Kita diajar agar jangan taksub kepada seseorang. Kalau mahu taksub juga, biarlah hanya kepada yang maksum. Tentunya manusia yang maksum itu hanyalah para Nabi. Taksublah kepada Nabi semahumu kerana ia membawa maksud taksub kepada Tuhan, kepada Allah SWT. Para Nabi itu ialah utusan Allah dan mereka tidak bertindak serta berbicara melainkan menurut wahyu Allah SWT.
Aku telah menyaksikan ramai orang yang mulanya nampak baik, jernih dan ikhlas, kemudian pecah tembelang. Ternyata, apa yang dilihat sebelumnya tidak menggambarkan hakikat sebenar. Rupanya ada udang di sebalik batu, telunjuk lurus kelingking berkait. Para pendokong orang itu, jika taksub, payahlah untuk nampak kepincangan yang berlaku. Jika tidak taksub, dengan mudah boleh menarik diri daripada mendokong dan memberi sokongan.
Dewasa ini kita perlu berhati-hati. Musim hujan menyebabkan bermunculan pelbagai macam kulat. Rumput dan lalang juga mencuat berlumba-lumba ke atas. Semak dan samun segera menguasai ruang.
Kebebasan dalam media sosial, ditambah pula dengan kelonggaran dalam penguatkuasaan berikutan sedikit reformasi yang dilaksanakan pemerintah, menyebabkan bermunculan para pendekar yang menunjukkan pencak mereka dalam agama, bangsa dan negara. Tidak ada lagi ISA yang menghantui. Akta Hasutan pula tidak cukup ampuh untuk mengekang. Justeru, banyaklah yang melempar batu sembunyi tangan. Banyaklah yang merobos dan menyerbu hal-hal yang mengundang efek kekacauan serta membakar api emosi, termasuk antara kaum dan agama.
Ini menarik para pentaksub yang menggenggam penumbuk ke udara sebagai tanda sokongan. Para penggalak semangat pula menyeringai atas keberhasilan menjadi pendekar massa. Selain jasadnya berligar di medan, jemarinya juga lincah mengetuk papan kekunci. Dia mengumpan dan membakar emosi.
Ingatlah… Nabi kita berpesan:
“فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ”
“Katakan yang baik-baik atau diam sahaja.”
Orang yang diam itu lebih baik daripada berbuih mulut berceramah tanpa tapisan. Kalau tidak dapat mengawal diri, ambillah kertas dan tulislah dalam buku sahaja. Bina manuskrip yang kelak boleh menjadi buku. Manuskrip akan disimpan dan mencapai kematangan seiring peredaran masa. Jika nantinya manuskrip itu mengandungi isi yang salah, ia masih boleh diubah, dipadam dan dibetulkan.
Menulis atau bercakap di media sosial — sekali terluah, tidak dapat ditarik balik.