CARI BAHAN

Friday, October 12, 2018

TAHAN DIRI, KEPUNGLAH PAHALA SENDIRI.

Jika anda marah seseorang, elakkan mencelanya di FB. Anda Marahlah dalam kereta waktu memandu seorang diri. Celalah dia waktu anda dalam bilik tidur seorang diri. Celalah, umpat dan sumpahlah semahumu. Jika ia dosa, ruang legar dosanya tidak seberapa. Berbanding anda marah dia dalam FB. Anda cela dan cemuhnya dalam FB. Gelanggang tempatnya mengamuk besar sekali. Ufuk timur dan barat pun bukan batasnya.

Kalau anda sabar dan tidak mengeluarkan cemuhan, itulah yang paling mulia. Namun, kebanyakan kita tak mampu. Gejolak dalam jiwa jarang dapat dibendung. Ia tetap mahu melimpah dan membuak.


Lalu, jangan buatkan limpahannya menjadi banjir. Malang kalau jadi tsunami. Berfikir berkali-kali sebelum mengangkat diri menjadi syattan atau lammam. Amat besar kerugiannya. Amat tragis penyesalannya di kemudian hari. Hari diperhitungkan pahala sendiri buat membayar harga murah huruf-huruf atau liur yang ditumpahkan.

Banyak benar aksi yang memagut amarah kita. Tidak cukup jemari tangan untuk menaip. Kalau bisa dengan jemari kaki sekali. Itupun tak cukup lagi.Yang bersiponggang dalam hati lebih meriah daripada yang mampu dicercakan.

Selama mana ia bersenandung di dalam sana, ia tidak mengguris amal anda. Seringkali, yang kita rasa berpahala, ianya hanyalah kumbahan dosa. Apatah lagi yang memang kitapun melihatnya sebagai ceracak dosa. Ia akan menjadi beban-beban gunung sengsara di hari muka.

No comments: