CARI BAHAN
Friday, January 13, 2023
Jangan buat kerja-kerja Abu Amir Al-Fasiq
Wednesday, January 06, 2021
Gempita rumah angker
Kedengaran gedegung gedegang di rumah angker. Entah apa yang dibuat penghuninya. Khabar yang keluar, perang besar sedang bermula. Rumah Angker yang dihuni 3 keluarga besar itu nampaknya tidak lagi mampu menyebunyikan kemusykilannya.
Siapa yang berhak jadi tuan dalam rumah?
Khabarnya itulah persoalan hangat yang didebatkan. Persoalan yang membuat retak menanti belah!
Khabarnya juga Si B sudah mula ada konspirasi dengan bekas penghuni rumah angker itu. Konspirasi untuk singkirkan si A. Si A pula yang selama ini berlagak tuan besar mula hilang kongkongan. Si C pula tersepit di tengah. Kepeningan lalat dalam menghadapi konflik itu. Di luah mati ayah, ditelan mati omak!
Apa-apalah...biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya.
Tuesday, January 05, 2021
Renungan
Tidur dengan isteri orang itu dosa paling besar. Kalau berzina dengan perempuan musyrik penyembah berhala, itu pun dosa. Tapi dosa tidur (berzina) dengan isteri orang itu berkali ganda lebih besar. Makan babi itu memang haram. Tapi makan rasuah, pecah amanah, songlap duit rakyat, itu lebih besar dosanya!
Kekadang, orang yang menilai dua situasi gagal membezakan manakah yang lebih besar mudaratnya. Antara makan tupai dengan mengumpat keji orang, maka lebih parah? Habaq sat!
Thursday, April 11, 2019
Krisis Bendahara dengan anak Raja
Tuesday, August 21, 2018
Ijtihad Baru
Parti Pembangkang bersatu menentang kerajaan PH. PAS, UMNO, MCA dan MIC. IKATAN dan Berjasa termasuk juga. Mungkin sekali dengan NGO.
Ada orang menggeleng kepala. Ada pula yang tersebyun sumbing. Apapun, jangan mencela jalan yang dipilih orang. Bukan satu dosa mengubah strategi. Tidak juga menjadi dosa membuat istilah baru. Lapangan politik itu seluas cakerawala.
Politik adalah perlumbaan menunjuk pandai. Siapa yang benar-benar pandai akan jadi dominan. Siapa yang benak, akan corot dan terhenyak ke penjuru. Smuanya dapat disaksikan bila masa berputar.
Friday, August 03, 2018
PENJARA SEPERTI KUBUR
Saturday, July 01, 2017
Hidup sebagai manusia hanya 20 tahun
Sang kaldai, dikatakan kepadanya,:
" Kamu akan jadi kaldai, kamu bekrja sehari suntuk dengan penat lelah. Lalu kau akan makan gandum....umurmu adalah 50 tahun!",
Kata kaldai: 50 tahun itu banyak sangat. Biarlah aku hidup hanya 30 tahun.
Lalu kaldai pun diberi hidup hanya 30 tahun.
Kemudian....dikatakan pula kepada anjing.
" Kamu sebagai anjing, akan dijadikan sebagai penjaga rumah , ternakan dan ladang manusia. Kamu juga akan jadi teman manusia. Makanan kamu adalah lebihan mereka. Kamu diberikan umur selama 30 tahun.".
Kata anjing: " 30 tahun terlalu lama. Berikan aku hanya 15 tahun.
Anjing pun dapat apa yang dia mahu.
Lantas, dikatakan pula kepada kera.
" Hai kera, kamu dijadikan melompat dari dahan ke dahan. Kamu akan diberikan kemampuan itu vuat lawak dan orang akan tertawa. Umurmu yang diberikan ialah 20 tahun!"
"20 tahun terlalu lama. Berikan aku hanya 10 tahun". kata kera.
Lalu kera pun dapat apa yang dia mahu. Hanya sepuluh tahun
Kemudian, dikatakan pula kepada manusia.
Hai manusia, kamu dijadikan makhluk yang penuh kecerdikan. Kamu akan gunukan kecerdikanmu untuk menghiasi dan memimpin di atas bumi. Kamu akan jadi penghulu kepada makhluk lain. Umurmu ialah 20 tahun.
Lalu, kata sang manusia: Aku dijadikan manusia hanya untuk hidup selama 20 tahun sahaja? Ini amat sedikit!
" Berikan aku juga umur yang diberikan kepada keldai, anjing dan kera!"
Manusia pun diberikan apa yang dia mahu.
20 tahun umurnya sebagai manusia sehinggalah dia berkahwin. Bila sudah berkahwin, dia terpaksa bekerja keras menyara anak bini. Dia habiskan umur selama 30 tahun sebagai kaldai. Sesudah bekerja dan mencapai yang dapat dicapainya dalam hidup, manusia hidup pula sebagaimana anjing yang sibuk menjaga segala yang dimilikinya selama 15 tahun. Dia menutup pintu, matikan suiz elektrik dan jaga rumah bila anak-anak keluar bekerja. Setelah itu, dia hidup pula 10 tahun sebagaimana kera. Berpindah dari rumah seorang anak kepada anak yang lain. Bercerita untuk cucu-cucu agar mereka terhibur dan ketawa.
Oh manusia!
Daripada umurnya 75 tahun, 55 tahun hidup sebagai haiwan. Hanya 20 tahun hidup sebagai insan!
Monday, June 29, 2015
Petikan: Kafilah dan serigala meraung.
Mahu sahaja dia tidak mengendahkan suara raungan penuh mistik dari gerombolan serigala belantara itu, namun, fikiran acap terganggu. Dia tidak bisa mengambil sikap seperti pepatah " biarkan serigala maraung, kafilah usah menghentikan perjalanan".
Tentu sekali setiap kali Darwi Joko mendengar raungan serigala, dia akan teringat korban-korban yang penuh dihitungnya sewaktu tangkas berburu di rimba raya nan luas di kaki tanah banjaran. Ingatan itu menancap kukuh bagai akar tegal tua yang tumbuh berselirat akar melilit di belakang rumahnya.
( Sekadar petikan daripada buku yang akan terbit satu masa yang entah bila : Kafilah dan serigala meraung)
Friday, June 12, 2015
Tok Gero dan sebuah khilaf ( Bhg 4)
"Saya cadangkan tugas-tugas selain ketua genohok kekal. Kali ini ketua genohok kita bagi kat orang lain", Mat Fitan tiba-tiba mencelah. Dia mahu mesyuarat malam itu cepat tamat dan tidak suka mendengar celoteh panjang lebar cikgu Halim.
"Setujuu!", cadangan Mat Fitam disokong oleh kumpulan anak muda yang bersamanya.
Tok Gero yang duduk di sebelah Tok Imam diam melihat gelagat Mat Fitan dan kawan-kawannya. Dia nampak benar Mat Fitan tidak suka kepadanya. Sebelum malam ini pun dia telah sering dengar Mat Fitan menghsut agar orang-orang membencinya. Apa yang sampai kpada Tok Gero, Mat Fitanlah yang mula mencetuskan tuduhan bahawa Tok Gero amalkan sihir dalam memasak dan masukkan bahan tak halal dalam makanan.
"Kita telah banyak dengar To Gero buat tak betul masa memasak. Kita kena jaga makanan kita kerana makananlah yang akan menentukan Allah redha kepada kita atau tidak. Jika kita makan makanan yang tidak halal, doa kita tidak diterima Allah", Mat Fitan berhujah seperti seorang penceramah program forum Perdana hal ehwal Islam. Seketika, dia terlupa bahawa dia saban hari meneguk air daun ketum di gerai Lebai Sudin .
Malam itu, suara yang menyokong penyingkiran Tok Gero jadi majoriti. Tidak sampai sepertiga yang menyokongnya. Lebih dua pertiga yang hadir malam itu mahu Tok Gero ditamatkan khidmatnya sebagai ketua genohok yang telah dipegang olehnya lebih daripada dua dekad. Mereka sudah hilang keyakinan terhadap Tok Gero dan sebagai gantinya mereka mahukan Tok Bilal Haji Saamah bertindak sebagai ketua genohok yang baru
Tok Bilal Haji Saamah pada mulanya terkejut apabila namanya dicadangkan Dia tidak mahu jadi ketua genohok kerana kepakarannya bukan di genohok tetapi di atas balai. kalau pasal marhaban dan berzanji, dia memang tidak ragu-ragu kebolehannya. tetapi kalau pasal genohok, dia tidak tahu macam mana. Tetapi, Tok Imam mencuitnya dan bisikan bahawa dia sendiri akan bantu Tok Bilal Hj. Saamah dalam menguruskan kerja-kerja genohok. Ada petugas baru yang bersedia berganding bahu bersamanya.
Akhirnya Tok Bilal Haji Saamah bersetuju dengan lantikan sebagai ketua genohok itu. Mat Fitan dan kawan-kawan girang dan mereka melaungkan nama Tok Bilal Hj. Samah. Mesyuarat selesai malam itu dengan kejayaan misi penyingkiran Tok Gero. Bermula kenduri rumah Tok Penghulu dan kenduri-kenduri seterunya, Tok Gero tidak akan jaga genohok lagi. Tok Bilal Hj. Samah akan ambil alih.
" Demi kesejahteraan makanan tetamu yang hadir", Tok Gero terngiang-ngiang perkataan Tok Bilal Hj. Saamah ketika berucap ringkas menerima lantikan baru itu. Pada Tok Gero, dia tidak kisah kalau khidmatnya sebagai ketua genohok diambil alih orang lain. Itu biasa dan dia pun sudah lama dan penat berlapok di genohok saban kenduri. Tetapi, kalau dia disingkir sebagai ketua genohok dengan tuduhan memasukkan bahan tidak halal dalam makanan, dia sangat terluka.
" Serasakan bagai disimbah cuka getah!", keluh Tok Gero kepada Mat Penyanga sewaktu mereka meninggalkan rumah Tok Penghulu seusai mensyuarat pada malam itu. Setakat ini, kesetiaan Mat Penyanga masih melekat kepadanya. Mat Penyanga masih terpilih sebagai ketua bentara (penyanga), tetapi dia berkira-kira untuk menolak lantikan itu. Tetapi, dalam mesyuarat tadi dia belum terdaya mengucapkan penolakannya. Dia akan maklumkan kemudian kepada cikgu Halim kelak.
(Akan bersambung)
Thursday, June 11, 2015
Tok Gero dan sebuah khilaf ( Bhg 3)
Keterbukaan Cina Lim disenangi oleh orang kampung Bulan Mengambang. Mereka berdoa agar satu masa nanti Cina Lim akan masuk Islam. Tok Gero dan kawan-kawan tukang masaknya yang paling meraikan Cina Lim bila dia bertandang dalam acara-acara di kampung Bulan Mengambang. Tok Gero juga berharap Cina Lim masuk Islam. Harapan yang sama juga dikongsikan oleh Tok Imam hatta tok Penghulu kampung. Sejak Cina Lim rajin hadir program-program di kampung Bulan Mengambang, banyaklah orang kampung berbicara tentang dakwah bilhikmah mal mau'izoh hasanah. Di masjid kampung Bulan Mengambang, Tok Imam pun tekankan hal yang sama dalam kuliah-kuliah maghrib dan subuhnya. Subjek dakwah jadi topik perbualaan menarik.
Namun, kadang-kadang ada juga masalah bila nak tegakkan dakwah bilhikmah walmau'izoh hasanah. Cakap tidak semudah kata. Manusia dipandu oleh akal dan perasaan. Dua unsur itu selalu berlumba dalam diri. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Walaupun soal bangsa Melayu dan Cina bukan lagi hal yang diperkirakan oleh orang-orang kampung Bulan Mengambang, kadang-kadang ada juga digusarkan oleh kumpulan budak muda lepak dari kampung Bulan Mengambang. Ia bermula dengan menimbulkan persoalan hukum kalau Cina Lim masuk masjid.
"Cina Lim tu kan tak mandi junub, macam mana Tok Imam boleh bagi dia masuk masjid kita?' Mat Fitan sering menghasut dan menimbulkan keraguan di kalangan ahli kelab Daun Ketom yang bermarkas di kedai makan Lebai Sudin di simpang jalan Pekan Tanjong Rakit. Mereka amat berbulu mata melihat CinaLim berbaik-baik dengan orang kampung Bulan Mengambang.
Perasaan tidak senang Mat Fit dan kawan-kawannya yang selalu melepak di Kelab Daun Ketom itu lama-lama merayap ke gelung rasa sesetengah orang-orang lama di kampung Bulan Mengambang. Akhirnya menjadi perdebatan pula di kalangan jemaah masjid Kampung Bulan Mengambang. Seruan agar menegakkan dakwah bilhikmah wal mauizoh hasanah seperti yang sering diwiridkan oleh Tok Imam sudah mula dipersoalkan kesahihannya oleh sesetengah anggota Jemaah Masjid.
Ada cerita-cerita yang diriwayatkan entah dari perawi mana, bahawa Cina Lim masa dia duduk dengar ceramah Israk Mikraj hari itu, dia suka berbisik-bisik dengan rakan Cina yang ikut bersamanya sambil ketawa. Bisik dan ketawa itulah yang menimbulkan tandatanya di kalangan ahli jemaah dengan sangkaan bahawa dia mempersendakan cerita Israk Mikraj. Dia tidak percaya apa yang diceritakan sedangkan tidak percaya cerita Israk Mikraj nabi bermakna menolak Al-Quran.
Adalah sekali terjadi, Cina Lim telah melontarkan pertanyaan mengenai cerita Israk Mikraj itu. Cina Lim telah tanya Tok Bilal Saamah, bagaimana mungkin nabi Muhammad naik ke langit tidak bawa balang oksigen. Macam mana dia bernafas di sana. Pertanyaan Cina Lim itu tidak disenangi amat oleh Tok Bilal Haji Saamah. Bila ada suara-suara ketidakpuasan hati mengenai gelagat Cina Lim itu, Bilal Tok Saamah pun buka cerita pasal pertanyaan tak wajar Cina Lim itu. Lalu, Cina Lim disifatkan cuba mempertikaikan keabsahan kisah Israk Mikraj dan tidak beriman dengan apa yang diceritakan dalam Al-Quran, Surah Al-Israk, ayat 1
Tok Gero kawan baik Cina Lim. Dia cuba mempertahankannya dan menegaskan kepada ahli jemaah Masjid Bulan Mengambang bahawa soal percaya atau tidak kepada kebenaran kisah Israk dan Mikraj itu tidak menjejaskan Cina Lim kerana sememangnya dia seorang kafir yang belum masuk Islam Kerana hujah dan sikap yang ditunjukkan oleh Tok Gero itu, maka Tok Gero pun dituduh sebagai orang suruhan Cina Lim dan tidak cuba mempertahankan Islam. Dari marah kepada Cina Lim, kemarahan dikongsikan kepada ke atas Tok Gero dan rakan-rakan.
Dari situ, bertambahlah berat sangkaan, bahawa ada yang tidak kena mengenainya Tok Gero. Tok Gero mengamalkan ilmu sihir dalam penyediaan makanan. Dia masukkan perencah tidak halal yang diperolehinya dari kedai Cina Lim.
Kenduri di rumah Tok Penghulu kampung Bulan Mengambang tidak lama lagi. Kepada Tok Penghulu, jemaah masjid kampung Bulan mengambang hantar wakil berbincnag agar pada kali ini bukan lagi Tok Gero memasak nasi dan gulai kawah. Biar sahaja orang lain menjalankan kerja tersebut agar kesejahteraan warga kampung Bulan Mengambang dapat diselamatkan. Habislah Tok Gero dan rakan-rakannya kali ini kerana usul penyingkiran ini datang dari orang-orang masjid sendiri.
Tok Gero dan sebuah khilaf.( Bhg 2)
Wednesday, June 10, 2015
Tok Gero dan sebuah khilaf.( Bhg 1)
Adapun di bahagian belakang rumah kenduri kawin, ada Tok Gero dan pasukannya yang bertugas memasak dalam kawah untuk makanan tetamu-tetamu yang datang. Tugas mereka memang penting kerana semua orang yang datang kenduri memang hendak makan. Orang tidak dapat dengar alunan marhaban dan berzanji tidak mengapa, tapi kalau tidak dapat makan, tentu akan kecewa.
Begitulah keutamaan tugas Tok Gero dan pasukannya. Gelaran Tok Gero itu orang berikan kepada ketua bahagian masak memasak di rumah kenduri kahwin. Sudah termasyhurlah kehebatan masakan Tok Gero dan pasukannya di kampung Bulan Mengambang. Maklumlah, pengalaman memasak bukan setahun dua. Sudah berpuluh tahun dia bergelumang dengan tugas masak memasak.
Masakan Tok Gero dipuji ramai orang. Orang-orang kampung Bulan Mengambang memang sayang kepada aset mereka yang satu itu. Ramai tetamu yang suka datang makan kenduri di kampung Bulan Mengambang kerana ingin mencicipi enaknya masakan Tok Gero.
Bukan Tok Gero masak seorang. Dia dibantu oleh kawan-kawannya. Namun, rahsia menu dan kesedapannya ada pada Tok Gero. Ramai yang curi-curi tengok tapi tak dapat semua rahsia hebatnya masakan Tok Gero.
Kehebatan masakan Tok Gero jadi buah mulut. Hairan jua sesetengah orang di dalam kampung kenapa Tok Gero dipuji masakannya. Ada yang mengandaikan yang bukan-bukan. Sesetengah kata Tok Gero curi menu restoran terkenal luar negara. Ada yang kata Tok Gera ada menu warisan nenek moyangnya. Tapi dalam banyak-banyak andaian, ada yang menyimpan syak wasangka bahawa Tok Gero mengamalkan sihir. Ditambah pula ada yang mengatakan dia memasukkan bahan yang tidak halal dalam masakan dan jamu seluruh tetamu.
Mula-mula tuduhan Tok Gero mengamalkan sihir dalam masakan tidak berapa diendahkan orang. Ia hanya desas desus yang berlegar di kalangan budak-budak muda yang tidak senang hati dengan Tok Gero kerana faktor-faktor psikologi dan sentimen. Tetapi, lama kelamaan bisikan itu mula celapak naik hingga ke atas beranda rumah. Akhirnya ahli kumpulan marhaban yang diketua oleh Tok Imam kampung pun mula percaya walau masih samar-samar.
Satu tindakan perlu diambil. Kemaksiatan yang Tok Gero buat perlu dihentikan. Apakah kemaksiatan yang lebih besar daripa kesyirikan? Demikianlah penegasan Tok Imam bila soal Tok Gero itu dibincangkan dengannya. Baik di masjid atau di kedai kopi.Mencapumrkan bahan sihir dalam masakan untuk dijamu orang adalah sebuah kesyirikan. Demikian Tok Imam kampung bulan Mengambang bermadah kepada anak buah.
Tok Gero bukan tak tahu apa yang dibualkan orang mengenainya. Dia buat tak tahu sahaja. Dia ingat lama-lama berhentilah orang mengata. Tapi, Tok Gero silap. Silap perkiraan sehinggalah satu hari. Hari yang mencatatkan sejarah hitam dan luka tragis dalam hidupnya.
(Akan bersambung)