CARI BAHAN

Showing posts with label Nasihat. Show all posts
Showing posts with label Nasihat. Show all posts

Wednesday, May 13, 2026

Ana maafkan semua yang menghina saya

 Kita kerap dengar ungkapan ini keluar daripala mulut oorang yang dikenali sebagai ustaz atau tokoh agama. Dengan mengucapkan kata-kata seperti ini, dia meletakkan dirinya sebagai pihak yang memberi, sesuai dengan maksud hadis "tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima". Kalam yang semacam ini , jika diamati, ia mengandungi satu keujuban yang meletakkan diri suci dan bersih. Padahal Allah melaraang orang beriman daripada mensucikan diri. Firman Allah SWT:

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ

" maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Allah yang maha tahu siapa kalangan kamu yang paling bertakwa".

Terusterang, sikap suka minta maaf ini payah dilaksanakan, terutama kalangan ustaz dan ahli agama yang merupakan orang yang banyak bercakap dan bersyarah kepada khalayak. Ramai ustaz atau agamawan, kalau salah dalam bercakap, mengambil sikap berdiam diri dan tidak melayan kritikan orang. Ia mahu menjadikan masa yang berlalu selepas ucapannya , orang melupakan kesalahannya. Dia tidak perlu meminta maaf yang pada hematnya akan menjatuhkan harkatnya sebagai ustaz dan ikutan dalam masyarakat.

Berat untuk minta maaf , sesungguhnya adalah satu sifat mazmumah. ia samalah dengan orang yang susah untuk beristigfar memohon ampun kepada Allah. Dalam banyak keadaan, istighfar kepada Allah itu lebih mudah. Namun minta maaf kepada manusia lain, itu amat payah.

Bila diungkapkan kata "saya maaf anda semua!", itu sangat ironik. Bila orang minta maad kepada yang memberi maaf itu. Orang rtk minta, tapi diberikan. Umpamanya beri sedekah kepada oorang yang tak mengharapkan. Boleh jadi orang sudah kaya dan berkecukupan. Maka orang tak meminta-minta lagi. Lalu, apa faedahnya berikan sedekah kepada orang yang sudah berkecukupan dan tak mengharapkan seekah?

Macam beri maaf kepada orang yang tak minta maaf. Apa faedahnya. Bahkan, di mata orang, sang pemberi maaf itulah yang salah Dia paut minta maaf dan orang lain akan mempertimbangkan samada untuk maafkan atau tidak. Biasanya, hati manusia jadi lembut bila orang minta maaf. kemaafan akan diberi. Tapi, kalau tak mahu minta maaf, orang melihat kesombongan dan ujub  yang bersarang.

Dalam pengalaman dan pengamatanku, ada seorang ustaz yang kerap buat khilaf dalam kata-kata. Aku pun tak berkenaan dengan kesalahannya itu. Namun bila ramai orang mengkritiknya dan menyatakan kesalahannya, ditegakkan hujjah buatnya, dia tampil minta maaf. Ini nilai yang sangat bagus. Ini akhlak yang patut diteladani. Ustaz  yang aku maksudkan itu adalah Ust Syeikh Zinul Asri, pengasas DARSA. Dia bagus dalam soal minta maaf. 

Perangai ini payah nak dilihat sekalipun di kalangan ustaz-ustaz yang memperjuangkan sunnah.  Kita patut ambil pelajaran daripada nilai mulia ini. Ingatlah, martabat seorang ustaz tidak jatuh terseungkur dengan unkapan "SAYA MINTA MAAF, SAYA AKUI KESILAPAN SAYA!".


Saturday, March 14, 2026

Wahai pendakwah...berpadalah!

Kita diajar agar jangan taksub kepada seseorang. Kalau mahu taksub juga, biarlah hanya kepada yang maksum. Tentunya manusia yang maksum itu hanyalah para Nabi. Taksublah kepada Nabi semahumu kerana ia membawa maksud taksub kepada Tuhan, kepada Allah SWT. Para Nabi itu ialah utusan Allah dan mereka tidak bertindak serta berbicara melainkan menurut wahyu Allah SWT.

Aku telah menyaksikan ramai orang yang mulanya nampak baik, jernih dan ikhlas, kemudian pecah tembelang. Ternyata, apa yang dilihat sebelumnya tidak menggambarkan hakikat sebenar. Rupanya ada udang di sebalik batu, telunjuk lurus kelingking berkait. Para pendokong orang itu, jika taksub, payahlah untuk nampak kepincangan yang berlaku. Jika tidak taksub, dengan mudah boleh menarik diri daripada mendokong dan memberi sokongan.

Dewasa ini kita perlu berhati-hati. Musim hujan menyebabkan bermunculan pelbagai macam kulat. Rumput dan lalang juga mencuat berlumba-lumba ke atas. Semak dan samun segera menguasai ruang.

Kebebasan dalam media sosial, ditambah pula dengan kelonggaran dalam penguatkuasaan berikutan sedikit reformasi yang dilaksanakan pemerintah, menyebabkan bermunculan para pendekar yang menunjukkan pencak mereka dalam agama, bangsa dan negara. Tidak ada lagi ISA yang menghantui. Akta Hasutan pula tidak cukup ampuh untuk mengekang. Justeru, banyaklah yang melempar batu sembunyi tangan. Banyaklah yang merobos dan menyerbu hal-hal yang mengundang efek kekacauan serta membakar api emosi, termasuk antara kaum dan agama.

Ini menarik para pentaksub yang menggenggam penumbuk ke udara sebagai tanda sokongan. Para penggalak semangat pula menyeringai atas keberhasilan menjadi pendekar massa. Selain jasadnya berligar di medan, jemarinya juga lincah mengetuk papan kekunci. Dia mengumpan dan membakar emosi.

Ingatlah… Nabi kita berpesan:

“فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ”

“Katakan yang baik-baik atau diam sahaja.”

Orang yang diam itu lebih baik daripada berbuih mulut berceramah tanpa tapisan. Kalau tidak dapat mengawal diri, ambillah kertas dan tulislah dalam buku sahaja. Bina manuskrip yang kelak boleh menjadi buku. Manuskrip akan disimpan dan mencapai kematangan seiring peredaran masa. Jika nantinya manuskrip itu mengandungi isi yang salah, ia masih boleh diubah, dipadam dan dibetulkan.

Menulis atau bercakap di media sosial — sekali terluah, tidak dapat ditarik balik.

Saturday, December 03, 2022

Beriktisadlah dalam menulis di media sosial

 Ramai orang sangat boros. Boros dalam membelanjakan tulisannya di media sosial  ke jalan yang menempah defisit pahala di akhirat. Jika dibaca tulisan mereka , tidaklah nampak menurut citra agama atau akal waras sekalipun, menyuburkan pahala. Tidak mungkinlah Allah SWT sebagai Tuhan yang menganugrahkan pahala dan membalas dosa , akan mengurniakan pahala buat tulisan yang berbaur kebencian, perlecehan, menjatuhkan maruah, adu domba dan umpat keji. Tak mungkin!

Samada mereka yang suka membuat tulisan sedemikian merasakan ia berpahala atau gagal menahan diri sendiri. Jika disangka berpahala, nyatalah bahawa tahap kefahaman agama mereka berada pada tahap yang rendah. Kalau gagal menahan diri, itu tandanya kelemahan diri dan menjadi dalil bahawa diri tidaklah lebih baik daripada orang yang dinistakan.

Mungkin mata-mata yang membuat tulisan sedemikian tidak putus memerhati berapa banyak "like" yang diperolehinya. Alangkah seronaknya kalau like menjadi ribu riban. Dirasakanlah bahawa dia hebat di media sosial. Dia jaguh dalam menjadi influencer di tiktok, insta, FB dan sebagainya. Namun,  satu hal yang dia lupa, dia bakalan muflis di akhirat sana!

Banyaklah berdiam diri dewasa ini. Mungkin kita tidak mampu menghalang diri daripada membaca dan mendengar segala tulisan dan ocehan di media sosial. Namun, berjaya menahan diri dari membuat komen atau mengongsikannya, itu adalah kekuatan yang yang menguntungkan khirat anda.

Nilailah hamburan dan semburan anda, apakah ia berdosa atau berpahala. Tepuk dada tanya iman!


Friday, October 12, 2018

TAHAN DIRI, KEPUNGLAH PAHALA SENDIRI.

Jika anda marah seseorang, elakkan mencelanya di FB. Anda Marahlah dalam kereta waktu memandu seorang diri. Celalah dia waktu anda dalam bilik tidur seorang diri. Celalah, umpat dan sumpahlah semahumu. Jika ia dosa, ruang legar dosanya tidak seberapa. Berbanding anda marah dia dalam FB. Anda cela dan cemuhnya dalam FB. Gelanggang tempatnya mengamuk besar sekali. Ufuk timur dan barat pun bukan batasnya.

Kalau anda sabar dan tidak mengeluarkan cemuhan, itulah yang paling mulia. Namun, kebanyakan kita tak mampu. Gejolak dalam jiwa jarang dapat dibendung. Ia tetap mahu melimpah dan membuak.


Lalu, jangan buatkan limpahannya menjadi banjir. Malang kalau jadi tsunami. Berfikir berkali-kali sebelum mengangkat diri menjadi syattan atau lammam. Amat besar kerugiannya. Amat tragis penyesalannya di kemudian hari. Hari diperhitungkan pahala sendiri buat membayar harga murah huruf-huruf atau liur yang ditumpahkan.

Banyak benar aksi yang memagut amarah kita. Tidak cukup jemari tangan untuk menaip. Kalau bisa dengan jemari kaki sekali. Itupun tak cukup lagi.Yang bersiponggang dalam hati lebih meriah daripada yang mampu dicercakan.

Selama mana ia bersenandung di dalam sana, ia tidak mengguris amal anda. Seringkali, yang kita rasa berpahala, ianya hanyalah kumbahan dosa. Apatah lagi yang memang kitapun melihatnya sebagai ceracak dosa. Ia akan menjadi beban-beban gunung sengsara di hari muka.

Wednesday, October 28, 2015

TUJUH PERKARA

Kata seorang hukama:

" Sesiapa yang beramal dengan tujuh perkara tanpa disertakan dengan tujuh yang lain, tiada faedah amalannya itu iaitu:

1) Beramal dengan TAKUT kepada Allah tetapi tiada HAZAR terhadap azab Allah.
2) Beramal dengan ROJA' iaitu harap tetapi tidak disertakan dengan TOLAB iaitu amal soleh.
3) Beramal dengan NIAT tetapi tiada QASAD
4)Beramal dengan DOA tetapi tiada JIHAD.
5) Beramal dengan ISTIGHFAR tetapi tiada NADAM (sesal)
6) Beramal secara terang tetapi tidak dalam keadaan sunyi.
7) Beramal dengan sunguh-sunguh tetapi tiada IKHLAS.

Wednesday, June 10, 2015

Kilas menyelamatkan diri






Dia pukul aku tapi dia yang menangis. Dia mendahului aku tapi dia yang mengadu (dianiaya).


Kata-kata di atas adalah sebuah misalan yang berasal dari Syria. Maksudnya misalan tersebut ialah seseorang menjadi punca satu masalah, tetapi akhirnya dituduh orang lain yang menjadi puncanya. Kesalahan diri tidak diakui tetapi orang lain yang disalahkan.Ketika berlaku masalah akibat kelancangan diri, maka telunjuk pun dituding kepada orang lain.

Misalan ini mengajar kita supaya jangan asyik menyalahkan orang. Orang mulia ialah mengaku salah dan meminta maaf. Bukan mengkambinghitamkan orang lain. Setelah melempar batu, jangan sembunyi tangan. Setelah conteng dinding jangan cuci tangan dan kemudian buat tak tahu. Ini bukan sifat orang mulia.

Orang mulia suka mengaku salah dan minta maaf. Minta maaf tidak jatuhkan martabat diri. Akan tetapi berperangai seperti dalam misalan di atas itulah yang menjatuhkan martabat diri.

Membalas kebodohan dengan kebijakan.

Kata ahli hikmah, jadilah seperti pokok yang berbuah. Orang lempar kayu, dibalasnya dengan buah. Jangan jadi seperti dinding, bola dibaling ke arahnya, dilantunkannya kembali.Ertinya kebiadapan dibalas dengan kesantunan. Dalam Quran pun mengajar hal yang sama. Ketika diterangkan hak untuk membalas perbuatan orang yang menzalimi kita dengan tindakan yang sama, Allah memberikan pilihan yang lebih baik daripada pembalasan. Itulah Al-Afwu iaitu kemaafan.


Memang fikiran kita telah pun sarat dengan hikmah pujangga yang sedemikian. Tinggal lagi apakah mampu kita laksanakannya.

Kerana emosi, kita gagal menegakkan kebijakan yang disarankan. Kalau orang tampar kita, kita pun melatah dan tampar dia balik. Kita pun dengan dengan bangga akan berkata: "Jangan main-main denganku. Bukan kamu sahaja ada tapak tangan. Aku pun ada". Bahkan, kekadang kita membalas dua kali tamparan atas satu tamparan yang kita dapat.

Sebenarnya, kita tidak dapat mengalahkan manusia lain dengan cara itu. Kalau pun cara membalas dengan tindakan serupa itu dibolehkan, ia sepatutnya menjadi pilihan terakhir setelah semua jalan dan kebijakan telah terkunci rapat.

Sunday, June 07, 2015

Jagalah harkat waktu musibah

 
 
Biar aku beri sedikit nasihat
bagi yang punya lidah malaikat
bila bicara biarlah berhemat
tutur dan tulis peliharalah harkat.

Nabi mulia telah beri ingat
kalau melawat orang sakit tenat
jangan cakap yang menambah gawat
jangan tambah sakarat di atas sakarat.

Ucap yang baik berikan ketenangan
berikan harapan umur dilanjutkan
jangan dikata habislah tuan
sudah datang tanda kematian.

Miski anda melihat tanda
si sakit sudah hampir ajalnya
patah hidungnya layu telinganya
sejuk kakinya pendek nafasnya

Janganlah anda tambahkan gundah
walau si sakit tak dengar sudah
kaum keluarga mendengar madah
kelak mereka berhati susah.

Biarlah aku berikan sedikit nasihat
bagi mereka yang punya lidah malaikat
di kala melihat bencana musibat
janganlah dibaca ayat kifarat.

Ketika kampung halaman musnah
ladang dan ternak banyak punah
jiwa warga sedang patah
datanglah sambil tunduk ke bawah.

Usah datang bawa ingat
waktu orang perlukan pengat
masa lain di lain tempat
bacalah ayat semua yang diingat.

Ilmu di dada biar dipimpin siasat
lihat suasana dengan makrifat
tidak semua yang namanya hakikat
diberitahu orang di semua tempat.

Jangan ditambah garam atas luka
ketika fitnah masih bermaharajalela
baru selesai perang saudara
belum sembuh semua luka.

Friday, May 29, 2015

Jangan buang orang cerdik

Organisasi akan menjadi hebat jika ramai orang cerdik yang menggerakkannya. 

Begitulah perkembangan Pas dewasa ini. Ada kerja-kerja dunggu sedang dilakukan oleh sesetengah orang untuk menyaring keluar orang-ornag cerdik daripada berperanan dalam Pas. Kononnya, si fulan itu anti-ulama, sekular, liberal dan gelaran-gelaran lain seumpamanya. Maka dengan itu si fulan itu perlu di keluarkan daripada organisasi kerana dia merosakkan organisasi. Seseorang yang layak duduk dalam saf pimpinan organisasi  ialah seorang yang membawa wajah ulama dan yang berkata " saya bersama ulama". 

Orang cerdik, jika disingkirkan, lemahlah organisasi. Kebanyakan orang yang dipanggil ustaz dan kemudian dipakaikan mahkota gelaran ulama bukanlah orang yang cemerlang semasa pengajiannya sama ada di peringkat Ibtida'i dan Tsanawi. Sedikit pula yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading. Bukan semua, tetapi ramai.

Aku seorang yang dibesarkan dalam aliran agama. Bila keluar Universiti, aku keluar sebagai lulusan agama. Kalau aku tidka jujur, aku akan bela sahaja angkatan yang sealiran denganku. namun, hakikat yang kusaksikan, sejak zaman sekolah menengahku ibu bapa mengirimkan anak-anak pintar mereka ke sekolah berasramaq penuh, kolej, MRSM dan sebagainya. Anak-anak tak cerdik dihantar ke sekolah agama untuk dipulas dan dikilas oleh pak ustaz agar menjadi manusia yang berguna. 

Begitulah senarionya. Bila sudah dewasa, berlakulah pertembungan antara generasi yang ada gen cerdik dengan yang kurnag cerdik.


Tuesday, December 23, 2014

Salah kita.

Banjir yang menenggelamkan sebahagian negeri menimbulkan tandatanya. Apa salah kami? Tentu bukan fenomena alam semata-mata. Pasti ada teguran dari langit. Tapi, apa salah kami?

Bukan salah mereka. Ini adalah salah kami belaka. Tapi apa? Sungguh musykil dalam dada.

Wahai Tuhan...

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا

Tentu semua ini bukan percuma. Pasti ada makna. Marilah setiap kita bermuhasabah saksama.

Jangan tuding jari kepada yang lain. Siapa tahu, ada teguran buat kita. Kita yang alpa.

Thursday, October 16, 2014

Akhlak dalam meninta ulas peristiwa.


Akhlak juga dinilai dari segi bahasa ucapan. Termasuklah bahasa tulisan. Bercakap ikut sedap mulut melambangkan rendahnya akhlak. Begitu juga menulis sesedap rasa, ia adalah lambang rendahnya akhlak seseorang. Ketinggian akhlak menjadi terlebih penting di kala seseorang itu mengaku memperjuangkan Islam.

Elok tidak perlu berbelit-belit. Saya bukanlah berakhlak malaikat. Namun, membaca beberapa komen yang dilepaskan ke laman sosial oleh beberapa individu, berkaitan pengisytiharan keluarnya Tamrin Tun Ghafar daripada Pas, persoalan akhlak dalam patah bicara menjadi hal yang meruncingkan.

Berundurnya Tamrin daripada Pas diulas dengan sinis oleh para pejuang tandus akhlak. Menyifatkannya sebagai tidak ada tarbiah, datang tidak diundang dan boleh pergi bila sudah tidak boleh ikut rentak, dia cuma bekas UMNO dan sebagainya, adalah reaksi-reaksi yang tidak sepatutnya diungkap para pembela Islam.

Sepatutnya perlu muhasabah diri. Cari kesilapan diri dan bukan menelah kesilapannya. Apatah lagi menyifatkannya dengan kata-kata yang merendahkannya. Kalau tidak mampu memuhasabah diri, lebih baik diam tanpa sebarang komen. Orang ramai akan memerhati bagaimana kita berbicara.

Perjuangan tanpa akhlak dalam bicara dan asyik bersangka buruk kepada orang hanya akan menambah jauh dari nusrah Allah. Marilah kita memeriksa penyakit apa yang menanahi kita sehingga burung dalam genggaman menggelepar terbang pergi.

Jangan terlalu mentazkiah diri.

Friday, October 03, 2014

Dyana, Rara dan Melati.

Memang luar biasa tiga gadis Melayu itu masuk DAP. Ultra Melayu sudah tentu mendengus marah. Sebab itu ada yang kata macam-macam kepada mereka, termasuk menyifatkan sebagai pelacur politik yang ditunggani DAP. Ultra Islamis  pun teragak-agak antara kaget dan kehairanan. Terutama mengenai Melati, wanita yang berpurdah menyertai DAP.

Mengapa 3 gadis itu menyertai DAP? Mengapa? Mungkin pertanyaan itu bersiponggang dalam benak?

Baik tidak perlu tanya mengapa mereka menyertai DAP. Tanyalah kenapa mereka tidak menyertai kami? UMNO, PKR dan Pas, tanyalah diri sendiri, mengapa 3 kuntum dara itu tidak menyertai mereka sebagai parti yang ada warna Melayu dan Islam.

Dari situ baru muhasabah diri.  Itu lebih baik daripada memuhasabah orang. Mungkin diri berbau busuk sebab itu tiga dara itu memilih tempat lain untuk berteduh. Kalau sudah pasti diri wangi sewangi-wanginya, tetapi 3 dara itu masih memilih DAP, barulah mungkin tiga dara itu tak suka bau wangi dan suka bau yang busuk.

Mari periksa diri, dosa apa yang kita lakukan kelmarin!

Sunday, September 07, 2014

Siapa bersalut noda?

Kata-kata bukan lambang kesucian. Seorang mujrim boleh berbahasa wali. Sedang wali pernah dilihat sebagai orang hina dalam masyarakat. Dalam hati siapa tahu. Walau penampilan mempesona, ia bukan gambaran kesucian jiwa. Seseorang yang sering mencela insan lain, itulah petanda ada palit noda dalam hati. Hati yang berpalit noda, lambat laun akan menerbitkan amal durja. Hanya menunggu masa.

Kerana itu Allah memperingatkan, buat orang beriman khsusnya, jangan "sok suci".

فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى

" Jangan menganggap dirimu suci, Dia (Allah) lebih tahu siapa yang lebih bertakwa".
(Surah An-Najm: Ayat 32)

Fitnah merasa diri suci, terbaik, selamat, unggul serta bermacam-macam keujuban diri, paling mudah menjangkiti orang-orang yang merasakan dirinya ulama. Ulama dalam gerakan paling berbahaya. Ini kerana mereka sentiasa beraksi mendakwah manusia. Kerana sibuk mendakwah manusia, terlupa mendakwah diri sendiri. Sibuk menggilap telupa diri perlu digilap.

Lantas, ketika keluar perkataan bahawa "sipolan" itu berbahaya. "Sipolan" itu munafiq, parasit dan pelbagai persepsi negatif, maka awaslah. Itulah ketikanya kelibat "ananiyyah" yang menyalutkan noda di hati sedang beraksi.

Malang sekali jika hal demikian berlaku dalam derap langkah membangun "taifah mansurah". Kenapa harus dipecah-pecahkan batu bata jemaah kepada kelompok ulama dan profesional? Sejak bila agama mengenal pelebelan ini? Sedang semuanya adalah batu bata hitam putih perjuangan yang tidak dikastakan. Dewan-dewan bukanlah dibina untuk menkastakan soldadu, tetapi untuk melestarikan kerja yang berpadu.

Thursday, July 04, 2013

Tela'ah Sunnatullah Tenangkan Gundah

Saya mengerti kegundahan hati kamu wahai sabahat. Umur kerajaan Mesir pimpinan Mursi masih sangat pendek sebelum datang bencana coup d'état oleh tentera Mesir. Harapan yang sedang berbunga, tiba-tiba layu tidak bermaya. Bukan sedikit manusia seluruh dunia yang menyimpan harapan buat Mursi mengembalikan kegemilangan Mesir yang bersejarah. Namun, nampaknya sesuatu yang hebat jalan berganda-ganda payah.

Namun, memang demikian sunnatullah. Perjuangan itu satu sangat payah. Apa yang kita bicarakan di Malaysia ini barangkali sekelumit cuma daripada apa yang telah dipugar dan dikobarkan di Mesir bumi yang bertuah. Korban pewaris semangat nabi Musa dan kebijaksanaan Amru bin Al-Ass di Mesir bukan alang kepalang. Jemari tangan dan kaki sudah tidak mampu menjadi alat pembilang lagi.

Dulu, sebelum nabi Yusuf berkuasa di Mesir, petualang penjajah Romawi menghisap kekayaan Mesir. Qibti bukan apa-apa walau bumi tumpah darah sendiri yang dipijak. Nabi Yusuf yang dikatakan mengangkat harkat peribumi. Maka, hasil pengorbanan nabi Yusuf, dapat bangsa Bani Israel menumpang tuah. Namun, di kala Firaun mengambil kekuasaan, Bani Israel menjadi hamba suruhan.

Allah tumbangkan Firaun. Pelbagai kuasa bertukar ganti di Mesir. Yang datang menjarah dan kemudian pergi atau dipaksa pergi. Berapa tahun pun masa berkuasa, tentap ada hujungnya.

Mubarak sahaja berkuasa sekitar 30 tahun. Pendahulunya juga punya dosa yang serupa. Kezaliman mereka ke atas pemuda-pemuda Ikhwan bukan lagi rahsia.  Tetapi, kekuasaan mereka tetap ada akhirnya. Memerintah 30 tahun bukan satu tempoh masa yang panjang buat Mubarak. Memerintah hanya 2 tahun buat Mursi bukanlah satu masa yang pendek buat para fulul yang gelisah itu.

Allamah Iqbal pernah bermadah:



Umur bukan hitungan tahun,
Hidup bukan bilangan masa.
Sehari hidup singa di rimba,
Seribu tahun hitungan domba.
 Usah tenggelam dan karam dalam kesedihan wahai sahabat.  Memang sudah sunnatullah begitu. Allah menciptakan pusingan roda dalam negeri untuk menjadikan tanah subur dalam negeri menumbuhkan bunga mekar yang akan mengharumkan syurgawi. Mungkin kita menderita kerana kehilangan sebuah kerajaan harapan buat ummat. Tetapi, penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang benci melihat fajar Islam bersinar itu adalah lebih parah. Derita kita berbayar pahala sedang derita mereka menambah sengsara.

Setelah tersengguk seketika dalam rasa terpukul, kita kembali sedar dan berserah serta yakin dengan seni takdir Allah SWT. Jangan terpedaya dengan kembalinya berkuasa soldadu syaitan kerana itu hanyalah sebuah "ghurur".

Allah berfirman:



مَا يُجَادِلُ فِي آيَاتِ اللَّهِ إِلاَّ الَّذِينَ كَفَرُوا فَلا يَغْرُرْكَ تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلادِ

Tidak ada yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir. Karena itu janganlah kamu terpedaya kerana melihat mereka berulang-lang menjarah di dalam negeri.


كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَالْأَحْزَابُ مِن بَعْدِهِمْ وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ لِيَأْخُذُوهُ وَجَادَلُوا بِالْبَاطِلِ لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ فَأَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ


Sebelum mereka, kaum Nuh dan golongan-golongan yang bersekutu sesudah mereka telah mendustakan (rasul) dan tiap-tiap umat Telah merencanakan makar terhadap Rasul mereka untuk menawannya dan mereka membantah dengan (alasan) yang batil untuk melenyapkan kebenaran dengan yang batil itu. Karena itu Aku azab mereka. Maka betapa (pedihnya) azab-Ku?


(Surah Ghafir: Ayat 4-5)


Menela'ah jatuh bangun soldadu kesyaitanan sepanjang zaman memberikan kita ketenangan. Ia menghilangkan duka nestapa dan mengembalikan semula ke persada perjuangan dengan siasat baru dan seni lenggok silat perjuangan yang lebih kekar. Insya Allah, sebelum puas sang algojo menghirup selesa keberhasilannya, akan datang pusingan ke atasnya.



Thursday, May 09, 2013

MASA BELUM TERLAMBAT

Masih ada jalan untuk kembali ke pangkal selagi mana anda mahu kembali. Jika anda sendiri memilih untuk tidak kembali dan menamatkan riwayat anda dengan apa yang anda fikirkan, apa yang anda lakukan, maka itulah  khatimah yang anda lakar. Telah kita saksikan tokoh-tokoh hebat dalam negara mencari jalan pulang. Alhamdulillah, kita tidak pernah mengatakan tidak kepada setiap hamba yang menginsafi kesilapan masa lalu. KIta menjulang tinggi konsep Islam sebagai rahmatan lil 'alamin. Apabila sinar hidayah telah menyentuh hati seseorang, maka tidak ada sesiapa yang punya hak untuk mengekalkan orang itu dalam gelap kesesatan.

Kata-kata ini aku nukilkan buat Tun Dr. Mahathir Muhammad yang masih gencar menyerang para pendokong perjuangan Islam baik yang telah meninggal maupun yang masih hidup berjuang di hari ini. Apa yang disifatkannya mengenai penubuhan Pas sebagai hasil kedengkian golongan agamawan terhadap golongan berpendidikan sekular adalah pekat dendam kepada perjuangan Islam yang amat memalangkan diri sendiri. Datuk On Jaafar telah membuat pusingan setelah beliau sendiri menubuhkan UMNO. Demikian juga Tunku Abd Rahman sendiri sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.  Tan Sri Muhammad Taib baru-baru ini juga mencari pas sebagi wadah menggapai hidayahnya dan petanda kembali ke pangkal jalan. 

Para pendokong gerakan Islam tidak pernah menutup jalan. Tun Dr. Mahathir, jika ingin kembali dan mengikis buang segala dosa berkaratnya buat perjuangan Islam, jalan kembalinya masih terbuka. Semoga janganlah dia menemui Khaliq dengan beban berat permusuhan yang menyusahkan dirinya di akhirat kelak.Kita sentiasa berdoa agar hidayah diberikan kepadanya.

Masa masih ada wahai Tun. Jika pilihanmu baik, maka tuamu bermakna. Jika tidak, tuamu hanya seperti tuanya dunia yang sarat dengan tidpudaya. Tua tanpa makna, kelak nama terkubur bersama lipatan sejarah.

Friday, February 22, 2013

Wahai para blogger...perhatikan jemari anda!

Perihal gambar Setiuasaha Majlis Syura Ulama, Ust Nik Zawawi Nik Yusuf dengan isyarat meyurupai "one Malaysia" tajaan Najib dan bersama-sama pula pimpinan UMNO dan MCA menjadi modal gerak saraf saat-saat akhir. Turut terpalit adalah Ust Tuan Ibrahim Tuan Man yang mana gambarnya bersama pemimpin UMNO dan MCA disebarkan dalam blog. Dalam pada itu, kisah DR. Harun Din bertemu Anwar dimanupulasikan ke arah menimbulkan prasangka buruk mengenai sifat dan kesetiaan Dr tehadap kerjasama Pakatan.

Semua ini adalah ramuan lazat pelahap politik masa kini yang diwarnai dengan kesemberonoan maklamat dan fitnah adu domba. Damai telah sirna dari politik lantaran kemasukan pelbagai lapisan masyarakat dalam arenanya. Para blogger yang merasakan kuasanya mencanak langit mula cuba mempamerkan kudrat alam maya mereka. Tanpa menapis maklumat dan tanpa pertimbangan baik dan buruk buat diri serta pertanggungjawaban di akhirat, mereka melampiaskan segala yang telintas di minda.

Tidak kira blogger UMNO mapun blogger Pakatan, masing-masing meledni akhlak hina dalam berblog. Terdahulu, insan mativator bernama Fadhilah Khamsah dipermalukan mengenai kerosakan akhlak anaknya. Ini semua adalah siri-siri fitnah adu domba yang telah diwarnakan di kanvas politik Malaysia sejak beberapa tahun terdahulu.

Tanggungan dosa berganda bagi siapa yang mensunnahkan budaya hina ini dalam politik. Dosa berantai buat sesiapa yang melangsungkannya berterusan.

Saturday, October 13, 2012

Hikmah dalam kemelut perjuangan

Kes Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang kini menembak ke arah Pas besar rahmatnya kepadanya ahli Pas. Berakibat daripada pelbagai kerenahnya yang sebenarnya telah didahului oleh Dr. Hasan Ali yang sudah pun dipecat dari Pas, para pemimpin besar dalam Pas telah melontarkan pelbagai nasihat secara umum. Nasihat-nasihat para pemimpin utama itu telah menaut kembali fikiran ahli pas kepada asas fikrah politik Islam yang mungkin telah atau sedang dilupakan. Malah, ia juga menfaqihkan ahli yang masih jahil terhadap fikrah politik Islam.

Tulisan Presiden Pas, TG Haji Abd Hadi Awang sebagaimana yang disiarkan dalam harakahdaily adalah sarat dengan nasihat mengenai fikrah perjuangan Islam. Ia bukan tulisan politik yang hanya mahu mempertahankan diri tetapi adalah tulisan bersandarkan sirah nabawiyyah. Ahli yang membuat onar, menentang agenda tahalluf siyasi seperti yang dibuat oleh Nasharuddin Mat Isa perlu meneliti butiran nasihat Tg Presiden tersebut. Jika hendak terbang, terbanglah jauh-jauh. Jika mahu kembali ke pangkal jalan, masih ada sisa nafas yang dapat dipergunakan.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub juga turut menerbitkan nasihat pujangga untuk perjuangan dengan menggariskan tiga prinsip dalam perjuangan Islam dalam Pas iaitu:
a) Menghormati Majlis Syura.
b) Berpegang dengan keputusan Muktamar.
c)Mentaati keputusan kolektif para pemimpin.

Ketua Penerangan Pas, Tn Ibrahim Tn. Man banyak mengungkap falsafah perjuangan dan nasihat simbolik untuk orang seperti Nasharuddin Mat Isa. Antara lain, dia menasihatkan agar kalau ada senapang, jangan dihalakan kepada sahabat. Halakan ia kepada musuh. Kalau malas tolong angkat rumah, jangan pula bergayut di alangnya sehingga membebankan orang lain yang bertungkus lumus mengangkatnya.

Semua nasihat perjuangan ini menambahkan lagi koleksi pujangga yang memperkayakan fikrah. Untuk para pemuda yang sedang meledeni perjuangan Islam, ambillah nasihat mereka semua ini dan jadikanlah apa yang terjadi kepada ahli Pas yang malang itu sebagai iktibar. Kekalkan bersama jamaah dan jangan bergayut di dahan rapuh perjuangan yang direka oleh pemimpin-pemimpin kecil yang lemah dan yang kecewa.

Monday, April 04, 2011

Tiada alasan untuk merasa lemah!

Buat saudara-saudara segama yang tertindas di negara-negara kuffar, mereka dihalang daripada melaksanakan perintah agama, maka aku bacakan untuk mereka firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُوْلَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?". mereka menjawab: "Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)". para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?". orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”.
(Surah An-Nisak: Ayat 97)

Buat tentera-tentera muslim yang bernaung dibawah panji tentera kafir lalu dipaksa memerangi wilayah Islam, seseungguhnya keterpaksaan kalian tidak dimaafkan. Kalian menzalimi diri dengan terus berada dalam kelompok mereka. Apakah kita mahu berbangga dengan dengan pegawai beragama Islam di Pentagon, seorang menteri muslim di parlimen Amerika? Sesungguhnya, mereka itu menzalimi diri mereka.

Tinggalkan jawatan itu dan kedudukan anda, sesungguhnya di sana ada ratusan negara saudara seagamamu, hijrahlah ke sana!

Monday, March 14, 2011

Sabarlah hadapi masa sulit.

Bersabarlah menghadapi hidup ini. Hendaklah diyakini bahawa seandainya anda sedang mengalami keperitan untuk seketika ini, akan datang masanya selepas keperitan ini, sebuah kesenangan. Hidup bukan statik, malah ia mengalir laksana air. Dari legeh di ulu sungai, ia mengalir melintasi belantara dan desa. Air itu mulanya jernih dan murni, namun menjadi cemar dalam perjalanan. Kemudian, Allah akan murnikan ia kembali dengan proses peruapan yang kelak akan turun sebagai hujan.

Sabarlah hadapi masa-masa sulit, kelak anda akan mengenangnya dalam kemanisan di kalan anda telah melepasinya.

Friday, December 17, 2010

Dituduh gila

Dituduh gila padahal otak kita waras mungkin boleh dianggap sebagai satu anugerah. Kalau kerana menyatakan kebenaran, maka orang ramai menuduh kita gila, maka nabi SAW telah pun melalui pelebelan seperti itu. Berlapang dadalah menghadapi tuduhan sebegitu dan bergembiralah kerana mendapat gelaran yang diberikan oleh orang-orang yang kafir kepada para nabi.

Pemuda itu, dia menjadi pencinta amal soleh dan mahu agar keluarga dan jiran tetangganya juga beramal soleh. Saban maghrib dia ke masjid dan pulang sesudah insya. Dia solat berjemaah bersama dengan ahli masjid di sana. Kemudian, dia dikatakan dituduh gila oleh sanak saudara isterinya kerana sering menyampaikan nasihat agar mereka mendirikan solat dan mengajak ke masjid. 

Kataku, ingatlah apa yang nabi katakan kepada Yasir dan keluarganya. Sabarlah wahai Yasir...sesungguhnya janji untuk kamu adalah syurga!

Sabarlah dalam dakwah. Hadapilah segala macam tuduhan dengan sabar demi menegakkan yang haq.