Rupanya
ombak kebencian yang mendebur
tebing-tebing pahala
pada hari kelmarin
sebelum sayembara pilihanraya ini
belum juga memberhentikan hakisannya.
Telah berapa banyak timbunan pahala tersimpan
menjadi dagangan rugi hari kemudian
kerana kita terlanjur ucap
dijelma dalam tulisan di sini
mencipta ramai tokoh bankrapsi
di hari perhitungan
Hari itu
sebelum pesta memilih
banyak sudah kita berselisih
menuduh orang lain hitam sedang kita mengaku putih
banyak orang yang ditajrih
pahala-pahala enam purnama habis disapih.
Kini
pihak menang dan kalah telah dipilih
tapi lidah-lidah masih bertasbih
mengucap zikir-zikir pedih
mengundang debat panjang tapi pahala meleleh.
Peristiwa kelmarin
cukuplah sekadar ambil ibrah
berilah peringatan untuk esok.
Yang sudah menggapai kuasa
percayalah mereka
biarkan mereka melakar masa depan
tanpa ada keji nista
tidak perlu menebar syak wasangka
sebelum benar-benar nyata.
Semua yang bersayembara
dalam perebutan kuasa
tidak pernah bertukar menjadi malaikat mulia
tetaplah mereka manusia juga
silap langkah jatuh hina berdosa
Semua yang bersayembara
bukan gerombolan para wali suci
yang hidup persis nabi
putih hati tiada hasrat durjana tersembunyi
manusia terlihat mulia hari ini
esok boleh jadi
berubah lagi
dari sayang jadi benci.
Mereka telah mendapat pamrih dunia
biarkan mereka meladanginya
untuk dibawa sebagai pahala atau dosa
Kita rakyat biasa
yang telah membuat pilihan
dengan sangka berat atau keyakinan
bahawa mereka mampu manggalas amanah
tidak menanggung dosa mereka yang berpaling tadah
Janganlah kita di dunia tidak dapat seberapa
di akhirat pula lebih muflis daripada mereka.
Percayalah...tidak memilih untuk kejahatan
kecuali manusia-manusia jelmaan setan
sedang rakyat yang membuat pilihan
banyaknya yang mengharap kebaikan
mereka diberi ganjaran
atas niat mulia yang disimpan.
Kita berhenti bertikam lidah
kita berganding bina negara indah
kita hiasi negeri diberkati Allah
kita maafkan segala yang sudah
kita basuh segala ludah
kita tinggalkan lingkungan bedebah
berpaculah ke depan tanpa mengunjing orang sebelah
biar hati kita jangan berbarah
merebak benci berbaur amarah
sampai ke mati tak tahu lelah
untung tiada rugi yang ditadah.
biar demam pilihanraya jadi kebah
walau ada musuh jahat mencelah
umpan musuh usah dikesah
siasat jahat mereka akan kalah
mereka melempar rasa gundah
mereka menanam bimbang gelabah
mereka mengarang banyak madah
menelah ke depan barang yang dalam ilmu Allah
agar hati kita dihantui resah
racun hasutan jangan dijamah
jangan diangkat untuk ditelaah
jangan disebar kepada ummah
biarkan ia terselit di bahagian bawah
lama-lama mereput dalam air kumbah.
Negara ini di ambang musnah
hutang bertimbun dilangsai payah
biar pakar yang mengolah
jalan keluar dari musibah
usah diganggu dengan masalah
sorak bising teriak jerkah
gaduh tengkar hobi berbalah
Jangan kerana coklat gula getah
dibiar rosak nasi sekawah
negara ini bisa rebah
kerana ekonomi yang kian parah
kerana sistem dijangkiti rasuah
di situlah kita membulatkan wehdah
menumpukan fokus menjalin ukhuwah
menyingkir segala punca balah
tentang soal yang bukan hidup mati sebuah daulah
jika rebah ini negara bertuah
semua citra tersungkur musnah
negara yang diredhai Allah
tidak dapat lagi dicanang megah
punca kuasa telah punah
tolak bahagi dikira payah
Marilah kita berfikir dengan otak yang hikmah.
CIKGU ANWAR
1 week ago
No comments:
Post a Comment