian kemelut politik yang tidak berkesudahan. Sejak PN mengambil alih kerajaan di peringkat persekutuan, kusut politik kian berserabut. Kegelisahan  sewaktu PH memerintah dulu rupanya tidak dapat diuraikan dengan menukarkannya kepada kerajaan baru. Kerajaan Melayu Islam sebagaimana yang dilebelkan.

Langkah nekad kerajaan negeri Sabah membubarkan DUN jangan diremehkan. Jangan diolok-olokan. Bukankah itu yang sering diharapkan. Sebagaimana yang diharapkan, Allah telah kabulkan. Sekarang setiap aktor politik perlu berentap sebagai anak jantan. Rebutlah dan yakinkan kepercayaan rakyat. Disitulah terpamer sifat jantan sebagai pemimpin. Sifat bacul yang selama ini bersimpul dapat dicairkan.  Mereka yang bersenda dengan undi rakyat akan tahulah untung nasibnya. Cubalah rebut kembali posisi yang sebelum ini mereka rangkul. Gunakanlah pengaruh sendiri.

Jangan omong yang bukan-bukan lagi. Hadapi PRN dengan yakin!

Thursday, July 30, 2020

Nyahlah Katak Politik

Pentas politik Malaysia berulat dengan "katak politik". Ahli Yang Berhormat itu telah banyak hilang kehormatan mereka. Dengan silau tawaran kuasa dan wang ringgit, mereka rela dianggap pengkhianat oleh rakan seperjuangan. Setelah berbuat khianat itu, mereka akan berhujah "demi rakyat" untuk melegitimasikan angkara durja mereka.

Ludah sahaja ucapan muluk membela rakyat yang diungkapkan oleh para katak politik itu. Mereka perlu ditongsampahkan oleh rakyat yang punya jatidiri pada hari membuang undi!

Thursday, July 23, 2020

Lukisan mural pemimpin yang dirosakkan

Perbuatan menconteng gambar pemimpin yang dihebohkan bebaru ini bukanlah hal yang sangat besar sampai sang penconteng itu perlu dianggap penjenayah. Ia samalah dengan perbuatan melukis itu sendiri.  Melukis  gambar pemimpin  atau orang lain yang bukan pemimpin  sekalipun, bukanlah amalan sakral yang diangkat tinggi pelakunya menurut persepsi agama. Kalaupun ia mahu dinilai, ia adalah luahan kreatif sang pengkarya. Samalah dengan tukang batu cincin yang banyak mempromosikan batu cincinnya di FB dan seumpamanya. Sama juga macam satu orang yang kayuh basikal nak keliling dunia atau satu orang yang dulu mahu jalan kaki dari KL ke Kedah kerana pasukan bola sepak pujaannya menang.

Semua amalan tersebut tidak perlu ditakdiskan. Jangan dikatakan amalan tersebut punya pahala istimewa di sisi Allah SWT.

Namun, merosakan hasil kerja orang lain memang salah. Sama salahnya satu orang muslim ekstrim yang pergi pecahkan patung dewa sesembahan di kuil mana-mana kepunyaan penganut agama Hindu. Kalau alasan orang yang merosakkan lukisan itu kerana tidak mahu ada berhala semacam tugu peringatan, maka mungkin niatnya itu baik. Tetapi caranya salah. Kalau kerana ia dipengaruhi sentimen politik, maka isunya adalah pergeseran politik yang memang sudah begitu sifatnya. Tidak dapat diubat lagi.

Pokoknya, tidak perlu kerja-kerja melukis gambar ornag di dinding awam ini. Ini kerja yang tidak  berfaedah dan tambah tak berfaedah kalau ada orang rosakkan kemudian kita sakit hati. Sedari awal, jangan buat kerja-kerja yang mungkin mendedahkana kepada masalah.

Itulah sebaiknya. Tidak perlu galak membuat mural wajah pemimpin kabilah. Buat sahaja mural gambar laut, hutan belantara atau langit biru. Yang demikian, kalau dilihat  menurut perbahasan ulama fekah, boleh juga berpahala.

Wednesday, July 08, 2020

Jangan biarkan politik menjadi enau

Buat apa menyimpam dendam
salah yang lalu biarlah padam
hilangkanlah riak wajah nan masam
barulah sirna mendung dan muram.

Sengketa politik jangan di pundak
kelak  diri akan diperbudak
oleh manusia beruji dedak
pamrih diri itulah yang mereka hendak.

Jangan berbenci sesama kawan
usah berperasangka sesama jiran
jangan buraikan hubungan taulan
kerana selisih antara lawan.

Sunday, June 28, 2020

Senja politik Tun kian berlabuh.

Nampak macam politik Tun Dr. Mahathir kian suram. Bila dia gagal mendapat sokongan PKR, khasnya DS Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri bagi kali ketiga, dia makin tidak keruan. Kenyataannya berbagai-bagai. Katanya dia ada sokongan. Dia mahu bantu Anwar jadi PM. Tapi sebelum itu tersebar juga kenyataannya bahawa Anwar tidak layak jadi PM sebab dia daripada parti berbilang kaum. Ada pula dia kata dia mahu putuskan hubungan dengan PKR dan  mahu bekerjasama dengan Amanah dan DAP.

Sehingga catatan ini dibuat, pecah berita  Tun M mahukan DS Shafie Apdal menjadi PM sementara Anwar jadi TPM 1 dan anaknya Mukhriz Mahathir jadi TPM 2.

Sudah tentu para penganilisis banyak tersenyuman sumbing dan geleng kepala mengenai zipzap politik Tun Mahathir ini. Bagi para penyokong Anwar Ibrahim, rumusan tuntas yang dibuat adalah bahawa Tun M itu sedang melakukan pelbagai upaya dan helah untuk mengekang Anwar daripada mendekati posisi kerusi PM.

Betapa berbasa basinya Tun M dalam mengutarakan harapannya untuk menjatuhkan kerajaan PN pimpinan TS Muhyiddin, dia tidak dapat menyembunyikan permainan politiknya.  Hatta Anwar Ibrahim dengan tegas menyeru agar politik tipu helah yang sedang dimainkan oleh Tun M itu perlu ditolak. Nampaknya jurang antara Tun M dengan Anwar Ibrahim kembali melebar setelah merapat beberapa waktu sebelum ini.

Satu hal yang rakyat perlu sedar, politik adalah sebuah seni permainan angkubah. Ia adalah satu pencak serba mungkin. Para aktornya tidak miskin cara. Namun, makida Allah mengatasi segalanya.

Friday, June 26, 2020

Takhalli, Tahalli dan Tajalli menuju kebahagiaan.

"Bagimu separuh daripada pusaka kebahagian jika kamu tidak menyimpan hasad kepada orang lain. Sekiranya kamu mendambakan kebaikan untuk orang lain, kamu mempusaki kebahagian yang sempurna".

-Kata Para Hukama

Memang sukar untuk membangunkan rasa bahagia dalam jiwa. Ada orang punya harta banyak, belum juga bahagia. Ada orang punya ramai peminat atau pengikut, pun belum juga bahagia. Pada saat-saat tertentu, sang pengemis atau geladangan itu lebih bahagia daripada orang yang menempati rumah besar terserga bak istana.

Justeru, ramuan kebahagian itu ialah bila hati tidka menyimpan dengki kepada orang lain. Banyak orang tidka bahagia kerana hatinya merasa cemburu, dengki, tidak puas hati dan khianat kepada orang lain. Buang penyakit ini, hati itu sedang menuju bahagia.

Jika hati itu mampu menanam hasrat kebaikan buat insan lain, yang mana akan mendorong empunyannya berbuat kebajikan kepada orang lain, maka inilah kesempurnaan kebahagia. Orang yang semacam ini telah jauh meninggalkan kedengkian dan hasad. Ditambah pula hati yang mahu berkebajikan.

Dalam ilmu tasawwuf, tahapan ini disebut sebagai Takhalli dan Tahalli.

Apabila telah melalui dua tahapan ini, akan dapatlah tahapan ketiga iaitu Tajalli.

Takhalli iaiitu mengosongkan hati daripada penyakit dengki. Tahalli iaitu menghiaskan hati dengan "mahu" kebaikan kepada insan lain. Tajalli iaitu zahirlah tanda-tanda kebagiaan pada diri sendiri.

Ameen ya rabbal alamin!

Thursday, June 18, 2020

Hakikat Hidup

Sesiapa yang mengamati kehidupan ini, dia akan melihat dalam kehidupan ini, kebaikan lebih banyak daripada kejahatan. Kesihatan lebih merata-rata berbanding penyakit.Kelazatan hidup lebih banyak daripada penderitaannya.  Keafiatan lebih besar berbanding bala bencana!
( Daripada kitab Syifaul 'Alil; Jil1 Ms 184; Ibn Qayyim Al-Jauziyyah)

Semalam, dapat berita, Isteri sahabaku Sukri Mat meninggal dunia. Namanya Mastura. Dulu masa di Sandakan, kami selalu bersama-sama dalam banyak aktiviti bersama. Kenangan-kenangan di Sandakan menjadi memori yang pedih boleh dikombinasikan dengan khabar kematian isterinya. Pada usia yang masih muda, di kala kehidupan baru mengakar untuk meneguk hasil jerih, kematian merenggut pergi kebahagian itu.

Isterinya dikatakan sakit kanser paru-paru. Awal tahun tahun ini mula dikesan dan pertengahan tahun menjadi korban. Oh...semoga Allah mengampuninya dna memberi kekuatan kepada sahabat Sukri Mat. Membesar anak-anak menjadi pewaris ibu dan menyalurkan pahala buatnya di alam baqa.

Apa pun gendalanya, kehidupan perlu diteruskan. Moga Ust Sukri Mat dapat menenggung cobaan ini dengan jiwa kental dan positif.

Wednesday, June 17, 2020

Sang Liberal itu

Sang Liberal itu
mungkin dia menyangka
negara ini sebuah negara di Tanah Eropah
atau negara Red Indian yang dijajah.

Dia lupakah bahawa ?
di sini dulunya tegak berdiri empayar Melaka
dengan Hukum Kanunnya.

Dia Lupakah bahawa?
Tanah ini dikat adat budaya bersemi agama.

Kelak matimu bergalang tanah
tidak kau tinggalkan kenangan indah buat warga
tanah bertuah ini....

Sunday, June 14, 2020

PERLANTIKAN ERIC PAULSEN PERLU DIBERI AMARAN BUKAN DIBANTAH.

Perlantikan Eric Paulsen sebagai  ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) merupakan satu tamparan hebat kepada perjuangan Islamis khususnya dalam Pas. Eric Paulsen telah menconteng arang di mukanya sebelum ini dengan komen-komen negatifnya yang mengguris hati ummat Islam. Ternyata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Saifuddin Abdullah tidak sensitif. Ketua Penerangan Pas, Kamaruzzaman Muhammad menyuarakan bantahan terhadap perlantikan tersebut.


Pas adalah parti "King Maker" dalam pembentukan kerajaan PN. Jika Pas mengambil keputusan menarik sokongannya, tumbanglah kerajaan PN. Sebarang pencerobohan kepada norma pemerintahan yang diinginkan Pas bukan sepatutnya dibantah. Sepatutnya diberi amaran keras oleh pimpinan bahkan kalau perlu hendaklah di"veto"kan.


"Membantah " adalah feel pembangkang. Ia tidak seharusnya ada pada Pas buat masa ini kerana kuasa ada di tangan.


Nampaknya, bukan senang nak buang mentaliti pembangkang. Yalah...berpuluh tahun jadi pembangkang, maka kekoklah untuk beraksi sebagai pemerintah.

Monday, June 08, 2020

Para pengurus agama, ayuhlah berpencak laju!

Negara luar, ada yang masjidnya sudah melaksanakan solat Jumaat. Indonesia sudah. Thailand lama lagi sudah. Umat Islam di Eropah, pun sudah mengerjakan solat Jumaat. Di Malaysia, kebenraran untuk 12 orang sahaja solat Jumaat diluluskan dalam 2 minggu terakhir ini. Semuanya mengikut SOP yang ditetapkan.

Aku tidada mood nak tulis panjang. Lontaran kali ini adalah, apa bezanya kebenaran 12 orang itu untuk solat Jumaat jika diluluskan di awal PKP dulu dengan sekarang? Apakah dengan SOP yang ditetapkan sekarang, solat Jumaat sepatutnya dibenarkan sejak hari mula PKP dilancarkan? Bahkan tiada perlu pun masjid ditutup dan solat jemaah serta Jumaat dilarang sebagaimana awal-awal dulu. Jika solat pada jumlah 12 orang itu dapat mengurangkan resiko penularan Convid 19, ia sudah sepatutnya menjadi pilihan sejak awal lagi.

Orang melihat pentadbiran agama di Malaysia perlahan berbanding sektor lain. Sektor Ekonomi khasnya, proaktif dalam menjaga kepentingan ekonomi. Namun, sektor agama lebih mengambil pendekatan tunggu dan lihat.  Banyak alasan dikemukakan lebih kepada berlindung di balik lalang sehelai.


KEBOBROKAN POLITIK DOMBA

Rasanya, para pelakun pentas politik Malaysia ini, tak ada yang jujur. Tak ada yang tulus. Depan para pengikut, lain bicaranya. Di belakang, ada wayang yang sedang diputarkan mereka sebagai Tok Dalang.Hatta, terdetik dalam hatiku, banyak-banyak kedustaan, dusta para ahli politiklah yang paling sarat dengan makar. Lebih baik aku hidup sebagai pengail ikan atau petani menarah teres bukit buat menanam benih pokok daripada menjadi pelacur politik. Hilang minatku untuk menulis tentang individu-individu politik itu.

Lihat sahaja apa yang terjadi dengan begitu drastik dalam beberapa bulan terakhir ini. Pengkhianatan terhadap rakan-rakan dalam politik begitu marak sekali. Kekuasaan dan berkuasa menjadi matlamat , tidak peduli bagaimana caranya. Cara bermaruah dan mengikut lunas-lunas yang diatur oleh leluhur atau tidak, tidak lagi menjadi pertimbangan.

Apabila sudah berkuasa pula, posisi yang memberikan pulangan pamrih dunia menjadi rebutan. Ghanimah menjadi kek-kek murahan yang dibahagi-bahagikan.

Cendikia pun hilang bijaksana.
Ulama pun telah menjadi donia.
Ornag ikhlas

Sunday, March 29, 2020

AGENDA ILUMINATI?

Jumlah kes Covid-19 yang disahkan di seluruh dunia terus meningkat kepada lebih 601,478 pada Sabtu, menyaksikan 177 negara dan wilayah terjejas manakala 27,862 nyawa menjadi korban.

Sementara itu, 131,777 lagi pesakit pulih, menurut Johns Hopkins University lapor agensi berita Anadolu.

Itali, Sepanyol, China dan Iran terus menjadi negara paling banyak kes kematian manakala Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah kes tertinggi hampir 105,000, dengan 1,711 kematian.

Itali merekodkan korban paling ramai 9,134 orang dengan 86,500 kes manakala Sepanyol 5,138 kematian, lebih 65,700 dijangkiti.

China yang merupakan tempat virus itu mula dikesan mencatat 3,296 kematian dan kes disahkan sebanyak 82,000.

Angka korban di Iran pula mencecah 2,378 orang manakala kes disahkan melebihi 32,300. 


Masa CONVID19 mula ditemui, ada penceramah agama membuat teori bahawa CONVID 19 adalah agenda illuminati. Mereka mencipta virus dan menyebarkannya serata dunia. Timbullah teori konspirasi mengnainya. 

Ada Pak Ustaz terlalu cepat membuat teori. Teori semua orang boleh buat. Tidak perlu r&d apa-apa. Mamat tak lulus SPM yang suka lepak di kedai kopi pun boleh buat teori macam-macam. Teori tak kena bayar. Modalnya khayal dan cerita. Imaginasi dan air liur sahaja.

Kini kita lihat, kalau ilminati punya agenda di sebalik semua ini, Amerika merupakan negara terbesar mendapat musibah. Bernama melaporkan jumlah kesnya adalah 105,000! Setakat catatan ini dibuat di Malaysia jumlah kesnya baru melibihi 2000. Jauh beza dengan jumlah kes di Amerika. Kenapa Ilminati serang negara tempat iluminati itu?

Janganlah semua perkara mahu dikaitkan dengan konspirasi iluminati. Seolah-oleh Iluminati membayangi semua pergerakan di dunia.

Ingatlah, Allah yang berkuasa dan perjalanan alam semesta ini dilakar oleh Allah SWT , bukan iluminati.

Friday, March 13, 2020

Kuasa mengubah cara ahli politik.

Pernah dulu, saya berbincang-bincang dengan seorang teman sekampung tentang hal ehwal politik. Temanku ini sangat marah dengan perkembanngan politik pada masa itu yang memperlihatkan keberanian menteri-menteri Cina. Senag cerita , menteri DAPlah. Kata kawanku ini, menteri Melayu yang ada, tiada telur. Tidak berani membela agama dan bangsa!

Aku berfikir tentang apa yang dia katakan itu. Mungkin ada benarnya. Tapi aku cuba memberi excuse (pertimbangan) buat para menteri Melayu itu. Kataku, memang bila jadi menteri yang memegang kerajaan, begitulah caranya. Masa jadi pembangkang, cakap ikut sedap dan tak payah fikir apa resikonya. Jadi menteri , setiap buah katanya akan mencanai hubungan kaum, budaya Malaysia dan tatakerama bernegara. 

Masa itu kawanku itu tidak berapa boleh terima. Padanya, berkatalah benar walaupun pahit. Membujur lalu melintang patah. Dalam isu jawi, tak payah ada ada kompromi. Tak perlu bincang. Ini negara kita dan kita berhak laksanakan dasar apa yang kita mahu. Dong Zong pertubuhan yang wajib diharamkan. Tidak perlu lagi bawa bincang. Para menteri waktu itu bodoh dan lemah. 

Aku kata menteri bukan macam kita. Kita boleh sembur sahaja. Mereka kena fikir banyak perkara. Mereka arkitek negara. Mereka bukan anai-anai macam kita.

Apa yang aku katakan boleh dilihat hari ini. Menteri baru yang dilantik dewasa ini, ada sejarah keras dalam kata-kata dan idea-idea mereka yang ekstrem. Apakah semua yang diucapkan masa jadi pembangkang akan dapat direalisasikan? 

Aku boleh maafkan kerana kalau aku sendiripun jadi menteri, lain yang perlu aku buat berbanding masa sebelum jadi menteri.Menteri kena jaga batu bata negara.  Sebab itu jangan terkesima kalau ada menteri kata ' kita akan bincang dengan Dong Zong pasal isu Jawi". Lembut pula bunyinya.  Jangan terkejut beruk kalau ada kata "syarikat penerbangan dicadangkan agar membenarkan pramugarinya berpakaian menutup aurat". Kenapa dicadangkan pula? Arahkan sahaja. Bukankah kuasa sudah dalam tangan?

Kita akan jumpa dan dengar ungkapan lunak dan berbasa basi yang merimaskan.  Kita mungkin menggetap gigi dan bibir kerana geram. Tapi sabarlah. Kita bukan mendapat para nabi atau malaikat yang menjadi gembala kita.

Ini semua hukum politik. Nak berpolitik kena cerdik. Orang tak cerdik tak payah main politik. Politik juga kena ada banyak comouflage. Cakap tak serupa bikin, lain dulu lain sekarang, telunjuk lurus kelingkin berkait adalah alat-alat politik yang tidak dapat dilarikan  diri daripadanya.

Kecuali....

Kecuali orang diberi rahmat oleh Allah dalam medan politik.