CARI BAHAN

Monday, May 30, 2016

Ini negara lukah

Pada setiap pergentingan
ada lukah ditahan.


Ketika di lebuh raya
mereka membina lukah tol.

Ketika membeli barangan
mereka melukahi dengan GST.

Ketika membayar bil air atau api
mereka melukahkan dengan pelarasan deposit.

Ketika hadir membeli belah di Expo jualan
ada orang melukahi dengan bayaran parkir.

Pergi berkelah di hutan rekreasi
ada pula melukahi bayaran masuk.

Ketika masuk tandas awam
lukahnya menangguk 30 sen.

Simpan duit dalam bank
pergentingan kad ATM melukahi yuran tahunan.

Lahir sahaja anak ke dunia
sudah terlukah waktu mendaftarkan nama.

Bila hidup menamatkan riwayat
pun banyak pergentingan berlukah.

Orang atas menahan lukah
orang bawah juga berlukah
sungguh bedebah
negara banyak lukah.

Wednesday, May 25, 2016

ORBIT KEPONGAHAN

Sejak bila kau hilang sabar
kau tegakkan keakuanmu
di tengah hiruk pikuk orang gelabah
yang hilang punca menyusur rasioanl.


Prinsip apa yang mengajar kita
menutup pintu merenung galaksi luas
atau sekadar meramal perjalanan bintang?

Kala ini
kau menjadi bintang kecil yang dilupakan
tetap beredar di atas orbit sendiri
sebuat orbit kepongahan.

Pertembungan Kabilah Politik dalam PRK KK dan SB

Aku hilang minat terhadap politik sejak perpecahan berlaku dalam Pakatan Rakyat dan kemudian disusuli dengan krisis dalaman PAS yang membawa kepada tertubuhnya Amanah. Harapan terhadap Pakatan Rakyat yang pernah aku semaikan menjadi hancur dan hagemoni Barisan Nasional tidak terpecahkan juga. Sepertinya umurku tidak akan melihat perubahan pemerintahan dalam negara melalui pertukaran parti pemerintah.

Parti yang aku dokongi pula dihambat permasalahan serius apabila sebahagian besar pemimpin yang aku sanjungi dan jadikan inspirasi lari meninggalkan Pas. Kemudian tampil orang-orang baru memimpin Pas sedangkan mereka itu aku tidak kenali atau aku tidak cukup mengenali mereka. Sementelahan, jasa dan pengorbanan mereka dalam membangunkan Pas adalah minima berbanding pemimpin yang telah meninggalkan Pas dan menubuhkan parti baru.

Aku pun hilang minat dan berkira-kira untuk menyisihkan diri daripada pertengkaran politik dalaman Pas yang aku sifatkan sebagai khilaf antara qabilah politik. Akar kepada khilaf kabilah adalah asobiyyah yang merupakan perasaan bahawa "aku sentiasa benar dan orang lain salah semuanya". Sememangnya itulah watak pemikiran asobiyyah dalam acuan apapun ia berada.

Tiba-tiba kini meletus pula pertengkaran siapa yang akan meletakkan calon di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bagi menentang hagemoni BN. Pas menjadikan amalan tradisi sebagai sandarannya untuk meletakkan calon di sana. Sejak dahulu, dua kawasan itu adalah kawasan Pas bertanding, termasuk sewaktu zaman ia berada dalam Pakatan Rakyat. Parti pembangkang lain turut mengintai potensi namun tuduh menuduh berlaku sesama kabilah pembangkang. Meletakkan calon di situ untuk lebih daripada 2 penjuru ditafsirkan sebagai memenangkan UMNO-BN. Mungkin satu hal yang tidak atau kurang diperasan oleh pihak yang berbalah ialah satu hakikat bahawa dua kawasan itu adalah dimenangi oleh UMNO-BN.

Sekadar mengerling sesekali, aku bosan mendengar pertengkaran bodoh kabilah pembangkang. Cakap terlalu banyak dan itu membuatkan khalayak merasa mual. Adalah lebih baik jika mahu bertanding menentang UMNO-BN, bertandinglah sahaja. Pengundi akan menentukan siapa pilihan mereka. Kawasan itu bukan milik sesiapa tetapi adalah milik rakyat. Tujuan meletakkan calon dalam pilihanraya adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat memilih dan bukan soal siapa yang akanb menang atau kalah. Meneng atau kalah adalah persoalan kedua. Apa yang utama ialah menawarkan pilihan. Dalam sekian banyak rakyat yang menghuni kawasan itu, pilihan mereka bukan berkisar antara A dan B sahaja. Ada pilihan C dan D. Mungkin juga ada pilihan sampai Z. Berapa banyak pilihan yang boleh ditawarkan, silakan tawar.

Kalaupun sepakat kabilah pembangkang bahawa pilihan yang ditawarkan untuk pengundi hanya dua, ia bukan menjamin kejatuhan UMNO-BN. Tujuan pengundian bukan sekadar hendak menjatuhkan UMNO-BN, tetapi juga melihat sokongan rakyat. Membaca pola pemikiran rakyat. Dalam sebuah negara demokrasi, kecenderungan rakyat hendaklah diberikan jalan melampiaskannya.

Monday, May 23, 2016

amalan kecil pahalanya besar

Jangan diremehkan amal yang rendah
siapa tahu pahalanya di sisi Allah
boleh jadi balasannya ibadah
menjadi sebab ke syurga nan indah.

Berbuat sedikit hasilnya lumayan
kelak diakhirat menjadi hairan
melihat pahala sebagai ganjaran
dari amal yang bukan harapan.

Wednesday, May 18, 2016

Pencak Pincang

Pencak pincang para aktor tua
di pentas politik negara
buatkan ramai mengeluh hampa
ke mana hendak dibawa kita?

Orang yang dulunya menebar angkara
kini diangkat jadi perwira
dia pun cuci dosa
jenayah besarnya dilupa.

Orang yang dulunya terumbang ambing
lalu diberikan sebilah lembing
untuk berdiri sebaris berganding
buat pendekar tangguh jadi terasing.

Permainan ini sungguh membingungkan
tidak dapat dikenal batu dan intan
siapa yang menjunjung prinsip perjuangan
banyaknya cuma bermadah gerangan.

Tuesday, May 10, 2016

Politik hangit para dedemit

Politik bukan ukiran prasasti
lenggok dan tari tidaklah pasti
bukan tegak si pohon jati
tidak mudah difaham erti.

Ia seperti permainan aci
Atau perlumbaan kekura dan kelinci
Ia seni mengobar benci
medan pendosa menunjuk suci

Nampak berperang suara garang
Lain di depan lain di belakang
Kelmarin kawan hari ini ditentang
Esok bertukar berkasih sayang

Tiada kawan kekal sejati
Tiada musuh selamanya dibenci
Boleh bertukar setiap hari
Mengikut selera kepentingan diri

Bicara kelmarin jangan dipegang
hari ini jadi temberang
esok bertukar dondang sayang
lusa menjadi cerita sumbang.

Manusia berpolitik amatlah berselisih
Payahlah mencari mereka yang bersih
Ada sahaja dolak dan dalih
Halal dan haram bertukar bersilih

Jika terbabit malaikat di langit
hingga ke Aras baunya hangit
bidadari syurga turut menjerit
malaikat berubah menjadi dedemit.

Banyaklah tersungkur para wali
seumpama Bal'am miskipun  tajalli
kerana politik dia dibeli
buang agama hilang peduli.

Tempoh di dunia kurang sehari
hakikat itu menyedarkan diri
hukum dunia punya negeri
pasti ada kelompok pak menteri

Dunia politik merekalah ahli
di tangan mereka memegang kandali
sekalipun tampil manusia wali
di bawah mereka dibuat kuli.

Melihat politik wajahnya tercemar
mereka yang terjun jawatan dikejar
agar disanjung kata didengar
mendapat habuan jadi bergelar.

Ramai juga manusia yang hebat
kerana politik berubahlah sifat
Dulunya hidup dalam taat
Selepas berkuasa berbuat bejat.

Bila diri disanjung rakyat
Lupalah doa mohon inayat
Sombong bongkak mengatur siasat
Apa diingini yakin didapat

Mulanya Musa menentang Firaun
Akhirnya diri menjadi malaun
Mulanya Musa menasihati Qarun
akhirnya harta sendiri bertimbun.

Orang politik bila bicara
Waktu menagih sokongan jelata
Agar menang dalam pilihanraya
Sangguplah diri dipanggil hamba

Konon rakyat dialah pembela
Konon bangsa dialah perwira
Konon agama dialah lantera
Konon raja dialah kota

Seribu kata dihambur ke medan
Boleh dengar simpan angan angan
Satu masa akan jadi kenyataan
Namun tidaklah ada kepastian.

Sungguhlah politik hutannya angker
ulama menjadi anjing menjelir
para penganggur membina karier
para santri menyimpan selir.

Rebah tersungkur petapa keramat
Menjadi takbur raja berdaulat
Menjadi domba seluruh rakyat
Diseret gembala  di malam zulmat

Di kala sungai airnya bening
Angkara politik airnya kuning
Di kalau hutan damai hening
Pepohonan bertukar kering tinggal ranting

Sudah bertimbun bahana berabad
Politik hangit faqir adab
Hanya mencipta zaman gelap
Dunia permai runtuh ranap
Manusia khalifah tersungkur tiarap
Tiada apa yang boleh diharap
Di kala rumah rosak atap.



Friday, May 06, 2016

INQILAB

Satu waktu, aku terdengar dialog dalam sebuah filem Purbawara Indonesia mengenai Brama Kumbara. Dalam dialog itu seorang pendekar wanita berkata kepada temannya seorang pendekar wanita yang lain:

" Kebencian yang keterlaluan adalah pangkal kepada percintaan".


Dalam hidup kita, kita jangan benci keterlaluan kepada sesuatu. Falsafah menyatakan bahawa setelah sampai kemuncak tiada lagi kemuncak. Yang ada adalah jurang. Jika kita mengikut runrunan kebencian itu, pada satu ketika di belakang hari, kita akan mengikut pula runtunan cinta gila kepada sesuatu.

Lihatlah kemenjadian falsafah ini dalam kehidupan kita. Dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Dalam pergaulan dan persaingan ideologi. Termasuk dalam persoalan iman dan kepercayaan.

Dulu bukan alang-alang benci. Tapi kini bukan sedikit kaakraban yang mempamerkan cinta kasih. Dulu berjarak bagai tanah dua benua. Kini merapat bagai aur merangkul tebing. Semasa kita melontar kebencian, ada karma yang menghantui. Tuhan yang "Muqtadir" membolak balikkan hati manusia.

Ambil iktibar. Pada saat kamu tidak menyukai seseorang, berpadalah dan jangan melewati. Disaat kamu tidak sukakan sesuatu, beringatlah bahawa akan datang kamu akan memerlukannya, bahkan menggilainya.

Melanglang buana.

Dengan dana siapa
mereka melanglang buana?
dengan duit rakyat jelata
juga duit para penderma.


Pemimpin atas sana
melanglang buana serata dunia
tapi negara makin terhina
sedang rakyat kian merana.

Yang memungut derma
atas nama agama
untuk rumah anak yatim
atau para penghafaz al-Quran
saban bulan melanglang buana
sedang anak yatim mencari dana
untuk yang punya nama...
para pelajar hilang masa
intuk menambah hafalannya

mereka asyik...
melanglang buana

Tuesday, May 03, 2016

PANTUN NASIHAT UNTUK MURID





Pohon Sena rosak akar
Batangnya retak bakal binasa
Apa guna pandai belajar
Jikalau tidak berbudi bahasa.


Jala ditebar tenggelam ke dasar
Dapat sepat untuk disaji
Cikgu mengajar murid mendengar
Itulah sifat murid terpuji.

Carik kertas dikoyak penghulu
Oleh Cik Siti memandang ragu
Jagalah kelas bersih selalu
Senanglah hati murid dan cikgu.

Kayu dikerat dengan gergaji
Tumbuh kemuncup penuh halaman
Rajin solat pandai mengaji
Barulah hidup diberkati Tuhan

Tepung diadun menjadi roti
Resepi dibuat sejak berzaman
Sopan santun berbudi pekerti
Itulah sifat orang beriman.

Tidak takut perjuangan digalas
Bersenjata seligi musuh ditentang
Jangan diikut perangai malas
Diri rugi dibenci orang

Karya : Ust Kama/Mei2016