CARI BAHAN

Tuesday, May 31, 2011

Poligami Salleh Yaakob dipuji.

Salleh Yaakob, seorang selebriti menikah lagi. Isterinya kali ini seorang mahasiswi jurusan pengangkutan. Kini, Salleh Yaakob telah mempunyai empat orang isteri. Kejayaan Salleh Yaakob mengamalkan poligami sering diperkatakan. Media melaporkan dalam nada penghargaan. Berbeza sekali ketika mana media mengulas mengenai isu poligami melibatkan tokoh agama.

Salah satu serangan yang ditujukan kepada pengikut Al-Arqam adalah kerana amalan poligami mereka. Paling keras mengkritik adalah golongan pejuang hak wanita. Dalam soal Salleh Yaakob berpoligami, tidak pula mereka mengkritik. Mungkin kerana Salleh Yaakob bukan seorang tokoh agama. Mereka itu cuma berghairah mengkritik kalau ia dilakukan oleh golongan agamawan dan dilakukan sebagai galakan agama.

Semasa Ust Badrul Amin menikah seorang lagi tidak lama dahulu, timbul keritikan ke atas pribadinya. Bau negatif disebarkan berhubung poligami yang mula dirintisnya.

Kononnya poligami menganiaya wanita.

Dalam hati mereka ada penyakit. Itulah sebenarnya.

Walau bagaimanapun, tahniah kepada Salleh Yaakob. Beliau telah menunjukkan contoh poligami yang baik. Semoga sikap masyarakat terhadap poligami akan berubah dan semakin positif pada masa-masa mendatang.

Lafaz niat

"Kita adalah pengikut mazhab Syafi'e...maka teruskanlah niat di permulaan solat", demikian ustaz yang menyampaikan kuliah semalam menyimpulkan setelah ditanya mengenai niat dan lafaznya oleh seornag guru pencen. 

Nampaknya guru pencen itu adalah seorang yang rajin membaca dan berfikiran merdeka. Aku kira ramai yang seumpamanya. Ramai yang tidak boleh berpuas hati dengan jawapan yang mengikat atas nama mazhab. Guru pencen itu juga begitu.

Ketika aku berdiri di luar masjid, dia datang mampir dan membisik kepadaku mengenai lafaz niat. Dia melahirkan kelucuannya dengan lafaz niat yang disifatkannya tidak ada pada zaman nabi. Kemudian dia menyebutkan lafaz niat dalam bahasa Inggeris. Masakan begitu....katanya.

Monday, May 30, 2011

Alim dan Faqih

Perbualan petang ini dengan seorang teman lama adalah berkisar mengenai ketidaksamaan antara seorang yang alim dengan seroang yang faqih. Aku menegaskan bahawa seorang yang alim belum tentu faqih. Akan tetapi, seorang yang faqih itu tentu sekali seorang yang ali. Untuk mengenali sama ada seorang itu faqih atau tidak, lihatlah sejauh mana ilmu memberi makna kepada  masyarakat. Seorang yang faqih, apabila dia mengulas isu-isu masyarakat, dia meringankan bebab masyarakat dan bukan menambahkan bebannya.

Aku ceritakan bahawa seornag faqih tidak perlu syarahkan tentang israk mikraj tiga hari tiga malam. Seorang faqih tidak perlu syarahkan seperenggan dalam kitab karangan ulama menjadi hurauan panjang berjela-jela. Selalunya seorang yang mampu memanjang lebarkan huraian seperenggan yang tercatat dalam kitab sehingga jika ditulis boleh buat sebuah buku yang lain akan dikatakan alim. Alim belum tentu faqih. 
Apa guna banyak belajar kalau tidak mampu mengubah diri.

Ya Allah...jadikan kami faqih.

Sunday, May 29, 2011

Sejenak mengenai larangan menyebar agama

Lontaran pertanyaan seorang rakan lama dalam blognya mengenai apakah ada dalil melarang penganut lain menyebarkan agama mereka membuatkan aku terfikir. Sejenak, aku cuba menelah lembaran sirah Rasul dan sepanjang sejarah Islam mecari-cari larangan seumpama itu.Aku masih gagal temui. Kecenderunganku merumuskan bahawa kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam adalah memasukkan sama kebebasan mereka menyebarkan agama mereka.

Justeru, dari sumber hukum mana yang diundang-undangkan dalam negara kita bahawa agama lain tidak boleh disebarkan? Dari undang-undang seumpama inilah timbul polemik yang panas mengenai bible dalam bahasa Melayu yang menaikkan darah segelintir orang Islam yang bersemangat.

Agama lain tidak boleh disebarkan di Malaysia. Sekalipun begitu, begitu ramai orang Islam yang dikristiankan di Malaysia. Di mana silapnya? Apakah akta dan undang-undang yang diciptakan itu memelihara akidah umat Islam sebagaimana yang diwar-warkan? Kalau menjaga, kenapa ramai yang murtad?

Berbuat sesuatu tanpa dalil syarak boleh dipertikaikan. Mungkin sesetengah pihak menjadikan maslahah sebagai alasan. Namun, maslahah tidak boleh dinilai berasaskan akal fikiran manusia. Lain orang lain pula masalahahnya. Kalau ikut masalahah, nabi tidak wajar sebar Islam di Makkah. Pembesar Makkah kata nabi bawa perpecahan, sedangkan mereka hidup bersatu pada sebelumnya. Maslahah pembesar Makkah itu ialah tiada Islam demi perpaduan!

Benarkah penggunaan kaedah masalahah dalam keadaaan begitu?

Kekadang aku terfikir, untungkah Islam dengan melarang agama lain disebarkan? Bukankah manusia, kalau tidak tahu mengenai kebatilan akan menganut kebatilan. Manusia yang tercari-cari kebenaran, tidak menemui kebenaran dalam Islam kerana Islam yang ditampilkan kepadanya laksana gambaran gajah buat sibuta. Kebatilan agama lain yang ditahan penyebarannya dicari dan dibongkar. Lalu dia menyangka ada kebenaran di sana. Memang manusia suka makan yang haram. Yang halal tidak menarik minatnya.

SEJARAH YANG SAMPAI KEPADA ANDA


Sejarah Islam diberi perhatian besar oleh ulama-ulama Islam. Banyak sekali karya yang ditulis untuk menceritakan sejarah Islam. Pun begitu, banyak sekali pembohongan yang berlaku dan sejarah Islam. Pembohongan ini terbongkar apabila para ulama mengkritik beberapa aspek periwayatan sejarah dan fakta yang bertentangan dengan nas-nas yang saheh. Umpamanya, riwayat Ibn Ishak dipertikaikan kerana beliau individu yang dilebelkan sebagai membawa agenda " tasyayyu' ". Demikian, fakta sejarah yang mencalar dalam memperkatakan hubungan antara Ali dengan Mu'awiyah banyak mengandungi anasir  fitnah sama ada di pihak Rafidhah maupun Nasibah.

Jika demikian sejarah Islam, maka bagaimanalah sejarah Melayu. Apakah sejarah Melayu mempunyai jalan periwayatan yang boleh dipertanggungjawabkan?

Sejarah Melayu yang menceritakan asal usul raja-raja Melayu daripada Iskandar Zulkarnain dan turun kepada Sang Sapurba dari Bukit Siguntang Mahemeru adalah lebih kepada sebuah metos. Metos sebagaimana kepercayaan orang Greek dan Yunani kepada Tuhan Zeus serta pahlawan supernatural mereka Hercules. Ianya tiada bukti untuk difaktakan.

Maka, demikian sejarah Melayu yang menceritakan perjuangan kemerdekaan. Hari ini, kita diajar bahawa pejuang kemerdekaan adalah UMNO dan pemimpinnya. Semuanya muluk belaka. Kalau kita baca sejarah versi UMNO, Datuk On Jaafar adalah seperti dewa yangb turun dari langit. Tengku Abd Rahman adalah pembela sejati yang bijakasana meraih kemerdekaan. Terpadamlah mereka yang bukan daripada UMNO yang berjuang menentang penjajah.

Para ulama tidak punya nama. Tidak dicatat dalam sejarah. Komunis apa lagi. Perjuangan gerilanya dalam hutan melawan British dianggap sebagai penderhaka. Komunis penderhaka, British itu mulia.

Renunglah sejarah Melayu dan Tanah Melayu dari versi yang lain. Sebagaimana kita merenung sejarah Islam yang dipalit fitnah dan dusta.

PARLIMEN BELIA

Kata Sabree Chik, idea menubuhkan parlimen belia akan diteliti dan dilaksanakan mengikut kapasiti yang ada. Parlimen Belia akan menjadikan belia-belia dari setiap kawasan berkumpul dan berbahas soal-saol dasar negara ala-parlimen yang betul. 

Aku melihat idea ini tidak ada indahnya pun. Setelah kita mengetahui siapa yang menerajui pertubuhan-pertubuhan belia peringkat kebangsaan, negeri dan daerah, kita akan faham mengapa idea ini sia-sia. Selagi pertubuhan belia dikuasai oleh golongan belia tua yang menjadi 'baluchi' UMNO, selagi itu pertuuhan belia tidak ke mana. Ia tidak dapat menajdi medan angkatan belia yang sebenarnya menunjukkan bakat.

Sebenarnya, mereka takut muncul belia yang benar-benar menggugat. Belia berdarah muda dan membara.

Saturday, May 28, 2011

Himpunan sejuta belia

Ternyata Himpunan Sejuta Belia yang sedang diadakan di Putrajaya sekarang ini hanyalah alat kepada kepimpinan BN untuk melihat sokongan para belia kepada pemerintahan mereka. Apabila PM melaungkan selogan "pertahankan Putrajaya" maka ternatalah bahawa menghimpunkan para beliau di bawah program Himpunan Sejuta Belia tidak lebih daripada bermotif politik. 

Pertahankan Putrajaya daripada apa? Apakah Putrajaya terancam oleh serangan musuh luar sehingga perlu dislogankan "Pertahankan Putrajaya"?

Terdahulu, Pakatan Rakyat telah meproklamasikan rancangan mereka untuk menawan Putrajaya. DS Najib sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dalam ucapannya semasa Pembentangan Bajet tahun lalu bahawa Putrajaya perlu dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.Tidak sukar untuk memahami selogan yang dilaungkan semasa Himpunan Sejuta Belia tahun ini.

Tan Sri Muhyiddin menyifatkan himpunan pada tahun ini amat berjaya kerana kerajaan tidak menyediakan logistik sebagaimana tahun yang lalu. Dengan erti kata lain, beliau cuba membayangkan bahawa kerajaan tidak membelanjakan wang rakyat dalam jumlah yang banyak untuk menjayakan program tersebut. Kehadiran belia-belia adalah atas kemahuan sendiri. Ada yang datang naik bas, naik kereta sendiri, naik basikal dan malahan ada yang naik skateboard.

Aku sukar percaya kenyataan itu. Selama ini, kehadiran rakyat ke program-program pak menteri didorong oleh tarikan dan kemudahan pengangkutan yang disediakan. Mereka yang pergi ke program tersebut boleh menggambarkan berapa banyak wang rakyat digunakan untuk membeli air kotak dan makanan untuk hadirin. Tentunya setiap program yang disediakan sepanjang himpunan tersebut ada bajet tersendiri. Masakan penyanyi-penyanyi yang membuat persembahan di sana sukarela dan percuma sahaja.


Penerbangan Balik Kampung (Mei 2011)

Esok aku akan balik ke kampungku di Kedah. Sekolah bercuti selama dua minggu. Tahun-tahun sebelumnya aku tidak balik kalau cuti semester pertama. Aku hanya balik cuti akhir tahun kerana pada masa itu cutinya panjang. Kepulanganku kali ini lebih kerana ada majlis kenduri kahwin keluarga isteriku. 

Balik kampung memang seronok. Lebih-lebih lagi kalau sudah lama tidak balik. Ada ibu di kampung. Ada adik beradik yang boleh ditemui. Malah, ada banyak nostalgia yang terlukis pada suasana di kampung halaman. 

Secara peribadi, kepulangan ke kampung membuatku merasa 'release'. Aku lupakan tentang kerja sekolah dan berhenti seketika merungsingi hal ehwal Jama'ah.

Esok  jam 11.35 pagi penerbanganku bermula dari Sandakan menuju KLIA. Dari KLIA ke Alor Setar pula adalah pada pukul 7.55 petang.

Salafus Soleh ikutan kita.

Tamaddun manusia, merangkumi penemuannya serta ciptaannya, di akhirnya lebih baik daripada awalnya. Penerusnya adalah lebih baik berbanding perintisnya.  Namun, berbeza halnya dengan agama yang benar panutan manusia. Ia adalah lebih baik pada permulaannya berbanding akhirnya.Perintisnya adalah lebih lurus berbanding penerusnya. Tamaddun manusia itu umpama angin yang bertiup sedangkan agama laksana bangunan  yang tegak berdiri. Tamaddun adalah timbunan pengetahuan sedangkan agama adalah wahyu yang diturunkan dan muktamad. 

Pengikut agama benar yang awal berbanding yang kemudiannya diumpamakan air dari sumbernya di legeh pergunungan dengan air yang kemudiannya mengalir merentasi desa dan kota hingga ke kuala. Sebab itu, penganut Yahudi yang terbaik adalah nabi-nabi dan pendetanya yang terdahulu. Yang terbaik di kalangan Nasara pula adalah nabi Isa dan para hawariyyunnya. Maka, demikianlah pula penganut Islam yang terbaik adalah nabi, para sahabat dan generasi di zaman  mereka. Kemudian, generasi sesudah mereka dan seterusnya.Setiap beralihnya zaman, maka akan bertambah merosotlah kebaikan mereka berbanding sebelumnya.

Mereka yang awal dalam agama yang benar, itulah yang dipanggil Salafus Soleh. Para ulama menyimpulkan berdasarkan hadis-hadis, generasi Salafus Soleh adalah mereka yang hidup dalam tempoh 300 tahun yang pertama. Sesiapa yang mengikut manhaj mereka, maka mereka itulah yang paling dekat dengan agama yang benar itu. Sesiapa yang jauh dari manhaj mereka, sudah pastilah tergolong kalangan yang jauh pula daripada agama yang benar itu. 

Imam Ahmad bin Hambal pernah berkata: :"Apabila anda melihat seseorang menyebutkan kata-kata yang buruk ke atas para sahabat nabi, maka raguilah keislamannya".

Seseorang muslim yang baik tertakluk sejauh mana dia mengikut manhaj para Salafus Soleh. Mencela para sahabat dan orang terdahulu bukan manhaj salaf. Janganlah terpesona dengan serban yang besar seseorang. Jangan pula menjadi syahdu dengan banyaknya tangisannya demi Islam dan Rasul. Perhatikan bagaimana jalan agama yang ditempuhnya. Cermati pula bagaimana lidahnya dalam menutur kata ke atas para sahabat dan ulama terdahulu.

Ada jama'ah, kumpulan, tariqat dan gerakan yang mendakwa mereka sebagai Salafi tetapi jalannya yang ditempuhnya menyalahi Salafus Soleh. Maka sesungguhnya mereka bukan Salafi sekalipun lidah mereka menzikirkan bahawa mereka Salafi. Sekalipun penampilannya mewakili mereka dan pakaian menyerupai mereka.

Jama'ah, kumpulan, tariqat dan gerakan yang tidak menjadikan Al-Quran, Sunnah dan Ijmak  sebagai andil dalam beragama adalah kumpulan yang menyimpang dari manhaj Salafus Soleh. Malah, mereka adalah bukan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah sekalipun mereka melaungkan ke seluruh dunia bahawa mereka adalah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.

Perhatikan baik-baik agamamu. Jauhi simpang siur kalam pujangga agama yang tidak berpijak atas landasan Salafus Soleh. Murnikan ibadah dan sucikan akidah daripada tafsiran pelbagai. Hanya tafsiran generasi terawal yang wajar menjadi panutan kita.

Wahai Tuhan...bantulah kami.

Batik Doa Ibu pun naik harga.

Kain batik Doa Ibu menjadi kegemaran ibuku. Aku kira ibu-ibu di kampung di negeri-negeri Semenanjung meminati kain batik jenis Doa Ibu. Demikianlah, setiap kali balik kampung, aku belikan kain Batik Doa Ibu sebagagai buah tangan buat ibuku. Di Pasar Sandakan, harganya sekitar RM12.50 hingga RM13.00. Paling mahal pun adalah RM15.00. Tapi itu tahun lepas. Kali ini, harganya sudah naik menjadi RM18.00. Paling kurang diskaunnya hanya boleh turun kepada RM17.00. 

Kata makcik penjual kain di Pasar Besar Sandakan, nilai matawang Malaysia telah jatuh berbanding nilai Rupiah Indonesia. Itulah sebabnya harga kain jadi mahal. Aku kurang memahami sangat tentang perkembangan nilai matawang antara dua negara berjiran tersebut. Kalaulah benar, ternyata Malaysia kini nampaknya kian kalah dalam persaingan ekonomi dengan Indonesia.

Aku teringat apa yang diulas oleh Mat Sabu dalam ceramahnya di Sandakan baru-baru ini, bahawa pelaburan antarabangsa kini lebih berminat ke Indonesia berbanding Malaysia. Amalan rasuah yang tidak ditangani secara berkesan dan bersungguh-sungguh di Malaysia menyebabkan pelabur tidak selesa dengan Malaysia. Indonesia, miskipun terkenal sebagai negara yang berakar selirat rasuah beberapa tahun yang lalu, mereka mengamalkan ketelusan dalam banyak perkara. Usaha gigih dan keberanian rakyatnya menukar penguasa menjadikan usaha menangani rasuah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Kenaikan harga barang ini semakin kuat frekunsinya. Jaminan kerajaan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95 dan tiada pemotongan subsidi tidak menjamin. Ura-ura yang sengaja disiponggangkan oleh pemimpin kerajaan dan diwar-warkan pula oleh media menyebabkan timbul keresahan kalangan rakyat dan tentunya getaran frekunsi harga barangan bertambah. 

Aku berkeyakinan bahawa harga minyak akan dinaikkan dan subsidi akan dipotong lagi. Subsidi? Ini pun misteri.  Namun, ia tergantung kepada keputusan Pilihanraya Umum nanti. Kebijakan rakyat adalah penentu nasib mereka.

Friday, May 27, 2011

Golongan kelima yang binasa.

Sewaktu kuliah sedang berlangsung di masjid, ada beberapa orang duduk di luar masjid sambil berborak. Ada yang duduk di ruang legar luar dan ada yang bercelapak atas motor bersembang.Insya sudah masuk tetapi pengkuliah lanjutkan beberapa minit. Biasanya kalau malam kuliah, memang tiada azan lagi. Terus qamat dan dirikan solat fardhu insya.

Antara yang duduk di luar masjid itu adalah seorang teman yang selalu berbual denganku. Selepas solat insya, aku menegurnya. Kepadanya kulontarkan pertanyaan dalam bahasa Arab.

"Antara empat golongan, orang alim, orang belajar, orang mednengar dan orang mencintai ilmu, mana satu kamu termasuk?", aku betanya kepadanya.

Dia cepat menyedari hala tuju soalanku. Dia mengatakan dia termasuk golongan ke empat iaitu orang mencintai ilmu. Lalu kutanyakan, kalau dia mencintai ilmu, apa buktinya?

Selanjutnya aku menegaskan bahawa orang yang berborak di luar masjid sewaktu kuliah ilmu sedang berlangsung tentulah bukan pengajar. Bukan yang belajar dan bukan pendengar. Sementara sebagai yang mencintai ketiga-tiga golongan itu, aku katakan aku meraguinya. 

Justeru, binasalah semua orang yang tidak dapat merangkul mana-mana salah satu daripada empat ciri tersebut.Merekalah golongan kelima.

Jika Allah mahu anda ditukarkan...

"Ceh...tak guna, aku dah buat macam-macam untuk membuktikan aku layak ditukarkan pulang ke Semenanjung, aku dapatkan surat doktor mengesahkan bapa aku sakit, aku dapat tandantangan orang-orang atasan, tapi aku masih tidak berjaya. Keluar keputusan baru-baru ini, aku gagal lagi. Masuk kali ini, dah 5 kali aku minta tukar!", rugut seorang guru kemarahan kerana permohonan pertukarannya tidak berhasil.

Kenapa gagal sedangkan telah melakukan pelbagai cara? Kenapa segala asbab yang dijamah tidak membuahkan hasil?

Barangkali kamu kurang pergantungan kepada Allah SWT. Kamu banyak meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada Allah. Kamu mengira dengan "cable" mantap yang kamu pasang, kamu akan dapat memenuhi keinginan kamu. Sedangkan semuanya bergerak di bawah aturan Allah SWT.

Bila manusia banyak bergantung kepada selain Allah, maka Allah tidak akan membantunya. Padahal Allah yang menentukan segalanya!

Thursday, May 26, 2011

Sang Penggelap

Kalau ada Sang Pencerah, gelaran yang diberikan kepada K.H Ahmad Dahlan, pengasas Gerakan Muhammadiah di Indonesia, tentunya ada pula yang boleh digelarkan Sang Penggelap. Sang Pencerah datang membawa Islam yang ditampilkan sebagai mudah sehingga melegakan ummat. Islam tanpa tokok tambah yang meyusahkan. Bid'ah, sekalipan dihasanahkan. Hatta, untuk mengenal Allah pun dipersulitkan dengan serangkap dogma yang menyerupai falsafah. Kita mungkin pernah mendengar mengenai ilmu kalam. Ia bukan dari Islam tetapi adalah ciplakan manhaj falsafah.

Dalam masyarakat kita, ada manusia yang menambahkan gelap di kanvas Islam. Anda sendiri boleh menilainya daripada apa yang mereka serukan. Mereka serukan Islam yang ditanggapi negatif oleh orang kafir. Islam eksklusif. Islam tanpa kompromi. Islam tiada hikmah. Islamharfiah!

Ramai ulama yang membawa kedamaian dalam Islam di lebelkan sebagai sesat. Mereka dituduh Wahabi, mujassimah dan sebagainya. Dibela pula pelbagai tariqat yang menyulitkan jalan.

Merekalah Sang Penggelap

Masjid bukan biara

Malam Jumuat, mereka hantar makanan ke masjid. Kemudian mereka titipkan pesanan agar ditahlilkan buat arwah si fulan dan fulanah yang merupakan orang tua atau kaum kerabat mereka yang telah berpulang ke alam baqa. Lalu, mereka menghilang diri. Solat jemaah maghrib pun tidak, apatah lagi untuk duduk bersama dalam majlis tahlil yang mereka anjurkan.

Apakah begitu mudah agama ini? Amal yang diganjari pahala boleh diupahkan kepada sekumpulan orang dengan makanan yang disediakan? Kalau begitu, apalah ertinya Allah menggesa kita beramal soleh dan membelanjakan harta kita sebelum datangnya kematian. Kalau harta yang ditinggalkan oleh si mati boleh dikendurikan oleh anak cucu di masjid untuk sekumpulan orang bertahlil, tidak perlulah Allah menyuruh kita membelanjakannya sebelum mati. Selepas mati pun boleh dimanfaatkan oleh anak cucu untuk kita.

Masjid bukan biara tempat para rahib diam. Masjid adalah pusat aktiviti ummat Islam seluruhnya. Tidak kira siapa dia, dia punya hak yang serupa ke atas masjid. Masjid adalah milik Allah dan tidak ada sesiapa yang memilikinya. 

Tanggapan sebilangan orang, kalau nak buat majlis doa selamat, tahlil maupun bacaan Yasin, hantar makanan ke masjid. Biar orang masjid yang bacakan. Kalau buat di rumah, panggil orang masjid. Ada pula, yang tidak puas hati kerana masjid tidak ada laungan azan. Biarpun azan dilaungkan, dia tidak pula datang ke masjid. Masjid baginya seumpama radio yang melantunkan suara azan bila masuk waktu.

Buat mereka ini, aku tegaskan bahawa masjid bukan biara!

Fannanah Taaibah

Fannanah Taaibah merujuk kepada golongan penggiat seni yang bertaubat. Mereka termasuklah penyanyi, pelakun, pengarah, produser, pelawak dan lain-lainnya yang bergiat di lapangan. Sering pula disebutkan sebagai para karyawan seni. Umumnya, dunia mereka bergelumang dengan kemaksiatan.  Oleh sebab itu ada sebahagian mereka yang kembali ke jalan benar dan bertaubat, mereka dipanggil Fannanah Taaibah. Dulunya mereka berpakaian menyolok mata, kini mereka berpakaian menutup aurat. Terutamanya bagi kalangan wanitanya.


Alhamdulillah atas kembalinya mereka ke pangkuan Islam setelah lepas bebas menggubarkan kefasikan. 


Namun, sebahagiannya masih tertipu. Dia telah kembali bertaubat dan bepakaian jilbab tetapi masih mengatur program seni untuk wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Dalam bahasa sekarang mereka masih menjadi mentor kepada protege yang jika disebutkan, celupan zamannya sebelum bertaubat. 


Dalam agama Islam, seorang penggalak kepada kemaksiatan maka dosanya sama dengan pembuat maksiat. Tak guna juga kalau mentor bertudung tetapi protegenya tidak bertudung. Dia mengajar pula protegenya bagaimana menjadi selebreti yang hebat melalui gaya dan penampilan yang menyolok mata. 


Masya Allah! kasihan...kejahilan dalam agama kekadang membuatkan seseorang terpedaya dengan jalan taubat yang dipilihnya. Katakanlah bahawa kamu belum beriman tetapi kamu hanya Islam.

Bangsa itu ciptaan Allah.

Aku katakan, watak penindas bukan milik taukey Cina. Seorang teman menceritakan pengalaman pahitnya bekerja di bawah tauke Cina dan dia menghadapi penindasan. Sebab itu dia sangat marah kepada Cina. Aku bayangkan kepadanya, senadainya dia bekerja di bawah bos Melayu pun, belum tentu dia mendapat ketenangan di bawahnya. Kekadang, penindasan oleh Melayu itu lebih teruk dan kejam. Ini kerana watak penindas bukan terkait dengan mana-mana bangsa secara khusus. Ia adalah watak manusia yang tidak punya akal budi.

Merujukm kepada beberapa tokoh kaca Cina, dia merumuskan bahawa kekacaan mereka itu adalah lantara ketamakan mereka. Mereka merampas hak bangsa Melayu pada masa lalu dan hasil dari kekayaan itulah meeka bangunkan kekayaan mereka dewasa ini. Aku katakan bahawa di balik ketamakan cina tamak yang menguasai kapitalis ekonomi pada masa ini, ada terselit pengkhianatan Melayu. Hari ini kita marah Cina jadi tauke balak. Kita marah Cina memiliki tanah di bandar Kim Fong  dan bandar Letat Jaya, Sandakan, tetapi bagaimana mereka mendapatkannya kalau bukan kerana melayu yang mengkhianati bangsanya sendiri. Kalau mahu dikira khianat, banyak sekali perbuatan itu berlegar sesama bangsa Melayu. 

Sehingga bangsa Melayu sering dimomok dengan title PHD (Penyakit Hasad Dengki)

Cina dapat balak kerana khianat pemimpin Melayu. Banyak kawasan balak di beberapa negeri  milik golongan istana. Mereka kemudiannya mengorbankan dengan memberi kontrak kepada taukey-taukey Cina. Kerana sogokkan wang ringgit, permohonan tanah kepada Cina tertentu dibuat oleh Melayu yang tamak dan khianat itu secara bawah meja.

Seorang teman berasal Ranau memberitahuku bahawa dalam pengamatannya, lebih 90 peratus tanah kawasan Kundasang itu sebenarnya dimiliki oleh Cina. Bumiputera suku Kadazan Dusun yang banyak menenpati di sana hanya menjadi penama sahaja. Apakah salah Cina atau kebodohan bumiputera.

Kita sering mencemburuo Cina atas kejayaannya dalam perniagaan dan kita sandarkan kejayaan itu atas beberapa sifat negatifnya. Sementara, kita lupa sifat negatif kita. Demikian aku menegaskan buat teman yang amat cintakan bangsanya Melayu itu.

"Aku Melayu...tetapi aku hanya mencintai Islam...Cina dengan Islam lebih aku cintai daripada Melayu tanpa Islam!" aku bermadah buatnya. Marilah kita renungkan hakikat ciptaan bangsa-bangsa oleh Allah. Baru kita mengerti bahawa betapa sia-sianya perjuangan demi bangsamu.

Wednesday, May 25, 2011

Racau

Naib Presiden UMNO, Datuk Sri Zahid Hamidi mencabar DAP untuk keluar daripada Pakatan Rakyat dan bertanding dalam pilihanaraya umum akan datang secara bersendirian kalau ia benar-benar anak jantan. Dengan cara itu, menurutnya, DAP barulah dapat menguji pengaruhnya. Apakah pengaruhnya itu kerana kehebatan dirinya atau kerana Pakatan Rakyat.

Cabaran yang dilontarkan itu memperlihatkan bagaimana pemimpin BN sudah kian meracau. Mereka masih terimbau dengan kenangan lalu di mana Pembangkang saling bercakaran sesama sendiri. Dewasa ini, parti-parti pembangkang telah melangkah ke era penyatuan untuk membentuk barisan pembangkang yang bakal menjadi alternatif kepada rakyat. Namun, pemimpin BN tidak boleh menerima perubahan ini. Maka keluarlah cabaran bermentaliti rendah daripada Naib Presiden UMNO tersebut.

Cabaran sebegitu tidak perlu dilayani. Ia umpama racau seorang yang tengah mabu arak. Arak oilitik dan kekuasaan.

Ulama perlu dengar kuliah

Ada orang yang lembut hatinya dan mudah menerima nasihat dan peringatan. Ketika dia bergelumang kemaksiatan, lalu ada orang memperingatkannya, dia pun kembali menjadi hamba Allah yang bertaubat. Beruntunglah orang yang apabila diberi kata-kata nasihat mereka menurutinya dengan seelok-eloknya. Kekadang, orang yang berperwatakan sebegini bukan siapa-siapa. Malah, dia dikenali sebagai orang yang lalai dan ahli maksiat. Mereka adalah orang yang dilapangkan Allah hati-hati mereka.

Namun, ada mula manusia yang hatinya hitam dan sangat benci menerima nasihat. Dia, malahan menentang si pemberi nasihat. Memang itulah orang yang amat rugi. Allah SWT telah mencop hati mereka.

Anehnya ada pula kalangan yang berpengetahuan luas dalam agama yang tidak boleh dinasihati. Nasihat dianggapnya sebagai mencabar kewibawaan. Lebih-lebih lagi kalau nasihat itu datang dari mereka yang lebih rendah darjat ilmu menurut kaca matanya.
Jarang sekali ulama sudi duduk dalam majlis nasihat dan majlis ilmu seorang yang lain. Mereka merasakan duduk mendengar kuliah dan nasihat seorang yang lain yang tidak setaraf keilmuan mereka itu satu kehinaan. Ini meruapakn penyakit jiwa yang menyerang banyak ahli ilmu.

Kata orang tua-tua, tak kan hilang bisa ular menyusur akar. Apa salahnya kalau seorang ustaz, ulama dan cerdik pandai duduk mendengar kuliah. Itu, malah akan menambahkan kemuliaannya di sisi Allah dan para malaikat.



Tuesday, May 24, 2011

Lebel haram untuk politik haram

Nampaknya orang begitu mementingkan  halal haram dalam makanan. Pemuda UMNO sendiri, melalui ketuanya, Khairi Jamaluddin menggesa kerajaan agar membuat pengeluaran sijil halal dibekukan sehingga ia diaudit. Begitu prihatinnya beliau terhadap halal haram makanan.

Namun, bagaimana pula dengan soal halal haram yang lain. Dalam hidup ini, bukan makanan sahaja yang perlu dipastikan halal. Tidak ada satu pun dalam kehidupan ini kecuali terikat dengan hukum.  Bagaimana dengan politik? Apakah tiada politik halal dan politik haram? Apakah Khairy Jamaluddin tidak mahu mendesak agar politik halal diberikan sijil kelulusan dan politik haram dilebelkan sebagai haram?

Tuhan...bantulah daku!

Tetapi, saya mesti bersabar sehingga Allah mendatangkan kepada saya jalan. Mungkin, pada apa yang saya tidak suka itu ada kebaikan. Apa yang saya suka itu ada keburukan. Allah punya hikmah yang tersendiri apabila Dia menentukan sesuatu. Kegopohan kita seringkali membuatkan kita jahil tentang apa yang tersirat di sebalik sumua takdir Allah.

Aku berjalan di atas garis takdir yang telah pun siap dilakar Allah. Setiap derap langkah, aku menebak rahsia takdir itu. Apa pun yang Dia tentukan, harus aku depani dengan pasrah. Bahagia atau duka yang mendatang, telah pun Dia tentukan, Aku ingin mengenang semua itu dengan jiwa seorang hamba yang redha. 

Oh Tuhan...pada saat-saat tertentu. kepingin sekali aku agar dilontarkan jauh terbuang ke pulau nun sunyi di tengah laut. Biar kosong aku dari sebarang hubungan dengan manusia. Aku ingin bersendirian. Tentunya ada sang pencipta bersamaku di kala itu. Mungkin saat itu lebih menenangkan dan mensucikan diri. Namun, itu sudah pasti bukan jalan para nabi-nabi dan orang soleh. Pengasingan diri adalah tindak orang kecewa dalam hidup. Allah tidak suka orang kecewa.

Apapun, pahit getir kehidupan harus dilintasi dengan sabar, Di hujung semua ini, tentu ada kedamaian yang menanti.