CARI BAHAN

Tuesday, May 10, 2016

Politik hangit para dedemit

Politik bukan ukiran prasasti
lenggok dan tari tidaklah pasti
bukan tegak si pohon jati
tidak mudah difaham erti.

Ia seperti permainan aci
Atau perlumbaan kekura dan kelinci
Ia seni mengobar benci
medan pendosa menunjuk suci

Nampak berperang suara garang
Lain di depan lain di belakang
Kelmarin kawan hari ini ditentang
Esok bertukar berkasih sayang

Tiada kawan kekal sejati
Tiada musuh selamanya dibenci
Boleh bertukar setiap hari
Mengikut selera kepentingan diri

Bicara kelmarin jangan dipegang
hari ini jadi temberang
esok bertukar dondang sayang
lusa menjadi cerita sumbang.

Manusia berpolitik amatlah berselisih
Payahlah mencari mereka yang bersih
Ada sahaja dolak dan dalih
Halal dan haram bertukar bersilih

Jika terbabit malaikat di langit
hingga ke Aras baunya hangit
bidadari syurga turut menjerit
malaikat berubah menjadi dedemit.

Banyaklah tersungkur para wali
seumpama Bal'am miskipun  tajalli
kerana politik dia dibeli
buang agama hilang peduli.

Tempoh di dunia kurang sehari
hakikat itu menyedarkan diri
hukum dunia punya negeri
pasti ada kelompok pak menteri

Dunia politik merekalah ahli
di tangan mereka memegang kandali
sekalipun tampil manusia wali
di bawah mereka dibuat kuli.

Melihat politik wajahnya tercemar
mereka yang terjun jawatan dikejar
agar disanjung kata didengar
mendapat habuan jadi bergelar.

Ramai juga manusia yang hebat
kerana politik berubahlah sifat
Dulunya hidup dalam taat
Selepas berkuasa berbuat bejat.

Bila diri disanjung rakyat
Lupalah doa mohon inayat
Sombong bongkak mengatur siasat
Apa diingini yakin didapat

Mulanya Musa menentang Firaun
Akhirnya diri menjadi malaun
Mulanya Musa menasihati Qarun
akhirnya harta sendiri bertimbun.

Orang politik bila bicara
Waktu menagih sokongan jelata
Agar menang dalam pilihanraya
Sangguplah diri dipanggil hamba

Konon rakyat dialah pembela
Konon bangsa dialah perwira
Konon agama dialah lantera
Konon raja dialah kota

Seribu kata dihambur ke medan
Boleh dengar simpan angan angan
Satu masa akan jadi kenyataan
Namun tidaklah ada kepastian.

Sungguhlah politik hutannya angker
ulama menjadi anjing menjelir
para penganggur membina karier
para santri menyimpan selir.

Rebah tersungkur petapa keramat
Menjadi takbur raja berdaulat
Menjadi domba seluruh rakyat
Diseret gembala  di malam zulmat

Di kala sungai airnya bening
Angkara politik airnya kuning
Di kalau hutan damai hening
Pepohonan bertukar kering tinggal ranting

Sudah bertimbun bahana berabad
Politik hangit faqir adab
Hanya mencipta zaman gelap
Dunia permai runtuh ranap
Manusia khalifah tersungkur tiarap
Tiada apa yang boleh diharap
Di kala rumah rosak atap.



No comments: