CARI BAHAN

Showing posts with label kritikan. Show all posts
Showing posts with label kritikan. Show all posts

Saturday, April 18, 2026

Si mulut celupar diangkat sebagai pahlawan?

 Ini Zaman edan. Seorang petualang kekadang dianggap pejuang. Orang yang menabur perseturuan diangkat sebagai pahlawan. Orang yang menzalimi dikatakan sedang dizalimi. Orang yang tidak punya himmah mahu diberikan izzah. Orang yang suka mencela dan berlidah fahish disucikan dan anggap seperti darwis.

Seharusnya para pemain  tiktok maupun media sosial tidak dianggap pahlawan ketika menggempur dengan lidah digital mereka. Apatah lagi jika gempuran itu tidak berada dia atas akhlak dan  tertib seorang yang punya moral yang tinggil. Usah cakap pasal akhlak agama. Cukup nilai dari sudut nilai sejagat. Orang yang gagal dalam aspek itu tidak perlu ditaruh perhatian apatah lagi sanjungan. 

Orang yang hatinya kotor akan menumpahkan kalam yang menyerupai perlimbahan nista. Kerana mulutnya yang tidak dijaga, dia menadapat akibat. Ditangkap, dituduh di bawah undnag-undang, itulah buah aripada kerendahan peribadi dan nilai. Seharusnya orang seperti itu tidak dibela. Orang yang beriman tidak mengangkat orang pencela, bazi dan fahish sebagai ikon dalam masyarakat.

Di mana harga diri kita jika terpesona dengan kata-kata kotor yang dihamburkan. Belum lagi dajal keluar membawa fitnahnya yang hebat, baru seorang pelakun media sosial pun sudah tersungkur! Aduh...gunakan akalmu sebelum imanmu...

* Tulisan ini merujuk kepada pihak yang membela seorang tiktoker perempuan yang bermulut celupar dan jelek ditahan dan ada yang mengangkatnya sebagai pahlawan rakyat.

Monday, December 23, 2024

Apakah rakyat perlu bertekuk lutut?

Dalam menaggapi perjuangan rakyat di Syria dan kejayaan mereka menumbangkan Rejim Asad, kedapatan beberapa kalangan ulama yang menisbahkan diri sebagai Bermanhaj Salaf  dan Ahli Sunnah menunjukkan pendirian yang janggal dan tidak mesra perjuangan rakyat.Antaranya adalah Syeikh Salim Towil

" Aku tak iktiraf kemenangan para pemberontak!"

Mereka yang bangkit melawan Basyar Al-Assad adalah Khawarij. Demikianlah persepsinya.

Kenapa tidak katakan juga Hussain bin Ali sebagai Khawarij?
Kenapa tidak juga kata Ibn Zubair sebagai Khawarij?
Kenapa tidak katakan Ibn Sard sebagai Khawarij?

Mereka semua keluar menentang penguasa yang zalim.

Yazid bin Mu'wiyah itu lebih baik agamanya berbanding Basyar Al-Assad An-Nusairi.

Ulama-ulama seperti ini yang mendidik masyarakat jadi ummat yang mandom, akur dengan penindasan dan tidak bersemangat juang. Apa yang ada dalam kepala mereka sebenarnya?

Friday, December 13, 2024

Mufti Syria Ahmad Badruddin Hassoun



Sebelum tersungkurnya Basyar Al-Asad, mufti besar Syria yang satu ini sangat menjilat Basyar. Lidahnya berentetan dengan cemuhan dan celaan terhadap para pembangkat yang mengusai Idlib, Syria. Sejak kebangkitan Arab / Arab Spring pada tahun 2011, beliau berdiri teguh bersama barisan Basyar Al-Assad. 

Sayangnya, ulama terkenal, Sayyid Ramadhan Al-Bhuti juga memeprtahankan legitimasi pemerentahan Basyar Al-Asad. Moga Allah mengampunkannya jika beliau tersilap. Moga juga Allah mengampunkan kami jika salah bersangka buruk kepadanya.

Namun , mufti yang satu ini, Ahmad Badruddin Hassoun sangat menunjukkan sifat mencari dunianya. Dia tidak membela orang mustad'afin yang menjadi tradisi ulama mujahid yang berdiri atas kebenaran. Malah, dia banyak mencemuh perjuangan sebahagian rakyat Syria yang membangkang Basyar dan kezalimannya Ini amat dikesalkan. Allah akan meperhitungkannya di hari kemudian dan paa hari akhir nafasnya di dunia ini.

Satu lagi tokoh yang dilihat kuat memeprtahankan Basyar adalah Menteri Waqaf yang bernama Muhamamd Abdul Sattar As-Sayyed.



Lalu , apa yang terjadi selepas Basyar tumbang? Tersebar video dan kenyataan keduanya mengucapkan tahniah kepada rakyat Syria dan menggambarkan Basyar sebagai zalim!

Apa sudah jadi? Telah hilangkah maruah? Jika Basyar itu zalim, malah kafir sekalipun, dia lebih bermaruah kerana tidak menyerah. Dia akan lebih bermaruah jika mati terbunuh di tangan pemberontak dan tidak lari ke Moscow, Rusia. Sayangnya dia lari dalam kenadaan hina. 

Dan...rahmat Allah buat Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang lantang menyuarakan penentangan terhadap kezaliman keluarga Assad di Syria dan dokongannya buat kebangkitan. 

Ingatlah ...hari-hari dunia hanyalah putaran roda. Yang mendokong kezaliman akan mengetahuia ke munqalib mana mereka inqilab!

{وَسَيَعْلَمُ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبُونَ}

Adapun  para pendokongnya yang yang bepaling , dari menyanjungnya kepada mencelanya, ini lebih teruk. Tiada ungkapan yang sanggup aku titipkan melainkan aku mengatakan: Ana bari'un minkum ( Aku berlepas diri dari kalian)

Allahul musta'am!

Saturday, July 06, 2024

Kalau bukan Asy'ari atau Maturidi?

Orang Islam, kalau ditanya, kenalkah kamu Abu Hasan Al-Asy'ari dan Abu Mansur Al-Maturidi?

Jika dijawapnya tidak kenal, itu tidaklah mengeluarkan dia dari jalan nabi Muhamamd SAW. Tidaklah dia terjerumus ke dalam kumpulan sesat. Agama Islam ini berdiri sekalipun tidak ada Asy'ari dan Maturidi. Seumur hidup tak pernah tahu siapa dua tokoh itu, pun tidak ada masalah.

Asalkan....jangan tak kenal nabi SAW. Tak tahu siapa rasul. tak tahu siapa yang bawa Islam ini kepada umat manusia. Kalau tidak kenal Rasul, bukan Islam namanya. Setiap orang Islam wajib bersyahadat. Syahadat mengandungi dua kalimah. Pengakuan atas keilahiyan Allah dan pengakuan atas kenabian Muhammad SAW. Tanpa dua ini, tidka jadi ISlam.

Ahli Sunnah adalah meeka yang menegakkan syahadat ini dalam kehidupan mereka. Tidak perlu menambah-nambah lagi.

Jangan jadi macam Syiah. Siapa yang tidak kenal Ali, dia sesat. Dia bukan Islam.

Ada orang mengalihkan agama kanjeng Nabi kepada Asy'ari dan Maturidi. Nak jadi Ahli Sunah mesti ikut dua tokoh itu. Ini aturan siapa? Ini firman mana dan sabda mana?

Jika orang Islam lahir, besar dan mati tidak kenal dua orang ini, apakah dia bakalan isi neraka? Ya...mentang-mentang kerana dia bukan Ahli Sunnah...Tentulah terhumban ke neraka.

Banyak sungguh simpang siur yang diciptakan orang dalam agama ini. Apa tujuan di sebalik semua ini?

Friday, December 15, 2023

USTAZ PENUNGGANG AGAMA

 Saya juga seorang ustaz. Saya pun ada berceramah menyampaikan kuliah di masjid-masjid serta surau-surau. Tapi sepanjang saya menggalas gelaran ustaz serta pengkuliah di masjid dan surau, saya menjauhkan diri dari meminta sumbangan khalayak. Saya mengelakkan diri dari sebut dalam ceramah tentang derma dan sumbangan untuk saya atau kerja amal yang saya lakukan. Saya juga tidak mahu mewakili seseiapa menyampaikan hasrat minta sumbangan baik untuk madrasah, orang sakit atau apa sahaja.

Ustaz hendaklah jaga kemuliaan diri. Minta simbangan adalah perbuatan yang rendah berbanding memberi sumbangan. Tangan yang di atas(pemberi) lebih mulia daripada tangan yang di bawah(penerima sedekah/simbangan)

Habis tu apakah saya sebagai ustaz menolak semua sumbangan selepas ceramah dan kuliah. Saya tidak tolak dan itu bukan saya minta. Itu sumbaangan yang datang tanpa dipinta. Kalau ada ustaz minta pun, itu adalah sebagai imbalan ceramahnya. Itu bukan sumbangan tampa imbalan kerja. 

Macam ada orang bawa tabung masa ceramah. Minta suimbangan nak sambung belajar. Sumbangan nak bangunkan madrasah. Sumbanganderma nak bantu orang susah di luar negara. Macam-macam lagi. Minta sumbangan dalam bentuyk demikian tidak bersama imbalan. Ia hanya dengan tawaran pahala dan syurga. 

Para nabi dan Rasul tidak buat demikian. Mereka tidak datang kepada mad'u mereka dengan janji syurga dan pahala bersama minta sumbangan harta mereka melainkan kes-kes yang melibatkan keselamatan nyawa ummat. Macam Perang Tabuk.

Ustaz-ustaz dilecehkan kerana masalah ini. Lebih memalukan apabila ustaz pengutip sumbangan dilihat berkereta mahal. Kereta dengan sport rim yang menggiurkan jemaah masjid. Kehidupan ustaz peminta sumbangan pun mewah. Orang ramai tertanya-tanya, kemewahan sang ustaz dari mana? Dia minta sumbangan untuk madrasah, bantu Palastin, korban di kemboja, afrika atau untuk dinikmati sendiri???

Akhirnya, jadi fitnah kepada semua ustaz. 

Sekarang, penunggang agama adalah istilah yang sering ditempelkan kepada para ustaz. Sudah keluar drama-drama TV yang memberi persepsi negatif kepada title ustaz.

Ada ustaz, kereta rosak minta derma. Duit tak cukup buat modal kedai makan, minta derma. Nak hantar anak belajar ke universiti, minta derma. Perkara sedemikian berlajku atas orang-orang awam yang bukan ustaz. Ada yang hidupnya lebih susah. Tapi mereka tidak minta derma. Mereka minta hutang, pinjam sana sini atau kerja lebih amsa untuk tampung keperluan yang datang itu. 

Namun....pak ustaz....ambil jalan mudah. Jalan keluar masalah kewangannya dalam pokok para 'fan'nya.

Inilah punca kenapa nama ustaz dikaitkan dengan :"PENUNGANG AGAMA"

Degilnya, tak sedar diri dan buat tak heran, ada ustaz menempelak:

"Kalau tak tunggang agama nak tunggang apa, agamalah yang bawa kita ke Syurga???"

gulp!

Friday, June 23, 2023

Daging ulama adalah beracun

Catatan marah buat Tok Guru Jadian.

Beberapa hari ini ada seorang Tok Guru Jadian memperlecehkan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Selain mempertikaikan fatwa-fatwanya, dia mengatakan kembang tengkok bila dengar nama Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Saya tak heran kalau ada orang merasa kembang tengkok bila dengar nama Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Memang begitu rasanya kalau makan daging orang mati. Lebih-lebih lagi kalau daging itu daging ulama. Daging ulama itu beracun. Makan daging beracun manakan tidak kembang tengkok?

Demikian disebutkan dalam satu ibarat yang masyhur dan sandarannya kepada kata-kata seorang ulama yang bernama Al-Hafiz Abu Al-Qasim Ali bin Al-Hasan Hibbatullah Ibn Asakir Ad-Damsyiqi.

لحوم العلماء مسمومة
"Daging-daging para ulama adalah beracun"

Terlebih parah lagi kalau ulama itu telah meninggal dunia. Cacian dan nista kepadanya tidak lagi dapat dijawab balas olehnya. Selain sang penista menanggung akibat kemuflisan, dia akan mendapat fitnah dawair. Kita telah saksikan banyak contoh para penista ulama mendapat akibatnya. Ada orang, lidahnya banyak mencemuh Ibn Taimiyyah yang keulamaanya diakui oleh ramai tokoh ulama baik masa lalu maupun masa kini. Khazanah peninggalannya dalam dunia ilmu tidak terhitung keluasan manfatnya. Lalu, sang pencemuh itu kemduiannya melahirkan anak yang dicemuh dan buruk akhlaknya. Betapa besar kedudukannya dalam masyarakat, kemuliaannya direnggut hilang oleh sikapnya. 

Justeru, awaslah! Jangan makan daging beracun. Daging ulama sangat beracun. Ulama itu bukan lebai dan bukan ustaz kecil-kecilan. Ulama itu nama besar dalam dunia ilmu. Bukan, asal jadi penceramah lalu disebut ulama. Bukan jadi da'i, pencetus ummah, disebut orang Tok Guru, maka diangkap sebagai ulama.Bahkan. menjawat jawatan mufti belum tentu layak disebut ulama. Ulama bukan lebel semurah itu. Jadi ulama meletakkannya sebagi PANUTAN UMMAT.

Kau makan daging babi lagi selamat dari kau makan daging ulama. Kau makan daging babi, itu dosa, tapi kalau dalam keadaan darurat, tidak menjadi dosa. Namun, makan daging orang, apalagi ulama tidak pernah menjadi halal.

Keilmuan hanya pada tahap ruwaibidhah tapi mengaku sebagai Tok Guru. Mengaku mengaji kitab dari kulit ke kulit. Apa nak hebat kalau hanya buka kulit depan dan kemudian kulit belakang! Isi Kitab satu pun tak hadam. Tak terjelma dalam diri. Sementara, tak ada satu kitab pun  yang diterbitkannya untuk jadi rujukan ummat. Jauh sekali untuk berada di tangga ulama sekalipun anak tangga yang pertama dari ratusan anak tangga. Sedangkan kitab Dr. Yusuf Al-Qaradhawi memenuhi kutubkhanah seluruh dunia. 

Orang itu hidupnya tidak memberi manfaat dan matinya tidak akan diingat. Dia hanya anjing menyalak bukit. Ulama seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah menjadi bukit dalam dunia ilmu. Penyalaknya tidak akan memberikan apa-apa kesan, Hanya kasihanlah buat sang penyalak. 

Agama tidak memetik jasa Tok Guru jadian itu sekelumit pun. 


Saturday, December 03, 2022

Ikutlah DS Anwar Ibrahim nak lantik siapa pun...

Riuh rendah dalam media sosial, orang memperkatakan tentang kabinet kerajaan pimpinan YAB DSAI. Sindiran yang dipertajamkan ditumpukan terhadap perlantikan DS Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Presiden UMNO itu yang disifatkan sebagai Kluster Mahkamah dan dikatakan sebagai satu najis yang busuk dalam kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh DS Anwar Ibrahim. Sepatutnya DS Ahmad Zahid tidak dimasukkan dalam senarai Menteri Kabinet!



Kritikan-kritikan yang marak itu datang daripada musuh politik DS Anwar Ibrahim secara khusus dan Pakatan Harapan secara umumnya. Tidak kurang juga musuh-musuh politik DS Ahmad Zahid Hamidi sendiri yang bersenandung  penuh "comouflage" dalam Parti UMNO itu sendiri.

Sejak awal perlantikan DS Anwar sebagai Perdana Menteri lagi, kita saksikan ada sebahagian pihak yang tidak boleh menerima suratan takdir itu. Seakan-akan mereka lupakan firman Tuhan bahawa Dialah yang memiliki "mulk" (Kerajaan) dan Dialah yang memberikan kerajaan kepada siapa yang dikehendaki. Ketika berteori tentang takdir, memang mudah. Namun, bila dicabar oleh takdir, ramai yang melatah. Ilmu bukan jawapan untuk sebuah sikap. Sikap ditentukan oleh hati dan latihan serta tarbiah nafsiyyah yang panjang.

Pihak yang mempertikaikan keabsahan lantikan tersebut, seterusnya menunggu hari pengumuman kabinet. Sebelum hari itu pun, sentimen mengenai Ahmad Zahid Hamidi telah dipercikan apinya. Akhirnya, apabila DS Anwar Ibrahim mengambil keputusan melantiknya sebagai Timbalan Perdana menteri, api pun dinyalakan. Ia dimodali untuk sebuah kempen dan sentimen memburuk-burukan kerajaan yang telah dan sedang dibina itu.

Aku tidak berminat dengan politik kebencian seperti ini. Aku letih melihat sengketa para politikus. Tidak adakah satu senggangan masa untuk berehat dan bertafakur wahai para pengobar haba politik? Rakyat sudah terhimpit lama dalam kemelut ekonomi. Biarlah kerajaan yang ditauliahkan oleh DYPA itu bekerja. Nak lantik siapa, ikut suka dialah. Nanti, kalau sampai pusingan hari dan masa, bertukar kuasa ke tangan pihak yang lain, lantiklah pula siapa yang disukainya. Sekarang giliran DS Anwar Ibrahim memilih pasukannya. Dia yang nak bekerja dan dialah yang memilih pasukannya. Mengapa orang lain pula menyibuk?

Saya menyisih diri daripada menjadi soldadu para politikus sudah lama. Saya menyedari bahawa sayembara mereka lebih kepada pamrih kuasa. Demi bangsa dan agama itu hanya sebuah melankolik bahasa. Saya memerhati gelagat mereka dari jauh. Telah muncul dan beranak satu bentuk kemelampauan. Saya tidak suka overdose dalam politik sebegini. Hingga PRU sudah selesai, masih bercakap pasal perlumbaan kuasa. Masih bercakap tentang cubaan merampas kuasa dengan jalan-jalan yang makar. Ini sangat tidak bermoral dan bukan sikap "taifah" yang menyeru ke arah kebaikan.

Sikap peribadi terbaik buat masa ini adalah berdiam diri. Hentikan melakar dosa menuduh orang itu ini dengan gelaran dan perlebelan yang kita sendiri tidak suka ditempelkan kepada kita. Hentikan mengejek orang dengan ejekan "sakau". PRU Sudah tamat. Untuk apa lagi ejekan itu. Simpan untuk PRU akan datang. Hentikan juga lebel orang munafiq, liberal, fremanson , taliban, pengganas dan sebagainya.  Kita tidak tahu siapakah yang lebih mulia di sisi Allah. Allah sendiri dalam nas Quran melarang kita membersihkan diri sendiri dan dalam msa yang sama mencemarkan orang lain. Allah tidak suka siapa yang mengakui dirimya orang baik dan menjahatkan orang lain. 

Hiduplah aman damai dan buangkan sengketa.

Rakyat mahu keadilan dalam pembahagian kek ekonomi negara. Perut kenyang adalah perjuangan nombor wahid dalam pembinaan sebuah negara! Bukan idelisme, semangat dan isme-isme yang direkakan orang.

Takdir akan berjalan sama ada kita suka atau tidak suka. Banyaklah berdiam daripada asyik mengobar dosa.





Wednesday, November 30, 2022

Redhakan kuasa ke tangan orang lain

 Pilihanraya kali ke 15 telah selesai. Perdana menteri telah pun dilantik. Pakatan Harapan mengetuai satu bentuk kerjasama politik yang dipayungi arahan YDPA. Kerjasama politik itu melibatkan parti-parti yang mempunyai calon MP yang menang. Hanyak Parti PN, MCA dan MIC yang mengambil sikap tidka mahu bersekutu dalam gabungan politik tersebut. 

Rakyat sudah letih dengan cekcok para politikus. Kini rakyat tiada minat lagi melihat persengketaan para politikus. Rakyat mahu melihat negara aman dan makmur. Ekonomi berkembangan dan bebanan hidup rakyat menjadi ringan. Itu yang rakyat inginkan. Rakyat tidak lagi makhsyuk dengan sentimen perkauman dan agama yang menjadi kupasan berselera sebelum hariu pengundian. Rakyat terbanyak hari ini lebih cenderung mengambil sikap memerhati bagaimana perdana menteri baru membawa negara menongkah masa depan.

Namun, para penagih politik, ada yang tidak pernah dapat tidur lena. Dendam kesumat masih membuak dalam dada. Saban hari, ada sahaja kenyataan yang memarakkan api permusuhan dan kebencian serta memancing lawan. Ini bukan sikap yang baik dalam demokrasi sebuah negara. Seharusnya, ribut taufan apabila sudah reda, hendaklah kita berganding bahu bangunkan negara. Jika kuasa yang didamba milik orang lain. maka relakan sahaja. Allah SWT pemilik kuasa, dia memuliakan sesiapa yang dia kehendaki dan menghinakan sesiapa yang Dia kehendaki. 

Hari-hari di pundak kuasa adalah bergantian. Jika kemarin kuasa di tangan sekumpulan orang, maka jika bergantian ke tangan kumpulan yang lain kemduiannya, redakanlah. Kuasa bukan punya kita. Ia pinjaman sahaja. Kita tidak hebat dalam menguruskan kuasa. Allah yang hebat. Jika kita redha, Allah muliakan kita. namun, jika kita gelisah, resah, kewalahan mengungkit kuasa, Allah akan menambahkan kehinaan kita.

Allahul musta'an!

Saturday, October 29, 2022

Makar yang tidak habis

Umno dilaporkan menolak cadangan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu di Tambun untuk menewaskan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan menamatkan kerjaya politiknya.

Laporan Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bahawa BN akan meletakkan calonnya sendiri di sana dan mereka yakin berpeluang memenangi saingan pelbagai penjuru di Tambun.

"Kita tidak mempunyai sebarang pakatan (untuk BN) untuk memberi laluan (kepada mana-mana parti lawan) di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," katanya dipetik sebagai berkata.

Ahmad dilaporkan berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli jawatankuasa PAS pusat Zuhdi Marsuki, yang mencadangkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu untuk mengalahkan Anwar bagi kerusi parlimen Tambun pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Zuhdi dilaporkan berkata Anwar adalah penyumbang utama kepada "krisis politik yang tidak berkesudahan" di Malaysia dan mengalahkannya di Tambun akan menamatkan kerjaya politiknya.

"Sebagai balasan, Umno boleh meletakkan calon untuk kerusi DUN Hulu Kinta mana
kala PAS boleh melakukan perkara yang sama di Manjoi," katanya.

(Petikan: Sumber FMT yang dipetik Malaysiakini)


Politik seperti ini adalah "telunjuk lurus kelingkin berkait". Dalam degar ceramah menyatakan kebobrokan UMNO sebagai parti perasuah, mengajak rakyat menolak UMNO dan mengundi Perikatan, boleh ada usul daripada seorang Ahli Jawatankuasa Pusat Pas untuk berpakat dengan UMNO dalam rangka untuk mengalahkan DS Anwar. Politik ini tidak tulus. Tidak jujur dan tidak adil. Kata tidak dikota. Depan para penyokong dinyatakan bahawa UMNO parti kelptokrat. Menang UMNO negara akan musnah. Tapi, dalam senyap-senyap cuba melakukan perbincangan untuk mencapai matlamat yang cuba disamakan antara dua gabungan itu. Matlamat menewas seorang politikus yang sekian lama dimusuhi.


Allahu...akal sihatku tidak boleh menerima permainan kotor sebegini. Hati Zuhdi Marsuki lebih berkabus, berbelang dan berceloreng berbanding Ahmad Maslan. Dalam soal ini, penolakan Ahmad Maslan adalah berprinsip. Idea Zuhdi Marsuki untuk memasukkan ramuan politik " kita sepakat di sini dan bergaduh di tempat lain" adalah sebuah nifak politik. Politik memperbodohkan rakyat. Politik belakang tabir yang tidak pernah padam dan menjadi bidak catur sebahagian politikus Pas sejak al-Marhum TG Nik Aziz masih hidup.


Kita tidak lupa episod lepas yang belum tamat dan to be contunued. Episod yang pecah tembelang ini adalah salah satu sambungan cerita makar politik dalam episod lepas. Rakyat yang cerdik dan celik maklumat tidak menyukai mainan bersimpang siur seperti ini. Tidak mustahil dan amat mungkin sekali, selepas PRU15, akan ada lagi mainan kotor yang akan dipalu.


Semua itu demi sebuah kemahuan. Menjatuh seseorang dan menaikkan seseorang. Tidak lain, tujuan daripada falsafah itu , hanyalah demi memburu al-jah serta haloba kuasa.


Allahul musta'an...Aku berlindung dari siasah!(memetik kata-kata Said An-Nursi)

Thursday, October 27, 2022

Fitnah-fitnah para politikus

Politik yang dimainkan orang (para politikus) membawa kepada  banyak dosa. Ketika perebutan kuasa sedang memuncak dalam sebuah sistem demokrasi, lihatlah bagaimana upaya para politikus meraih kepercayaan massa. Penampilan watak suci menjadi-jadi. Jiwa elit bertukar menjadi jiwa rakyat marhaen. hati singa menjadi hati domba. Busana iblis menjadi busana malaikat!

Saksikan, bagaimana fitnah meluncur laju bagai panah terlepas dari busurnya. Tidak kira siapa. Apakah politikus itu seorang leberalis, chauvinis, sosialis, komunis,  nasionalis, agamis, fundamentalis atau akademis. Terjebak dalam politik, menyebabkan semua warganya mencecah kancah berkumbahan.

Aku kasihan melihat mereka semua. Tapi apakan daya. Politik dan kehidupan tidak dapat diasingkan. Dari soal masuk tandas hingga terbang para roh menuju Mala'ul A'la, pengaruh politik menentukannya.

Tidakkah pernah kita alami dulu, sewaktu PKP, kisa solat berjaraj di masjid-masjid? Siapa di belakang arahan itu? Mufti? 

Bukan!

Di belakangnya adalah ahli politik!

Jika belum jelas, tanyalah dirimu, mangkuk tandas yang ada di Malaysia, samakah dengan mangkuk tandas yang ada di wilayah selatan Thailand??

Berbeza bukan? Kenapa berbeza?Siapa punya kerja yang menyebabkan perbezaan itu wujud?

Tentu peranan para ahli politik tidak dapat dinafikan! Merekalah yang akan membuat undang-undang, perniagaan eksport dan import yang menentukan mangkuk tandas bagaimana yang boleh masuk dan dijual di pasaran dalam negara!

Semua politikus yang menebarkan fitnah akan menuai hasilnya bila tiba musim panennya!

Saturday, August 13, 2022

Warga sampah di Mekah

 Heboh di Media Sosial seorag penkid berpakaian lelaki ketika laksanakan ibadah umrah. Penkid itu bernama Nursyazwai binti Mohd Resad. Pelbagai pihak mendesak kerajaan mengaabil tindakan terhadap penkid itu. Menteri agama kata tunggu dia balik Malaysia baru tindakan aka dikenaka ke atasnya. Sekarang ini dia masih di luar negara.

Sebenarnya, ini adalah siri bala atas umat Islam yang diperlihatka Allah SWT buat renungan kita semua. Dulu Sajat pergi Mekah buat umrah da brpakaian perempuan. Bila Sajat nak dihukum, dia lari daa mendapatkaa suaka politik di Australia. 

Sepatutnya....Kerajaan Malaysia ambil tindakan laporkan sahaja kepada pihak berkuasa Arab Saudi. Orang macam penkid ini biar dihukum sahaja ikut peraturaa Arab Saudi. Malaysia lepas diri sahaja. Rakyat sampah begini biar dia mengadu nasib sendiri di negara yang dia buat onar.

Sunday, July 03, 2022

Bala akibat tamak

Orang kampung yang bela lembu makan rumput di kebun pun menaikkan harga lembu mencanak pada musim korban. Mata sudah gelap dengan silau lembaran not-not wang yang diharapkan hasil jualan lembu. Perasaan tamak kekadang menguasai diri sehingga lembu korban mahu dijual dengan harga yang tidak muansabah.Akhirnya, ada yang sehingga raya korban tiba , lembu tak terjual.


Satu masa akan datang, lembu-lembu akan tidka lagi laku. Orang sudah tak beli lembu lagi. Sekarang pun sudah nampak. Banyak orang beli bahagian korban di luar negara yang dijalankan oleh NGO tertentu. Khabarnya masjid-masjid dalam negara kita yang dulu buat korban berpuluh ekor hasil pakatan orang ramai, kini ada yang hanya dapat buat dua tiga ekor sahaja. Peserta sudah kurang. Lembu di Malaysia mahal gila. Maka satu bahagian sudah menjangkau 800 hingga 1000 lebih.


Kalau lembu-lembu sudah tak laku di Malaysia, ketahuilah itu adalah satu bala dari Allah buat tuan lembu yang tamak.  Jangan salahkan orang ramai yang buat pilihan untuk sertai korban luar negara. 

Macam tahun ini, harga durian sudah jatuh teruk. Tahun lepas harga durian macam emas. Tuan durian jadi tamak . Sebiji durian dibelek macam belek emas. Lalu Allah turunkan bala. Harga durian jatuh. Lambakan durian orang tak beli. nak untung sekampit akhirnya rugi sekarung.


Saturday, April 09, 2022

Kemengarutan dalam agama

 Telah sampai kepadaku satu khabar. Tatkala matilah seorang hamba Allah di sebuah kampung, beberapa hari setelah matinya hamba Allah itu, anak si mati itu pun pergi bertanyalah seorang ustaz di kampungnya tentang fidyah puasa ayahnya. Apakah ayahnya perlu melangsaikan fidyah puasanya? Maka ustaz itu pun membuat anggaran fidyah puasa yang perlu dijelaskan untuk al-marhum. Dengan mengambilkira andaian setiap tahun 7 hari puasa ditinggalkan sejak umur baligh dan sampailah ke usianya meninggal 73 tahun, maka jumlah yang perlu dibawayr adalah sekitar RM24 ribu. Bagaimana boleh sampai kepada jumlah itu sedangkan fidyah puasa yang ditinggalkan adalah secupak beras untuk sehari. Nilai secupak adalah RM4. Kalau mengambilkira hari puasa Ramadhan yang mungkin ditinggalkan si mati sejak umur 15 tahun dan dia mati pada usia 73 tahun, maka jumlahnya adalah 406 hari.

Jumlah itu adalah untuk 58 tahun. Oleh kerana feqah yang dianut oleh sebahagian orang, puasa yang tidak diqada dan ia melewati ramadhan tahun berikutnya, hendaklah digandakan, maka juml;ah cupak yang perlu difidyahkan bukan lagi 406 cupak.Tahun pertama pada usia 15 tahun sebanyak 506 cupak. Tahun kedua  pada usia 16 tahun dengan gandaannya ialah 399 cupak. tahun ketiga pada usia 17 tahun 392 cupak. Begitulah dikira seterusnya. Seperti itulah mereka mengiranya. Namun, cara pemgiraan itu agak sulit dan tidak dapat mencapai angka bayaran fidyah yang tepat apabila bilangan hari puasa yang ditinggalkan tidak sama setiap tahun.

Maka mereka yang tertentu telah membuat culculator fidyah yang boleh didapati dalam lama web tertentu seperti dalam laman web Aman Palestin.https://ga.amanpalestin.co/kempen/fidyah-3/kalkulator-fidyah-3/

Aku telah membuat teguran keras kepada seorang yang bertanyaku tentang masalah ini. Pertama sekali, aku tanyakan kepadanya, si mati yang kau kenal, apakah dia kaki ponteng puasa?

Katanya, setahunya, dia seorang yang tidak meninggalkan puasa. Boleh dibilang orang soleh Namun masa mudanya, tak tahulah. Masa itu, dia pun belum lahir. Dia takut si mati ada meninggalkan puasa pada waktu muda belianya. 

Aku katakan bahawa kamu telah membuat perasangka buruk ke atas si mati. Hukum hakam tidak boleh dibina atas  sangkaan.Kalau kamu sendiri tidka rela diri ditohmah suka meninggalkan puasa, demikianlah ornag lain. Kalau kamu mati nanti, apakah kamu mahu ornag anggap kamu meninggalkan puasa dan perlu difidyahkan??

Ini perkara pertama yang perlu kamu selesaikan. Jangan pakai agak-agak. Si mati telah hidup sampai umur 73 tahun dan dia telah melakukan yang terbaik dia mampu buat agamanya. Kenapa haris ada ornag kemudian membuat justifikasi palsu atas agamanya? Tanyalah juga pada ustaz yang buat andaian kiraan tersebut. Apakah dia ada meninggalkan puasa ramadhan. Kalau dia sendiri mati nanti, ada fidyah yang perku dibayar oleh ahli warisnya atau tidak. Demikian, tanya juga tok-tok guru yang mengenakan hukum fidyah sedemikian buat warga. Apakah kelak mereka mati, waris mereka perlu bayar fidyah puasa buat mereka. Mana tahu, masa muda tok-tok guru itu pernah tinggalkan puasa. 

Hukum kalau nak pakai agak-agak, buatlah agakan untuk semua orang tanpa kecuali. Kita semua bukan nabi dan hukum yang datang dibilas ke muka kita semua. Tidak kira siapa engkau.

Cerita fidyah puasa seperti ini adalah kemengarutan dalam agama yang difatwakan oleh agamawan yang tidak berpegang teguh dengan contoh tauladan yang nabi tinggalkan. Juga dengan teladan salafus soleh.

Kalau sudah jelas si mati sakit dalam bulan Ramadhan dan tidak puasa, barulah hukum fidyah itu timbul. Itupun hukum bayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan melangkau tahun semasa tidaklah perlu digandakan. 

والقول بلزوم الفدية هو قول الجمهور مالك والشافعي وأحمد ومستندهم في ذلك فتوى أبي هريرة وابن عباس به, ولا يعرف لهما مخالف من الصحابة, ويرى أبو حنيفة والبخاري وجماعة من العلماء عدم لزوم الفدية لأن الله إنما أمر بالقضاء في قوله: فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ {البقرة 184} ولم يذكر طعاما, والأول هو الراجح لما ذكرناه من فتوى الصحابة به, والفدية لا تسقط ولا تتضاعف وإن تعددت سنوات التأخير، فالواجب ما ذكرناه من إطعام مسكينٍ عن كل يوم, وأما هذه الأيام الزائدة التي صمتها فتكون في حقك نفلا، ولن يضيع عليك ثوابها لأن الله لا يضيع أجر من أحسن عملا






Saturday, January 29, 2022

Itik Patah kaki

Itu satu tamsilan. Itik patah kaki itu adalah Umno. Masa PRU14, Umno sangat lemah. Ia macam itik patah kaki. Nama aja itik, tapi nak berenang sendiri tak mampu. Kala itu ada yang hulurkan bantuan agar itik dapat berenang. Itulah penyu. Penyu yang tangkas di bawah air. Penyu yang banyak bertapa di pantai menelurkan soldadu. Penyu tolong itik berenang. Berenang dalam kolam. Berenang dalam sungai. Berenang dalam laut yang bergelora. Mujurlah, dengan bantuan penyu yang dihulurkan, itik dapat berenang melepasi semuanya. Bereneng dengan bantuan. Bantuan penyu yang tolong timbulkan cengkerangnya ke permukaan air buat itik berpaut. 

Kemudian, lama juga masa, itik pun sembuh. Itik mula cuba berenang sendiri dalam beberapa kolam kecil. Kemudian itik beranikan berenang di sungai berarus. Itik macam sudah bersedia berenang di laut bergelombang.

Itik sudah tak ingat jasa penyu. Itu sudah tinggalkan penyu. Penyu rasa tertipu. Rasa dikhianati. Itulah resam politik ananiyyah. Apa boleh buat....


Gurindam itik


Kalau itik patah kaki
janganlah anda lemah hati
kaki yang patah usah diubati
kaki yang elok patahkan sekali.


Bila itik patah kaki
sembelih masak buat kari
enak dimakan dengan beriani
perut kenayang tak sakit hati.


Itik binatang pandai berenang
tak akan lemas di air tenang
tak akan karam dipukul gelombang
Tidak berenang dalam kubang.


Kalau itik jadi angsa
suara kuat seluruh desa
siapa mendekat jadi mangsa
boleh terbang tinggi di udara.


Itik dicabar sangatlan dipantang
keluar kurungan jalan melenggang
Melenggang pulang perut kenyang
meyudu air acaq tak usah dilarang


Dulu aku telah tuliskan tentang hal ini. Sudah kuramalkan ini yang akan terjadi...

Baca:

http://abgkama.blogspot.com/2020/09/bangkit-menyusun-telapak-dewa.html

Tuesday, December 07, 2021

Ahli Sunnah Wal Jamaah

 Menggelarkan orang yang memperjuangkan Sunnah nabi sebagai Wahabi berlaku dengan rancak di bumi Malaysia pada masa kini. Siapa yang ajak orang kembali kepada Sunnah, akan dilebelkan dengan gelaran tesebut. Ironinya, pihak yang tidak memartabatkan hadis nabi yang saheh, sebaliknya menjadikan hadis-hadis daif, bahkan maudhuk sebagai hujah dalam pengajaran, dalam amalan dan dalam pendalilan mengaku pula ahli Sunnah. Ini satu hal pelik wal gharib. Sepatutnya, sesuai dengan nama ahli sunnah, maka sunnah yang diwarisi oleh para ulama hadis seperti tokoh-tokoh yang mearisinya perlu dijadikan andal.

Kita lihat, orang berandalkan mimpi, syatohat dan firasat serta laduni pula yang didendangkan sebagai ahlu sunnah. Sepatutnya berilah nama sesuai dengan sandaran mereka dalam agama. Ahlirru'ya misalnya. Ahli Firasat atau ahli mukasyafat. Biar mudah dikenali wadi mana kita berada.

Berebut-rebut mahu dipanggil ahli sunnah. Namun sunnah tidak dipelajari. Dasar ilmu hadis tidak diangungkan. Bahkan ada yang meremehkan kerja keras para muhaddisin sejak zaman berzaman dengan menghancurkan kepercayaan kepada prinsip ilmu hadis yang dikarang para tokohnya.

Belum lagi disuluh sudut istiqamah dengan jalan jamaah. Jamaah bukan jamaah hizbi atau tariqah yang dipegang, Sebaliknya jamaah adalah generasi sahabat, tabiin dan tabiit tabian. Merekalah generasi salaf yang mulia. Merekalah jamaah yang dimaksudkan dalam rangkai kata ahli sunnah wal jamaah!

Orang yang dakwa yaqazoh dengan nabi dipanggil ahli snnah?

Orang yang banyak bercerita pertemuannya dengan nabi khidir dan ajar zikir-zikir nabi khidir dipanggl ahli sunnah?

Orang yang ajak orang amalkan wirid dan solawat  yang tidak sampai jalan sanadnya kepada nabi menurut ilmu hadis dianggap ahli sunnah?

haihata haihata...

Siapa yang Allah berikan rasa cinta kepada sunnah nabi, itulah hadiah mahal di zaman fitnah ini. Dalam masa yang sama ada rasa benci kepada bid'ah yang direka dalam agama.

Friday, August 13, 2021

Bukan semua kitab membawa kebaikan.


" Ustaz tahu kenapa orang Islam hari ini minum arak dan main judi?" lelaki itu melontarkan pertanyaan kepadaku. Dia mampir ke kantin sekolah saban hari. Kalau para guru sedang makan waktu rehat, kala itulah dia juga ada di sana. Dia warga desa yang banyak masa anggurnya. Dia selalu duduk dan membuka cerita.

Di sebuah sekolah kampung. Kampung di sebuah tanah pulau di perairan Sulu. Aku telah berada di sana selama 5 tahun, bergelumang dengan kerencaman amalan dan pemikiran warga. Hari itu, persoalan itu dilontarkan kepadaku. Mungkin mahu menguji pengetahuanku atau mungkin mahu mengumpan emosiku.

" Orang Islam minum arak dan main judi, itu bukan ajaran Islam. Itu ajaran hawa nafsu dan syaitan...", aku membalas sambil menghirup secawan kopi di depanku. Beberapa teman guru juga duduk sambil makan.

" Itulah ustaz, ustaz tak tau...orang Islam minum arak dan main judi sebab Nabi Muhammad pun minum arak dan main judi", balasnya. Dia bangga kerana aku tak tahu apa yang dia tahu.

"Apa? mana kamu dapat cerita macam ni?", aku terkejut dan hampir tersedak.

" Ada dalam kitab suku kami ustaz", balasnya selamba.

" Bawa ke mari kitab tu, saya nak tengok", tukasku.

" Nanti saya bawakan, biar ustaz tengok", balasnya sambil menyedut rokok daunnya.

" Ya, bawakan, kitab apa ,macam tu, saya bawakan ke pejabat Agama...", aku merugut.

" Oh...kalau macam tu tak bolehlah ustaz", warga itu membalas.

Kemudian, cerita pasal kitab itu pun hilang begitu sahaja. Aku pun tidak lagi meminta warga itu bawakan kitab itu di kala dia berselisih denganku di denai-denai kampung mapun kala mampirnya ke sekolah.Entah benar-benar ada kitab semacam itu atau hanya dongeng autanya. Aku tidak pasti dan aku tidak berminat untuk mencari tahu mengenainya.

Cerita pasal kitab yang jadi rujukan orang tententu ini bukan sahaja ada dalam cerita memoriku itu. Di kalangan orang terpelajar, para ustaz, lebai-lebai dan tok guru juga ada kitab-kitab yang nadir berlegar secara senyap. Ada kitab firqah-firqah tertentu yang tidak diketahui oleh orang awam. Dalam kitab-kitab sebeginilah tersimpan apa yang dikatakan "ilmu rahsia".

Antara kitab yang sedemikian adalah apa yang dinamakan "Tajul Muluk Al-Murossa'" sebuah kitab jawi lama yang di kulitnya tidak tercatat nama pengkaryanya. Majhul. Dalam kitab ini terkandung aneka ragam "ilmu rahsia". Ilmu tagkal azimat, khasiat benda, ramalan tubuh badan, hari dan alamat-alamat yang boleh dilihat.

Sehinggakan kitab ini telah diwarta dalam fatwa oleh JAKIM sebagai kitab terlarang lantaran banyak penyimpangan yang ada di dalamnya. Ia boleh buatkan orang yang membacanya tanpa asas akidah yang kukuh akan mengamalkannya. Lalu terkerumus ke dalam jejak-jejak yang membawa kepada kesyirikan.

Sebagai contoh, dalam kitab ini disebutkan satu perkara pada ms 21, Fasal pada menyatakan Hari Awal tahun yakni sehari bulan Muharam(Kata) Syeikh Muhammad Marzuq dalam Syarah Natijatul Miqat, maka apabila masuk awal tahun itu hari....

" Adapun jika adalah awal tahun itu hari (selasa) maka toli'nya bintang Marikh, maka adalah tahun itu menunjuk atas mati segala orang besar-besar dan banyak orang bertumpah darah dan sangat mahal dagangan dan mahal makanan dan sedikit hujan...",

Ada orang percaya apa yang diramalkan oleh pengarang kitab ini. Tahun ini 1 Muharam jatuh hari Selasa. Maka tahun 1443 ini adalah tahun malang. Tahun ini orang besar dalam negara akan mati. Akan ada tumpah darah, barang jadi mahal (barang dah mahal pun) dan hujan kurang. Inilah ramalan masa depan berdasarkan tarikh jatuhnya 1 Muharram.

Apakah ramalan sedemikian dibenarkan? Sedangkan perbuatan meramal apa yang terjadi pada masa depan adalah dicela dalam hadis-hadis yang soheh. Ia adalah bahagian daripada tanajjum dan tanajjum adalah sebahagian sihir.

Tidak wajar asal ada dalam kitab, kita sebarkan kepada masyarakat. Kalau mahu dikira kitab, macam-macam kitab ada. Ada kitab Syiah. Ada kita puak Batiniah Ismailiah. Ada Kitab Puak Ahmadiah. Ada Kitab ilmu Kanuragan dan Kejawen. Ada kitab ilmu silat, ilmu bomoh dan serba mak nenek lagi. Beribu kitab ada. Apakah asal ada dalam kitab kita mesti terima? Itu pasal kita kita kena timbangkan kitab dengan Quran dan Sunnah. Baru tidak sesat.

Apa yang ada dalam kitab, jika tidak lulus setelah dipandu uji dengan Quran dan Sunnah, lemparkan sahaja. Jerukkan sahaja di bawah timbunan ilmu jika tidak mahu buangkan. Jangan ceritakan isinya kepada orang kalau nampaknya menyimpang. Bukan semua yang namanya ilmu pengetahuan perlu di lepaskan ke corong awam. Nabi Muhammad ada menegaskan(Dalam hadis Riwayat Muslim):

كفى بالمرء كذبًا أن يحدِّث بكلِّ ما سمع

" Cukuplah untuk seseorang itu dianggap pendusta apabila dia ceritakan semua yang dia dengar".


Kita perlu didik akal kita jadi penapis. Lagi halus tapisannya lagi baiik. Lagi selamat. Semua yang masuk ke pendengaran kita, kita tapis. Apa yang dipandang mata kita, kita tapis. Apa yang terlintas dalam tafakkur kita, kita tapis. Jika lulus dalam tapisan, barulah kita salurkan kepada khalayak.


Allahumarsyidna....ameen

Friday, July 23, 2021

Kemelut zaman

 Sana sini berlaku kejadian yang berbulu di mata dan menyakitkan telinga. Ada kes seornag yang menziarahi kubur di saman RM2000. Ada kejadian sekumpulan warga asing di bawa ke lokap dengan pakaian banduan kerana mengerjakan solat Aidil Adha. Ada Masjid di kompaun kerana ahli koryah datang solat lebih daripada koata yang dibenarkan. Jumlah yang datang solat di masjid terbatas sedangkan masjid dijadikan tempat vaksinasi! Solat di masjid hendaklah berjarak tapi dalam masa yang sama aktiviti beli belah di pasaraya dan para pekerja kilang di sana sini tidak pula diperintahkan duduk berjarak sebagaimana solat.

Macam-macam ketempangan yang terjadi dalam fasa ini. Satu yang kelihatan perlecehan kepada hal-hal yang berkait keagamaan berada pada tahap yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Tatkala negara ini diperintah oleh parti sekular, Allah taala tidka menimpakan bala bencana masjid di tutup. Demikian tatkala negara ini dibayangi pemerintahan DAP dalam PH, Allah tidak  menimpakan bala rakyat tidak dibenarkan jumatan. Ini benar-benar memusykilkan. Kenapa dalam fasa pemerintahan satu kerajaan yang diangkat sebagai kerajaan Melayu Islam ini , berlaku hal-hal yang menjatuhkan maruah ini? Kalau hal-hal ini dilakukan oleh pemerintahan komunis di Cina, ia senang dilegitimasikan. Tapi...hemm...

Tidak mampu untuk menyenaraikan begitu banyak kepincangan berkaitan hal-hal kehidupan beragama di saat ini. Mungkin alasan pendemik boleh dijadikan tempat bersandar. Boleh dijadikan kambinghitam. kalau mencari kambing hitam, dalam mana-mana pemerintahan pun boleh berlaku dan telahpun berlaku. Di kala kerajaan BN tidak melaksanakan undang undang hudud, meeka mengkambinghitamkan masyarakat majmuk. Di kala kerajaan PH mahu meluluskan UEC, mereka mengandalkan tuntutan masayarakat Cina. Demikian semua andalan itu tidka diterima dengan senang oleh yang menentang. Apakah andalah sekarang boleh pula diterima?

Allah sedang menguji kalian sebenarnya.

Siapakah yang mampu melaksanakan Islam? Menuturkan bicara mudah semudah mengehek kahak lalu dituis ke longkang. namun melaksanakan kata akan membuktikan siapakah yang benar-benar jujur dalam bicaranya.

Saturday, July 10, 2021

Walhasil balik asal

 Perlantikan DS Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana menteri bukan pelan pemulihan negara terhadap masalah pendemik yang diharapkan. ia tidak menjanjikan harapan negara akan pulih. Sebelum ini, dialah orang yang saban hari mengumumkan sop dan langkah-langkah menangani pendemik. Apa yang boleh dia lakukan untuk berbeza daripada sebelumnya? Bekerja menguruskan negara bukan dibuat oleh seorang. ia dibuat oleh sekumpulan kabinet menteri. Dalam kabinet itu termasuklah DS Ismail Sabri. Kononya, nampak macam perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mengorak langkah ke arah keluarnya negaranya dari belenggu dan himpitan Covid19. 

Cara bekerja masih dalam kerangka yang sama. Walhasil balik asal. Langkah perlantikan DS Ismail Sabri itu adalah langkah politik dan bukan langkah pemulihan. Pemulihan kesan wabak  ke atas kesihatan, ekonomi dan sosial. Ia adalah langkah politik yang terdesak di kala ugutan UMNO sebagai paku tiang senget PN mencabutkan dirinya. Afar tidak terus rebah, pelbagai cara dilakukan. Antaranya adalah perlantikan yang kosong daripada harapan itu.

Suara rintihan marahaen sudah di tahap yang kronik. Rintihan kekadang telah menjelma menjadi seranah kemarahan. Dalam banyak keadaan ia telah menjadi marak api kebencian. Namun. para algojo kuasa masih bemain catur dengan gerak-gerak bidak yang tidak memberi faedah kepada rakyat. 

Aku mengamati keadaan ini dan berfikir. Kenapa begitu payah kerajaan ini mahu menangani pandemik ini. Angka kes dikocak dan ditarik untuk turun, tetapi tidak mahu turun-turun. Menjolok buah tak jatuh tetapi anak-anak yang menanti sudah sakarat !

Barangkali boleh dimuhasabahkan. Kerajaan ini dibina dengan langkah-langkah yang ganjil dan di luar norma. Kerana itu susah mencapai berkat dalam pemerintahan. Tanpa berkat yang hanya anugerah Allah buat sesuatu pemerintahan, sebarang agenda tidak membuahkan hasil. Renung-renungkanlah!


Manusia di persada kuasa, jika tiada "ma'iyyatullah" serba tak kena. 

Saturday, July 03, 2021

BENDERA PUTIH

 Kenapa harus jadikan polemik hangat kempen kibar bendera putih? Bukankah kempen itu mensasarkan golongan yang berdepan dengan masalah berikutan kesan PKP dan Lockdown anjuran kerajaan? Kononnya ada cara lain untuk menzahirkan kesusahan agar dibantu orang, itu bukan alasan memperkecilkan kibaran bendera putih. Cara lain yang ditawarkan itu pula berupa paparan nombor telefon untuk dihubungi. Padahal, pengalaman pelbagai pihak, apabila nombor telefon dihubungi minta bantuan, pelbagai jawapan yang tidka menyenang akan muncul.

Dikatakan juga bendera putih akan membuka ruang ornag menyalahgunakannya. Orang tak susah pun tetapi sengaja angkat bendera putih. Kalau itu alasannya, panggilan telefon pun boleh orang salahguna. Itu lagi mudah. Orang yang tidak ada masalah apa-apa, pun telefon minta bantuan. Akhirnya pihak yang bertanggungjawab akan keliru juga dna kemudiannya buat peraturan sendiri yang menyukarkan saluran bantuan.

Mereka yang pesimis terhadap bendera putih juga berandalkan ayat-ayat muluk menasihatkan rakyat agar tidak berputus asa dan berdoa kepada Allah. Semua itu adalah kata nasihat yang tidak berpijak di bumi nyata dan lahir dari sendawa orang kenyang. Ada juga menuduh bahawa ia adalah sebuah kempen tersirat musuh politik.

Bak kata pepatah, memukul air ke dulang, terpercik ke muka sendiri. kalau niat orang lain dituduh bermotif politik, maka politiklah menjadi ratib orang yang membuat tuduhan. Cubalah pejamkan mata seketika daripada melihat potret politik. Ini semua ilustrasi masyarakat ditafsirkan kepada makna politik. Orang itulah sebenarnya hamba politik. Paku dulang paku serpih. 

Kalau rakyat mahu kibar bendera putih, kerajaan negeri tidak mahu bantu, biarkanlah. Kerajaan negeri bantulah orang yang tidak kibar bendera putih. Biar yang kibar bendera putih itu mendapat bantuan daripada individu yang prihatin atau NGO yang sedar.  Kerajaan duduklah menunggu panggilan telefon rakyat yang membelek -belek telefon yang habis kredit atau bosan mendengar silat tempang jawapan orang yang duduk di pejabat sambil mencecah asam belacan dan buah mempelam.

Biarlah semua ornag susah yang mahu kibar bendera. Biar orang tahu berapa ramai ornag susah atau mengaku susah ada dalam masyarakat. Baru kita dapat faham dan mengerti sejauh mana keberkasana agensi yang selama ini mendakwa membantu rakyat susah. Biar segala pekung dapat dibongkar. Khianat harta awam dan pecah amanah banyak membarah dan yang itu perlu dihukum dengan pembongkaran kedok mereka.

KURANG NUTRISI

Nampaknya, sekali cakap, terdedahlah kurangnya nutrisinya dalam menghadam perkembangan. Seperti budak afrika yang dipaparkan gambarnya dalam akhbar. Perut buncit, nampak rangka pada rusuk, kepala besar dan betis halus. 


Kasihan ...