Mengikuti perkembangan keputusan PRN Sabah malam ini, nampaknya UMNO bersama sekutunya akan kembali berkuasa di Sabah. Mojoriti mudah sebanyak 37 kerusi telah diperolehi. UMNO yang disangka orang telah dicabut nyawanya berikutan kekalahan dalam PRU ke-14 yang lalu rupanya belum mati. Ia cuma pengsan sahaja. Kini dia telah sedar daripada pengsannya. Dalam keadaan mamai dan lemah setelah sedar daripada pengsan itu, diberi bantuan pernafasan dan siraman renjisan air, UMNO kembali sedar dirinya. dari duduk bersandar pada dua lengan ke belakang, UMNO sudah boleh duduk bersila. Perlahan-lahan UMNO mula beralih duduk iftirasy. Dengan gaya dan lagak pendekar Mata Satu dari Gua Hantu, UMNO pun bangkit memasang kuda-kudanya. Dua tiga kali dikelepiaq kaki kanan dan kirinya, disusuli dengan tumbukan jurus percubaan, timbullah keyakinan bahawa dia masih ada wibawa.
Dengan tawadhuknya, ia duduk bertawarruk bersama orang-orang yang berjasa menyedarkannya daripada pengsannya. Kekuatannya sedang pulih satu persatu. Urat nadinya mula mengalir darah-darah semangat waja sekeras keris daripada besi waja khursani bernama Taming Sari yang selalu dijulangnya.
Selepas menang PRN Sabah, UMNO nampaknya telah benar-benar yakin dengan kepulihannya. Ia siap bertempur lagi. Jika dalam medan tempur di tanah Bawah bayu ia mampu menumpaskan lawan, apalah nak diherankan dengan Tanah Abang. Dulu, namanya diratib orang, lepas ini akan kembali diratib orang. Dulu ia pernah menepuk dada penuh takabbur, kali ini barangkali akan ditepuknya dada, paha dan punggung sekali.
Roh-roh leluhur yang bersemadi dalam dirinya kali ini akan ditambah. Datanglah roh segala roh yang gagah perkasa, menyatu dalam dirinya. Kalau boleh, akan diserunya roh Firaun dan Haman sekali, biar kekuatannya bertampah sepuluh kali lipat.
Kebingkasannya yang baru ini, bukan seperti dulu lagi. Membujur lalu melintang patah. Semua nama menyatu dalam dirinya. Tiada gundah, tiada gelisah. Tiada budi yang patut dibayar.
Sesal tiada berguna lagi.
No comments:
Post a Comment