CARI BAHAN

Tuesday, May 08, 2018

Jangan Politik Memberantakkan Usrah

Saya baru sempat membaca catatan seorang anak muda bernama Taqiuddin Cheman yang menjadi calon mewakili Parti Amanah Negara di Dun N51 Pulai Sebatang. Beliau merupakan anak kepada Cheman Yusoh, calon Pas di Dun N16 sungai Balang. Dua beranak ini, anak dan bapa berbeza wadah perjuangan. Namun, kedua-duanya boleh saling meraikan dan menjaga hubungan kekeluargaan. Si bapa masih boleh menghargai pilihan anak dan perbezaan pahaman politik mereka tidak menjejaskan sedikitpun hubungan mereka.

Link: Biar Berbeza Parti, Keluarga Usah Berbalah.

Inilah wajah sebenar Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Politik tidak menjadi sebab pecah belah dalam keluarga. Hal ini dapat dipraktikkan kalau nawaitu masuk politik itu betul. Sesorang yang menjadikan politik sebagai metod memperjuangkan cita-cita dan harapannya tidak akan menafikan metod orang lain. Dalam dunia yang penuh dengan kepelbagaian, seorang yang rasional akan terima kepelbagaian metod dan cara bekerja.

Malangnya, ada segolongan orang yang tidak sudi menerima perbezaan dalam politik. Hatta menganggap pilihan dalam politik adalah pilihan yang menentukan duduknya akidah seseorang, ia sangat keterlaluan. 

Pilihlah wadah apapun, ia tergantung kepada niat masing-masing. Allah akan menilai berdasarkan niat tersebut. Jika seseorang memilih wadah A, niatnya untuk kepentingan diri, habuan dunia atau menegakkan kemungkaran, sudah tentulah dia mendapat dosa. Jika niatnya kerana mahu membela kebenaran, membantu orang tertindas, menghalang kejahatan orang yang merosakkan, dia dapat pahala. Pahala itu berguna di akhirat buat seorang muslim.

Janganlah menyempitkan rahmat Allah. Allah tidak pernah turunkan hak memberi rahmat itu kepada siapapun kecuali DIA sahaja yang memilikinya.

No comments: