CARI BAHAN

Wednesday, June 24, 2026

DEMI KUASA

 Apa dicari saban hari

menuding jari menebar benci

orang lain salah serba serbi

lawan dikeji diri dipuji.


jika bukan puak sendiri

dikatakan gagal tadbir negeri

masa berkuasa kandaskan ekonomi

dikatakan kerana kesan globalisasi


ananiyyah menjadi makanan ruji

ujub dan sum'ah bersarang dalam diri

takbur dan bongkak tidak disedari

sifat tawadhuk sudah dikembiri


aduhai manusia yang sibuk berpencak

di medan siasah teramat rancak

sama sendiri asak mengasak

dari kelmarin sampai esok


pagi petang siang dan malam

sembang politik tak pernah khatam

berlegar antara puji dan hantam

bercampur antara rindu dan dendam


ini pertembungan zaman berzaman

tak kira masa perang atau aman

politikus berentam dengan lawan

para pengikut bermasam sesama teman


Para hukama pernah berkata

Sengketa manusia pada tiga Ta

Tahta harta dan juga wanita

Mereka berebut mahu memilikinya.


Kuasa itu kuat godaan

Harta dan wanita bukanlah lawan

Tanpa kuasa tak puaslah hartawan

Tak puas suami beristeri rupawan.


Tak akan berpolitik berebut kuasa

Seorang zuhud tak cinta dunia

Tak akan sibuk mencaci cela

Seorang sufi mencuci sukma


Dunia politik bergelumang fitnah

Demi matlamat kekuasaan dijamah

Cara kaifiyat tidak diendah

Demi merebut kepimpinan ummah.


Payah dicari politik bermaruah

Sebelum berkuasa hidup susah

Bertambah susah setelah dibai'ah

Umar abdul aziz dialah contoh.


Politikus sekarang mengejar upah

Sebagai ganjaran penat dan lelah

Demi perjuangan cuma sekadar madah

Agar disokong tidak berbelah


Kalau tak percaya cubalah uji

Jadi pemimpin tidak payah digaji

Sara hidup setiap hari

Buatlah kerja dengan tangan sendiri


Nabi Daud seorang nabi

Jadi pemimpin kerja sendiri

Berpeluh bekerja sebagai pandai besi

Itulah pemimpin bukan upah dicari


Politikus bertegang urat leher

Berdebat sampai lidah terjeler

Bukan soal isu rakyat yang berjejer

Tapi soal kedudukan mereka yang mahu dipamer.


Untuk jadi pemimpin rakyat

Wang peruntukan jadi azimat

Wang poket sendiri jangan disiasat

Pemberian mereka diriuh gamat.


Masuk kampung jalan beriring

Hujan lebat dia tetap kering

Rakyat memandang sambil menjeling

Waibi kita kemah keming


masa pilihanraya di ambang mata

waibi berkeliaran sini dan sana

menabur budi ramah mesra

sebelumnya hilang tak nampak rupa.


Dengar Lagu:



1) https://suno.com/s/LLEX9SqkNVQofufu?time=205

2) https://suno.com/s/LCdxodSrv0rX7CSJ





No comments: