CARI BAHAN

Showing posts with label Komen. Show all posts
Showing posts with label Komen. Show all posts

Saturday, December 20, 2025

Kalau jadi menteri

Siapa yang pernah jadi menteri patut merasa syukur kerana dapat peluang. Peluang mempelajari dan mendalami satu dunia pentadbiran yang bukan semua orang dapat. Jadi menteri bukan tanda orang itu hebat.Kalau dia tidak jadi menteri, ramai lagi yang mampu menajdi menteri. Mungkin sesetengah menteri itu ada bakat sebelum jadi menteri.Menjadinya dia menteri memberi nilai tambah kepada jawatan itu, bukan sahaja nilai tambah kepada diri sendiri.

Ada orang jadi pernah jadi menteri, bila dia tak lagi jadi menteri dia merajuk. Baginya dia sahaja yang mampu menjulang peranan kementerian ke kemuncak. Tak ada orang mampu lakukan sepertinya. Mungkin pada rasanya kalau dia tiada, kementerian yang pernah dia pegang akan merudum dan tidak menyengat lagi. Namun, realitimnya manusia bersilih ganti dan dunia tidka pernah gersang orang yang berkebolehan. Kerana itu jangan merasa syok sendiri.

Anggap sahaja peluang jadi menteri itu belas ehsan dari pemimpin utama yang memilihnya. Dia berpeluang mengalami satu pengalaman baru yang tidak pernah didapatkannya. Bila sudah habis tempoh, jadikanlah pengalaman itu sebagai kenangan hidup atau perkongsian di belakang hari.

Itu sahaja !


Thursday, December 18, 2025

Melantik pemimpin Juhala

Ada orang selalu mengungkit tentang bidang pengajian semasa di universiti. Seorang mufti diungkit mengenai bidang pengajian yang tidak seharusnya melayakkannya di kerusi mufti. Mufti belajar bahasa masa di univesiti, mana layak jadi mufti!. Kata mereka. Seorang ustaz mengaji di universiti tetapi tak sempat dapat ijazah, sedangkan ustaz itu telah terkenal menajdi penceramah  dan pendakwah. Seorang Perdana Menteri yang sudah menjangkau usia 70 tahun dan ada sejarah pengajian Bahasa Melayu masa umur 21 tahun, selalui diungkit aliran pengajiannya yang dikatakan layak jadi seorang penyair atau ahli bahasa.Tidak layak jadi pemimpin.

Inilah cara berfikir sesetengah orang. Apa yang dia belajar, itulah bidang yang seharusnya dia bekerja. kalau belajar agama, kena jadi ustaz! Kalau belajar medic, jadi doktor. kalau belajar bahasa jadilah semacam ahli bahasa. 

Aliran masa lalu tidak seharusnya mengikat kita. Kita sendiri yang akan memilih untuk mencorak hidup kita. Inilah lambang kehidupan seorang manusia yang Allah ciptakan dengan akal. Dalam dunia ini, ada berbilion manusia dengan perbezaan yang pasti.

Maka berfikir bahawa seorang yang melalui satu aliran pengajian hendaklah bekerja dan bertindak mengikut aliran itu adalah satu pemikiran tempang yang tidak berpijak pada realiti. Ia didorong oleh hasad, apathy dan kalah dalam persaingan.

Kebijakan  seseorang tidak ditentukan dengan sekeping kertas ijazah yang diaperolehi pada usia muda. Berapa ramai yang cemerlang masa di universiti, meniti hidupnya dia tiada apa-apa. Tidak menjadi berkesan dalam masayarakat. Tidak berbakti dan tidak menyumbang. Tenggelam dan ghuyub dalam hidupnya sendiri bersama keluarga dan kehidupannya. Ada orang masa di univeriti tidak dikenali, selepas terjun ke dunia massa dia menjadi terkenal dan dikenali.

Apa nak heran?

Para profesor yang bijak-bijak di universiti itu bukanb bijak semuanya. Bukan bermakna mereka layak jadi pemimpin. Bila nabi kalau tanda akhir zaman adalah melantik pemimpin juhala bukan maksudnya pemimpin yang mengaji tak lulus. Tak ada ijazah dan sebagainya. Kalau dilantik profesor pun jadi pemimpin, kalau dia tak reti tadbir negara, dia juhala. kalau dilantik ulama jaid pemimpin, tapi dia naif dalam politik, pentadbiran dan cara menguruskan negara, dia tetap juhala. Jangan faham juhala itu dari sudut bahasanya sahaja. Fahamilah dari sudut intinya!

Orang yang selalu mengungkit masa lalu seseorang, orang itu tidak boleh move on dengan masa kini. Kalau nak kira masa lalu, suluhlah diri sendiri wahai setiap orang yang berfikir. Masa lalumu dulu apa? Masa lalumu dulu adalah setitik nutfah yang hina. Atau kenang juga masa lalumu dulu kau di sekolah rendah atau Pra yang tak kenal ABC. Toleh masa lalu sampai ke sana kalau mahu hitung masa lalu. Kerana itu masa lalu biarkan. Kita kira masa sekarang. Kepakaran masa sekarang bergerak seiring dengan umur dan pengalaman. Ia tidak cukup digambarkan dengan sekeping kertas sijil atau ijazah. Itu cuma keseronakan zaman belajar. Ada kepingan sijil atau ijazah bukan jawapan  kepada penguasaan kemahiran.


Sunday, June 29, 2025

Nurly Sahirah meninggalkan karamah

 Nama Nurly Sahirah Azman tiba-tiba meniti  di bibir ramai orang. Dia disebut-sebut sebagai orang yang yang diberkati dan dikagumi selepas wafatnya. Dalam peristiwa tragedi kemalangan bas yang membawa pelajar UPSI di Grik pada awal pagi 9 Jun 2025 yang mengorbankan 15 pelajar UPSI, Nurly Sahirah adalah seorang daripadanya. Pelajar asal Terengganu itu sedang belajar di UPSI dan merupakan seorang penghafaz Al-Quran 30 Juzuk. Apa yang menarik, selepas kematian terdedah naskhah Al-Quran tulisan tangannya. Cerita-cerita mengenai jenazahnya yang berbau wangi semasa di bawa pulang ke kampungnya memuakau perhatian ramai orang. Setelah itu, rumah ibu bapanya dan kuburnya menjadi kunjungan ramai orang.

Ini terjadi selepas kematiannya.



Orang ramai berpusu-pusu menziarahi rumah keluarganya dan juga kuburnya. Apa  yang ada padanya? Dia bukan seorang ulama tersohor. Bukan Tok Guru yang berpualang menemuii tuhannya. Dia juga bukan puteri bangsawan yang mangkat. Dia seornafg gadis yang dulunya tak dikenali dan hanya dikenali selepas meninggalnya.


Perhatikanlah baik-baik wahai mutawasimin!

Allah SWT memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan menghinakan sesuapa yang Dia kehendaki. 

Pada hematku, kejadian yang berlaku terkait Nurly Sahirah ini adalah satu keajaiaban yang termasuk dalam karamah. Mudahan dia terbilang di kalangan para wali Allah.Wali Allah bukanlah seperti mana yang dipercaya sebahagian orang baahawa dia boleh pergi balik hari solat Jumaat di Makkah atau setiap minggu solat Jumaat di Pulau tengah laut bersama Bunian. Bukan juga wali Allah itu asal boleh jalan atas air atau terbang di udara atau yang didongengkan hadis mesyuarat di Bukit Kaf atau di Jabal Arafah bersama para wali lain yang mentadbir alam.

Jika mahu tahu, wali Allah itu adalah orang yang Allah muliakan terutama seelpas matinya.Allah zahirkan karamah selepas matinya.

Saturday, October 19, 2024

GISBH ...Biarkan tersungkur

 Apa guna ekonomi Islam yang ditampilkan oleh GISBH kalau ia berdiri di atas kebobrokan? Hanya kulit luaran sahaja nampak Islam, namunnya dalamnya bergelumang dengan kumbahan. Air acaq kata orang Kedah. Hal tersebut terdedah apabila pihak polis membuat serbuan dan tangkapan atas para pemimpinnya. Ditambah pula dengan pendedahan melalui pengakuan bekas-bekas GISBH.  Apa lagi Islam yang tinggal pada GISBH itu. Telah terpampang kedajalannya. 

Pendedahan oleh anak Abuya Ashaari sendiri amat mengejutkan. Siapa yang mendengar apa yang diceritakannya mengenai pengalamannya dipaksa kahwin dengan Fadil yang menjadi salah seorang Ahli lembaga Pengarah GISBH semasa dia di Jordan dan kemudian dilarikan ke Turki dan Indonesia, maka terpampanglah watak mafia dalam GISBH itu

GISBH perlu diranapkan terus agar tidak bangkit lagi membawa citranya di masa depan. Jangan sayangkan ekonomi palsau yang didendangkannya. Orang Melayu perlu buang kebodohan dan sifat ragu-ragu yang membuatkan mereka mudah diperdaya. 

Dalam dunia ini, jika satu syarikat tumbang, banyak lagi syarikagt lain dari anak bangsa sendiri akan bangkit meneraju. Jangan termakan dengan mimpi-mimpi muluk yang didongengkan.

Tuesday, June 04, 2024

Akibat tulisan sendiri

Khabarnya seorang guru sedang tak lena tidur gara-gara komen dalam laman FB berhubung satu program pengajian Kitab Turath anjuran Kerajaan Selangor. Komennya berunsur pesimistik dan memperlecehkan program itu sebagai sia-sia lantaran kecenderungan politik yang mendokong Kafir Harbi. Semangat politiknya yang membawa kepada pelebelan kafir harbi ke atas sebahagian daripada mustautinin Malaysia adalah lambang kepada sikap melampau. Sikap sebegini boleh membawa kepada penyuburan minda Khawarij yang satu ketika pernah menghantui ramai rakyat negara ini,


Khabarnya, guru itu sudah membuat posting mohon maaf atas keceluparannya.


Namun,satu perkataan yang telah diucap bukan macam sampan yang terlajak boleh dikayuh mundur kembali.Ia ia adalah seumpama anak panah yang telah meninggalkan busurnya. Satu kata yang diucap atau ditulis telah mengenai sasaran dan pasti membawa resikonya. Khabarnya JPN dan KPM sedang menyiasat guru berkenaan. Sebab itu kita dituntut untuk berhati-hati sebelum bercakap maupun menulis sesuatu. Sesal kemudian tiada berguna. Lidah dan kini jari jemari, adalah anggota yang terpaling seru ada pada seseorang. Ia boleh jadi terpaling baik dan sebaliknya ia juga boleh jadi terpaling jelek.

ِAllah berfirman dalam Quran Dalam Surah An-Nur ayat 15:


إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّهِ عَظِيمٌ 
(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.

Nabi SAW bersabda dalam sepotong hadis:



إنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بالكَلِمَةِ مِن رِضْوانِ اللَّهِ، لا يُلْقِي لها بالًا، يَرْفَعُهُ اللَّهُ بها دَرَجاتٍ، وإنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بالكَلِمَةِ مِن سَخَطِ اللَّهِ، لا يُلْقِي لها بالًا، يَهْوِي بها في جَهَنَّمَ.

Hamba itu mengucapkan sepatah kata karena yang  Allah redhai, tanpa disangkanya dengan sebab kalimah itu Allah meninggikan derajatnya karenanya beberapa derajat, dan sesungguhnya  seorang hamba mengucapkan sepatah kata yang dimurkai Allah, tanpa disangka akibatnya,  maka dia pun masuk neraka jahannam disebabkan kalimah itu.

( Hadis Riwayat Bukhari: No 6478)


Hadis ini lebih jelas maskudnya jika dibaca apa yang ada dalam Sunan Ahmad (15425), Tarmizi(2319) dan Ibn Majah(3969), riwayat Bilal bin Al-Harith Al-Muzani bahawa Sabda Rasulullah SAW: 


إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ مَا يَظُنُّ أَنْ تَبْلُغَ مَا بَلَغَتْ فَيَكْتُبُ اللَّهُ لَهُ بِهَا رِضْوَانَهُ إِلَى يَوْمِ يَلْقَاهُ ، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ مَا يَظُنُّ أَنْ تَبْلُغَ مَا بَلَغَتْ فَيَكْتُبُ اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا سَخَطَهُ إِلَى يَوْمِ يَلْقَاهُ


Sebab itu, nak tulis apa-apa fikir guna dhamir dan jangan pakai nafsu. Terlebih aula kalau seorang yang bernama guru kerana guru dilihat masyarakat sebagai orang cerdik dan pintar. Kalau sampai guru dilihat sebagai orang bodoh, pongah dan gopoh, maka hilanglah kemuliaan martabat seorang guru. Jika terjadi demikian, keliling dunia mandi tujuh sungai utama pun tidak boleh menyucikan diri!

Tindakan ke atas sesuatu ucapan tidak harus dilihat sebagai kekangan atas kebebasan bersuara. Islam menghargai kebebasan bersuara tetapi suara yang didasari kebenaran dan fakta. Suara yang tidak mendatangkan sengketa, perpecahan dan tidak menyakiti  orang lain. Jika suara-suara itu diberi kebebasan sepenuhnya, maka pertanyaan lain adalah apakah hak yang samaperlu juga diberikan kepada mangsa? Satu ornag fitnah ornag lain dan bersandar kepada kebebasan bersuara, maka seharusnya mangsa fitnah juga perlu diberi kebebasan bersuara untuk fitnah balas. Demikian juga pihak berwewenang yang bertindak sebagai pihak berkuasa perlu diberi kebebsan bertindak. Itu jika kita mahu bercakap mengenai hak dan kebebasan. Hak dan kebebsan bukan prerogatif sebelah pihak. Maka peratusan diperlukan untuk mengekang penyalahgunaan hak.

Tuesday, April 16, 2024

Kes tidak mahu angkat tangan berdoa buat YDPA

 Tidak mahu berdoa untuk sesiapa, termasuk buat ibu bapa sendiri, itu pilihan masing-masing. Demikian, mengenai ketidakmahuan seorang yang baru-baru ini mengangkat tangan berdoa buat YDPA dalam Khutbah Jumaat, itu adalah pilihannnya sendiri. Tidaklah doa itu untuk faeah orang yang didoakan, tetapi untuk faedah sendiri sendiri. Satu doa yang dirafakkan, jika ikhlas, insya Allah makbul. Jika tidak ikhlas, ia jadi seperti dabu yang berhamburan.

Namun, menecritakan perbuatan sendiri tidak mahu berdoa untuk YDPA adalah mempamerkan kederhakaan kepada Ulil Amri. Sesuatu kesalahan, jika disembunyikan , ia bukan kesalahan yang perlu dihukum. Seorang yang minum arak, berzina bahkan murtad sekalipun, jika tidak diwar-warkan, maka itu adalah antaranya dengan Allah yang Maha tahu. Namun, jika didedahkan kesalahannya itu kepada khalayak, ia menjadi satu jenayah yang membawa implikasi hukum.

Maka, tindakan individu yang gatal tangan menulis pengengkarannya itu di FB adalah satu kesalahan. Tindakan mendedahkan keengkarannya itu adalah satu kebodohan yang tidka perlu dikasihani. Ramai sekali manusia media sosial dengan tindakan bodoh mereka sekarang ini. Apabila berdepan dengan kesan dari kebodohan itu, maka dirayu simpati masyarakat. Seolah-olah diri tidak berdosa dan dizalimi.

Padahal, dirinyalah yang menzalimi diri sendiri. Manusia berlaku zalim ke atas dirinya tetapi dia tidak sedar. Inilah yang berlaku atas ramai manusia.

Maka, jika pihak polis mengambil tindakan terhadap individu terbabit, ia bukan tindakan yang tidak wajar. Tidak boleh dikatakan mengongkong kebabasan. Tidak boleh disifatkan sebuah dictatorship. Ini adalah sifat siasah syariyyah.

Ingat....kejahatan jika disembunyikan, Allah sendiri tawarkan keampunan. Namun, jika mendedahkan kejahatan, itu sudah namanya Muzohirin. Para muzohirin tidak diampunkan. 

Akibat daripada sebuah tulisan, tidak boleh dilenyapkan hanya denagn menghapuskanya daripada media sosila snediri. Dunia hari ini sangat aneh. Sekelip mata apa yang kita catatkan dirakamkan orang. Kalau di sisi malaikat Raqib dan Atid, lagilah cepat dicatat. Maka, apabila ingin buat sebarang catatan, fikirlah guna akal jangan berpandukan emosi. Apa yang namanya emosi itu, adalah kebodohan. Emosi adalah sebusuk bau kentut. Kentut adalah pelepasan di dubur. Janganlah kentut dilepaskan di mulut yang diterjemakan dengan ketipan jari di keyboard.

Allahumma ya Rab.. tolong jaga kami dari kerancuan akhlak dan bicara...


Monday, October 31, 2022

Parti-parti yang dahagakan kuasa.

Kritikan ini ditujukan kepada sebuah parti yang bernama PSM (Parti Sosialis Malaysia). Pada musim mendekati garis akhir penamaan calon pada 5hb ini bagi PRU15, kita lihat bagaimana PSM memperlihat ketidakselesaannya dengan PH. Berikutan masalah kerusi yang patut mereka tandingi belum diberikan kata putus oleh para pemimpin PH, mereka mula mempersoalkan tentang hak mereka. Mereka mengungkit tentang janji yang diberikan buat mereka.

Saya yang kurang minat dalam politik, tidak terlepas dalam memerhatikan gelagat beberapa parti yang kecil seperti PSM ini. Mereka nampaknya sedang mencari dahan untuk berpaut. Selama ini, mereka kekal bukan sebagai komponen PH. Namun bila menjelang PRU15, mereka beraksi seolah-olah mereka komponen PH. Bila tidak diperuntukkan kerusi, mereka berang. 

Kita rakyat yang bukan dalam hagemoni politik tidak tahu apa yang berlegar kalangan para tuan politik. Mungkin PSM mahu kerusi-kerusi boleh menang yang sudah ada penyandang sebelumnya dari PKR atau lain-lain komponen PH. Bila rundingan ke arah itu gagal mencapai natijahnya , mereka tidak ditawarkan kerusi. 

Nasiblah, PSM tidak pernah menang dan tidak diminati serta bukan pilihan ramai. Kalau mereka bertanding sendiri pun sekadar bertanding dan mungkin hilang deposit. Apa yang kita boleh lihat, tujuan parti sebegini hanya pamrih kuasa. Kalau ada seorang ahli parlimen mereka, mereka mungkin berkira boleh membuat beberapa tuntutan sesuai dengan ideologi sosialis mereka. Antara penyokong parti adalah Siti Kasim, musuh ramai orang Melayu.

Seharusnya, parti sebegini tidak perlu dibawa berbincang. Ada tak menambah, tiada tidak mengurang!

Saturday, October 29, 2022

Makar yang tidak habis

Umno dilaporkan menolak cadangan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu di Tambun untuk menewaskan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan menamatkan kerjaya politiknya.

Laporan Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bahawa BN akan meletakkan calonnya sendiri di sana dan mereka yakin berpeluang memenangi saingan pelbagai penjuru di Tambun.

"Kita tidak mempunyai sebarang pakatan (untuk BN) untuk memberi laluan (kepada mana-mana parti lawan) di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," katanya dipetik sebagai berkata.

Ahmad dilaporkan berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli jawatankuasa PAS pusat Zuhdi Marsuki, yang mencadangkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu untuk mengalahkan Anwar bagi kerusi parlimen Tambun pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Zuhdi dilaporkan berkata Anwar adalah penyumbang utama kepada "krisis politik yang tidak berkesudahan" di Malaysia dan mengalahkannya di Tambun akan menamatkan kerjaya politiknya.

"Sebagai balasan, Umno boleh meletakkan calon untuk kerusi DUN Hulu Kinta mana
kala PAS boleh melakukan perkara yang sama di Manjoi," katanya.

(Petikan: Sumber FMT yang dipetik Malaysiakini)


Politik seperti ini adalah "telunjuk lurus kelingkin berkait". Dalam degar ceramah menyatakan kebobrokan UMNO sebagai parti perasuah, mengajak rakyat menolak UMNO dan mengundi Perikatan, boleh ada usul daripada seorang Ahli Jawatankuasa Pusat Pas untuk berpakat dengan UMNO dalam rangka untuk mengalahkan DS Anwar. Politik ini tidak tulus. Tidak jujur dan tidak adil. Kata tidak dikota. Depan para penyokong dinyatakan bahawa UMNO parti kelptokrat. Menang UMNO negara akan musnah. Tapi, dalam senyap-senyap cuba melakukan perbincangan untuk mencapai matlamat yang cuba disamakan antara dua gabungan itu. Matlamat menewas seorang politikus yang sekian lama dimusuhi.


Allahu...akal sihatku tidak boleh menerima permainan kotor sebegini. Hati Zuhdi Marsuki lebih berkabus, berbelang dan berceloreng berbanding Ahmad Maslan. Dalam soal ini, penolakan Ahmad Maslan adalah berprinsip. Idea Zuhdi Marsuki untuk memasukkan ramuan politik " kita sepakat di sini dan bergaduh di tempat lain" adalah sebuah nifak politik. Politik memperbodohkan rakyat. Politik belakang tabir yang tidak pernah padam dan menjadi bidak catur sebahagian politikus Pas sejak al-Marhum TG Nik Aziz masih hidup.


Kita tidak lupa episod lepas yang belum tamat dan to be contunued. Episod yang pecah tembelang ini adalah salah satu sambungan cerita makar politik dalam episod lepas. Rakyat yang cerdik dan celik maklumat tidak menyukai mainan bersimpang siur seperti ini. Tidak mustahil dan amat mungkin sekali, selepas PRU15, akan ada lagi mainan kotor yang akan dipalu.


Semua itu demi sebuah kemahuan. Menjatuh seseorang dan menaikkan seseorang. Tidak lain, tujuan daripada falsafah itu , hanyalah demi memburu al-jah serta haloba kuasa.


Allahul musta'an...Aku berlindung dari siasah!(memetik kata-kata Said An-Nursi)

Wednesday, April 06, 2022

Bejat politik itu

 Politik Malaysia ini sudah pening lalat. 

Baru ludah, ludah dijilat semula. Para ahli politik jadi katak yang berlompatan. Masing-masing tubuh parti dan meletakkan target nak jadi Perdana Menteri.

Baru berapa tahun sahaja Bersatu ditubuhkan setelah berpecah terserpih daripada UMNO. Daripada Bersatu itu terserpih pula Pejuang dan juga Muda. Dulu PKR terbentuk dan bolehlah dikatakan ia terserpih daripada UMNO juga. Tahun lepas ada satu parti terbentuk hasil serpihan dengan PKR. Parti Bangsa Malaysia.

Bersatu yang terserpih daripadanya Pejuang kini diura-urakan mahu bersekutu pula dengan Pejuang.PKR dengan Amanah dan Dap nampaknya dalam keadaan tidak menentu. Entah esok atau lusa Pakatan Harapan hanya tinggal nama. 

Pas yang dulu nampak beriya-iya mahu bersatu dengan UMNO demi perpaduan ummah, kini sudah mula terguris dan bercakar makar halus permusuhan.Menjelang PRU 15, tidak nampak Pas dan UMNO akan bersekutu lagi. Sementelahan dalam keadaan Pas masih bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Syeikh Said An-Nursi berkata: Aku berlindung daripada Syaitan dan Siasah!

Saturday, July 10, 2021

Walhasil balik asal

 Perlantikan DS Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana menteri bukan pelan pemulihan negara terhadap masalah pendemik yang diharapkan. ia tidak menjanjikan harapan negara akan pulih. Sebelum ini, dialah orang yang saban hari mengumumkan sop dan langkah-langkah menangani pendemik. Apa yang boleh dia lakukan untuk berbeza daripada sebelumnya? Bekerja menguruskan negara bukan dibuat oleh seorang. ia dibuat oleh sekumpulan kabinet menteri. Dalam kabinet itu termasuklah DS Ismail Sabri. Kononya, nampak macam perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mengorak langkah ke arah keluarnya negaranya dari belenggu dan himpitan Covid19. 

Cara bekerja masih dalam kerangka yang sama. Walhasil balik asal. Langkah perlantikan DS Ismail Sabri itu adalah langkah politik dan bukan langkah pemulihan. Pemulihan kesan wabak  ke atas kesihatan, ekonomi dan sosial. Ia adalah langkah politik yang terdesak di kala ugutan UMNO sebagai paku tiang senget PN mencabutkan dirinya. Afar tidak terus rebah, pelbagai cara dilakukan. Antaranya adalah perlantikan yang kosong daripada harapan itu.

Suara rintihan marahaen sudah di tahap yang kronik. Rintihan kekadang telah menjelma menjadi seranah kemarahan. Dalam banyak keadaan ia telah menjadi marak api kebencian. Namun. para algojo kuasa masih bemain catur dengan gerak-gerak bidak yang tidak memberi faedah kepada rakyat. 

Aku mengamati keadaan ini dan berfikir. Kenapa begitu payah kerajaan ini mahu menangani pandemik ini. Angka kes dikocak dan ditarik untuk turun, tetapi tidak mahu turun-turun. Menjolok buah tak jatuh tetapi anak-anak yang menanti sudah sakarat !

Barangkali boleh dimuhasabahkan. Kerajaan ini dibina dengan langkah-langkah yang ganjil dan di luar norma. Kerana itu susah mencapai berkat dalam pemerintahan. Tanpa berkat yang hanya anugerah Allah buat sesuatu pemerintahan, sebarang agenda tidak membuahkan hasil. Renung-renungkanlah!


Manusia di persada kuasa, jika tiada "ma'iyyatullah" serba tak kena. 

Wednesday, July 07, 2021

Khianat Pemimpin Silam

 Ya Allah...di saat mendengar beratus ekar tanah di Raub menjadi kepunyaan peneroka haram yang menanam durian Musang King, terlintaslah jenayah pengkhianat yang membenarkannya 20 tahun yang lalu.Mereka, para peneroka haram itu, tidak mungkin masuk hutan galas barang kontot berpura-pura cari rotan atau buru pelanduk, lalu tebang hutan buat ladang. Mereka angkut jentera dan lori membongkar tanah dan memunggah isinya sebelum menukarnya jadi ladang. Padahal hutan itu ada penjaganya. Namanya pun hutan simpanan. Renger hutan dibayar gaji menjaganya. Ada Jabatan Perhutanan yang dilantik dan diberi gaji memeulihara hutan pusaka datuk nenek.

Siapa khianat antara mereka, di hari akhirat akan dikumpulkan bersama para pengkhianat.

Tidaklah berbaloi duit rasuah yang diterima walau jutaan ringgit. Tidak membawa bahagia orang yang mengkhinati amanah bangsa dan negara. Di dunia akan dicela oleh orang kemudian, akhirat lagilah dahsyat. Setiap inci tanah yang kalian berikan kepada peneroka haram secara makar, kalian akan tanggung akibatnya.

Orang pejabat tanah, awas kamu. Buat;ah kerja dengan jujur sejujurnya. Jangan terliur dengan habuan lalat dunia ini. Jika ada pemimpin politik yang terlibat camputangan, celakalah kalian dengan celaka yang berganda. kalian pemimpin dan pemimpin wajib menjaga amanah rakyat. Walau sejuta kebaikan yang kalian lakukan, sekeluimit khianat yang terselit akan merosakan kebaikan kalian. Tidak guna haji berkali-kali atau umrah berulang-ulang.

20 tahun yang lalu, kejadian itu berlaku. Kejadian peneroka haram mendapat keizinan memugar tanah hutan simpanan dan menjadikannya ladang musang king. Celakalah ornag 20 tahun yang lalu dan celakalah juga orang tahun-tahun kemudiannya yang merestuinya. Angkara mereka, tahun 2021 ini kita saksikan kemelutnya. Ketika tanah tersebut dipersoalkan statusnyam, para peneroka haram bangkit bertindak lagak bagaikan tanah itu tanah mereka dan leluhur mereka. Akan terus menjadi tanah mereka sampai ke anak cucu mereka.

Jenayahnya adalah 20 tahun lalu, seusia durian musang king yang sedang berbuah lebat dang ditebang kejam oleh para penguatkuasa. Bairkan. Durian itu memang pokok haram. Pokok haram yang ditanam oleh para haram jadah dan mendapat keizinan tanam oleh para haram jadah. 

Mereka yang membuat rumusan peristiwa, jangan terputus dari sejarah. hari ini nampaknya isu ini dikaitkan dengan Cina. Bukan soal bangsa yang menjadi pokok persoalan. Soalnya pengkhianatan para pemimpin bangsa Melayu yang diberikan amanah sejak 20 tahun yang lalu. 

Khianat para pemimpin ini terus berlaku dan akan berlanjutan. Mereka calon-calon yang bakal berbaris-baris di bawah bendera ghadar.


Saturday, June 12, 2021

MENJADI DEDEMIT

Kalau tiada angin masakan pohon bergoyang?

Kedudukan MB Terengganun didesuskan akan diganti? Siapa yang mampu menggantikan MB terengganu itu melainkan 22 Adun Pas. 10 Adun UMNO tidak mampu menukarkan MB yang satu itu.  Menggoyangkannya pun tidak punya daya. Parti-parti lain yang tidak punya bahagian dalam kek kuasa di Terengganu jauh sekali berpeluang. 

Apakah ada permainan dalam keluarga yang sedang dimainkan oleh Tok Dalang yang bersembunyi di belakang tabir?  Kemungkinan-kemungkinan yang minta disimpangkan malaikat 44 boleh menjadi realiti kalau difikirkan hukum politik. Telah masyhurlah bahawa dalam politik itu tiada sahabat yang kekal sebagaimana tiada musuh yang kekal. Penafian dalam politik juga tidak boleh dipercayai sebagai ikrar , juga tidak boleh dipegang. 

Putaran masa akan membuka pekung yang disembunyikan. Lambat laun, bangkai gajah tidak akan mampu ditutup dengan nyiru.

 Inilah racun kuasa. Jika malaikat turun dari langit memegang kuasa, siapa boleh menjamin malaikat tidak bertukar menjadi dedemit?

Monday, August 24, 2020

Parti anak Muda Syed Saddiq

 

Bukan memperkecilkan harapan dan wawasan seorang yang bernama Syed Saddiq. Dia memang seorang anak muda yang berani dan masih bersih daripada najis kebobrokan politik. Keputusannya untuk menubuhkan parti sendiri adalah langkah yang baik. Dia tidak perlu menyertai parti pejuang yang ditubuhkan oleh Tun M. 

Tapi, kenapa parti itu parti anak muda? Ya...Syed Saddiq baru berusia 27 tahun. Apa jadi nanti klau dia sudah berusia 57 tahun atau setidak-tidaknya 47 tahun. Bukankah pada waktu itu parti anak muda itu tidka lagi relevan buatnya?

Kecuali jika parti aanak muda itu mengalami rombakan untuk menjadikannya parti tua muda macam parti parti lain.


Parti mana pun, ada jatuh bangunnya. Eloklah mencuba nasib. Kalau kena caranya, sebuah partu baru akan mengambil tempat parti lama. 

Semuanya dalam aturan yang disusun oleh Allah SWT.

Thursday, September 06, 2018

SEMAK SEBELUM SEBAR

Kata-kata ini patut jadi motto semua pelakun dalam dunia media sosial. Banyak sangat sampah maklumat yang tersebar. Kekadang ia berbentuk fitnah. Tampa ketelitian dan kecermatan, kita akan terjebak dalam jerangkap dosa. Sebab itu...

SEMAK SEBELUM SEBAR

Jangan seronak copy  paste apa yang orang hantar kepada kita. Kelak, diri sendiri akan menyesal di akhirat.


Ini adalah satu bentuk penyelewengan yang dibuat oleh para pemain wayang media soisal. Banyak lagi contoh lain. Tidak dapat saya senaraikan. Saya tidak ambil sampah-sampah yang bertebaran dalam FB atau Whatsapp. Saya tidak like dan tidak kongsi apa yang orang tulis dan kongsikan. kalau mereka dosa, biar mereka dosa sendiri. Saya tidak mahu terheret sama.

Semoga Allah peliharakan saya sepanjang masa.

Wednesday, May 30, 2018

PERLUKAH MEMBELI SIARAN PIALA DUNIA

Aku adalah seorang rakyat Malaysia yang tidka menaruh pmenaruh minat terhadap apa yang dikatakan Piala Dunia. Keputusan Kementerian penerangan untuk membeli hak penyiaran Sukan Piala Dunia untuk disiarkan secara percuma di RTM bukan satu yang mengembirakan aku. Sementelahan kos yang dianggarkan mencapai 40 juta ringgit Malaysia. Dalam keadaan negara dibebani hutang 1 trilion dan kerajaan mewujudkan tabung untuk rakyat menyumbang bagi mengurangkan bebanan hutang tersebut, bagaimana Kemneterian Penerangan sanggup membelanjakan sejumlah wang puluhan juta untuk menyiarkan rancangan yang hanya diminati oleh segelintir rakyat Malaysia.

Ini aku tidak faham. 

Tentang kakitangan awam tidak dapat bonus, itu aku tidak kisah. Harapan agar harga barangan jadi murah berikutan pemansuhan cukai GST dan tempoh tanpa cukai SST hingga September sudah boleh dianggap sebagai timbal balik yang dapat dinikmati rakyat terbanyak. 

Namun pasal RTM mahu menayangkan piala dunia dan makan kos hampir 40 juta ini , ini aku tidak faham. Pada hematku, projek ini adalah tidka kena pada masanya. Ketika rakyat perlu menunjukkan patriotik dengan menyumbang kepada tabung Harapan Malaysia buat mengurangkan bebanan hutang, apa-apa sahaja program hiburan yang menjadi kegilaan segelintir anggota masyarakat perlu dihentikan.

Wallahu a'lam...saya kurang mengerti siasat ekonomi sebegini.

Thursday, April 26, 2018

USAH MENDEWAKAN AHLI POLITIK.

Sebenarnya, ahli politik bukan Rasul utusan Tuhan. Mereka bukan datang membawa ayat-ayat dan firman suci dari langit.  Mereka bukan pendekar tangguh yang lahir dari pertapaan keras penuh makrifat dalam gua puncak gunung.  Mereka bukan barisan pohon rendang di gurun sahara buat teduhan para musafir penat dan lelah. Bukan...bukan. Jauh sekali menjadi malaikat langit yang turun menyebar rahmat buat sejagat.

Dalam gerombolan manusia seperti domba ternak, ahli politik lebih hampir tamsilannya seumpama rubah-rubah menjelir yang kelaparan. Menampilkan diri sebagai anjing pengawal domba yang berbudi, saat "cow boy" tiada, mereka boleh bertukar menjadi serigala haus darah.

Jangan pandang mereka sebagai ubat mujarab anda. Sekalipun anda sakit, jangan terlalu percaya celoteh penjual ubat penyembuh seribu sakit. Mereka mengambil kesempatan atas keterdesakan rakyat. Rakyat memang terdesak sekarang. Kalau ibarat orang yang sedang tenggelam timbul dalam arus ganas, sebarang benda timbul akan digapai buat berpaut. Sekalipun yang timbul itu tahi lembu kering yang dihanyutkan air.

Jangan menaruh harapan menggunung. Janji hari ini memang fasih, tetapi perlaksanaan esok hari akan bertatih. Akan ada yang matanya berputih. Menjelang pemilu berikutnya pun janji yang sama masih akan ditasbih. Rakyat akan terus menagih sementara ahli politik akan kembali terhengeh-hengeh.

Kepentingan Peribadi

Berjuang dalam politik dikatakan demi membela rakyat. Begitulah bahasa rata-rata orang yang menceburkan diri dalam perlumbaan politik pilihanraya. Sungguh indah didengar. Mereka umpama Arjuna yang dipercayai orang hindu yang muncul menegakkan keadilan untuk massa.

Sebenarnya, mereka tidak lebih dari haiwan-haiwan politik. Kambing lembu bertegkar demi merebuti rerumput hijau. Matlamat akhirnya adalah perut. Tidak ada beza juga dengan haiwan politik. Perebutan adalah pada kerusi  dan tujuan akhir adalah untuk perut juga. Jika menang hidup selesa dan cukup makan. Kalau kalah alamatnya hidup susah dan tidak cukup makan.

Mencari ahli politik yang benar-benar jujur dalam arus pusaran politik ananiyyah masa kini amat susah. Menampakkan wajah kesuma dewa tetapi sebenarnya menyimpan racun ular berbisa. Hadir menyebar kasturi malaikat, tetapi menyimpan busuk bangkai berulat.

Kepentingan diri adalah asas perjuangan. Bukan demi rakyat. Hakikat ini terlihat apabila diri tidak terpilih. Tidak terpilih sebagai pemimpin kawasan, tidak dapat jadi calon bertanding dalam pilihanraya, maka memberontak. Watak ini merentas semua parti. Orang-orang yang benar-benar ikhlas memang ada tetapi yang ramainya adalah telunjuk lurus kelingkin berkait. 

Allah maha mengetahui apa yang tersemat dalam hati!

Sunday, April 22, 2018

JALUR BERCANGGAH

Antara dua aliran, nampak jalur fikir yang berbeza. Bagi yang memerhati gelagat, akan tahu membezakan. Satu aliran bernuansa khawariji manakala satu lagi mengambil gaya salafi lateralis. Disebutkan juga ekstremis Wahabi.  Rupanya ada sifat ekstremis pada Wahabi. Barangkali ekstremis itu bukan lumut yang hanya tahu melekat kepada Wahabi, tetapi  juga kepada Khawariji, Syiah bahkan Ahli Sunnah. Penyakit kemelempauan merentas aliran dan fahaman.

Antara jalan yang bersimpang siur itu, kita perlu cermat mengambil satu jalan. Aku lebih cenderung memilih jalan sederhana. Bersederhana dalam semua hal adalah lebih selamat, sekalipun dalam menegakkan sunnah Rasulullah. Pada saat tertentu, baru kita akan nampak faedah di sebalik kesederhanaan itu.

Friday, November 04, 2016

Pemimpin berbohong.

Mereka yang jadi pemimpin dan berbohong kepada rakyat, tidak sama dengan bohong-bohong kaki temberang di kedai kopi simpang tiga kampung. Tidak sama dengan bohong tukang cerita yang berceramah menyedapkan halwa telinga.


Mereka yang jadi pemimpin dan berbohong kepada rakyat adalah satu jenayah yang payah untuk dimaafkan.


Bukan sahaja rakyat tidak patut maafkan, Allah SWT pun sukar hendak maafkan.


Satu waktu dahulu, masa kempen pilihanraya janji akan buat projek itu dan ini, tetapi kemudian lepas pilihanraya, mungkir janji. Itu namanya bohong!


Dulu sebelum GST dilaksanakan, rakyat diyakinkan bahawa GST akan menurunkan harga barang, tetapi bila GST sudah berjalan, harga barang jadi naik dan malambung-lambung. Ini pun satu pembohongan.Minyak masak 5kg berharga sekitar RM13.00 boleh naik melebohi RM20.00.


Dulu, masa mahu naikkan harga minyak petrol dan disiel, katanya ia akan naik turun ikut harga pasaran dunia. Waktu harga minyak dunia jatuh, harga minyak dalam negara masih naik juga. Ini juga bohong.


Masa angkat sumpah jadi pemimpin, janji jaga amanah negara. Jaga khazanah negara, Tapi bila sudah jadi pemimpin, pecah amanah.Bohong.


Dulu masa kempen, kata nak jadi pemimpin rakyat. Hidup macam hidupnya rakyat. Amalkan syariat dan ikut nubuwwat. Tidak akan bermewah-mewah di atas derita rakyat. Tapi, bila sudah diangkat, bertukar jadi ningrat. Rumah besar dan kereta mewah penuh sampai luar garaj. Pemimpin macam ini juga pembohong.


Pemimpin berbohong diberikan amaran oleh Rasulullah SAW dalam hadis:


ثلاثة لا يكلّمهم الله يوم القيامة، ولا يزكيهم ولا ينظر إليهم ، ولهم عذاب أليم: شيخ زانٍ، وملكٌ كذاب، وعائلٌ مستكبر


Tiga jenis manusia yang Allah tidak akan bercakap dengannya, tidak membersihkan dosanya serta tidak pandang kepadanya di akhirat kelak. Bagi mereka azab pedih menanti. Mereka ialah:
1-Orang tua yang berzina
2-Pemimpin yang berbohong
3-Orang miskin yang sombong.
( Hadis Riwayat Muslim)

Kalau nak selamat, rasa tak mampu jadi pemimpin yang amanah dan jujur dalam khidmat, baik tolak daripada jadi pemimpin. Dunia singkat, akhirat sana takut merempat.

Friday, January 16, 2015

Hiduplah semahumu.

Kisah Sirul dan Azilah yang dituduh membunuh Al-Tantuya kini berkocak lagi. Bebberapa tahun lalu mereka dibebaskan mahkamah daripada sabitan kes tersebut. Lantas, rayuan dibuat atas keputusan itu. Terkini, mereka kembali dijatuhkan hukuman mati. Hampir seluruh rakyat Malaysia sudah meyakini bahawa merekalah algojo yang membunuh Altantuya. Hanya berlaku kesamaran tentang dalang yang berpanca sitara di belakang layar. Ia masih menjadi cerita-cerita misteri yang tidak dapat terdedah.

Rasanya, dalam dunia ini akan berlalulah bebilah harinya dan dalang dua algojo itu tentap akan menjadi misteri. Kelak, di mahkamah Allah SWT, warga mahsyar akan mendapat tahu. Betapa cermat tabir ditutup, ia hanya sekadar episod pendek dunia.

Sirul dan Azilah berada di luar negeri. Mereka dibela pula oleh kerajaan Australia. Nyawa mereka yang diputuskan halal direnggut oleh mahkamah di Malaysia nampaknya masih cuba dilanjutkan. Maka, untuk mereka berdua, kita katakan, hiduplah semahumu. Satu hari kamu akan mati juga. Betapa jauh lari menggendong dosa membunuh Altantuya, kelak akan ditampar juga oleh Malakatulmaut. Sirul dan Azilah tidak akan mampu bertahan dan mengepung nafas hayat mereka.

Di Mahsyar, mereka berdua akan menuduh tuan mereka yang bijak main makyung di dunia dan masing-masing cuba berlepas diri. Lalu, saat itu itu mereka akan berkata:

يَا وَيْلَتَى لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلانًا خَلِيلا


" Aduhai kiranya dalam dunia dulu tidak menjadikan diriku pengikutnya!".


Namun apalah erti sesal setelah sesalan tiada harganya.